Pihak polis di Lojing, Kelantan berlaku tidak adil dalam menahan dan mendakwa 3 Orang Asli Temiar membuat ‘rusuhan’ walaupun mereka sebenarnya merupakan mangsa serangan ganas

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12 Mac 2014 di Kuala Lumpur

Pada 26 Feb 2014, 6 Orang Asli Temiar dari Kampung Tahu di Lojing, Kelantan telah diserang oleh sekumpulan besar pekerja asing Myanmar (antara 40 hingga 100 orang pekerja asing) ketika dalam perjalanan ke mesyuarat kampung. Hasilnya, 2 Orang Asli Temiar telah cedera teruk dan memerlukan rawatan di hospital dengan 7 jahitan (Itam bin Ajang) dan 15 jahitan (Rahman bin Uda) masing-masing. Motosikal yang dimiliki oleh seorang lagi (Anes bin Akai) sengaja dirosakkan oleh jentolak selepas ditinggalkannya ketika melarikan diri.[1]

Pada 27 Feb 2014, mangsa-mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Gua Musang tetapi dinasihati polis untuk ‘menyelesaikan’ perkara tersebut dengan majikan pekerja asing. Mereka cuba dipujuk polis untuk menerima pampasan RM500 daripada All Green Agritech Sdn Bhd, iaitu majikan pekerja Myanmar tersebut dan pemilik projek yang telah mencerobohi tanah adat Orang Asli Temiar.[2] Pihak polis juga cuba memujuk mereka untuk mengatakan bahawa kecederaan mereka berlaku kerana mereka jatuh dari motosikal dan mabuk pada masa itu.

Continue reading “Pihak polis di Lojing, Kelantan berlaku tidak adil dalam menahan dan mendakwa 3 Orang Asli Temiar membuat ‘rusuhan’ walaupun mereka sebenarnya merupakan mangsa serangan ganas”