Adakan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum memperkenalkan skim insurans kesihatan nasional bagi mengelakkan satu lagi kemelut 1Care

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 28 Julai 2016

Adakan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum memperkenalkan skim insurans kesihatan nasional bagi mengelakkan satu lagi kemelut 1Care

Dalam beberapa hari yang lepas, Menteri Kesihatan Dr. S. Subramaniam[1] dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah[2] telah mengumumkan dan mengesahkan bahawa kerajaan bercadang untuk memperkenalkan skim insurans kesihatan nasional tidak lama lagi. Dr. Mohd Irwan lagi menyatakan bahawa rancangan ini akan dibentangkan dalam Bajet 2017, yang bermaksud butir-butiran rancangan ini akan dimuktamadkan selewat-lewatnya menjelang Oktober ini.

Saya masih ingat tindak balas awam yang hebat terhadap cadangan insurans kesihatan nasional 1Care yang dikemukakan pada tahun 2011 dan akhirnya terpaksa dibatalkan / ditunda. Memandangkan isu penjagaan kesihatan dan pembiayaan penjagaan kesihatan merupakan perkara yang amat rumit malahan ada banyak pilihan yang boleh digunapakai oleh negara, agak sukar untuk mempercayai bahawa kerajaan masih mengambil pendekatan top down dalam menghasilkan rancangan ini dan mengumumkan keputusannya kepada rakyat Malaysia tanpa membuat sebarang rundingan awam.

Seseorang pakar Ekonomi Kesihatan dari Harvard University, iaitu Profesor William Hsiao, telah pun bekerjasama dengan kerajaan bagi mereka bentuk skim insurans kesihatan.[3] Baru-baru ini, pertubuhan Joint Learning Network for University Healthcare Access dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, World Bank dan NGO lain telah mengadakan mesyuarat global di Putrajaya bagi membincangkan isu akses kesihatan dan berkongsi contoh dari pelbagai negara. [4] Saya pasti bahawa pihak berkepentingan yang berminat termasuk Ahli Parlimen Malaysia dengan latar belakang sektor kesihatan akan mendapat manfaat daripada perkongsian Profesor Hsiao dan mesyuarat JLN di Putrajaya. Namun, setahu saya, perkara ini tidak dijalankan.

Kesan daripada keputusan top down ini adalah ia akan menimbulkan banyak penyampaian maklumat yang salah dan spekulasi mengenai motif pelaksanaan skim ini apabila ia diumumkan kelak. Dengan ini, adalah mustahil untuk mengadakan perbincangan yang rasional dan perdebatan serta perbincangan berasaskan fakta terhadap isu ini.

Saya menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan untuk mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah Ahli Parlimen supaya butiran skim kesihatan ini dapat dibincangkan dan maklum balas dapat dikumpul sebelum ia diperkenalkan kepada rakyat. Kini masih belum terlewat untuk mengelakkan sebuah lagi kemelut 1Care.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2016/07/23/govt-may-run-national-health-insurance-scheme/

[2] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/treasury-sec-gen-says-looking-to-improve-br1m-programme

[3] https://www.hsph.harvard.edu/william-hsiao/

[4] http://www.worldbank.org/en/events/2016/07/20/joint-learning-network-for-universal-health-coverage-jln-global-meeting-2016#1

Ucapan Parlimen 26 Mei 2015 – Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11)

Ucapan RMK11 Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 26hb Mei 2015

Saya hendak menggunakan peluang ini untuk membangkitkan beberapa isu penting yang telah diabaikan oleh RMK11 yang saya harap akan dijawab oleh Menteri-Menteri berkenaan.

  • Pembekalan Tenaga / Energy Generation

Saya amat kecewa bahawa dokumen RMK11 tidak sebut langsung strategi terperinci untuk menuju ke arah menurunkan penggunaan tenaga bahan api fosil dan menuju ke arah penggunaan tenaga boleh baharu ataupun “renewable energy”.

Saya juga mendapati bahawa terdapat dasar-dasar yang bercanggah antara KeTTHA, Suruhanjaya Tenaga dan juga SEDA. Mengikut jawapan Parlimen yang saya dapat daripada KeTTHA pada sesi yang lalu, pembekalan sumber jana kuasa ataupun “generation fuel mix” bagi Semenanjung Malaysia adalah 62% arang batu, 29% gas, 4% hidro dan 3% tenaga boleh baharu pada tahun 2020. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga – bertajuk Peninsular Malaysia Electricity Supply Outlook 2014 – tenaga boleh baharu atau TBB dianggarkan akan menyumbang sebanyak 3.0% (ataupun 700MW) daripada jumlah kapasiti di Semenanjung Malaysia. Tetapi mengikut anggaran SEDA, 11% daripada jumlah kapasiti ataupun 2080MW akan dijanakan oleh TBB pada tahun 2020.

Continue reading “Ucapan Parlimen 26 Mei 2015 – Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK11)”