Di bawah kerajaan BN, bayaran balik pinjaman boleh ditangguhkan untuk kroni politik tetapi bukan untuk pelajar berpendapatan rendah!

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada 12 Mac 2018

Dalam Manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada hari Khamis, 8 Mac 2018, salah satu janji yang digariskan adalah untuk membolehkan pelajar menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN sehingga pendapatan bulanan mereka mencapai tahap RM4,000. Keesokan harinya, pengerusi PTPTN dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengkritik cadangan ini sebagai tidak realistik dan tidak bertanggungjawab. [1] Beliau juga mengatakan bahawa amalan membenarkan peminjam PTPTN untuk menangguhkan bayaran balik mereka sebanyak 36 bulan sebelum mereka mendapatkan pekerjaan adalah cadangan yang lebih ‘munasabah’.

Apa yang ironis mengenai kenyataan pengerusi PTPTN adalah bahawa kerajaan telah membenarkan penangguhan yang jauh lebih panjang untuk pembayaran balik pinjaman yang disebabkan oleh kronisme dan rasuah. Sebagai contoh, pada tahun 2007, kerajaan memberi ‘soft loan’ sebanyak RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk membiayai perjanjian PKFZ yang penuh skandal.[2] Pembayaran ansuran penuh pinjaman ini ditangguhkan hingga ke 2011 tetapi pada tahun 2011, PKA tidak berkemampuan untuk memulakan pembayaran ansuran penuh.[3] Pada tahun 2013, kabinet telah memutuskan untuk memberi satu lagi ‘grace period’ kepada PKA selama 4 tahun lagi dan membenarkan PKA untuk memulakan pembayaran balik pinjaman ini hanya pada tahun 2018.[4] Pada keseluruhannya, PKA dibenarkan untuk menangguhkan pembayarannya selama 10 tahun akibat dari skandal PKFZ. Dalam erti kata lain, pelajar-pelajar yang tidak dapat mencari pekerjaan dibenarkan menangguhkan pembayaran balik selama 3 tahun (tahap maksimum) tetapi jika untuk sebuah syarikat milik kerajaan yang mengalami kerugian berbilion ringgit akibat daripada rasuah dan kronisme, ia boleh diberikan penangguhan pinjaman selama 10 tahun! Barisan Nasional boleh!

Continue reading “Di bawah kerajaan BN, bayaran balik pinjaman boleh ditangguhkan untuk kroni politik tetapi bukan untuk pelajar berpendapatan rendah!”

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya terlalu obses dengan ranking (penarafan) universiti dunia, sebaliknya ia harus fokus terhadap penunjuk yang dibangunkan dalam negara bagi memperbaiki universiti kita

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ketua Penang Institute Kuala Lumpur pada 8 September 2017

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak seharusnya terlalu obses dengan ranking (penarafan) universiti dunia, sebaliknya ia harus fokus terhadap penunjuk yang dibangunkan dalam negara bagi memperbaiki universiti kita

Times Higher Education World University Rankings 2018 telah diterbitkan pada awal minggu ini. Tajuk utama yang menonjol di akhbar adalah tentang dua buah universiti di United Kingdom yang telah berjaya mengungguli carta di tempat pertama dan kedua, iaitu University of Oxford dan University of Cambridge masing-masing.

Bagaimanapun, pencapaian universiti di Malaysia adalah tidak begitu baik. Universiti Malaya berada di tangga tertinggi dalam kelompok universiti di Malaysia, iaitu antara kedudukan 351 hingga 400. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pula di tangga kedua iaitu antara kedudukan 501 hingga 600. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) semuanya berada di kedudukan 601-800, diikuti oleh Universiti Tenaga Nasional (UniTen) di kedudukan 801-1000 serta Universiti Utara Malaysia (UUM) di kedudukan 1001+ (Lihat Jadual 1 di bawah).

Jadual 1: Kedudukan Universiti Malaysia di Times Higher Education (THE) World University Rankings 2018

Kedudukan Nama Universiti
351–400 University of Malaya
501–600 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
601–800 Universiti Kebangsaan Malaysia
601–800 Universiti Putra Malaysia
601–800 Universiti Sains Malaysia
601–800 Universiti Teknologi Malaysia
601–800 Universiti Teknologi Petronas
801–1000 Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
1001+ Universiti Utara Malaysia

Kedudukan universiti Malaysia dalam ranking THE adalah amat berkontras dengan 2018 QS World University Rankings di mana 5 buah universiti di Malaysia tersenarai dalam kedudukan 300 teratas yang diungguli oleh UM di kedudukan ke-114 (dengan UPM di 229, UKM di 230, UTM di 253 dan USM di 264).

Jika kita mengkaji dua lagi carta kedudukan universiti dunia yang terkenal, iaitu Shanghai Jiao Tong Academic Ranking of World Universities (ARWU) dan US News and World Report’s Best Global University Rankings, kita akan mendapati bahawa universiti-universiti di Malaysia berada di luar senarai 300 teratas. Sebagai contoh, bagi carta ARWU 2017, UM dan USM berada di tangga 401-500 manakala UKM dan UPM di tangga 501-600 dan UTM pula berada antara 701-800.

Dalam kedudukan US News 2017, UM berada di tangga tertinggi bagi universiti tempatan, iaitu 356, dan diikuti oleh USM (576), UTM (639), UPM (670) dan UKM (783).

Rajah 1 di bawah menunjukkan perbezaan dalam kedudukan universiti-universiti di Malaysia bagi carta QS World University Rankings berbanding dengan tiga carta lain – THE, ARWU dan US News.

Rajah 1: Carta Ranking Universiti Dunia Terbaru untuk 5 Universiti Penyelidikan Utama di Malaysia bagi Tahun 2017/ 2018

Apakah yang dapat menjelaskan perbezaan prestasi universiti Malaysia dalam ranking QS berbanding ranking universiti dunia yang lain? Salah satu sebab yang mungkin adalah kerana ranking QS memperuntukkan peratusan terendah daripada markah keseluruhan kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan (citation). Jadual 2 di bawah meringkaskan komponen dalam keempat-empat carta ranking universiti dunia ini dan mengira pemberat keseluruhan yang diberi kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan (iaitu hasil penerbitan universiti). Ranking QS hanya memperuntukkan 20% daripada skor keseluruhan kepada kaedah penyelidikan dan petikan. Ini berbeza dengan peratusan carta lain, iaitu 60% bagi THE, 70% bagi Shanghai AWRU dan 75% bagi US News yang diperuntukkkan kepada kaedah berasaskan penyelidikan dan petikan.

Di dalam ranking QS, reputasi akademik dan majikan mempengaruhi 50% daripada jumlah markah keseluruhan. Pengiraan ini adalah subjektif dan boleh kuat dipengaruhi oleh sampel responden yang ditinjau. Sebagai contoh, dalam ranking QS 2018 terbaru, ahli akademik Malaysia mempunyai perwakilan yang tinggi iaitu 3.7%, walaupun populasi Malaysia hanya 0.41% daripada populasi seluruh dunia. Peratusan responden Malaysia dalam kaji selidik akademik ini adalah jauh lebih tinggi berbanding China (1.7%), Jerman (2.9%) dan Jepun (3.2%).

Peratusan ahli akademik dan pelajar antarabangsa adalah 10% daripada skor keseluruhan QS dan jika sesebuah universiti itu bijak, ianya hanya perlu meningkatkan angka ini bagi mempertingkatkan ranking QSnya tanpa menambah baik kualiti pendidikan, kualiti kajian akademik atau kualiti pelajar. Malahan, kita tidak patut lupa bahawa pada tahun 2004, ranking QS[1] meletakkan UM di tangga ke-89 dalam dunia kerana pelajar-pelajar dan pengajar-pengajar kaum Cina dan India telah disalah klasifikasi sebagai warga asing, dan ini telah secara palsu menaikkan skor UM bagi komponen Fakulti dan Pelajar Antarabangsa.[2]

Jadual 2: Kompenen dan Pemberat bagi Carta Ranking QS, THE, Shanghai ARWU dan US News

Ranking Komponen Pemberat Pemberat Berasaskan Penyelidikan & Petikan (Citation)
QS Reputasi akademik 40% 20%
Reputasi majikan 10%
Nisbah pelajar fakulti 20%
Citations (Petikan) per fakulti 20%
Fakulti antarabangsa 5%
Pelajar antarabangsa 5%
THE Pengajaran: persekitaran pembelajaran 30% 60%
Penyelidikan: jumlah, pendapatan dan reputasi 30%
Citations: pengaruh penyelidikan 30%
Pendapatan industri: inovasi 2.5%
Pandangan antarabangsa: staf, pelajar dan penyelidikan 7.5%
Shanghai ARWU Alumni dari institusi yang memenangi Hadiah Nobel dan Pingat Fields 10% 70%
Kakitangan dari institusi yang memenangi Hadiah Nobel dan Pingat Fields 20%
Penyelidik-penyelidik yang banyak dipetik dalam 21 kategori subjek yang luas 20%
Kertas-kertas kajian yang diterbitkan dalam Nature and Science* 20%
Kertas-kertas kajian yang diindeks dalam Science Citation Index-expanded dan Social Science Citation Index 20%
Prestasi akademik per kapita sebuah institusi 10%
US News Reputasi penyelidikan antarabangsa 12.5% 75.0%
Reputasi penyelidikan serantau 12.5%
Penerbitan 10.0%
Buku 2.5%
Persidangan 2.5%
Impak citations ternormal 10.0%
Jumlah citations 7.5%
Jumlah penerbitan yang antara 10% paling dipetik 12.5%
Peratusan jumlah penerbitan yang antara 10% paling dipetik 10.0%
Kerjasama antarabangsa 10.0%
Bilangan kertas-kertas kajian yang kerap dipetik yang antara 1% paling dipetik dalam bidang masing-masing 5.0%
Peratusan jumlah penerbitan yang antara 1% kertas-kertas kajian yang paling dipetik 5.0%

Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menanda aras universiti Malaysia berdasarkan QS World University Rankings boleh dilihat sebagai berpandangan pendek dan silap memandangkan ranking QS tidak banyak menitikberatkan penyelidikan. KPT akan memperbodohkan diri dan masyarakat awam jika ia berterusan menggunakan ranking QS sebagai penunjuk bahawa qualiti universiti-universiti kita sedang bertambah baik, terutamanya dari segi aktiviti penyelidikan.

Ini tidak bermakna bahawa kita perlu bergantung kepada ranking universiti dunia yang memberi lebih pemberat kepada bidang penyelidikan. Carta lain juga mempunyai kelemahan masing-masing. Sebagai contoh, ranking ARWU Shanghai memberi pemberat yang terlalu tinggi kepada subjek-subjek sains dan penerbitan dan juga kepada universiti yang pernah memenangi Hadiah Nobel dan Fields Medal. Universiti Malaysia boleh meningkatkan kedudukan ARWUnya dengan memberi tempat kepada pemenang Nobel dan Fields Medals untuk jangka masa pendek namun ini mungkin tidak cukup untuk meningkatkan hasil penyelidikan universiti secara keseluruhan.

Daripada obses dengan permainan ranking, KPT seharusnya berusaha menambah baik penunjuk dan kaedah akademik yang dibangunkan oleh Kementerian dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi mengukur kualiti universiti awam dan swasta tempatan, seperti Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) dan Sistem Penarafan Berasaskan Disiplin Pengajian (D-SETARA). Pada masa ini, tahap ketelusan dan pendedahan tentang bagaimana data ini dikumpul adalah amat kurang dan terlalu sedikit perbincangan untuk memperbaiki langkah-langkah ini supaya ia boleh digunakan oleh orang awam untuk menilai kualiti institusi dan juga institusi-institusi untuk menanda aras prestasi mereka. Sebagai contoh, MySetara kurang bernilai jika majoriti universiti awam dan swasta diberi penarafan lima bintang (daripada enam bintang kesemuanya). Bagaimana untuk kita membezakan antara universiti-universiti ini dari segi kualiti hasil penyelidikan atau kualiti pengajaran, sebagai contoh?

Penang Institute di Kuala Lumpur telah menerbitkan satu laporan bertajuk “Obesesi kurang sihat terhadap Ranking Universiti Dunia?”[3] sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran terhadap kekuatan dan kelemahan setiap sistem ranking universiti dunia dan sebagai hujah bahawa KPT tidak patut terlalu obses dengan prestasi Malaysia dalam carta-carta tersebut tetapi seharusnya fokus terhadap menambah baik kaedah pengukuran yang dibangunkan oleh KPT dan MQA. Jika kita fokus kepada menambah baik universiti mengikut penunjuk yang lebih sesuai dan dibangunkan di peringkat tempatan, maka hasil universiti dari segi kualiti penyelidikan, kualiti pengajaran dan kualiti graduan juga akan meningkat. Dan jika penambahbaikan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kedudukan kita dalam sistem ranking universiti dunia, maka ia adalah satu bonus bagi kita.

[1] Ini adalah ketika ranking diterbitkan bersama oleh QS dan THE. Bermula 2010, ranking ini diterbitkan secara berasingan.

[2] http://rankingwatch.blogspot.my/2012/08/universiti-malaya-again-in-many.html#links

[3] Ditulis oleh Lee Zi-Sheng, pelatih di Penang Institute di KL dan Dr. Ong Kian Ming, Ketua Penang Institute di KL. Salinan laporan ini boleh didapati di laman web: http://penanginstitute.org/v3/research/penang-institute-in-kuala-lumpur

Betapa seriuskah penipuan akademik di universiti kita?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 25 Julai 2016

Betapa seriuskah penipuan akademik di universiti kita?

Lebih daripada sebulan yang lepas, pada 11 Jun 2016, Fakulti Perubatan Universiti Malaya telah dimaklumkan tentang dakwaan penipuan akademik yang dilakukan oleh beberapa ahli fakulti yang merupakan penulis / penulis bersama beberapa kertas penerbitan saintifik. Pihak universiti kemudian mengadakan siasatan berhubung kes tersebut dan mendapati bahawa ‘terdapat duplikasi dan / atau manipulasi terhadap hampir kesemua jadual dan rajah dalam kertas asal dalam Scientific Reports dan di dalam 3 buah penerbitan lain yang dikarang oleh kumpulan penyelidik tersebut’ justeru telah  memanggil mereka untuk menarik balik kesemua 4 artikel itu.[1] Artikel-artikel itu kemudian telah ditarik balik daripada jurnal yang terlibat.[2]

Tindakan pantas pihak Universiti telah menyampaikan mesej kuat iaitu bahawa universiti penyelidikan nasional tidak akan bertoleransi terhadap penipuan akademik dan ini harus dipuji. Namun persoalan yang lebih besar berkenaan intergriti dan penipuan akademik masih belum terjawab.

Sebagai contoh, pembongkaran kes ini berlaku disebabkan oleh penelitian ahli akademik dan penyelidik luar negara, dan bukannya kerana siasatan dalaman pihak universiti. Dakwaan tersebut muncul menerusi Twitter dan kemudiannya dipetik oleh blog seperti Microbiome Digest, For Better Science dan Science. Elisabeth Bik, seorang penyelidik dari Stanford yang pada baru-baru ini telah mengarang bersama kertas penyelidikan bertajuk “The Prevalence of Inapprioprite Image Duplication in Biomedical Research Publications”, berpendapat di Microbiome Digest bahawa bukan sahaja pertindihan berlaku dalam imej setiap kertas penyelidikan, malahan angka-angka juga kelihatan sama dalam hampir kesemua kertas (walaupun kertas itu adalah berkenaan dengan sel kanser dan kompaun yang berlainan!). Tanpa penelitian sebegini, adakah penipuan akademik ini akan ditemui?

Tambahan lagi, adakah pengarang empat buah kertas tersebut (selain Nina Samie yang merupakan ketua pengarang dalam kesemua kertas tersebut) sedar bahawa kajian mereka ditiru tiga kali dan dihantar ke 4 jurnal yang berlainan? Adakah penipuan akademik berlaku bukan hanya dari segi isi kandungan, tetapi juga dari segi cara pengarang bersama mungkin ditipu, atau lebih teruk lagi, mungkin bersubahat dalam hal ini?

Apa yang membimbangkan adalah kes ini mungkin merupakan sebahagian kecil daripada permasalahan kelemahan integriti akademik dan kejujuran dalam sistem pendidikan tinggi kita. Walaupun saya percaya majoriti besar daripada 3,823 kertas penyelidikan yang ditulis oleh staf dan pelajar UM dalam jurnal berindeks dilakukan dengan jujur dan berintegriti[3], hanya sebilangan kecil kes bermasalah mampu mencemarkan reputasi kesemua orang.

Saya pernah mendengar khabar tentang ahli fakulti junior dan penyelidik yang dipaksa untuk memasukkan nama penyelia mereka ke dalam kertas akademik walaupun mereka (penyelia) tidak menyumbangkan input intelektual atau kerja yang mendalam untuk menghasilkan kertas tersebut. Terdapat juga penyelia yang mendesak untuk dinamakan sebagai pengarang pertama yang memberi gambaran bahawa mereka mengambil peranan utama dan melakukan kerja-kerja utama untuk penerbitan tersebut. Bahkan terdapat kes yang lebih teruk iaitu terdapat ahli akademik senior yang menuntut semua hak intelektual untuk diri sendiri dengan tidak membenarkan ahli akademik junior meletakkan nama mereka dalam penerbitan. 

Adalah tidak mencukupi untuk UM hanya menerbitkan kenyataan akhbar berhubung penipuan akademik ini. Sebagai insitusi yang tertua dan palingberprestij di Malaysia, UM sepatutnya mengambil peranan utama dalam menegakkan piawaian dan integriti akademik dan kejujuran intelektual. Sehubungan dengan itu, saya menyeru pihak UM untuk menerbitkan prosiding penuh siasatan dalaman terhadap perkara ini dan mengesyorkan perubahan kepada garis panduan sedia ada bagi mengelakkan perkara sebegini daripada berulang. Selain itu, UM seharusnya mendedahkan apa sebenarnya hukuman yang dikenakan terhadap penyelidik-penyelidik yang terlibat demi menghantar mesej yang tegas kepada ahli fakulti yang lain tentang kesan serius penipuan akademik.

Selain itu, saya menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Idris Jusoh untuk menjalankan kajian semula yang menyeluruh terhadap usahasama Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR) antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) yang bertujuan untuk memberi dana kepada projek penyelidikan bagi menghasilkan penerbitan dalam jurnal ISI Tier 1/ jurnal Web of Science[4]. Pengarang 3 kertas yang terlibat dalam kes penipuan akademik telah menerima 2 geran penyelidikan daripada usahasama ini. Menurut laporan tahunan UM 2014, KPT telah menyuntik dana RM590 juta ke dalam program ini, dengan tambahan dana dari UM, untuk mendanai projek penyelidikan sehingga 2016. Memandangkan sejumlah besar dana dikhususkan untuk inisiatif ini dan hakikat bahawa dua daripada projek dikenalpasti terlibat dalam penipuan akademik, adalah menjadi isu kepentingan awam untuk menerbitkan secara awam maklumat dana projek ini dan mengkajinya semula. Jika Idris Jusoh serius ingin memastikan sistem pendidikan kita sejajar dengan laungan ‘Soaring Upwards’, beliau perlu mengambil serius perkara ini dan tidak cuba menutup hal sebenar.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.um.edu.my/about-um/media-centre/news/2016/06/16/allegations-of-scientific-misconduct-at-university-of-malaya

[2] Samie N., Haerian B.S., Muniandy S., Marlina A., Kanthimathi M.S., Abdullah N.B., Ahmadian G. and Aziddin R.E.R. (2016) Mechanism of Action of the Novel Nickel(II) Complex in Simultaneous Reactivation of the Apoptotic Signaling Networks Against Human Colon Cancer Cells. Frontiers in Pharmacology, 6:313. doi: 10.3389/fphar.2015.00313
(Received: 19/11/15 | Accepted: 18/12/15 | Published: 28/1/16 | Retracted: 29/6/16 )

Samie N., Muniandy S., Kanthimathi M., Haerian B.S. (2016) Mechanism of action of novel piperazine containing a toxicant against human liver cancer cells. PeerJ, 4:e1588. doi: 10.7717/peerj.1588
(Received: 17/11/15 | Accepted: 21/12/15 | Published: 17/3/16 Retracted: 26/6/16)

Samie N., Muniandy S., Kanthimathi M.S., Haerian, B.S., Azudin, R.E.R. (2016) Novel piperazine core compound induces death in human liver cancer cells: possible pharmacological properties. Scientific Reports, 6:24172. doi: 10.1038/srep24172
(Received: 1/10/15 | Accepted 23/3/16 | Published: 13/4/16 | Retracted: 22/6/16)

Samie N., Kanthimathi M.S., Muniandy S., Marlina, A., Mohamed Z., Abdullah, N. Revamp of the apoptotic signalling pathways and cell cycle arrest in colon cancer cells induced by novel copper based compound and its molecular mechanisms. Recent Patents on Anti-Cancer Drug Discovery. (Withdrawn before publishing – can no longer be found online)

[3] https://www.um.edu.my/docs/default-source/about-um_document/media-centre/annual-report/annual-report-2014.pdf,  p. 28

[4] http://hir.um.edu.my