Pemberian dana kerajaan berjumlah RM19 juta oleh KBS kepada NGO yang dikawal oleh MIC adalah sama sekali tidak dapat diterima dan tidak beretika

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 Mac 2016

Pemberian dana kerajaan berjumlah RM19 juta oleh KBS kepada NGO yang dikawal oleh MIC adalah sama sekali tidak dapat diterima dan tidak beretika

Dalam jawapan balas pada 8 Mac 2016 kepada soalan dari Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, berhubung keberkesanan program penanaman cili yang dijalankan oleh NAAM dan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada NAAM, telah didedahkan bahawa wang berjumlah RM19 juta diberi kepada Yayasan NAAM melalui Kementerian Belia dan Sukan (Lihat Lampiran 2).[1]

Yayasan NAAM atau New Affirmative Action Movement merupakan sebuah syarikat berdaftar yang diketuai oleh Timbalan Menteri KBS, M. Saravanan.[2] Lembaga pengarah / pemegang amanah syarikat termasuklah Krishnan A/L Letchumanan atau L. Krishnan (mantan Ahli Parlimen MIC bagi Teluk Kemang[3] Mathuraiverna A/L Marimuthu atau M. Marimuthu (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC)[4] dan Selva Kumar A/L Mookiah (Penasihat Undang-Undang MIC)[5]. (Lampiran 1)

Pemberian dana kerajaan kepada sebuah NGO yang dikuasai oleh parti politik adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak beretika. Kita dapat bayangkan kemarahan yang akan timbul jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan dana kerajaan kepada NGO yang dikawal oleh DAP dan bebas menggunakan dana tersebut bagi menjalankan aktiviti politik. SPRM juga pasti akan diminta untuk menyiasat NGO tersebut dengan serta merta.

Memorandum persefahaman Ikrar Integriti Korporat yang ditandatangani oleh Menteri KBS dan Yayasan NAAM pada Mei 2014 tidak menjadikan penyalahgunaan dana kerajaan ini lebih mudah diterima.[6] Pendedahan penyelewengan melibatkan dana RM107 juta di KBS menunjukkan bahawa penyalahgunaan dana dan rasuah boleh berlaku di bawah mata Menteri sendiri. Apatah lagi apabila syarikat yang terlibat ini tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara dan tidak di bawah kawalan KBS? Selepas lebih daripada dua tahun selepas pendaftaran, Yayasan NAAM hanya mempunyai laman web asas dan meskipun ianya merupakan sebuah yayasan yang dikatakan mendekati golongan muda, ia langsung tidak mempunyai akaun Facebook mahupun Twitter.[7]

Saya menggesa Menteri KBS, Khairy Jamaluddin untuk menerangkan mengapa dana di Kementerian beliau diberikan kepada NGO yang dikawal oleh MIC, serta memberi jaminan bahawa tiada sebarang dana kerajaan disalahgunakan oleh Yayasan NAAM.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Lampiran 1: Senarai Nama Pengarah Yayasan NAAM

Appendix 2: Jawapan Parlimen tentang pemberian dana RM19 juta dari Kerajaan Persekutuan kepada Yayasan NAAM

[1] Menurut laporan ini, geran RM37 juta telah diberi kepada Yayasan NAAM http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/04/30/naam-aims-to-give-indian-youth-a-lift/

[2] http://www.naam.org.my/v1/index.html

[3] http://www.lions308b1.org/home/our-district/district-governor/

[4] http://www.mic.org.my/about-us/leadership/cwc

[5] http://www.mic.org.my/news-events/press-statements/2014/press-statement-mr-selva-mookiah-legal-advisor-malaysian-indian

[6] http://www.kbs.gov.my/my/ucapan-menteri-kbs.html?download=11:majlis-menandatangani-memorandum-persefahaman-dan-ikrar-integriti-korporat-oleh-yayasan-naam-dan-kementerian-belia-dan-sukan and http://www.pemandu.gov.my/gtp/upload/NAAM_KBS_CIP_Press_Statement_PEMANDU.pdf

[7] Terdapat akaun Facebook untuk Persatuan NAAM Wilayah Persekutuan (https://www.facebook.com/NAAMWP) dan akaun Twitter untuk NAAMWP (@naamwp) tetapi tiada akaun untuk yayasan atau pertubuhan tersebut di peringkat nasional.

Soalan kepada Khairy Jamaluddin berhubung siasatan SPRM terhadap isu rasuah besar yang melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 21 Mac 2016

Soalan kepada Khairy Jamaluddin berhubung siasatan SPRM terhadap isu rasuah besar yang  melibatkan pegawai Kementerian Belia dan Sukan

Saya berasa amat terganggu ekoran membaca laporan berhubung pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan skandal penyelewengan RM100 juta oleh seorang pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).[1] Saya difahamkan Menteri KBS, Khairy Jamaluddin, akan mengadakan sebuah sidang media di Kementerian beliau pada jam 10 pagi ini berkenaan skandal ini. Melihat kepada betapa seriusnya kes penyiasatan ini, yang merangkumi penyitaan aset bernilai RM20 juta dan pembekuan wang berjumlah RM8.3 juta di dalam 69 akaun bank yang dimiliki oleh penjawat awam ini, saya meminta Menteri untuk menjawab soalan-soalan berikut bagi memberi pencerahan sewajarnya terhadap kes ini:

1) Adakah anda telah diberi taklimat oleh SPRM atau menerima sebarang maklumat daripada SPRM berhubung kes penyiasatan ini?

2) Adakah mana-mana individu yang ditahan oleh SPRM masih bekerja dengan KBS atau sebarang agensi yang berkaitan?

3) Adakah anda berpendapat bahawa masih terdapat pegawai di KBS mahupun agensi berkaitan yang akan ditahan oleh SPRM susulan daripada siasatan ini?

4) Adakah anda berpendapat bahawa terdapat pegawai di Kementerian lain yang akan ditahan oleh SPRM susulan daripda siasatan ini?

5) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh KBS, sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

6) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

7) Adakah mana-mana syarikat yang disenaraikan oleh SPRM telah dibayar oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), sama ada secara langsung mahupun tidak, bagi kontrak dan / atau pembekalan perkhidmatan selepas anda menjawat jawatan Menteri di KBS?

8) Anda telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi pihak KBS sebagai inisiatif Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Memerangi Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada Mei 2014.[2] Bolehkah anda menjelaskan perubahan spesifik dalam proses pembelian dan pemberian kontrak dalam KBS sebagai sebahagian daripada CIP?

9) Ada pihak yang meneka bahawa individu utama KBS yang ditahan bagi membantu siasatan adalah Setiausaha Bahagian Kewangan, Otman bin Arshad. Bolehkah anda menerangkan secara terperinci proses di mana Otman meluluskan bayaran oleh KBS dan agensi berkaitan kepada syarikat yang mempunyai kontrak, sama ada dianugerahkan secara langsung atau tidak langsung oleh KBS mahupun agensi berkaitan?

10) Ada pihak yang meneka bahawa dalang di sebalik skandal ini adalah bekas Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Mohid bin Mohamed, yang kini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi) di Kementerian Multimedia dan Komunikasi. Beliau merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab terhadap perbelanjaan KBS untuk program-program yang penuh kemusykilan, termasuklah konsert K-Pop pada Hari Belia Negara tahun 2012.[3] Beliau kerap menjadi sasaran di blog-blog yang membayangkan peranan beliau dalam rasuah dan penyelewengan di KBS.[4] Adakah anda sedar akan tuduhan-tuduhan ini dan adakah anda telah menukar sebarang Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani tuduhan dan kelemahan tersebut?

11) Salah sebuah syarikat yang dinamakan oleh Jawatankausa Kira-kira Parlimen berhubung konsert K-Pop dan perbelanjaan berkaitan Hari Belia Negara adalah Stadium First Sdn. Bhd. Syarikat ini juga disenaraikan dalam salah sebuah blog yang menuduh Dato’ Midin bin Mohamed dan Otman bin Arshad (dan beberapa individu lain dalam KBS) sebagai terlibat dalam aktiviti penyelewengan. Adakah Stadium First Sdn. Bhd. masih menerima kontrak dari KBS atau sebarang agensi berkaitan selepas anda menjawat jawatan Menteri KBS?

Saya pasti orang awam akan berminat untuk mengetahui jawapan Khairy terhadap soalan-soalan ini beserta dengan butiran yang terperinci.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pegawai-kbs-songlap-rm100j-beli-kereta-audi-beg-hermes-cincin-cartier

[2] http://www.pemandu.gov.my/gtp/upload/NAAM_KBS_CIP_Press_Statement_PEMANDU.pdf

[3] http://www.parlimen.gov.my/images/webuser/pac/laporan%20pac/PAC21112013-DR1.pdf, http://accountable.sinarproject.org/people/mohid-mohamed

[4] http://rizalhashim.blogspot.my/2013/06/yb-kj-youve-been-forewarned.html?m=1, https://dupahang.wordpress.com/2012/06/03/ramai-bengang-rm10-juta-untuk-himpunan-belia/, http://anotherbrickinwall.blogspot.my/2015/01/shaberys-new-mcmc-appointee-under.html?m=1, http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2931

Dedahkan konsortium yang dianugerahkan hak membina ladang solar skala utiliti 150MW

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 27 Februari 2016

Dedahkan konsortium yang dianugerahkan hak membina ladang solar skala utiliti 150MW

Keputusan untuk menganugerahkan kontrak pembinaan loji janakuasa solar skala utiliti 50MW kepada 1MDB Solar Sdn Bhd pada Mei 2014 tanpa melalui sebarang proses tender adalah amat membingungkan, memandangkan 1MDB langsung tiada pengalaman dalam membina dan mengoperasi sebarang loji janakuasa solar.[1] Buat masa ini, loji janakuasa solar 50MW ini merupakan yang terbesar di negara ini. Mengikut laporan, 1MDB juga telah diberi hak untuk membina loji janakuasa solar skala utiliti berkapasiti sehingga 500MW.[2]

Proses pemberian kontrak-kontrak bagi pembinaan loji-loji janakuasa solar skala utiliti ini adalah langsung tidak konsisten dengan proses pemberian kuota tarif galakan (FiT) bagi pemasangan solar skala kecil (kurang daripada 425 kWh), di mana FiT dianugerahkan melalui pengundian terbuka oleh Pusat Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Nampaknya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada pengajaran lepas. Pada hujung bulan lepas, Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Lo Took Gee telah mengumumkan bahawa kontrak pembinaan loji janakuasa solar skala utiliti 150MW telah dianugerahkan kepada sebuah “konsortium yang kukuh dari segi kewangan dan teknikal” tanpa mendedahkan nama konsortium tersebut.[3] Dari sudut ketelusan, ini langsung tidak dapat diterima terutamanya apabila projek ini melibatkan loji janakuasa solar tiga kali ganda lebih besar daripada yang dianugerahkan kepada 1MDB.

Kini, sukar untuk mengelakkan waspada bahawa konsortium yang diberi hak kontrak loji janakuasa solar 150W ini berhubungkait dengan penjualan Edra Global Energy oleh 1MDB pada penghujung 2015. Yang lebih mengecewakan lagi, SEDA seolah-olah terputus daripada proses penganugerahan kontrak loji janakuasa solar skala utiliti ini walaupun ia mempunyai kuasa untuk menasihati Menteri dan melaksanakan dasar-dasar berhubung dengan tenaga boleh baharu melalui Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011.[4]

Demi ketelusan, saya menyeru Dr. Maximus Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) untuk mendedahkan identiti konsortium yang diberi kontrak ladang solar skala utiliti 150MW secara umum, dan untuk memastikan segala kontrak pembinaan ladang solar utiliti diberi melalui proses tender terbuka.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.thestar.com.my/business/business-news/2014/05/05/1mdb-plans-giant-solar-farm-it-is-believed-to-have-formed-a-joint-venture-with-tnb-and-a-us-firm-fo/

[2] http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/factual-clarification-on-50mw-solar-power-plant-in-kedah-1mdb-dusable-capit

[3] http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/01/27/call-for-more-solar-power-plants/

[4] Rujuk Seksyen 16 & 17 Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011