Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 13 Disember 2021

Ketiadaan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak untuk Demokrasi yang dianjurkan oleh pejabat Presiden Amerika Syarikat merupakan satu pembaziran peluang dan pada masa yang sama memberikan petanda yang tidak baik untuk hala tuju dasar luar negara kita

Malaysia adalah salah satu daripada tiga negara Asia Tenggara (lagi dua adalah Indonesia dan Filipina) yang dijemput untuk menyertai Sidang Kemuncak untuk Demokrasi anjuran pejabat Presiden Amerika Syarikat yang baru sahaja berlangsung baru-baru ini. Malangnya, Malaysia telah mengambil keputusan untuk TIDAK menyertai sidang kemuncak ini. Perkara ini adalah satu langkah yang tidak berpandangan jauh dan tidak strategik yang mendedahkan ketiadaan kesepaduan dan pemikiran yang bebas dalam dasar luar negara kita untuk bergerak ke hadapan. 

Malaysia sepatutnya mengambil peluang ini untuk menegaskan komitmen kita terhadap prinsip-prinsip demokrasi yang telah berhadapan dengan pelbagai ujian dalam tiga tahun setengah yang lepas sejak daripada Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan Mei 2018. Malah, Perdana Menteri Ismail Sabri boleh menggunakan peluang ini untuk menunjukkan fasa baharu kematangan politik di bawah pentadbiran beliau dengan peristiwa bersejarah penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara kerajaan beliau dan gabungan pembangkang yang utama, Pakatan Harapan, yang membawa pelbagai unsur reformasi politik dan demokrasi, seperti janji untuk membawa undang-undang anti lompat parti, peruntukan yang saksama kepada semua Ahli parlimen, penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, peningkatan keberkesanan Parlimen sebagai institusi semak imbang kuasa eksekutif dan komitmen terhadap penurunan kuasa dan peningkatan autonomi untuk Sabah dan Sarawak. 

Sebaliknya, Perdana Menteri pula terlalu sibuk dengan sambutan 100 hari Kerajaan Keluarga Malaysia beliau, di mana terdapat beberapa kejadian SOP diingkari, termasuklah oleh beliau dan Kabinet beliau sendiri, dengan barisan panjang di luar KLCC yang terdiri dari kalangan orang yang beratur untuk membayar saman polis dengan diskaun. Sekiranya beliau tidak dapat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ini secara fizikal, beliau masih boleh merakam penyertaan beliau secara maya, bersama-sama dengan lebih 90 ketua kerajaan yang lain, termasuklah bersama dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang menekankan peralihan kuasa secara aman kepada pengganti beliau di hujung penggal beliau pada tahun 2022.

Presiden Indonesia, Jokowi, telah dijemput untuk berkongsi pendapat beliau bersama dengan 11 lagi pemimpin, termasuklah Canselor Jerman yang baru dilantik, Olaf Scholz. Kebetulan pula, sidang ini berlangsung pada masa yang sama dengan Forum Demokrasi Bali yang ke-14 yang dimulakan oleh Indonesia pada tahun 2008 di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Saya pasti Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, akan mengetepikan kepentingan acara ini dan mengatakan yang Malaysia boleh menyampaikan mesej dasar luar negerinya melalui cara lain, termasuklah semasa lawatan pertama Setiausaha Negeri AS, Anthony Blinken, ke Asia Tenggara (Indonesia, Malaysia, dan Thailand) dalam minggu ini. Tetapi saya pasti yang Saifuddin sendiri sedar yang dasar luar negara ini berkisar kepada menyampaikan petanda-petanda mengenai hala tuju dasar luar negara dan juga pada masa yang sama, perkara-perkara penting yang boleh dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak tersebut. Satu bidang di mana kita boleh memberi isyarat adalah berkenaan dengan strategi perlindungan Malaysia dengan pemain geo-politik utama dalam kawasan serantau Asia Tenggara. Adakah ketiadaan penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak ini akan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai peralihan negara kita ke arah satu lagi pihak dalam usaha untuk mengimbangi kedudukan kita? Atau adakah perkara ini hanya menunjukkan sebuah kerajaan yang tidak mempunyai hala tuju dalam bidang dasar luar negara yang rumit yang memerlukan koordinasi dan pemikiran strategi daripada pembuat dasar di pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra? Apa-apa pun, petanda yang ditunjukkan ini amatlah membimbangkan untuk mereka yang peduli dengan hala tuju dasar luar negara di bawah pentadbiran sedia ada sekarang.