Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 12 Oktober 2020

Penjadualan semula Banci 2020 adalah Langkah yang baik tetapi usaha yang lebih tegas perlu diambil sebagai penyediaan untuk banci secara bersemuka (“face to face”) pada awal tahun 2021

Banci, yang dilakukan setiap 10 tahun sekali, merupakan aktiviti pengumpulan data yang penting bagi negara. Maklumat bancian akan digunakan oleh agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan perancangan dan peruntukan dana. Sektor swasta juga akan menggunakan bancian untuk pelbagai tujuan termasuk merancang pembangunan perumahan dan kawasan membeli belah masa depan. Oleh yang demikian, amat penting untuk memastikan bahawa hasil banci 2020 adalah setepat mungkin. Malangnya, virus COVID 19 berpotensi untuk mengganggu pengumpulan maklumat untuk Banci 2020.

Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed, dan Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin, pada 5 Oktober 2020 bahawa bahagian Banci 2020 secara bersemuka akan dijadual semula ke 2021 adalah langkah yang sangat dialu-alukan . Pengumuman bahawa tarikh akhir e-census akan dipanjangkan dari 30 September 2020 ke 21 Disember 2020 juga merupakan langkah yang baik. Ini memandangkan situasi terkini di mana penularan tempatan kes COVID-19 semakin meningkat. Tetapi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang bertanggung jawab untuk Banci 2020, perlu menambah baik persediaan untuk mempersiapkan banci bersemuka yang akan berlangsung dari 20 Januari hingga 6 Februari pada tahun 2021.

Pada 4 Oktober 2020, hanya 3.25 juta penduduk atau kira-kira 10% telah direkodkan menggunakan E-Census 2020. Kadar tindak balas yang agak rendah ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk (i) Responden belum menerima ‘poskad’ dari DOSM dengan ‘kod jemputan’ untuk mengisi e-census (ii) Responden tidak mengetahui cara mengakses Laman web E-Census (iii) Responden tidak mengetahui cara mengisi bancian secara atas talian. Saya sendiri mengisi e-census untuk rumah tangga saya yang terdiri daripada 2 orang dan saya mengambil masa lebih dari setengah jam untuk mengisi bancian yang lebih daripada 100 soalan. Mereka yang belum mengisi E-CENSUS kemungkinan berasal dari kumpulan yang kurang selesa dengan penggunaan IT, dari generasi warga emas atau tinggal di kawasan luar bandar. Walaupun polisi untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk mengisi Banci secara elektronik adalah langkah yang positif, pada hakikatnya, sebahagian besar banci perlu diisikan secara bersemuka.

Menurut angka dari laman web Banci 2020, kebanyakan negeri dengan ramai penduduk di kawasan luar bandar mencatatkan kadar respons yang agak rendah kepada E-CENSUS termasuk Kelantan (4.1%), Sabah (4.3%), Terengganu (4.6%), Kedah (7.7 %), Pahang (8.5%) dan Sarawak (8.5%). (Lihat Jadual 1 di bawah). Pada masa yang sama, Selangor, negeri dengan penduduk yang terbesar di Malaysia (6.3 juta atau sekitar 20% penduduk negara), yang juga merupakan negeri dengan kadar urbanisasi yang tinggi, hanya mempunyai kadar respons 11.2% pada 4 Oktober 2020.

Walaupun dengan lanjutan tarikh akhir e-census sehingga 21 Disember 2020, kemungkinan besar sekurang-kurangnya 80% daripada 8 juta isi rumah di Malaysia akan mengisi Banci 2020 secara bersemuka (“face to face”). DOSM telah menetapkan tarikh 20 Januari hingga 6 Februari 2021 untuk penyiapan Banci 2020 secara bersemuka. [1] Dalam masa 17 hari dan sebanyak 6.4 juta isi rumah untuk tinjauan di seluruh negara, dianggarkan DOSM akan memerlukan sekurang-kurangnya 38,000 penghitung banci. [2] Untuk Sarawak sahaja, dianggarkan memerlukan 8000 penghitung banci. [3]

Jadual 1: % Isirumah yang telah mengisikan banci secara elektornik i.e. menggunakan E-CENSUS[4]

Sumber: https://www.mycensus.gov.my/index.php/media-2/press-release


Penghitung banci ini perlu diberi latihan seperti bagaimana menolong responden mengisi banci termasuk dalam bahasa selain Bahasa Malaysia (BM), jika perlu[5], dan mereka perlu juga dimobilisasi ke kawasan yang ditentukan.

Garis masa asal untuk menghabiskan banci secara bersemuka sepatutnya berlaku dari 7 Oktober hingga 24 Oktober 2020. Menjelang tarikh permulaan yang asal ini, pejabat saya mula menerima banyak mesej dari Pejabat Daerah Hulu Langat dan agensi lain mengenai pengambilan penghitung banci untuk jangka masa pendek. Saya tidak pasti sama ada kuota pengisi banci ini dapat diisikan tetapi DOSM akan menghadapi cabaran yang serupa untuk merekrut dan mengisi jawatan sementara ini pada tahun 2021.

Saya menyeru DOSM untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan termasuk mereka yang mencari pekerjaan untuk mengisi jawatan sementara ini. [6] Pengambilan penghitung banci harus bermula lebih awal lagi untuk mengelakkan permintaan pada saat-saat terakhir (“last minute requests) untuk mengisikan jawatan ini. Akhirnya, DOSM juga harus mempertimbangkan untuk memanjangkan jangka masa untuk banci bersemuka dari 17 hari kepada 24 hari atau lebih lama lagi kerana proses pengisian banci mungkin memerlukan waktu yang lebih lama kerana langkah keselamatan dan SOP akibat daripada COVID 19.



[1] 12Februari 2021 adalah hari pertama cuti Tahun Baru Cina

[2] Dengan andaian satu penghitung banci dapat meninjau sehingga 10 responden sehari (yang cukup optimis) atau 170 tinjauan selama 17 hari dan 6.4 juta isi rumah untuk ditinjau di seluruh negara.

[3] https://www.theborneopost.com/2020/02/19/8024-vacancies-as-enumerators-in-statistics-dept-available/

[4] https://ecensus.mycensus.gov.my/landing

[5] Selain daripada BM, Banci 2020 juga boleh diisikan dalam Bahasa Inggeris, Kadazan, Iban, Cina dan Tamil.

[6] Penghitung banci dibayar RM54 sehari.

RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020

Ucapan Parlimen – Contoh 5 orang yang tidak akan dibantu oleh RUU ini

Matlamat Akta ini adalah baik iaitu untuk membantu golongan mereka yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ataupun “Movement Control Order” (MCO) yang bermula pada 18 Mac 2020. Tetapi malangnya Fasal Kecualian ataupun “Savings” yang dinyatakan dalam Akta ini bermakna yang golongan yang sebahagian besar daripada golongan yang terjejas bukan sahaja tidak akan dibantu oleh Akta ini tetapi ada kemungkinan besar bahawa Akta ini akan menjadikan keadaan ekonomi mereka lebih teruk daripada keadaan dimana Akta ini tidak diperkenalkan.

Saya beri contoh LIMA individu / keluarga yang tidak akan dibantu oleh Akta ini…

PERTAMA, Penyewa Kedai di Kompleks Membeli Belah yang terpaksa ditutup semasa PKP / MCO dan tak mampu membayar sewa bulanan untuk 2 bulan. Kontrak sewa ini dibatalkan oleh Pemilik Kedai dan Deposit Penyewa Kedai dilucutkan dan digunakan untuk membayar sewa tunggakan. Tindakan ini telah diambil oleh Pemilik Kedai dan sekarang, kedai itu telah disewa kepada penyewa yang lain. Penyewa sebelum ini tidak mampu untuk membuka kedai di tempat yang lain kerana kehilangan pendapatan semasa PKP dan juga kehilangan deposit sewa yang dilucutkan.

Mengikut Fasal 10 Akta ini…

“Walau apa pun seksyen 7, mana-mana kontrak yang ditamatkan, mana-mana deposit atau bon pelaksanaan yang dilucut hak, mana-mana ganti rugi yang diterima, mana-mana prosiding undang-undang, timbang tara atau pengantaraan yang dimulakan, mana-mana penghakiman atau award yang diberikan dan mana-mana pelaksanaan yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac 2020 hingga tarikh penyiaran Akta ini hendaklah disifatkan telah ditamatkan, dilucut hak, diterima, dimulakan, diberikan atau dijalankan dengan sah”

Dengan izin, “there is no recourse for the renter who has already been evicted”…

Pemilik kedai juga tidak ada sebarang kewajipan untuk memberi diskaun 30% untuk mendapatkan manfaat potongan cukai seperti apa yang dicadangkan oleh kerajaan.

KEDUA, untuk syarikat penganjur acara yang telah menandatangani kontrak untuk menyewa ribuan khemah dan tandas mudah alih (“mobile toilets”) untuk acara larian yang terpaksa dibatalkan, selagi syarikat yang menyediakan khemah dan tandas mudah alih memulakan tuntutan undang-undang terhadap anda SEBELUM pewartaan akta ini, perlindungan yang diberikan oleh akta ini juga tidak boleh dipakai oleh syarikat penganjur. Bukan sahaja deposit yang dibayar oleh syarikat penganjur ini akan dilucutkan tetapi ada kemungkinan yang syarikat khemah akan menuntut bayaran ganti rugi daripada syarikat penganjur acara.

KETIGA, seorang pemilik syarikat PKS / SME yang mengalami kenaikan hutang dari RM30,000 ke RM70,000 akibat daripada penurunan bisnes semasa PKP / MCO dan tak mampu bayar balik hutang ini kerana aliran tunai ataupun “cashflow” terjejas akibat daripada PKP / MCO. Walaupun Seksyen 20 RUU ini meningkatkan ambang minimum hutang oleh penghutang sebelum pemiutang berhak untuk memulakan petisyen kebankrapan dari RM50,000 ke RM100,000 tetapi jikalau pihak pemiutang memulakan prosiding kebankrapan terhadap pemilik syarikat PKS ini SEBELUM akta ini berkuatkasa, Akta ini juga tidak terpakai. Bahkan, Fasal Kecualian di Akta ini berkemungkinan besar akan memberi insentif kepada pemiutang untuk memulakan prosiding kebankrapan secara ramai-ramai.

KEEMPAT, seorang penjaja di pasar malam telah membeli barangan dapur dengan cara pembayaran ansuran. Oleh kerana penutupan pasar malam semasa PKP, penjaja ini tak dapat berniaga dan tak dapat sebarang pendapatan dan tidak mampu membayar ansuran barangan dapur. Walaupun Fasal 23 RUU ini melindungi penjaja ini daripada penjual untuk mengambil balik milikan barangan yang terkandung dalam suatu perjanjian sewa beli di bawah seksyen 16 Akta Sewa Beli 1967, tetapi oleh kerana adanya Fasal kecualian iaitu Fasal 24, jikalau penjual mengambil tindakan mengambil balik milikan SEBELUM akta ini berkuatkuasa, maka penjaja ini juga akan terjejas dan terlepas daripada pelindungan yang sepatutnya diberikan oleh Akta ini.

KELIMA, seorang penyewa rumah yang juga pemandu e-hailing tidak dapat membayar sewa semasa PKP kerana kehilangan pendapatan. Oleh itu, pemilik rumah menghalau penyewa rumah ini dan menyewa rumah kepada orang yang lain. Akta ini tidak memberi sebarang pelindungan kepada penyewa rumah. Misalnya, tidak disebut bahawa penyewa dapat menangguhkan bayaran sewa semasa PKP ataupun deposit penyewa tidak boleh diambil oleh pemilik untuk pembayaran sewa.

Pada masa yang sama, pengubahan Akta DIstres 1951 di bawah RUU untuk menyekat pemilik rumah daripada merampas barang kepunyaan penyewa untuk membayar tunggakan sewa tidak terpakai jikalau tindakan perampasan in berlaku SEBELUM akta ini berkuatkuasa.

Akta ini akan berkuatkasa seawal-awalnya di akhir bulan September selepas Dewan Negara habis bersidang. Pada masa ini, saya rasa golongan yang mendapatkan manfaat yang terbanyak adalah peguam yang memberi nasihat kepada klien mereka untuk memfailkan tuntutan SEBELUM Akta ini berkuatkasa.

Apa yang lebih mengecewakan adalah berbulan-bulan yang telah digunakan untuk mengkaji apa yang telah dilakukan oleh negara lain termasuk Singapura. Singapura telah memulakan ‘lockdown’ mereka pada 7 April 2020. Pada hari yang sama, versi RUU COVID mereka diluluskan di parlimen. Tujuan utama rang undang-undang ini adalah untuk memberikan bantuan sementara kepada pihak peniaga dan individu yang tidak dapat melaksanakan obligasi kontraktual mereka akibat daripada COVID-19. Tahap perincian berkenaan dengan langkah-langkah perlindungan dalam versi RUU Singapura jauh lebih mendalam berbanding dengan RUU COVID Malaysia. Sebagai contoh, RUU Singapura menyatakan bahawa tuan tanah tidak boleh mengeluarkan wang jaminan penyewa untuk membayar tunggakan sewa semasa tempoh ‘lockdown’. Singapura juga meminda RUU COVID mereka pada 5 Jun 2020 untuk menyalurkan lebih banyak bantuan termasuk wang tunai dan geran yang lain untuk meringankan keperitan ekonomi yang timbul dari ‘lockdown’ mereka.

Malaysia ada peluang untuk membentangkan RUU COVID yang lebih komprehensif semasa persidangan parlimen pada 18 Mei 2020. Masa itu hanya 2 bulan setelah bermulanya MCO dan pihak peniaga masih mempunyai masa untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan yang sewajarnya. Sebaliknya, pemerintah PN yang tidak anda pilih oleh pengundi menolak peluang ini untuk mengadakan sidang parlimen yang biasa. Enam bulan kemudian, apa yang kita ada sekarang adalah RUU COVID yang penuh dengan kelemahan, terlambat dan terlewat.

Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Julai 2020

Di mana Art Harun yang kami kenali?

Pertukaran kerajaan di Malaysia yang berlaku pada Februari 2020 melukakan hati oleh kerana beberapa sebab. Pertama, ia membatalkan mandat yang diberikan oleh pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Ia juga merupakan ‘setback’ bagi demokrasi di negara ini kerana langkah reformasi yang dilakukan oleh kerajaan PH kemungkinan besar akan diabaikan atau bahkan diberhentikan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Secara peribadi, ia lebih menyakitkan apabila melihat bekas rakan sekerja yang berkempen bersama semasa PRU ke-14 dan yang berdiri bersama kami untuk menentang kerajaan kleptokrat BN yang kini duduk di sebelah sana dengan beberapa orang yang mereka kritik dengan begitu hebat sebelum ini.

Mungkin ada yang kata bahawa mereka yang mengkhianati PH adalah ahli politik yang sebahagian besarnya menjaga kepentingan peribadi mereka sahaja. Kita masih boleh bergantung kepada orang bukan politik, teknokrat dan aktivis yang dilantik oleh kerajaan PH dan tidak dapat disingkirkan dengan begitu mudah oleh kerajaan PN. Begitulah yang kami fikirkan. Keputusan Azhar bin Azizan @ Harun, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, untuk menerima pelantikan sebagai Yang DiPertua (YDP) Dewan Rakyat adalah sesuatu yang mengejutkan ramai ahli parlimen PH. Saya yakin bahawa ramai dari kalangan sahabat Art juga terkejut dengan keputusan beliau. Izinkan saya menerangkan secara terperinci mengapa ramai di antara kami terkejut dengan keputusan ini.

Pertama, Art, sebelum menerima pencalonan sebagai YDP Dewan Rakyat, menyandang jawatan yang sangat penting iaitu sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Tanggungjawab Pengerusi SPR lebih penting lagi memandangkan kemungkinan besar pilihan raya umum dan juga pilihan raya negeri Sarawak akan berlaku dalam masa terdekat. Anggota SPR, yang termasuk pengerusi, tidak dapat disingkirkan dengan begitu mudah oleh kerajaan PN. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Aritlce 114 (3) bahawa anggota SPR “tidak boleh dipecat dari jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan”. Art tidak harus letak jawatan begitu sahaja apabila diminta oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin. Ia perlu ditegaskan bahawa sehingga kini, TIADA anggota Suruhanjaya Pilihan Raya yang lain yang telah mengumumkan peletakan jawatan mereka.

Perdana Menteri mungkin berpendapat bahawa dia memerlukan pengerusi SPR yang lebih ‘patuh’ ketika menghadapi PRU ke-15. Dia juga mungkin tahu bahawa tidak mudah untuk menggantikan pengerusi SPR. Oleh itu, jawatan YDP Dewan Rakyat ditawarkan kepada Art untuk meletak jawatan sebagai pengerusi SPR.

Art TIDAK perlu menerima tawaran Perdana Menteri. Dia telah melaksanakan beberapa pembaharuan positif dalam SPR seperti membenarkan NGO dilantik sebagai pemerhati pilihan raya semasa pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU14 dan membenarkan parti politik melantik Penolong Pendaftar sekali lagi untuk membantu pendaftaran pengundi. Masih banyak lagi pembaharuan yang perlu dilaksanakan oleh SPR termasuk memastikan pendaftaran pemilih secara automatik dan melaksanakan penurunan usia pengundian kepada 18 tahun. Dari sudut semak dan imbang (‘check and balance’) pentadbiran PN, Art dapat memainkan peranan yang lebih berkesan sebagai pengerusi SPR berbanding dengan YDP Dewan Rakyat.

Dengan menerima pencalonan untuk jawatan YDP Dewan Rakyat, Art telah membiarkan perkara berikut berlaku:

Continue reading “Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Julai 2020”