Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Jun 2021

10 Persoalan dan Cadangan untuk Pelan Pemulihan Negara

Sejak daripada tawaran untuk memberikan perkhidmatan perundingan “pro bono” semalam, saya telah menerima panggilan dari kilang bir, agensi pemungutan hutang, seorang peguam yang menguruskan urusan hartanah dan petani cili sambilan yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas. Walaupun saya tidak menerima sebarang panggilan atau pesanan dari pejabat Perdana Menteri, saya mahu mengemukakan 10 soalan berikut mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 yang baru diumumkannya dan pada masa yang sama memberikan beberapa cadangan, secara pro-bono, untuk membantu menjawab beberapa soalan ini.

1) Apakah idea PM untuk meningkatkan hasil dan menambah baik situasi aliran tunai di Kementerian Kewangan?

Salah satu cabaran yang sedang dihadapi oleh Kementerian Kewangan dan mungkin lebih tepat lagi, sesetengah agensi kerajaan atau badan berkanun tertentu, adalah masalah aliran tunai pada masa-masa yang mencabar ini. Sebagai mantan pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih dikenali sebagai PTPTN, badan berkanun ini bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk membiayai pembayaran faedah tahunannya untuk semua pinjamannya yang belum selesai dan juga pembayaran balik dari pelajar yang sudah lulus. PTPTN bergantung secara signifikan kepada aliran tunai dan aliran tunainya telah terjejas teruk sejak awal PKP 1.0 dengan penangguhan pembayaran semula pinjamannya. Salah satu cara yang dapat ditangani oleh cabaran aliran tunai ini adalah dengan mengasingkan sebahagian daripada portfolio pinjaman untuk pelajar yang sedang belajar dan yang telah lulus dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (atau IPTS). PTPTN dapat memberikan data dengan mudah untuk menunjukkan bahawa pembayaran pinjaman dari kumpulan pelajar ini boleh dipercayai dan dapat diramalkan, dua elemen yang dicari oleh institusi kewangan yang ingin melindungi mana-mana portfolio pinjaman.

2) Bagaimana untuk membantu sektor hotel dan pelancongan dengan cara yang lebih kreatif?

Kita semua tahu bahawa sektor hotel dan pelancongan telah terkesan dengan wabak ini. Selain daripada memberikan subsidi gaji kepada majikan semasa tempoh sekatan pergerakan, apakah kaedah kreatif lain yang dapat kita fikirkan untuk membantu mereka dalam sektor ekonomi ini? Dalam jangka pendek, sesetengah hotel mungkin dapat dijadikan pusat vaksinasi (PPV) dan juga pusat kuarantin sementara (bagi mereka yang tidak mahu pergi ke MAEPS di Serdang dan sanggup membayar) untuk menampung kos operasi dan gaji premis ini. Untuk beberapa hotel dengan lapangan golf dan pusat membeli-belah, mereka memiliki bumbung dan tanah terbiar yang dapat diubah menjadi taman di bumbung dan tempat di mana panel solar dapat dipasang. Beberapa bank sudah menawarkan pakej untuk membiayai pemasangan panel solar. Bolehkah kerajaan memberikan pinjaman mudah atau geran tambahan untuk menjadi inisiatif yang ditujukan kepada sektor hotel dan pelancongan?

3) Bolehkah kita tubuhkan satu bentuk Danaharta yang lebih baik?

Kita yang pernah melalui krisis kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an pasti akan ingat mengenai peranan yang dimainkan oleh Danaharta dalam mengambil alih aset yang bermasalah dari bank sehingga mereka dapat dimodalkan semula dengan betul dan mula memberi pinjaman semula kepada sektor swasta tanpa beban pinjaman tidak terbayar yang besar. Semasa krisis pandemik ini, terdapat banyak syarikat dengan aset berkualiti baik yang boleh dijadikan jaminan untuk syarikat-syarikat ini meminjam dana untuk menampung perbelanjaan mereka sementara menunggu ekonomi dibuka semula. Cabarannya ialah banyak bank enggan memberi pinjaman, terutama kepada beberapa sektor yang terjejas teruk seperti peruncitan, pelancongan dan rekreasi serta makanan dan minuman.

Bolehkah kerajaan masuk campur dengan melakukan sesuatu yang serupa di mana aset ini dapat diperoleh sementara sebagai jaminan dan kemudian digunakan untuk menjamin pinjaman syarikat-syarikat ini kepada bank? Prokhas (sebelum ini dikenali sebagai Danaharta) dapat dipanggil sekali lagi untuk menjadi agensi penyelaras dan SJPP dapat dipanggil untuk melakukan jaminan pinjaman. Setelah wabak ini berakhir dan aliran tunai perniagaan kembali normal, aset mereka dapat dikembalikan kepada mereka (dengan sedikit kos pentadbiran untuk menampung perbelanjaan Prokhas dan SJPP). Bank-bank yang menyertai program ini juga dapat diminta untuk memberikan moratorium pinjaman kepada syarikat-syarikat yang memberikan cagaran untuk membolehkan terdapatnya moratorium pinjaman yang lebih bersasar. (Saya harap Bank Negara dan MOF dapat meluluskan penyelesaian menang-menang ini)

4) Bagaimana pula dengan solusi yang lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan belia?

Isu pengangguran belia (yang berada pada paras tiga kali daripada pengangguran am) telah menjadi perkara yang telah berulang kali diulang oleh ahli ekonomi dan pembuat dasar. Saya dengan rendah hati mempunyai cadangan untuk dibuat di sini. Agensi kerajaan persekutuan seperti MDEC dan agensi negeri seperti SIDEC di Selangor telah menyediakan pelbagai geran digitalisasi terutamanya kepada PKS. Tetapi salah satu cabaran utama adalah mencapai pemilik-pemilik PKS ini, yang kebanyakannya tidak celik digital. Mengapa tidak mencari penyelesaian menang-menang dengan mengupah graduan-graduan baharu ini atau para belia yang baru kelihangan kerja ini yang mahir secara digital untuk membantu “mendigitalisasi” PKS-PKS ini? Perkara ini boleh menjadi seringkas meletakkan peniaga kuay teow atau popiah tempatan untuk menyertai platform penghantaran makanan atau menolong restoran tempatan melakukan promosi FB dan membuat poster FB menggunakan aplikasi perisian dalam talian seperti CANVA. Para belia ini kemudian dapat menjadi “barisan depan” digital kita untuk membantu PKS (dan mereka juga boleh diberikan vaksin sebagai satu dari keperluan pekerjaan mereka).

5) Bagaimana untuk memastikan golongan B40 mendapat peranti digital?

Salah satu cabaran utama berkaitan dengan belajar dari rumah semasa wabak ini adalah keperluan membeli alat digital tambahan untuk anak-anak kita termasuk komputer riba dan telefon bimbit. Baru-baru ini saya mendapat tahu mengenai syarikat IT Malaysia bernama Rentwise yang antara lain akan menggunakan komputer riba lama dan peranti digital lain, “membersihkannya” dan kemudian menyewakannya semula, termasuk kepada komuniti B40. Daripada menunggu Kementerian Kewangan selesai membeli semua 150,000 komputer riba / peranti digital yang dijanjikan, mengapa tidak meminta syarikat dan rakyat Malaysia lain untuk terlibat dalam usaha ini dengan menyumbangkan peranti digital lama kita kepada syarikat seperti Rentwise yang kemudiannya dapat menyewakan peranti ini kepada yang lain termasuk mereka dari komuniti B40? Kerajaan persekutuan dan negeri juga boleh menawarkan pemotongan cukai, baik kepada individu dan syarikat yang menderma, dan kepada syarikat yang menerima dan kemudian menyewakan peranti ini. Dan ini juga boleh dianggap sebagai inisiatif lestari yang selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu!

6) Bagaimana dengan keadaan perumahan pekerja asing, terutamanya yang tinggal di kilang?

Dengan tercetusnya penularan COVID19 di banyak kilang di seluruh negara, banyak pemilik kilang telah memilih untuk “memaksa” pekerja asing mereka tinggal di lokasi di dalam kilang kerana bimbang pekerja ini mungkin dijangkiti COVID19 jika mereka dibenarkan tinggal di luar sendiri. Dari segi teknikal, pekerja tidak seharusnya tinggal di kawasan kilang. Tetapi mengingat keadaan semasa, kerajaan perlu lebih fleksibel dan membuat garis panduan perumahan baru di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bersama dengan kerajaan negeri masing-masing, supaya penginapan di kilang-kilang dapat dibina secara sah. 

Saya pernah berbincang dengan beberapa syarikat yang dapat menyediakan aturan penginapan berbentuk “asrama” seperti ini dan susunan penginapan ini dapat dibentuk dan dibuka semula dalam jangka waktu yang sangat singkat. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah menyediakan garis panduan yang diperbaharui supaya penginapan dapat dibina di kawasan perindustrian dan pada masa yang sama masih mematuhi Akta 446 (Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja (Pindaan) 2019).

7) Bolehkah kita memikirkan cara baru untuk membuka ruang dalaman dengan cara yang bertanggungjawab dan saintifik?

Salah satu kebimbangan untuk membuka semula ruang dalaman adalah penyebaran virus COVID19 secara aerosol. Salah satu cara bagi kita untuk meminimumkan risiko ini adalah memastikan kualiti udara di dalam ruangan ini sentiasa dipantau dan dibersihkan. Saya diberitahu bahawa kerajaan Belgium baru-baru ini mewajibkan penggunaan pemantauan CO2 di ruang tertutup sebagai prasyarat untuk membuka ruang dalaman. Kita mempunyai sektor Pemanasan dan Penyamanan Udara (HVAC) yang sangat cergas dan inovatif di Malaysia yang diketuai oleh Persatuan Penyamanan dan Penyejukan Udara Malaysia (MACRA). Saya yakin bahawa mereka dapat memberikan input terkini mengenai bagaimana untuk memastikan kualiti udara bersih melalui pemasangan penapis udara dan memastikan peredaran udara yang dirancang supaya ruang dalaman ini dapat dibuka dengan cara yang bertanggungjawab dan saintifik. Sebagai permulaan ruang dalaman dalam kes ini merangkumi restoran, gimnasium dan ruang perjamuan.

8) Bolehkah kita menggunakan teknologi untuk membuka semula pusat membeli-belah dengan selamat?

Dalam topik yang berkaitan, kita juga dapat menggunakan teknologi untuk mengendalikan dan memantau jumlah orang ramai di sebuah pusat membeli menggunakan pemantauan waktu nyata melalui CCTV dan juga mengesan aplikasi seperti MySejahtera atau aplikasi yang dapat dihasilkan oleh pusat membeli-belah individu. Setelah had orang (yang ditentukan oleh ukuran dan kualiti peredaran udara pusat membeli-belah) telah tercapai, tidak ada orang lain yang boleh dibenarkan masuk ke pusat membeli-belah sehingga seseorang keluar. Memandangkan kita menggalakkan untuk menerapkan teknologi Industri 4.0 termasuk Internet of Things (IOT), kerajaan harus memimpin dalam mencari penyelesaian yang bersesuaian bersama dengan sektor swasta menggunakan teknologi dan inovasi.

9) Bolehkah kita memikirkan cara untuk mengadakan acara fizikal menggunakan SOP antarabangsa yang sedia ada?

Ini adalah sedikit persoalan yang sedikit mementingkan diri sendiri untuk dijawab kerana ia adalah bidang yang dekat dan disukai saya. Tidak ada sebab mengapa acara larian berskala kecil tidak dapat diatur dengan cara yang sesuai dengan SOP antarabangsa. Kementerian Belia dan Sukan boleh bekerjasama dengan penganjur perlumbaan untuk menggunapakai versi ringkas dari buku panduan Prosedur Perlindungan COVID19 Atletik Dunia yang merangkumi ujian saringan untuk atlet sebelum acara dan meminimumkan interaksi di antara peserta. Baru-baru ini saya telah menaik taraf trek larian 400m di kawasan saya di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dan saya amat terbuka untuk bekerjasama dengan penganjur perlumbaan dan Kementerian Beliau dan Sukan untuk mengkaji bagaimana acara dapat dijalankan dengan cara yang bertanggungjawab selepas penamatan Fasa 1 PKP Penuh. 

10) Bagaimana untuk membina tabung IDEA?

Idea yang saya kemukakan di atas bukanlah sains roket. Saya mendapat beberapa idea ini dari rakan dan orang lain yang menghubungi saya. Saya dengan rendah hati mencadangkan agar Pejabat Perdana Menteri menubuhkan “Tabung Idea Pelan Pemulihan Negara” (mirip dengan bank makanan tetapi untuk idea) supaya siapa pun yang berpendapat bahawa dia mempunyai idea yang baik untuk membantu membuka semula ekonomi secara bertanggungjawab dan dengan selamat dapat memasukkan idea ke dalam “tabung” ini. Pejabat Perdana Menteri kemudian boleh memilih idea yang baik setiap hari dan meminta Menteri berkenaan untuk menemu ramah orang yang mengemukakan idea itu dan melihat bagaimana untuk menerapkannya di kementerian masing-masing.

Sementara menunggu Jabatan Perdana Menteri bertindak, jika anda mempunyai idea baik, sila hantarkan e-mel kepada saya di [email protected]!

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 7 Jun 2021

Hampir seminggu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP Penuh), kini terdapat lebih banyak persoalan dan kekeliruan berbanding dengan PKP 1.0 pada Mac 2020

Kita fikirkan, selepas setahun sejak PKP mula diumumkan pada bulan Mac 2020, Kerajaan Perikatan Nasional sudah tahun bagaimana untuk melaksanakan sekatan pergerakan menyeluruh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan telus. Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Sejak daripada bermulanya pelaksanaan PKP Penuh pada 1 Jun 2021, terdapat LEBIH BANYAK persoalan dan kekeliruan mengenai pelaksanaan PKP terbaru ini berbanding dengan PKP yang pertama. Berikut adalah senarai isu-isu yang saya telah kumpulkan berdasarkan laporan media dan catatan media sosial dalam minggu yang lepas.

20 isu yang masih belum terjawab selepas seminggu di bawah PKP Penuh

  1. Kita masih belum ada senarai menyeluruh mengenai kementerian mana yang bertanggungjawab ke atas satu-satu sektor atau industri.

Semasa PKP Penuh diumumkan, saya telah mengeluarkan satu kenyataan meminta kerajaan PN untuk menerbitkan satu senarai komprehensif yang menyenaraikan semua kementerian yang bertanggungjawab ke atas pelbagai sektor ekonomi. Senarai ini masih belum diterbitkan. Kita perlukan maklumat ini walaupun kini proses pengeluaran surat kelulusan diletakkan di bawah sistem CIMS 3.0 MITI. Ini adalah kerana kelulusan masih perlu datang daripada kementerian masing-masing dan masih terdapat kekeliruan dalam kalangan Kementerian sendiri mengenai sektor mana yang berada di bawah bidang kuasa mereka,

2. Kita masih tidak tahu sama ada restoran dibenarkan untuk beroperasi sekiranya mereka belum menerima surat kebenaran daripada MITI.

Satu contoh adalah restoran. Walaupun makanan dan minuman dikira sebagai barangan penting dan industri makanan dan minuman dikira sebagai industri penting, masih tidak ada kejelasan mengenai Kementerian manakah yang bertanggungjawab untuk meluluskan operasi beribu-ribu restoran di seluruh negara. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengatakan yang para penjaja hanya perlu menunjukkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan dan tidak perlu mendapatkan surat daripada MITI untuk beroperasi[1]. Tetapi perkara ini tidak menghalang sesetengah pegawai penguatkuasa yang tidak bertanggungjawabdaripada mendesak para peniaga untuk menunjukkan surat kebenaran MITI[2]. Sesetengah restoran terus kekal tutup sepenuhnyakerana mereka masih belum mendapat surat kebenaran beroperasi daripada MITI. Saya juga telah menerima laporan yang mengatakan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) percaya bahawa hanya restoran francais yang berada di bawah bidang kuasa mereka dan bukannya restoran bukan francais. Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum menjelaskan isu ini setakat waktu penulisan.

3.Kita tidak tahu sama ada penjaja di tepi jalan yang menjual makanan dan minuman dibenarkan untuk terus beroperasi tanpa surat kebenaran daripada MITI.

Perkara yang serupa seperti di atas tetapi sesetengah penjaja ini tidak mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan. Bagaimana juga dengan mereka yang diberikan kebenaran sementara untuk beroperasi semasa wabak COVID19 seperti di Selangor dan KL? Adakah mereka boleh terus beroperasi? Adakah pegawai penguatkuasa tahu mengenai dasar ini?

4. Kita tidak tahu apakah kriteria yang digunakan untuk melarang penjualan alkohol tetapi membenarkan penjualan rokok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dilaporkan telah mengatakan yang penjualan alkohol dilarang kerana ia dikira sebagai barangan bukan keperluan tetapi penjualan rokok akan diteruskan untuk keperluan mereka yang “ketagih rokok”[3]. Kemudiannya, Menteri Kanan Ismail Sabri menyatakan kekeliruan beliau mengenai kenyataan ini kerana kedai yang menjual bir seperti 7-11 masih dibenarkan untuk beroperasi. Sesetengah pasaraya kemudiannya menutup bahagian penjualan bir dan minuman beralkohol lain untuk mematuhi ‘arahan’ Timbalan Menteri ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula belum mengeluarkan apa-apa kenyataan awam mengenai isu ini setahu saya.

Saya bukan cuba untuk menggesa larangan penjualan rokok. Apa yang saya inginkan, seperti mana ramai rakyat Malaysia yang lain juga, adalah dasar yang konsisten dan jelas daripada kerajaan. Sekiranya pembuatan dan penjualan alkohol dilarang semasa PKP Penuh, adakah kerajaan telah mempertimbangkan kemungkinan yang para oportunis akan mengambil kesempatan menjual arak yang dibuat secara haram yang lebih merbahaya kepada para pengguna? Atau adakah kita sudah lupa kepada kematian akibat keracunan metanol oleh mereka yang meminum minuman beralkohol yang murah dan dibuat secara haram pada tahun 2019?[4]

5. Kita masih belum tahu sama ada bengkel kereta / automotif dibenarkan untuk beroperasi sekiranya mereka belum mendapat surat kebenaran daripada MITI.

Walaupun bengkel kereta disenaraikan sebagai perkhidmatan penting di bawah kategori perdagangan pengedaran, masih terdapat kekeliruan mengenai Kementerian manakah yang bertanggungjawab memberikan kelulusan kepada bengkel-bengkel ini untuk meneruskan operasi. Kementerian Pengangkutan tidak menyenaraikan bengkel automotif sebagai sektor yang berada di bawah bidang kuasanya di dalam sistem permohonan SMILE[5]. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri juga terus berdiam diri mengenai perkara ini. Akibat itu, banyak bengkel kereta terus kekal tutup. Perkara ini bermakna mereka yang berada dalam sektor logistik dan memerlukan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan akan berhadapan dengan masalah. Dan mereka yang perlu memandu untuk ke tempat kerja kerana mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan penting, perlu berdoa dan berharap supaya kereta atau motosikal mereka tidak rosak atau memerlukan penyelenggaraan.

6.Kita tidak tahu sama ada mereka yang berada dalam sektor perdagangan pengedaran dan pengedar perkhidmatan penting dibenarkan untuk beroperasi dan dari Kementerian manakah yang mereka perlu dapat kebenaran untuk beroperasi.

Saya kenal seseorang yang menjalankan perniagaan import pelbagai jenis perkakasan perlindungan diri (PPE) untuk bekalan kepada hospital dan pusat kuarantin COVID19 dalam negara. Tanpa kebenaran untuk beroperasi, syarikat beliau tidak ada untuk terus membekalkan barangan keperluan penting ini kepada Kementerian Kesihatan. Beliau telah mencuba memohon kepada KPDNHEP tetapi laman web, dan kemudiannya borang permohonan Google Kementerian tidak dapat diakses. Selepas mencuba beberapa cara, saya difahamkan yang permohonan beliau akhirnya diluluskan. Saya masih tidak pasti mengenai Kementerian manakah yang bertanggungjawab untuk memberikan kebenaran beroperasi kepada sektor ekonomi tersebut.

7.Kita tidak tahu sama ada kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih penghawa dingin dibenarkan untuk beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran.

Penyelenggaraan dan pembaikan kritikal disenaraikan sebagai salah satu daripada 17 perkhidmatan penting dalam tempoh PKP Penuh tetapi saya percaya bahawa perkara ini hanya terpakai kepada sektor pembinaan. Bagaimana pula dengan sektor perkhidmatan penyelenggaraan lain yang kritikal kepada kesinambungan operasi sektor-sektor penting yang lain? Sebagai contoh, sekiranya sistem penghawa dingin di hospital rosak, kita perlukan mereka dalam sektor penyelenggaraan penghawa dingin untuk menjalankan kerja pembaikan. Untuk kilang yang membuat produk makan dan minuman, mereka juga memerlukan sistem kitaran udara untuk diselenggara. Malah, boleh dikatakan bahawa sektor industri penghawa dingin ini perlu dikira sebagai sektor industri penting memandangkan cara penularan wabak COVID19 melalui udara. Kita juga tidak pasti, sektor ini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian yang mana satu.

8.Kita tidak tahu sama ada tukang paip dibenarkan untuk beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran.

Tukang paip juga penting untuk memastikan tandas di hospital, kilang, pejabat, dan bangunan kerajaan “mengalir” dengan sempurna. Tetapi, Kementerian yang manakah yang bertanggungjawab ke atas sektor ini untuk memberikan kebenaran beroperasi kepada para tukang paip di bawah PKP Penuh?

9.Kita tidak tahu sama ada mereka yang menjalankan perkhidmatan menyelenggara mesin fotostat dan mesin cetak dibenarkan beroperasi dan daripada Kementerian mana yang mereka perlu mohon kebenaran untuk beroperasi.

Saya juga telah menerima permintaan daripada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menyelenggara mesin fotostat kepada pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan, termasuklah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan. Sekiranya syarikat seperti ini tidak dibenarkan untuk beroperasi, Pejabat Kementerian dan juga hospital mungkin tidak akan mempunyai kertas untuk mencetak dokumen yang diperlukan dan mereka akan kehilangan akses kepada mesin fotostat dan mesin cetak yang akan rosak selepas dibiarkan tidak diselenggara dalam tempoh PKP Penuh.

10.Kita masih tidak tahu apakah kriteria yang digunakan untuk meluluskan atau menolak permohonan mereka yang berada dalam rantaian bekalan perkhidmatan penting.

Sepatutnya sudah ada pemetaan dan pemahaman yang jelas mengenai sektor dan syarikat yang penting kepada operasi sektor perkhidmatan penting. Perkara ini boleh digunakan sebagai asas untuk meluluskan atau menolak atau meluluskan operasi dengan kapasiti rendah permohonan syarikat-syarikat yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan ini. Setakat hari ini kita masih belum dapat lihat pemetaan seperti ini mahupun mendengar sebarang penjelasan daripada mana-mana Menteri mengenai gambaran yang lebih besar tentang rantaian bekalan perkhidmatan penting.

11.Kita tidak tahu bagaimanakah proses pembelajaran atas talian dapat dijalankan apabila kedai telekomunikasi dan bahagian alat tulis di pasaraya ditutup.

Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan bahawa kelas pembelajaran akan terus dijalankan secara atas talian apabila sekolah dibuka semula pada 13 dan 14 Jun 2021[6]. Tetapi, ramai ibu bapa yang mahu membaiki komputer riba dan telefon pintar yang digunakan oleh anak-anak mereka untuk pembelajaran atas talian tidak dapat berbuat demikian kerana perkhidmatan-perkhidmatan ini tidak beroperasi dalam PKP Penuh. Tambahan lagi, bahagian alat tulis di sesetengah pasaraya juga ditutup, menghalang ibu bapa untuk membeli alat tulis untuk kegunaan anak-anak mereka di rumah.

12.Kita tidak tahu bagaimanakah orang hendak bekerja dari rumah (BDR) sekiranya komputer riba atau telefon mereka rosak sedangkan kedai IT dan telefon bimbit ditutup.

Masalah yang sama juga dihadapi oleh mereka yang perlu bekerja dari rumah menggunakan komputer ribu dan telefon bimbit mereka, mereka perlu berharap dan berdoa supaya peranti ini tidak rosak semasa tempoh PKP Penuh kerana tidak ada kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan pembaikan ini yang dibuka. (Saya mengalami masalah di mana komputer riba saya hanya boleh dibaiki di ibu pejabat syarikat dan saya dimaklumkan bahawa perkara ini hanya boleh dibuat selepas PKP Penuh tamat. Nasib baik saya mampu untuk membeli komputer riba baharu, tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai dana untuk berbuat demikian?)

13.Kita tidak tahu bagaimana mereka yang bergantung kepada Rawatan Tradisional Cina boleh terus mendapatkan rawatan mereka.

Saya juga dimaklumkan bahawa mereka yang mencari Rawatan Tradisional Cina (TCM) tidak boleh berbuat demikian semasa tempoh PKP Penuh. Pengusaha kedai TCM ini tidak dibenarkan untuk ke kedai mereka untuk membungkus bungkusan herba untuk dihantar kepada pelanggan mereka kerana mereka tidak dikira sebagai perkhidmatan penting walaupun mereka memberikan kelegaan berkaitan kesihatan dan lain-lain yang berkenaan kepada pengguna mereka.

14.Kita tidak tahu mengapa pewarna rambut tidak dibenarkan untuk dijual di farmasi.

Nampaknya, sesetengah farmasi juga telah menutup bahagian kedai mereka yang menjual produk pewarna rambut kerana ia dikira sebagai barangan bukan keperluan. Saya tidak faham bagaimana penjualan produk pewarna rambut di farmasi yang memang beroperasi boleh menggugat usaha kita untuk melawan wabak COVID19.

15.Kita tidak tahu mengapa bahagian penambahbaikan rumah di sesetengah kedai ditutup.

Begitu juga dengan sesetengah bahagian di kedai alatan rumah yang ditutup. Saya menerima laporan melalui Twitter bahawa ada orang tidak dapat membeli “cangkuk” untuk bilik airnya dari DIY kerana bahagian tersebut telah ditutup.

16.Bagaimanakah orang hendak memasak di rumah sekiranya perkakasan (seperti periuk nasi dan cerek) mereka rosak, memandangkan kedai barangan elektrik tidak dibuka dan bahagian perkakasan elektrik di pasaraya juga ditutup.

Perkakasan rumah seperti periuk nasi dan cerek tidak kekal selama-lamanya. Sesetengah orang mungkin berhadapan dengan masalah litar pintas semasa PKP Penuh akibat menggunakan terlalu banyak elektrik. Tetapi mereka tidak boleh membeli gantian kepada perkakasan ini di sesetengah pasaraya kerana bahagian penjualan perkakasan ini telah ditutup. Memanglah sesetengah barangan ini boleh dibeli secara atas talian, tetapi penghantaran biasanya memakan masa beberapa hari dan untuk sesetengah kawasan separa luar bandar, mereka lebih biasa membeli barangan ini daripada kedai fizikal.

17.Kita tidak tahu bagaimana syarikat yang bukan berada dalam sektor penting boleh terus menjaga pusat data mereka sekiranya berlaku kecemasan.

Saya dimaklumkan mengenai sebuah syarikat yang berada dalam sektor tidak penting tetapi mempunyai sebuah pusat data yang penting yang memproses maklumat penting untuk sektor perkhidmatan kewangan. Untuk syarikat-syarikat ini, mereka perlu mempunyai seorang atau dua orang untuk sentiasa bersedia untuk menjaga pusat data ini dalam keadaan kecemasan atau sekiranya berlaku kerosakan. Adakah MDEC, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang bertanggungjawab ke atas operasi pusat data, sedar mengenai isu ini?

18.Kita tidak faham mengapa sesetengah syarikat diberikan surat kelulusan oleh MITI tetapi apabila kod QR mereka diimbas oleh pihak polis, butirannya menunjukkan yang syarikat ini berada dalam industri tidak penting.

Perkara ini agak sedikit teknikal tetapi penting untuk memastikan syarikat dan kakitangan mereka tidak didenda secara tidak adil. Sesetengah syarikat yang disenaraikan sebagai perkhidmatan penting secara tiba-tiba kini mendapati yang mereka TIDAK diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting apabila kod QR pada surat MITI mereka diimbas oleh pihak berkuasa, termasuklah pihak Polis. Perkara ini bermakna kakitangan syarikat yang menerima surat sebegini berpotensi didenda ribuan ringgit kerana ingkar PKP Penuh. Lampiran 1 menunjukkan maklumat daripada seorang pakar mata yang TIDAK diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting dalam imbasan kod QR walaupun surat kebenaran daripada MITI telah pun dikeluarkan untuk membenarkan mereka meneruskan operasi.

19.Kita masih tidak dapat memahami mengapa aktiviti jogging dibenarkan tetapi aktiviti berbasikal dilarang.

Saya menghargai hakikat bahawa aktiviti jogging dan senaman bersendirian di kawasan perumahan masih dibenarkan. Tetapi saya tidak faham mengapa aktiviti berbasikal tidak dibenarkan, terutamanya sekiranya mereka berbasikal dalam radius 10km daripada rumah mereka. Tambahan lagi, sesetengah orang berbasikal ke tempat kerja (termasuklah pekerja kilang dalam kawasan Parlimen saya) dan sesetengah orang berbasikal ke pasar pagi untuk membeli barangan runcit. Adakah mereka akan didenda oleh pihak penguatkuasa?

20.Kita masih belum dapat mendengar taklimat sidang media bersama mengenai sektor-sektor di bawah bidang kuasa daripada menteri-menteri berikut — MITI, Hal Ehwal Dalam Negeri, Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi dan Multimedia, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (antara beberapa yang dinamakan).

Saya tidak pasti sama ada arah telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri untuk melarang mana-mana Menteri selain daripada Ismail Sabri untuk mengadakan sidang media berkenaan PKP Penuh. Tetapi memandangkan dengan kekeliruan semasa mengenai SOP pelaksanaan PKP Penuh ini, bukankah para menteri ini sepatutnya mengadakan sidang media bersama untuk menjelaskan perkara-perkara di atas? Kita semua menunggu perkara ini untuk berlaku.


[6]https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/06/07/radzi-home-based-learning-to-continue-until-further-notice


[5]https://application.mot.gov.my/


[4]https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/06/04/sale-of-non-essential-items-deputy-minister-says-ok-for-cigarettes-to-be-so/1979618

[3]https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/18/six-die-from-methanol-poisoningworkers-suffer-fate-after-drinking-illegal-liquor-laced-with-bad-subs


[2]https://www.malaysiakini.com/news/577861


[1]https://www.malaysiakini.com/news/57729