Adakah ‘embargo’ terhadap persempadanan semula oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada pagi ini bertujuan untuk menyekat cabaran kes mahkamah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada 22 Mac 2018

Terdapat beberapa perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Parlimen, namun terjadi pada pagi tadi.

Pertama sekali, kertas perintah penuh tidak diberi kepada Ahli-Ahli Parlimen mahupun dimuatnaik ke laman web Parlimen hinggalah lewat selepas jam 10 pagi.

Kedua, apabila kertas perintah penuh akhirnya dikeluarkan, jelas tertera bahawa tarikh pembentangan untuk Laporan Kajian Semula Persempadanan adalah pada 22 March 2018.

Continue reading “Adakah ‘embargo’ terhadap persempadanan semula oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada pagi ini bertujuan untuk menyekat cabaran kes mahkamah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya?”

Adakah muslihat lain akan digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau Perdana Menteri bagi meluluskan cadangan persempadanan semula yang tidak adil di Selangor?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan pada 18 Januari 2018

Walaupun tiada sebarang usaha yang dilakukan dalam Syor 2 Persempadanan Semula Selangor untuk mengimbangkan bilangan pemilih kerusi Parlimen serta DUN[1], dan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga melakukan gerrymander etnik di beberapa kerusi DUN dalam Syor 2[2], adalah sedikit mengejutkan apabila SPR didapati berbalik kepada persempadanan yang digunakan pada PRU 2013 di kebanyakan kerusi DUN di Selangor. Ini menimbulkan pertanyaan apakah sebab SPR berbuat demikian?

Adakah SPR telah mengambil kira pandangan dan pendapat para pembantah ketika pendengaran awam bagi Syor 1 dilakukan? Saya agak ragu terhadap pandangan ini kerana banyak bantahan yang diterima adalah berkenaan jurang bilangan pemilih antara kerusi Parlimen dan kerusi DUN dalam Syor 1. Jika SPR telah benar-benar mengambil kira bantahan tersebut, ia akan bertindak mengurangkan jurang ketaksamaan bilangan pemilih di DUN Seri Serdang (74,563 pemilih) dan DUN Kinrara (34,910 pemilih), di mana kedua-dua kerusi ini terletak di dalam kerusi Parlimen Puchong. Namun SPR telah memilih untuk mengekalkan sempadan kawasan pilihan raya PRU13 untuk kedua-kedua kerusi DUN tersebut dan membiarkan jurang itu kekal begitu sahaja.

Memandangkan SPR mempunyai rekod buruk dalam memberi maklum balas positif terhadap pandangan orang awam dan ahli politik pembangkang (dan kebanyakan bantahan difailkan /  dianjurkan oleh pembangkang), maka sudah pasti ada sebab lain untuk pusingan-U SPR di Selangor.

Salah satu kemungkinan adalah SPR risau bahawa kes bantahan yang difailkan oleh kerajaan Negeri Selangor di mahkamah atau bantahan pemilih individu di Selangor akan melewatkan proses persempadanan semula di Selangor (dan seterusnya keseluruhan Semenanjung Malaysia) jika cadangan persempadanan Syor 1 dikekalkan. Tindakan SPR yang menambah jurang ketaksamaan antara kerusi Parlimen dan DUN adalah terlalu jelas dan boleh dicabar dengan tindakan undang-undang. Kerajaan Negeri Selangor boleh memfailkan injunksi baru terhadap Syor 2 atau mungkin boleh memenangi kes rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap Syor 1. SPR ingin mengagalkan usaha tersebut dengan berbalik kepada sempadan PRU13 bagi kebanyakan kerusi terutamanya dalam kes-kes besar yang melibatkan kerusi Parlimen PJ Utara dan PJ Selatan.

SPR mungkin merasakan ini ‘harga’ yang berbaloi dibayar iaitu mengekalkan sempadan pilihan raya di Selangor kerana persempadanan semula negeri lain di Semenanjung Malaysia telah pun memberi kelebihan yang mencukupi kepada BN. Ini merupakan sangkaan yang paling ‘baik’ terhadap strategi SPR.

Sudah tentu, ini tidak bermakna cadangan-cadangan dalam Syor 2 adalah muktamad. SPR mungkin mengharapkan parti-parti pembangkang akan lalai dan tidak memfailkan bantahan terhadap Syor 2 memandangkan kebanyakan daripada sempadan PRU 13 telah dikekalkan. Jika parti-parti pembangkang tidak memfailkan sebarang bantahan, dan jika parti-parti BN memfailkan bantahan terhadap Syor 2 untuk meminta cadangan Syor 1 dikekalkan, SPR mungkin akan mengambil peluang tersebut untuk meminda persempadanan berbalik kepada Syor 1 sebelum menyerahkan keseluruhan pelan persempadanan semula tersebut kepada PM.

Meskipun kurang bantahan difailkan terhadap Syor 2 di Selangor, SPR secara unilateral tetap masih boleh berbalik kepada cadangan persempadanan dalam Syor 1. Namun dengan berbuat demikian, ia membuktikan bahawa SPR bertindak dengan niat yang buruk. Namun, masalah untuk pembangkang adalah persempadanan semula yang muktamad tidak akan didedahkan kepada awam dan hanya akan dibentangkan kepada parlimen pada persidangan bulan Mac atau April 2018. Pada masa tersebut, mungkin ia sudah terlalu lambat untuk mengambil tindakan undang-undang selepas cadangan persempadanan semula telah pun dibawa ke Parlimen.

Namun begitu, terdapat juga kemungkinan lain. Perkara 9 Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan seakan-akan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengubah laporan persempadanan semula setelah ia dikemukakan kepada beliau. (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: Perkara 9 Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan menyatakan PM boleh mengubah laporan SPR berhubung persempadanan semula SELEPAS ia dikemukakan kepada PM

Ini merupakan kemungkinan yang paling besar memandangkan BN terdesak untuk menawan kembali Selangor. SPR boleh melepaskan diri dengan meletakkan tanggungjawab kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai alasan, walaupun tindakan sedemikian sebenarnya adalah satu penghinaan kepada keseluruhan proses persempadanan semula dan keperluan untuk pendengaran awam.

Apa yang boleh dilakukan bagi menghentikan perkara ini? Ada beberapa tindakan yang mungkin. Pertama, bantahan terhadap Syor 2 di Selangor perlu dibuat dengan sebanyak mungkin. Ini akan memaksa SPR untuk memanjangkan tempoh pendengaran awam kedua dan melewatkan keseluruhan proses hingga selepas persidangan Parlimen Mac / April bagi mengelakkan cadangan persempadanan semula itu dibentangkan di persidangan Parlimen. Kedua, kerajaan Negeri Selangor boleh meneruskan tindakan undang-undang di mahkamah termasuklah memfailkan injuksi terhadap Syor 2 dan terus mencabar malapportionment (pengagihan kawasan pilihan raya yang tidak serata) yang buruk di Selangor di Mahkamah Rayuan. Hanya dengan usaha yang teguh dan bersatu, kita berpeluang untuk melewatkan persempadanan semula yang tidak adil daripada diluluskan semasa persidangan Parlimen Mac / April 2018.

[1] http://ongkianming.com/2018/01/16/media-statement-the-delimitation-exercise-in-selangor-is-still-unfair-and-unconstitutional/

[2] http://ongkianming.com/2018/01/17/the-selangor-delimitation-exercise-is-guilty-of-ethnic-gerrymandering/

Persempadanan semula Selangor dilakukan secara gerimander bersifat etnik

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan pada 17 Januari 2018

Persempadanan semula Selangor dilakukan secara gerimander bersifat etnik

Jika dilihat secara imbas lalu, Syor 2 persempadanan semula Selangor yang diumumkan pada 14 Januari 2018 telah mengembalikan persempadanan kawasan Parlimen dan DUN kepada keadaan asal yang digunapakai ketika PRU 2013. Namun kajian terperinci terhadap daerah mengundi yang dipindahkan menunjukkan bahawa SPR melakukan gerimander (gerrymander dalam Bahasa Inggeris, bermaksud mengubah sempadan pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu)  bersifat etnik dengan tujuan membantu Barisan Nasional (khususnya UMNO) untuk memenangi kembali kerusi-kerusi DUN marginal (‘kurang selamat’) dengan meningkatkan peratusan pengundi Melayu di kerusi-kerusi terbabit dan memindahkan pengundi bukan Melayu ke kerusi-kerusi DUN yang selamat untuk Pakatan Harapan.

Hasil daripada Syor 2, terdapat 6 buah kerusi DUN yang menyaksikan pertambahan pengundi Melayu melebihi 5% – iaitu N11 Ijok, N18 Hulu Kelang, N20 Lembah Jaya, N21 Chempaka (dinamakan Pandan Indah), N51 Morib dan N53 Sijangkang.

Di N11 Ijok, kerusi yang dimenangi oleh PKR dengan kelebihan 739 undi dalam PRU 2013, peratusan pengundi Melayu telah bertambah daripada 50% kepada 60.4% dalam Syor 2 (lihat Rajah 1 di bawah).

Rajah 1: Komposisi etnik di N11 Ijok (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Di N18 Hulu Kelang yang dimenangi oleh PAS dengan kelebihan 2,881 undi pada PRU 2013, peratusan pengundi Melayu turut bertambah dari 80.8% kepada 86.6% dalam Syor 2 (lihat Rajah 2 di bawah).

Rajah 2: Komposisi etnik N18 Hulu Kelang (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Di N20 Lembah Jaya yang dimenangi oleh PAS dengan kelebihan 8,713 undi pada PRU 2013, peratusan pemilih Melayu meningkat daripada 54.5% kepada 62.2% dalam Syor 2 (lihat Rajah 3 di bawah).

Rajah 3: Komposisi etnik di N20 Lembah Jaya (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)
>

Di N21 Chempaka (yang dicadang ditukar nama kepada Pandan Indah) yang dimenangi oleh PAS dengan kelbihan 9,608 undi pada PRU 2013, peratusan pemilih Melayu turut bertambah kepada 61.7% daripada peratusan asal 53.0% akibat daripada Syor 2 (lihat Rajah 4 di bawah).

Rajah 4: Komposisi etnik N21 Chempaka/ Pandan Indah (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Di kerusi N51 Sijangkang yang dimenangi oleh PAS dengan kelebihan 766 undi pada PRU 2013, peratusan undian Melayu meningkat daripada 66.6% kepada 71.7% dalam Syor 2 (Rajah 5).

Rajah 5: Komposisi etnik N51 Sijangkang (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Di N53 Morib yang dimenangi oleh PAS dengan 2,942 undi pada PRU 2013, peratusan pengundi Melayu meningkat dari 62.5% kepada 73.4% dalam Syor 2 (lihat Rajah 6 di bawah).

Rajah 6: Komposisi etnik N53 Morib (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Pada masa yang sama, bagi kerusi N19 Bukit Antarabangsa yang dimenangi oleh PKR pada PRU 2013 dengan 4,044 undi, peratusan pemilih Melayu telah berkurangan daripada 57.1% kepada 41.6% dalam Syor 2. Ironinya, kerusi Azmin Ali akan menjadi kerusi majoriti Cina (daripada 35.6% kepada 50.5%) jika Syor 2 diluluskan (lihat Rajah 7 di bawah).

Rajah 7: Komposisi etnik N19 Bukit Antarabangsa (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Di N22 Teratai yang dimenangi oleh DAP pada PRU 2013 dengan majoriti 13,646 undi, peratusan pemilih Cina meningkat dari 59.0% pada PRU 2013 kepada 62.1% dalam Syor 2 (lihat Rajah 8 di bawah).

Rajah 8: Komposisi etnik N2 Teratai (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Yang terakhir, di N52 Teluk Datuk (dicadang ditukar nama kepada Banting) yang dimenangi oleh DAP dengan kelebihan 5,391 undi, peratusan pemilih Cina turut meningkat mendadak daripada 45.0% kepada 59.6% dalam Syor 2 (Rajah 9).

Rajah 9: Komposisi etnik N52 Teluk Datuk/ Banting (PRU 2013 berbanding dengan Syor 2)

Apabila angka-angka ini dikaji semula, jelas bahawa sebab di sebalik perubahan yang dibuat oleh SPR dalam Syor 2 adalah kerana faktor politik iaitu demi membantu UMNO di kerusi-kerusi terlibat.