Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 30 September 2021

Yakinkan Ahli-ahli Parlimen dan juga rakyat mengenai aspek positif ratifikasi CPTPP berdasarkan dengan perkembangan terkini

Kita patut lihat permohonan baru-baru ini daripada UK, China, dan Taiwan untuk menyertai CPTPP sebagai satu tanda positif yang CPTPP adalah satu Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang berbaloi untuk disertai dari perspektif ekonomi. 

Sehingga hari ini, Malaysia masih belum meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perdagangan Antara-Pasifik (CPTPP) dan kerana itu jugalah, kita tidak mempunyai suara untuk menetapkan syarat untuk membenarkan permohonan baharu (dan pemohon di masa hadapan) untuk menyertai CPTPP. Sehingga hari ini, hanya lapan daripada 11 negara telah meratifikasikan CPTPP, termasuklah dua jiran ASEAN kita, iaitu Singapura dan Vietnam. Hanya Malaysia, Brunei, dan Chile yang belum meratifikasikan perjanjian ini.

Memandangkan beberapa pindaan undang-undang perlu diluluskan di Parlimen untuk meratifikasi CPTPP, Menteri MITI mempunyai tanggungjawab untuk meyakinkan semua Ahli-ahli Parlimen daripada semua parti politik mengenai impak positif ratifikasi perjanjian ini yang akan melebihi daripada kesan tidak baiknya. Tindakan membina keyakinan ini perlulah merangkumi perkara seperti berikut:

  1. Menyenaraikan semua pindaan undang-undang yang perlu diluluskan di Parlimen untuk proses ratifikasi CPTPP demi ketelusan (sehingga hari ini, MITI belum menyenaraikan perkara ini lagi).
  2. Menjelaskan bagaimana pelaksanaan setiap pindaan ini akan membawa lebih banyak kesan positif kepada sektor tertentu ekonomi Malaysia dan juga kesan positif untuk keseluruhan negara, terutamanya dalam kalangan tenaga kerja dan pengguna. 
  3. Mengira potensi kebaikan untuk Malaysia dengan penyertaan baharu ke dalam CPTPP. Berapa banyakkah manfaat yang akan diraih Malaysia daripada penyertaan China ke dalam CPTPP memandangkan kita memang sudah ada perjanjian perdagangan bebas dengan China melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)? Bagaimana pula dengan UK dan Taiwan? Untuk memberikan penjelasan ini, MITI perlu mengemaskini analisis kos dan manfaat yang dilakukan untuk Perjanjuan Trans-Pasifik pada tahun 2015.
  4. Kaji bukti-bukti awal impak positif kepada ekonomi daripada negara-negara yang telah meratifikasi CPTPP ini, termasuklah dengan mengambil kira impak COVID19 kepada ekonomi global. 
  5. Jelaskan perbezaan di antara negara yang telah meratifikasikan CPTPP dan negara yang belum dari segi penyertaan pelbagai jawatankuasa CPTPP dan dalam kelima-lima suruhanjaya CPTPP yang mula bermesyuarat sejak 2019. 

Proses penjelasan manfaat perjanjian perdagangan bebas (FTA) kepada semua Ahli-ahli Parlimen ini adalah satu ujian yang penting terhadap kejujuran kerajaan Keluarga Malaysia ini dalam proses melibatkan semua orang. Satu permulaan yang baik adalah dengan mengadakan sesi libat urus bersama dengan Menteri MITI dengan penjelasan daripada Menteri mengenai pindaan-pindaan undang-undang Malaysia yang diperlukan untuk ratifikasi CPTPP. 

Saya sejujurnya berharap yang Menteri MITI tidak akan memandang ringan sokongan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terhadap ratifikasi perjanjian perdagangan bebas ini hanya kerana kami telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan.