Kisah pusat perlindungan gajah liar dan pengeluaran semikonduktor

Apakah persamaan antara pusat perlindungan gajah liar dan pengeluaran semikonduktor? Kedua-duanya memerlukan sumber air bersih demi kelangsungan. Pada minggu lepas, saya berpeluang melawat Loji Rawatan Air Sungai Dua yang dikendalikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang. Loji rawatan air ini menyalurkan lebih daripada 80% bekalan air yang digunakan oleh pengguna kediaman dan komersial di Negeri Pulau Pinang.

Sumber air bagi loji rawatan air Sungai Dua adalah dari Hutan Simpan Ulu Muda, dan saya telah menghabiskan beberapa hari di sana. Rizab tersebut juga merupakan kawasan tadahan air bagi Empangan Muda, Pedu dan Ahning. (Lihat rajah di bawah)

Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak pernah mendengar nama Ulu Muda, apatah lagi melawat khazanah kebangsaan ini. Ianya merupakan habitat kepada 50 hingga 60 ekor gajah Asia liar (anggaran jumlah keseluruhan di Semenanjung Malaysia adalah antara 1200 hingga 1600 ekor).

Saya bersyukur dapat melihat 2 kumpulan gajah pada petang pertama di Ulu Muda semasa kami menaiki bot yang perlahan-lahan menyusuri sungai. Selain daripada gajah Asia, Ulu Muda juga menjadi habitat kepada mamalia lain seperti tapir, rusa sambar, kijang, harimau bintang, beruang matahari, ungka dan juga lebih daripada 10 spesis burung enggang termasuklah Burung Enggang Tebang Mentua, Burung Enggang Papan dan Burung Enggang Badak (Kenyalang). Semasa menyusuri sungai pada waktu petang, kami menemui banyak kawanan burung enggang terbang dalam formasi yang gah.

Selain daripada haiwan-haiwan ini, terdapat banyak spesis tumbuhan dan serangga dalam hutan termasuklah pokok tualang yang boleh dipenuhi ratusan sarang lebah, dan pokok kundur dengan banir yang besar sekali (lihat rajah di bawah).

Yang sedih sekali, pembalakan hutan sekunder yang telah berlarutan selama bertahun-tahun kini semakin mendekati kawasan kritikal untuk habitat gajah, seperti jenut garam. Jenut garam adalah kawasan-kawasan di dalam hutan yang menghasilkan mineral yang sering dimakan gajah dan mamalia besar yang lain sebagai makanan tambahan mereka.


(Jenut Garam Ayer Hangat, iaitu satu-satunya jenut garam yang juga merupakan mata air panas. Najis gajah terdapat di sekeliling tempat tersebut.)

Kami juga telah menjumpai sesebuah jalan pembalakan lama di tebing empangan Muda. Ketika melawat ke kawasan di mana balak dikumpul sebelum dihantar keluar, kami menemui pelan jalan baru masuk jauh ke dalam hutan rizab Ulu Muda yang sangat hampir dengan eco-resort di mana kami tinggal.

Kegiatan pembalakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja memberi impak besar terhadap haiwan dan tumbuhan di Ulu Muda, malahan ia juga memberi kesan kepada kualiti sumber air penduduk di Kedah dan Pulau Pinang.

Kini, aktiviti pembalakan di pinggir Ulu Muda yang berterusan untuk bertahun-tahun telah pun menyebabkan sungai bertukar warna kepada warna coklat dan dipenuhi dengan pasir serta mendapan. Jika lebih banyak aktiviti pembalakan dibenarkan, besar kemungkinan bahawa kualiti dan kuantiti air yang diambil masuk oleh loji rawatan air Sungai Dua akan terjejas.

Sudah tentu kerajaan negeri Kedah akan berkata mereka memerlukan keuntungan daripada aktiviti pembalakan bagi mengisi tabung negeri. Salah satu cara kerajaan Kedah (atau mana-mana kerajaan negeri di Malaysia) boleh mendapat pampasan bagi pemeliharaan hutan adalah melalui dana antarabangsa melalui inisiatif Reduce Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD+). Sebagai contoh, dana boleh didapati melalui Forest Carbon Partnership Facility dan di Asia Tenggara, negara jiran kita iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam merupakan sebahagian daripada inisiatif ini tetapi Malaysia tidak. Kerajaan persekutuan perlu bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah kerangka UNFCCC, supaya jalan yang jelas dan telus ke arah mendapatkan pembiayaan daripada REDD+ boleh diperolehi. Kepimpinan yang teguh daripada kerajaan persekutuan dalam hal ini adalah sangat diperlukan memandangkan pihak dan syarikat yang tidak bertanggungjawab sedang cuba untuk menipu kerajaan negeri tertentu untuk menyertai skim-skim yang kononnya REDD+.

Loji semikonduktor, yang memerlukan sumber air yang bersih dan tetap, seakan-akan amat jauh daripada tempat perlindungan gajah di Ulu Muda. Namun sebenarnya, ia tetap merupakan sebahagian daripada ekosistem yang lebih besar. Pemeliharaan kawasan tadahan Ulu Muda yang merupakan sebahagian daripada habitat gajah adalah penting sekali dalam memastikan sumber air yang bersih dan berterusan bagi loji rawatan air di Pulau Pinang yang berada 200km di hiliran.

Perjanjian konsesi projek insinerator Kepong perlu didedahkan kepada umum

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 10 Februari 2017

Perjanjian konsesi projek insinerator Kepong perlu didedahkan kepada umum

Menurut laporan Edge Weekly (edisi 30 Januari – 5 Februari 2017), 3 syarikat telah disenarai pendek bagi projek kontroversi insinerator sisa pepejal kapasiti 1000 tan sehari di Taman Beringin, Kepong. Ketiga-tiga syarikat ini adalah Malaysia Resources Corp Bhd (MRCB) dengan kerjasama Hyundai Rotem Co dari Korea Selatan, Cenviro Sdn Bhd (terdahulu dikenali sebagai UEM Environment Sdn Bhd) dengan kerjasama Mitsubishi Heavy Industries Ltd dari Jepun dan DRB-Hicom dengan kerjasama Malakoff Corp Bhd serta Sumitomo Corp dari Jepun. Dilaporkan juga bahawa perjanjian konsesi untuk membina dan mengendalikan insinerator ini akan dianugerahkan pada Mac 2017.

Perjanjian konsesi di Malaysia seringkali memberi kelebihan kepada pemegang konsesi dengan mengorbankan kepentingan konsumer / pengguna, contohnya kontrak berat sebelah ERL yang membenarkan peningkatan harga secara tidak munasabah. Hakikat sebenar kontrak berat sebelah sebegini hanya ditemui setelah ianya ditandatangani, kebiasaannya apabila kerajaan terpaksa menerangkan mengapa mereka membenarkan peningkatan harga tol atau tiket tren yang tinggi dan tidak munasabah.

Insinerator ini akan merupakan yang terbesar di Malaysia. Namun, kita harus ingat bahawa insinerator berskala kecil di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan Cameron Highlands telah menemui kegagalan dan menyebabkan kos besar ditanggung oleh kerajaan pusat. Cara kontrak ini diberikan kepada XCN Techonolgy telah pun dipersoalkan oleh Ketua Audit Negara. Jika projek Insinerator Kepong ini menemui kegagalan, sudah pasti kos yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai adalah jauh lebih tinggi daripada projek berskala kecil yang dinyatakan di atas. Ini juga merupakan kali kedua tender projek insinerator Kepong ini dikeluarkan, kerana hanya terdapat sebuah sahaja syarikat yang mengemukakan penyerahan terakhir untuk tender kali pertama.

Bagi mengelakkan kesilapan lampau berulang kembali, saya menyeru Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan butiran perjanjian konsesi ini termasuk anggaran kos projek, bayaran ‘tipping fee’ yang dikenakan terhadap DBKL, keadaan jaminan sisa yang diberi kepada syarikat, berapa panjangnya tempoh konsesi, petunjuk prestasi dan terma yang membolehkan kerajaan mengambil alih jika projek tersebut gagal untuk dilaksanakan.

Tambahan lagi, Menteri perlu meyakinkan rakyat berhubung keperluan membina insinerator memandangkan KL telah mula melakukan pengasingan sisa, dan ini sepatutnya telah mengurangkan jumlah sisa yang perlu dilupuskan.

Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang bantahan daripada penduduk dan kemungkinan besar bahawa pembayar cukai di KL akan menanggung kos bagi satu lagi perjanjian yang berat sebelah.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Projek Sungai Nadi Kehidupan masih jauh dari sempurna

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Januari 2016

Projek Sungai Nadi Kehidupan masih jauh dari sempurna

Pada 11hb November 2015, saya telah menjalankan sebuah ekspedisi kayak untuk menelusuri Sungai Gombak yang merupakan sebahagian daripada projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life atau RoL).

Saya juga telah menulis 5 buah artikel pada Disember 2015 di Facebook berkenaan ekspedisi tersebut, yang kemudiannya telah disiarkan di Malaysiakini:

Bab 1: https://www.facebook.com/ongkianming/posts/932720763449651

Bab 2: https://www.facebook.com/ongkianming/posts/933071966747864

Bab 3: https://www.facebook.com/ongkianming/posts/933514563370271

Bab 4: https://www.facebook.com/ongkianming/posts/934347279953666

Bab 5: https://www.facebook.com/ongkianming/posts/934775849910809

Video ekspedisi selama 7 minit juga boleh didapati di laman berikut:

https://www.youtube.com/watch?v=gcV-9vfnR9c&feature=youtu.be

Pelancaran video ini merupakan sebuah peringatan yang tepat masanya bagi mengukur sejauh mana kemajuan projek Sungai Nadi Kehidupan ini, memandangkan bahawa Sungai Klang dan Sungai Gombak jelas agak jauh dari mencapai tahap Kelas IIB iaitu tahap yang sesuai bagi aktiviti rekreasi.

Pada minggu lepas iaitu 14hb Januari 2016 (Khamis), Jeffrey Lim yang merupakan salah seorang ahli daripada ekspedisi kayak saya telah menemui sejumlah besar ikan yang mati di sepanjang Sungai Klang ketika beliau menunggang basikal di sekitar Brickfielda. (Lihat Lampiran 1)

Jeff kemudian cuba mengesan punca ikan-ikan yang mati tersebut. Beliau telah merumuskan bahawa ikan-ikan yang mati itu telah berpunca dari hulu sungai berdekatan Kampung Pauh di Sungai Gombak. (Gambar-gambar berikut telah ditangkap beliau.)

Kematian ikan-ikan tersebut, yang besar kemungkinan disebabkan oleh pencemaran alam sekitar, amat membimbangkan kerana ramai penduduk di sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang menangkap dan memancing ikan di sungai untuk dimakan dan dijual. Ia merupakan perkara biasa untuk melihat pemancing menggunakan joran dan juga pukat untuk menangkap ikan di Sungai Gombak dan Klang. (Lihat Lampiran 2)

Saya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menyiasat perkara ini dan memastikan sama ada berlaku atau tidak pencemaran teruk di hulu Sungai Gombak yang menyebabkan kematian ikan-ikan. Jika tiada usaha yang dilakukan bagi mengawasi tahap pencemaran di Sungai Gombak dan Sungai Klang, maka sia-sia sahaja RM3.4 juta yang dibelanjakan bagi membersihkan sungai tersebut.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Lampiran 1: Ikan-ikan mati yang ditemui pada 14 Januari 2016

Lampiran 2: Pemancing di Sungai Gombak