Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 14 Disember 2021

Pembatalan pengecualian cukai Pendapatan Bersumberkan Luar Negara (PBLN) bermula 1 Januari 2022 mungkin akan membawa kesan-kesan negatif yang tidak dijangka

Lewat hari ini, Rang Undang-undang Kewangan 2021 akan dibahaskan di Parlimen. Rang undang-undang ini akan membawa cadangan pindaan kepada beberapa akta kewangan termasuklah Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana pengecualian cukai untuk Pendapatan Bersumberkan Luar Negara (PBLN) yang berkuatkuasa sejak tahun 2004 akan dibatalkan. Walaupun kita faham dan sokong keperluan untuk Kerajaan Persekutuan meningkatkan sumber hasilnya, terutamanya dalam masa yang mencabar seperti sekarang, cara bagaimana hasil ini diraih perlulah adil, mampan, dan tidak membawa kesan buruk kepada ekonomi dalam jangka masa panjang. Malangnya, keputusan untuk membatalkan pengecualian cukai ini mungkin akan menjadi satu langkah yang tidak produktif apabila hasil yang diraih dari syarikat dan individu dari Malaysia di luar negara mungkinlah tidak sebanyak mana dan lebih penting lagi, perkara ini akan memberikan insentif negatif kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk berpindah dan menyimpan keuntungan mereka di luar negara dan memberikan insentif buruk kepada rakyat Malaysia yang mungkin akan memilih untuk melabur dalam aset di luar negara daripada membawa pulang dana yang diperlukan dalam negara kita ini. 

Izinkan saya berikan beberapa contoh. Syarikat Malaysia – M – yang telah memperbadankan anak syarikat di negara-negara ASEAN yang lain sedang mempertimbangkan untuk membawa balik sesetengah keuntungan yang diraih daripada operasi luar negara yang berjaya untuk melabur dan memperkembangkan operasinya di Malaysia dengan menambah jumlah pekerja, membeli lebih banyak perkakasan IT, dan berpindah ke pejabat yang lebih besar. Sekiranya keuntungan ini akan dicukai di Malaysia, maka syarikat M ini mungkin akan berasa ragu-ragu dengan rancangan untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia ini dan mungkin memilih untuk melaburkan keuntungannya di salah satu anak syarikat luar negaranya yang berada dalam persekitaran yang lebih mesra pelabur. Atau, syarikat ini mungkin akan memilih untuk menyimpan keuntungannya di luar negara di Singapura di mana dividen dari luar negara, keuntungan cawangan, dan pendapatan perkhidmatan tidak dikenakan cukai pendapatan. Lama kelamaan, syarikat ini mungkin akhirnya mengambil keputusan untuk memindahkan ibu pejabatnya ke Singapura untuk menikmati insentif cukai dan geran kerajaan yang tersedia di sana, sama seperti apa yang berlaku kepada GRAB yang baru-baru ini disenaraikan di NASDAQ, New York. 

Seorang individu rakyat Malaysia – K – adalah rakyat Johor yang mempunyai pekerjaan bergaji tinggi di Singapura. Beliau tinggal dan bekerja di Singapura tetapi keluarga beliau tinggal di Johor Bahru. Beliau menghantarkan sebahagian besar pendapatan beliau setiap bulan ke Malaysia untuk membayar pelbagai pinjaman yang ada dan untuk menanggung perbelajaan keluarga beliau. Dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas pendapatan dari Singapura untuk beliau ini, semua penghantaran wang beliau ke Johor ini akan dikenakan cukai oleh Kerajaan Malaysia. Memandangkan perkara ini akan mengurangkan jumlah wang yang dihantar ke keluarganya di Malaysia, beliau mungkin akan mempertimbangkan untuk menjual hartanahnya di JB dan menggunakan dana ini untuk melabur di Singapura (di mana beliau kini menyewa) dan mempertimbangkan untuk meminta keluarganya berpindah ke Singapura. Tambahan lagi, beliau sedar apabila beliau mencapai umur persaraan di Singapura dan boleh mengeluarkan simpanan Central Provident Fund (CPF, seperti KWSP di Malaysia), simpanan ini akan dikenakan cukai sekiranya dibawa pulang ke Malaysia. Pembatalan pengecualian cukai ini akan memberikan insentif kepada beliau untuk bersara di Singapura atau mana-mana negara lain di mana simpanan beliau tidak akan dikenakan cukai. Beliau mungkin juga akan melepaskan kerakyatan beliau kerana seseorang yang bukan berstatus penduduk yang ingin membawa wang ke Malaysia tidak dikenakan syarat percukaian yang sama seperti seorang rakyat Malaysia. 

Sebuah syarikat atau individu bernama – L – adalah suatu pelabur dalam aset tetap seperti hartanah di seluruh dunia. L mengutip hasil sewa daripada pelaburan hartanahnya dan di masa lepas, sesetengah pendapatan sewa ini dibawa balik ke Malaysia untuk pelaburan dalam sektor hartanah dan pasaran saham di Malaysia dan juga untuk dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan di tanah air. Dengan pembatalan pengecualian cukai ini, L akan mengurangkan jumlah pendapatan yang dibawa pulangnya ke Malaysia dan mungkin akan memilih untuk menyimpan pendapatan ini di luar negara. Hasilnya, lebih sedikit pelaburan di Malaysia dalam sektor hartanah dan juga di pasaran kewangan kita. Negara kita juga akan rugi daripada kekurangan hasil perbelanjaan pengguna yang sebelum ini dibelanjakan untuk barang dan perkhidmatan dalam negara yang kini mungkin dibelanjakan di luar negara. 

Terdapat pelbagai kesan negatif yang tidak dijangka berkenaan dengan pembatalan pengecualian cukai ini yang tidak disedari buat masa ini oleh pembuat dasar, terutamanya Menteri Kewangan dan rakan-rakan sekerjanya di Kementerian. Tetapi, ramai perunding percukaian dan mereka yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan kewangan telah menzahirkan kegusaran mereka mengenai pembatalan pengecualian cukai ini. Berdasarkan pengalaman saya sebagai Timbalan Menteri di MITI, saya pasti sesetengah pelabur asing juga sedang memerhatikan perkembangan isu ini dengan rapi untuk mengenal pasti jika ada sebarang kesan-kesan yang tidak dijangka yang akan memberikan kesan kepada operasi mereka di Malaysia. 

Tolong jangan salah faham kedudukan saya dalam isu sebagai satu kedudukan yang menyebelahi orang kaya dan syarikat-syarikat besar yang mempunyai pendapatan dari luar negara. Hakikatnya, individu-individu dan syarikat seperti ini mempunyai kebolehan dan sumber untuk mengubah kedudukan aset kewangan dan operasi perniagaan mereka untuk membawa kelebihan kepada mereka sendiri, dan perkara ini memanglah sesuatu yang normal untuk dilakukan mereka. Kesannya adalah, peningkatan hasil yang dijangkakan Kementerian Kewangan mungkin tidak dapat direalisasikan dengan pada masa yang sama, sesetengah sektor lain ekonomi pula terkesan secara negatif, termasuklah sektor pengurusan aset (unit amanah dengan pendapatan dari luar negara akan dicukai), sektor hartanah tempatan (kerana penurunan pembelian hartanah), sektor runcit (kerana perbelanjaan pengguna yang menurun), dan pelaburan semula ke dalam operasi tempatan syarikat Malaysia yang mempunyai cawangan luar negara, antara beberapa kesan yang dapat saya senaraikan. 

Masih belum terlambat untuk menarik semula sebahagian daripada RUU Kewangan 2021 yang melibatkan pembatalan pengecualian cukai ke atas Pendapatan Bersumberkan Luar Negara dalam cadangan pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967. Kami harap Menteri akan mempertimbangkan pelbagai pandangan dari kalangan Ahli-ahli Parlimen dan juga daripada pihak industri mengenai isu khusus ini.