Bajet Alternatif Pakatan Harapan: Jawapan balas kepada kritikan (Bahagian 1)

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 2 November 2017

Bajet Alternatif Pakatan Harapan: Jawapan balas kepada kritikan (Bahagian 1)

Saya telah meneliti pelbagai komen dan ulasan terhadap Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas, serta Bajet Alternatif Pakatan Harapan 2018. Saya ingin mengambil peluang ini untuk membalas beberapa kritikan yang ditujukan kepada Bajet Alternatif Pakatan Harapan bermula dengan cadangan kami untuk menghapuskan GST.

Salah satu kritikan utama terhadap Bajet Alternatif Pakatan Harapan adalah ia tidak realistik atau bertanggungjawab kerana mencadangkan penghapusan GST. Berikut merupakan maklum balas saya terhadap beberapa kritikan tersebut:

1) Kritikan: Syarikat-syarikat telah membelanjakan jutaan ringgit bagi melaksanakan sistem GST. Bukankah duit tersebut dibazirkan jika GST dimansuhkan begitu sahaja?

Jawapan: Kita tidak akan memansuhkan sistem GST. Kesemua barangan yang tidak dikenakan cukai semasa perlaksanaan SST akan dijadikan barangan ‘sifar GST’. Kesemua barangan yang dikenakan cukai pada titik pengeluaran semasa perlaksanaan SST akan dikenakan kadar cukai yang sama pada titik pengeluaran. Kita akan menggunakan sistem GST yang sedia ada untuk mengutip cukai SST ini.

2) Kritikan: Mengapa anda menyatakan akan menghapuskan GST, sedangkan sebenarnya GST hanya ditukar ke kadar sifar?

Jawapan: Majoriti rakyat Malaysia tidak mengetahui makna ‘mengsifarkan’ GST atau perbezaan antara barangan ‘sifar GST’ dan barangan yang dikecualikan. Namun, kesan cadangan kita adalah pengguna tidak perlu membayar GST yang bermakna kita memang telah menghapuskannya.

3) Kritikan: Adakah harga barangan dan perkhidmatan akan turun akibat daripada penghapusan GST? Bukankah semasa perlaksanaan GST pada 2015 dan 2016, cukai GST telah diserap masuk ke dalam harga barangan dan perkhidmatan? Bukankah harga barangan dan perkhidmatan sebenarnya ‘kaku’ (lambat bergerak) untuk menurun?

Jawapan: Apabila kita memansuhkan GST, pengguna akan menjangkakan penurunan harga. Walau pun peruncit-peruncit tidak menurunkan harga sebanyak 6%, persaingan tetap akan timbul antara peruncit-peruncit untuk memberi diskaun bagi menarik pembeli. Penghapusan GST akan memberi tekanan untuk mengurangkan harga secara keseluruhannya.

Selain itu, dengan mengutip cukai yang sedikit (dengan berbalik ke sistem SST), kita secara langsung mahupun tidak langsung memulangkan semula duit tersebut kepada para pengguna dan peniaga, dan ini akan memberi kesan pengganda (multiplier) yang sihat terhadap ekonomi.

4) Kritikan: GST bukanlah begitu regresif memandangkan ada banyak barangan yang dikecualikan cukai dan / atau berkadar sifar!

Jawapan: Pertama, tanggapan bahawa banyak barangan asas dan perkhidmatan tidak dikenakan GST adalah tidak berapa tepat. Sebagai contoh, kerajaan mengatakan bahawa perkhidmatan perbankan dikecualikan dari GST. Namun pada hakikatnya, apabila anda melakukan transaksi atas talian semasa menghantar duit kepada kawan atau pekerja, anda perlu membayar 6% GST ke atas kos transaksi itu. Jika anda dicaj untuk mengeluarkan duit melalui mesin MEPS ATM, anda juga perlu menanggung 6% GST atas caj tersebut. Sebenarnya, ada banyak barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sedangkan ramai yang beranggapan bahawa tiada GST terhadap barangan dan perkhidmatan tersebut.

Kedua, walau pun sesuatu barangan dikecualikan GST, ia tidak bermakna bahawa harganya tidak akan meningkat selepas GST diperkenalkan. Sebagai contoh, walaupun harta kediaman dikecualikan GST, ini hanya bermakna bahawa pemaju tidak boleh mengenakan cukai 6% ke atas harga jualan akhir harta itu. Bahan binaan dan kos pakar yang digunakan untuk pembinaan masih tertakluk kepada GST. Ini bermakna kos GST sebenarnya telah dimasukkan ke dalam harga jualan akhir harta tersebut.

Dalam kes di mana kos GST tidak boleh dikenakan terhadap pengguna seperti mengikut pekeliling harga, maka pihak lain yang akan terpaksa menanggung kos tersebut. Sebagai contoh, pengangkutan awam seperti tambang teksi tidak dikenakan GST. Namun kos penyelenggaraan teksi dan polisi insuran adalah tertakluk kepada GST. Ini bermakna pemandu teksi atau syarikat teksi (kurang mungkin) yang perlu menyerap kos tersebut.

5) Kritikan: Penghapusan GST memudahkan individu dan syarikat untuk mengelak cukai

Jawapan: Kita masih akan menggunakan sistem GST untuk mengutip cukai berdasarkan sistem SST. Maka, sistem laporan sama yang sepatutnya meningkatkan ketelusan cukai masih akan diguna pakai.

Pada masa yang sama, GST bukanlah satu jaminan bahawa aliran wang haram ke luar negara  (salah satu cara mengelak cukai) akan berkurangan. Malaysia disenaraikan di tangga lima teratas dunia dari segi aliran wang haram oleh badan penyelidik Global Financial Integrity (GFI).[1] Tiga daripada negara lain adalah Russia, Mexico dan China yang juga mempunyai sistem GST atau cukai tambah nilai ketika kajian dijalankan. Apa yang diperlukan untuk mengurangkan aliran wang haram ini adalah sebuah kerajaan yang komited terhadap ketelusan dan tidak dipengaruhi oleh agenda dan kepentingan sendiri terutamanya jika melibatkan berbilion Ringgit haram yang masuk keluar dari akaun peribadi.

Salah seorang pengulas telah mendakwa bahawa GST akan mengurangkan kemungkinan syarikat untuk mengelak pembayaran cukai dengan memindahkan keuntungan mereka ke negara yang rendah kadar cukai.[2] Walau pun Ireland mempunyai kadar cukai tambah nilai 23%, namun kadar cukai korporatnya yang rendah pada tahap 12.5% tetap menarik syarikat-syarikat multinasional untuk menindahkan keuntungan ke negara tersebut. Kesatuan Eropah (EU) telah cuba untuk mengurangkan amalan sebegini di mana syarikat-syarikat mendapatkan pengurangan cukai daripada negara-negara di mana cukai korporat rendah[3], namun ini hanya dapat dilakukan kerana terdapat rangka institusi di EU yang mempunyai kuasa undang-undang, dan bukan disebabkan oleh GST. Tiada rangka sebegini di ASEAN, maka jika kerajaan hendak mengejar syarikat yang menyimpan keuntungan mereka di Singapura kerana kadar cukai korporatnya yang rendah, iaitu 17%, saya sudah pasti teruja untuk mengetahui hal ini.

6) Kritikan: GST memperluaskan asas pencukaian. Jika GST dihapuskan, asas pencukaian akan dikecilkan

Jawapan: Adalah benar bahawa GST memperluaskan asas pencukaian negara dengan mengenakan cukai terhadap lebih ramai individu berbanding dengan cukai pendapatan peribadi. Hanya 15% hingga 20% golongan pekerja yang membayar cukai pendapatan peribadi sedangkan GST dikenakan kepada semua orang melalui semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan. Namun, ini adalah sebab mengapa GST dikatakan sebagai cukai regresif kerana ia mengalihkan beban bayaran cukai daripada golongan yang mampu kepada semua lapisan masyarakat, di mana majoriti daripada mereka tidak meraih pendapatan yang mencukupi untuk dikenakan cukai pendapatan. 

Walaupun begitu, hujah bahawa perlaksanaan GST memperluaskan asas cukai tidak semestinya tepat dalam konteks Malaysia. Secara teori, perlaksanaan GST dan pengurangan cukai pendapatan peribadi sepatutnya mengurangkan peratusan keseluruhan hasil yang dikumpul melalui cukai pendapatan. Namun, apa yang berlaku adalah peratusan keuntungan yang dikumpul melalui cukai pendapatan telah meningkat daripada 11.1% pada 2014 (sebelum GST) kepada 13.4% keseluruhan hasil pada 2018. Ini berlaku walaupun adanya pengurangan 2% cukai pendapatan di kalangan golongan berpendapatan antara RM 20,000 dan RM 70,000. Jumlah keseluruhan cukai pendapatan yang dikumpul dijangka akan meningkat sebanyak 7%, iaitu daripada RM 30.1 bilion pada 2017 kepada RM 32.2 bilion pada 2018. Walaupun sebahagian daripada kenaikan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan gaji dan bonus pada 2018, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa LHDN mungkin akan menggunakan strategi yang lebih agresif untuk mendapatkan bayaran cukai tertangguk seperti yang dilaporkan oleh Edge Financial Daily pada 30 Oktober 2017 (Lihat Rajah 1).

Rajah 1: “Pegawai cukai memburu lebih ramai pengelak cukai”, The Edge Financial Daily, 30 Oktober 2017

Seorang pengkritik telah mendakwa bahawa GST akan membolehkan kita mengenakan cukai lebih terhadap mereka yang berbelanja mewah. Beliau memberi contoh bahawa dengan adanya GST, lebih daripada RM6 juta boleh diperoleh daripada hasil jualan cincin permata berharga lebih daripada RM100 juta. Mungkin beliau terlupa bahawa jika cincin tersebut (atau barangan mewah lain) dibeli di luar negara, Malaysia tidak boleh mengenakan GST terhadap cincin tersebut.

7) Kritikan: GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Jawapan: Ini memanglah sebab mengapa Pakatan Harapan begitu komited untuk menghapuskan GST. Dalam keadaan kepayahan ekonomi atau jika kerajaan terpaksa meningkatkan pendapatan tambahan untuk ‘bailout’ dan belanjawan mega bagi projek infrastruktur, cara paling mudah adalah dengan meningkatkan GST berbanding memotong perbelanjaan lain. Meningkatkan GST sebagai pendapatan tambahan negara akan mengenakan kesan buruk terhadap golongan kurang berkemampuan memandangkan golongan inilah yang paling terjejas oleh peningkatan harga. Adakah akan ada sesiapa yang terkejut jika BN terpaksa meningkatkan kadar GST jika mereka memenangi PRU ke-14 dan memerlukan wang tambahan bagi membayar kos 1MDB atau ECRL?

8) Kritikan: Bagaimana dengan lebih dari 100 negara lain yang telak melaksanakan GST?

Jawapan: Negara-negara yang telah melaksanakan pencukaian GST boleh dikategorikan kepada dua. Kategori pertama adalah negara maju di mana majoriti golongan pekerja memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk membayar cukai pendapatan. Pengalihan beban cukai daripada pembayar cukai pendapatan kepada pengguna tidak mempuyai kesan besar terhadap mereka, memandangkan majoriti daripada penduduk cukup kaya untuk menyerap cukai nilai tambah.

Bagi kebanyakan negera membangun, sistem kutipan cukai masih lemah untuk mengutip jumlah keuntungan yang mencukupi daripada cukai pendapatan dan cukai korporat. Oleh itu, perlaksanaan GST merupakan satu cara untuk mempertingkatkan sistem kutipan cukai mereka dan juga merupakan cara untuk memperoleh pendapatan tambahan.

Malaysia masih belum cukup kaya untuk dikategorikan dalam negara maju terutamanya dari segi peratusan penduduk yang cukup pendapatan bagi membayar cukai pendapatan. Namun kita bernasib baik kerana adanya sistem kutipan cukai yang cukup cekap melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam. Dengan ini, Malaysia mempunyai pilihan untuk menangguhkan perlaksanaan GST sehingga status negara maju dicapai. Kewangan kerajaan masih utuh sebelum GST, dan tiada sebab untuk berfikir kita tidak dapat bertahan tanpa GST di bawah kerajaan baru dengan adanya mandat untuk mengurangkan pembaziran serta amalan rasuah.

9) Kritikan: Kebanyakan pakar ekonomi dan pencukaian bersetuju bahawa perlaksanaan GST merupakan sesuatu yang bagus. Adakah mereka silap?

Jawapan: Kebanyakan pakar pencukaian bekerja dengan firma audit seperti PwC dan Ernst & Young. Mereka akan mendapat manfaat daripada perlaksanaan GST dari kerana akan dicari ramai untuk nasihat pencukaian dan perkhidmatan pengauditan mereka. Kurang kemungkinan untuk mereka bersuara menentang perlaksanaan sebuah dasar yang boleh menguntungkan mereka.

Majoriti pakar ekonomi mengikut teori konvensional berhubung pencukaian yang telah disebut di atas. GST merupakan cukai asas-luas yang lebih efisien berbanding jenis cukai lain. Namun majoriti pakar ekonomi kurang bercakap tentang kesan rasuah terhadap kewangan kerajaan. Kurang teori ekonomi konvensional berhubung perkara ini  kecuali untuk menyatakan bahawa rasuah memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan kerajaan. Soalannya, berapa banyak? Adakah ahli ekonomi telah menganggarkan berapa banyak penjimatan yang dapat diperoleh melalui pengurangan rasuah dan pembaziran dalam kerajaan? Pada pengetahuan saya, data sebegini masih belum ada di Malaysia. 

Perlu diingat bahawa kebanyakan pakar pencukaian dan ahli ekonomi berada di peratusan 20 teratas dari segi pendapatan dan golongan ini kurang merasai beban daripada perlaksanaan GST berbanding golongan pendapatan bawah 40 (B40).

10) Kritikan: Kita tidak berdaya menyingkirkan GST kerana jurang kewangan yang terlalu besar untuk dirapatkan.

Jawapan: Kami telah menunjukkan dalam Bajet PH bahawa pembaziran dan rasuah dapat dipotong sebanyak RM20 bilion yang hampir dapat menutup jurang kewangan RM25 bilion akibat daripada penghapusan GST dan penukaran semula ke cukai SST.

Namun memandangkan ini merupakan topik penting, saya akan menerangkan maklumat ini dalam kenyataan media yang lebih lanjut.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

[1] http://www.gfintegrity.org/issues/data-by-country/

[2] https://www.malaysiakini.com/columns/400124

[3] https://www.cnbc.com/2016/08/30/european-union-orders-ireland-to-recover-up-to-14-billion-in-back-taxes-from-apple.html

Ekonomi Pulau Pinang sihat dan kukuh dengan adanya peningkatan pendapatan serta penurunan ketidaksamaan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ketua Penang Institute di Kuala Lumpur merangkap Ahli Parlimen Serdang pada 13 Oktober 2017

Ekonomi Pulau Pinang sihat dan kukuh dengan adanya peningkatan pendapatan serta penurunan ketidaksamaan[1]

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada baru-baru ini menunjukkan sebuah realiti yang sudah pun diketahui oleh rakyat Pulau Pinang. Ekonomi Pulau Pinang sedang kuat berkembang dan mengalami kadar pengangguran yang rendah, peningkatan pendapatan secara keseluruhannya, dan juga penurunan ketidaksamaan. Kajian menyeluruh terhadap data ekonomi Pulau Pinang mendapati bahawa negeri tersebut merupakan antara negeri berprestasi tinggi dalam hampir semua indikator ekonomi yang penting.  

KDNK Per Kapita bagi Pulau Pinang pada 2016 (harga semasa) adalah RM 47,322, iaitu kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan lebih tinggi daripada Selangor (RM 44,616), Melaka (RM 41,363) dan Johor (RM 31,952). (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: KDNK Per Kapita mengikut negeri pada 2016 (harga semasa) (Ringgit Malaysia)

Pertumbuhan KDNK sebenar Pulau Pinang adalah 5.6% pada 2016, 5.5% pada 2015 dan 8% pada 2014 (Lihat Rajah 2). Pertumbuhan KDNK sebenar ini meletakkan negeri tersebut di tangga kedua pada 2014, kelima pada 2015 dan ketiga pada 2016. Pulau Pinang dan Selangor merupakan dua negeri yang berada dalam kedudukan lima teratas dari segi pertumbuhan KDNK sebenar dari 2014 hingga 2016.

Rajah 2: Pertumbuhan KDNK sebenar mengikut negeri, 2014 hingga 2016

Kadar pengangguran Pulau Pinang adalah 2.1% pada 2016 dan merupakan yang kedua terendah dalam negara selepas Melaka (0.9%) (Lihat Rajah 3). Ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat sebilangan kilang yang telah menutup operasi baru-baru ini, pasaran pekerjaan di Pulau Pinang masih berdaya saing berikutan kemasukan pelaburan baru dan nilai tambah tinggi.

Rajah 3: Kadar pengangguran (%) mengikut negeri pada 2016

Bagi tahun 2016, pendapatan isi rumah Median dan Min bagi Pulau Pinang adalah RM 5,409 dan RM 6,771 yang memberikannya kedudukan tangga kelima di belakang KL, Selangor, Johor dan Melaka (lihat Rajah 4).

Rajah 4: Min dan Median bagi pendapatan isi rumah mengikut negeri, 2016

Jika kita mengkaji pendapatan isi rumah per kapita, iaitu pendapatan isi rumah dibahagikan dengan bilangan anggota dalam setiap rumahtangga, didapati bahawa Pulau Pinang berada pada kedudukan ketiga dengan angka median dan min per kapita bagi pendapatan isi rumah RM 1,595 dan RM 2,402 masing-masing (di belakang Selangor dan KL) (Lihat Rajah 5).

Rajah 5: Min dan Median pendapatan per kapita isi rumah mengikut negeri, 2016 (RM)

Pada masa yang sama, Pulau Pinang telah mengalami kejatuhan pekali Gini (ukuran ketidaksamaan pendapatan) yang kelima terbesar iaitu sebanyak 0.008, dari 0.364 (2014) ke 0.356 (2016) (Lihat Rajah 6 di bawah). Terdapat 5 buah negeri lain di mana pekali Gini mereka, yakni tahap ketidaksamaan di negeri-negeri tersebut, telah bertambah buruk dari 2014 hingga 2016, iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Johor (Lihat Jadual 1 di bawah). (Pekali Gini yang lebih tinggi menandakan tahap ketidaksamaan yang lebih tinggi.)

Rajah 6: Pekali Gini 2014 hingga 2016 mengikut negeri

Jadual 1: Pekali Gini dan perubahan dalam Pekali Gini pada 2014 hingga 2016

Ringkasnya, dalam hampir kesemua laporan data ekonomi di atas, Pulau Pinang menduduki tangga ketiga teratas dan paling buruk adalah di tangga kelima. Asas ekonomi Pulau Pinang sememangnya adalah kukuh, mampan dan saksama.

[1] Kesemua statistik yang dirujuk dalam kenyataan media ini adalah dari Jabatan Perangkaan Statistik Malaysia (DOSM)

Pakatan Harapan (PH) memberi tawaran yang lebih adil dan lebih mampan kepada KTMB dan pekerjanya

Kenyataan Media oleh Pakatan Harapan pada 9 Ogos, 2017

Pakatan Harapan (PH) memberi tawaran yang lebih adil dan lebih mampan kepada KTMB dan pekerjanya

Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA) adalah perjanjian antara KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di mana semua aset tanah dan ‘rolling stock’ KTMB akan dipindahkan ke RAC. Proses perjanjian ini sepatutnya diselesaikan pada tahun 2018.[1]

Pakatan Harapan menentang RNAA atas sebab-sebab berikut:

(i) Ini merupakan pintu belakang bagi kerajaan untuk memberi akses kepada syarikat kroni yang akan menggunakan rangkaian rel untuk mengambil alih perkhidmatan KTMB termasuk dalam perkhidmatan ‘freight and haulage’ yang terdiri daripada 42% jumlah hasil KTMB (RM216 daripada RM516 juta dalam Tahun Kewangan 2015).

(ii) Ini akan meningkatkan kos operasi untuk KTMB kerana RAC akan mengenakan caj kepada KTMB untuk penggunaan ‘rolling stock’.

(iii) RAC, dengan hanya 38 pekerja, tidak berkeupayaan untuk mengurus asetnya dengan baik termasuk penyelenggaraan stok dan trek. Kemungkinan besar tanggungjawab ini akan dikontrakkan kepada syarikat kroni lain.

KTMB telah mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM855 juta dari tahun 2009 hingga 2015 kerana harga tiket yang rendah dan kontrak perolehan yang mahal. Sebagai contoh, KTMB membazirkan RM85 juta untuk kontrak sistem ‘Automatik Fare Collection’ (AFC) yang tidak dapat dilaksanakan. Pada awal tahun ini, Presiden KTM ketika itu, Datuk Sarbini Tijan, diminta ambil cuti sambil menunggu siasatan dalaman mengenai tawaran perolehan yang bernilai berjuta-juta ringgit.[2]

RAC juga gagal memperolehi keuntungan. Ia telah mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM372 juta dari tahun 2009 hingga 2015. RAC tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk mengurus asetnya yang bernilai RM36 bilion (termasuk tanah) dengan baik. Kesilapan pengurusan pembayaran kontrak penyelenggaraan keretapi dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013.[3]

Pakatan Harapan menawarkan perjanjian yang lebih adil kepada KTMB dan 6000 pekerjanya termasuk:

1) Membatalkan RNAA antara RAC dan KTMB

2) Memindahkan aset di RAC ke KTMB sebagai cara untuk memaksimumkan nilai aset tersebut. Saiz kecil RAC menghalangnya daripada menambahkan pendapatannya daripada sumber seperti ‘Transit-Oriented Development (TOD)’, pengiklanan serta penjualan barangan (‘retail’). Aset-aset ini perlu dipindahkan ke KTMB dan KTMB mesti dibenarkan untuk menambahkan kepakarannya dalam bidang-bidang ini. Ini akan membolehkan KTMB untuk mencapai keuntungan dan juga untuk mengurangkan keperluan untuk meningkatkan harga tiket.[4]

3) Mengkaji semula kos dan kesesuaian projek East Coast Rail Link (ECRL). Aset-aset di bawah ECRL iaitu ‘rolling stock’, trek, tanah dan stesen, tidak akan dimiliki oleh RAC ataupun KTM. Sebaliknya, ia akan dimiliki oleh sebuah syarikat yang baru diwujudkan, Malaysia Rail Line (MRL) Sdn Bhd, yang 100% dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Ia telah dilaporkan bahawa perkhidmatan ECRL akan dijalankan oleh operator lain yang belum dinamakan lagi. Kos ECRL bukan sahaja sangat tinggi malahan kemungkinan besar operasinya akan diberikan melalui rundingan terus (‘direct negotiation’).

4) Melaksanakan tender terbuka untuk semua pembelian aset dan perkhidmatan oleh KTMB; dan

5) Tidak menswastakan KTMB

Dengan tawaran dasar-dasar baru tersebut, maka kita dapat mensasarkan KTMB menjadi sebuah syarikat yang kedudukan kewangannya kukuh dan berkeuntungan, memastikan para penngguna perkkhidmatan KTMB tidak dibebani peningkatan harga tambang keretapi dan juga menjamin kebajikan dan keselamatan ribuan pekerja KTMB pada masa akan datang.

Tan Sri Muhyidddin Yassin, Presiden BERSATU
Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang
Dato’ Abdullah Sani bin Abdul Hamid, Ahli Parlimen Kuala Langat
Dr. Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai

Gambar pemimpin Pakatan Harapan bersama dengan wakil Railwaymen Union Malaysia (RUM) termasuk Presiden RUM, Encik Abdul Razak

[1] http://www.theedgemarkets.com/article/transport-ministry-says-agreement-will-not-cost-4000-job-losses-ktmb

[2] http://tonypua.blogspot.my/2011/01/ktmb-rm85m-contract-to-company-without.html dan http://ongkianming.com/2015/08/22/press-statement-prime-minister-najib-should-look-at-the-failure-of-the-automatic-fare-collection-afc-system-rather-than-asking-for-new-ktm-ticket-counters-to-be-added/

[3] http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/01/11/rail-controversy/

[4] http://english.astroawani.com/business-news/highlights-auditor-generals-report-2013-series-2-37880