Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Jun 2015
Semasa perbahasan pada Khamis lepas untuk meminda Akta Bekalan Elektrik (1990), saya bertanyakan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkenaan perkembangan terbaru Projek 3B, sebuah projek loji janakuasa arang batu 2000MW yang dianugerahkan kepada 1MDB (70%) dan Mitsui (30%). Suruhanjaya Tenaga sepatutnya mengumumkan keputusan pada Februari, namun tiada sebarang perkembangan dilaporkan sehinggalah kenyataan Menteri pada Khamis lepas.
Dalam jawapan balas, beliau (Menteri) mengesahkan bahawa kabinet telah memberi kebenaran kepada TNB untuk mengambilalih projek 3B daripada 1MDB.[1] Selain itu, pengesahan juga dibuat bahawa terdapat “semakan kecil” bagi tarif tenaga memandangkan projek telah mengalami kelewatan 6 bulan dan kadar pertukaran juga telah berubah sejak projek tersebut dianugerahkan kepada 1MDB. Menteri tidak mendedahkan terma pembelian Projek 3B oleh TNB daripada 1MDB atas asas “kerelaan kedua-dua pihak.”