Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 6 Disember 2021

Untuk meneruskan atau tidak MOU tidak seharusnya menjadi persoalannya…

2024, setahun telah berlalu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 di Malaysia yang berlangsung pada bulan Februari 2023 selepas Cuti Tahun Baru Cina dan sebelum bermulanya bulan Ramadan. Tidak ada sebarang LOMPATAN Ahli Parlimen atau ADUN memandangkan undang-undang anti-lompat parti telah diluluskan di Parlimen pada bulan Jun 2022. Peruntukan sama rata diberikan kepada semua MP di Parlimen tanpa mengira sama ada mereka berada dalam barisan kerajaan atau pembangkang. Amalan yang sama dilaksanakan di semua negeri, termasuklah Sabah dan Sarawak. Kedua-dua faktor ini mengurangkan insentif kepada MP atau ADUN untuk bertukar parti dan kestabilan politik lebih terjamin di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri.

Di Parlimen, setengah daripada Jawatankuasa Pilihan Khas dipengerusikan oleh MP daripada barisan pembangkang. Perjalanan mesyuarat jawatankuasa ini disiarkan secara langsung kepada orang awam dan wartawan untuk laporan akhbar. Jumlah hari persidangan Parlimen telah ditambah supaya ada cukup masa untuk perbahasan rang undang-undang yang ingin diluluskan. Kamar kedua Parlimen ditambah baik untuk mengadakan perbahasan di peringkat jawatankuasa supaya pindaan yang bersifat lebih teknikal dapat dicadang dan dipertimbangkan di sini sebelum dikembalikan ke Dewan untuk bacaan terakhir. Akta Perkhidmatan Parlimen diluluskan dalam setengah kedua tahun 2022 untuk mewujudkan sistem perkhidmatan kakitangan Parlimen yang berasingan daripada perkhidmatan kerajaan tetapi masih mempunyai manfaat yang sama, termasuklah skim pencen. Kebolehan kaji selidik dan capaian Parlimen telah ditingkatkan dengan lebih banyak program kajian dan kerjasama dengan badan pemikir dan universiti, baik dalam atau luar negara. Setiap MP juga telah diberikan peruntukan tambahan untuk menggajikan pegawai kaji selidik parlimen sepenuh masa. 

Pelaksanaan Undi 18 sebelum PRU15 juga memberikan momentum kepada usaha reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjadikan badan ini lebih bebas daripada pihak Eksekutif, seperti Parlimen. Peningkatan jumlah pengundi disebabkan Undi 18 juga membawa kepada persetujuan merentasi parti untuk mengadakan persempadanan semula dan juga untuk menyemak semula Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan supaya persempadanan kawasan pilihan raya di peringkat persekutuan dan negeri dapat dijalankan dengan cara yang lebih saksama dan telus, dengan mengambil kira pandangan daripada ahli akademik dan badan-badan bukan kerajaan seperti BERSIH dan IDEAS.

Kemarahan awam daripada pengguguran kes-kes rasuah terhadap beberapa ahli politik berprofil tinggi dalam tahun 2022 juga telah memberi tekanan untuk reformasi yang lebih bermakna terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga proses perundangan sedia ada. 

Kelulusan pindaan perlembagaan berkenaan dengan agenda MA63 pada penghujung tahun 2021 juga telah membawa kepada penurunan kuasa dan tanggungjawab dasar dan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak bermula dengan bidang pendidikan dan kesihatan dalam tahun 2022 dan dengan bidang kerja raya dan infrastruktur bermula pada tahun 2023. 

Akhir sekali, pindaan perlembagaan telah diluluskan pada hujung tahun 2022 untuk menghadkan penggal perkhidmatan seorang Perdana Menteri kepada hanya dua penggal. 

Situasi yang digambarkan di atas ini bukanlah hanya sebuah mimpi semata-mata, sebaliknya merupakan satu perkara yang boleh berlaku. Tetapi, ia hanya akan berjaya sekiranya semua pihak bekerjasama untuk berpegang dan memberikan momentum kepada MOU yang telah ditandatangani di antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Keluarga Malaysia (KM) Ismail Sabri pada 13 September 2021. Kita telah pun melihat beberapa janji reformasi yang dijayakan daripada MOU ini, termasuklah penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas parlimen, peruntukan pro-rata untuk ahli-ahli parlimen pembangkang untuk tiga bulan terakhir tahun ini (dengan janji peruntukan sama rata untuk 2022), penubuhan jawatankuasa pemandu 10 ahli untuk memantau pelaksanaan MOU dan juga perbincangan merentas parti untuk undang-undang anti-lompat parti yang akan diluluskan dalam setengah tahun pertama 2022. 

Semua usaha untuk membawa reformasi ini, yang akan membawa penambahbaikan institusi jangka masa panjang dalam proses demokrasi dalam negara, akan gagal sekiranya PH bertindak balas kepada kejadian-kejadian politik masa lampau dan yang akan datang dengan pemikiran jangka masa pendek. Sebagai contoh, akan ada kemarahan meluas sekiranya pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menerima rayuan Najib Tun Razak dan mengetepikan sabitan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa beliau di Mahkamah Tinggi dalam kes SRC. Sudah tentu akan ada tekanan kepada PH untuk membatalkan MOU dengan kerajaan Ismail Sabri ini. Perkara ini adalah satu kesilapan memandangkan ini adalah apa yang dikehendaki oleh sesetengah pemimpin UMNO yang memang mahu melihat kejatuhan kerajaan persekutuan supaya PRU-15 diadakan dalam 3 bulan yang akan datang. Cadangan reformasi dalam MOU ini akan ditinggalkan ke tepi, terutamanya sekiranya UMNO kembali dengan kekuatannya seperti sebelum ini dalam PRU-15, dengan kedatangan semula Najib dengan penuh dendam. Tidak akan ada keperluan untuk BN / UMNO yang dominan untuk berunding dengan pihak pembangkang ketika itu mengenai sebarang agenda reformasi ini. Kita akan hilang peluang untuk reformasi institusi jangka panjang dan peluang seperti ini mungkin tidak akan kembali dalam 10 tahun yang akan datang, terutamanya sekiranya BN / UMNO menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menekan dan melemahkan pihak pembangkang. 

Kita telah pun melihat hasil reaksi melulu yang disebabkan oleh sentimen awam baru-baru ini. Semasa Muhyiddin mencadangkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang serupa seperti MOU PH-KM sebelum kejatuhan kerajaan beliau pada pertengahan bulan Ogos tahun ini, pemimpin PH memilih untuk menolak CSA ini hanya beberapa jam selepas tawaran dibuat secara terbuka. Perkara ini membawa kepada kembalinya seorang Perdana Menteri UMNO yang merupakan satu perkara yang TIDAK membawa manfaat kepada PH. MOU PH-KM ini telah memberikan ruang bernafas kepada PH untuk kembali pulih selepas Anwar Ibrahim tidak berjaya untuk mendapatkan angka sokongan (sekali lagi) untuk dipilih sebagai Perdana Menteri selepas peletakan jawatan Muhyiddin pada bulan Ogos 2021. Keputusan PRN Melaka bulan lepas adalah satu petanda yang sangat jelas yang sebarang usaha untuk menyebabkan berlakunya PRU-15 dalam tahun hadapan ini bukanlah satu perkara yang akan membawa kebaikan kepada PH, sebaliknya, PH perlu menggunakan masa yang ada ini untuk mendesak pelaksanaan reformasi yang dijanjikan dalam MOU dan untuk mencari strategi dan naratif baharu untuk PRU-15. 

Saya tidak dapat mengelakkan daripada berpendapat yang penyokong PH keliru mengenai MOU ini kerana (i) kita tidak berusaha untuk menjelaskan sebab MOU ini dimeterai dengan cara yang mudah difahami dan (ii) mereka menggunakan MOU ini untuk menzahirkan kekecewaan mereka terhadap PH mengenai beberapa isu seperti persepsi ketiadaan arah tuju daripada pimpinan PH, keputusan pilihan raya yang tidak baik untuk PH, dan persepsi pertengkaran dalaman PH. Daripada menyalahkan MOU ini, pemimpin PH (termasuklah diri saya sendiri) perlu bermuhasabah dan mencari cara untuk mengubah MOU ini untuk membawa KELEBIHAN untuk kita dan bukannya menggunakannya untuk sebagai alasan apabila penyokong kita mula hilang kepercayaan dan harapan terhadap kita sebagai barisan pembangkang. Sekarang BUKANLAH masa yang tepat untuk meninggalkan MOU ini, tidak kiralah apa pun keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kes SRC Najib.