Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 2 Disember 2021

Pengisytiharan cuti umum yang tidak dirancang untuk Wilayah Persekutuan pada 3 Disember selepas pasukan KL memenangi Piala Malaysia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab yang mengganggu aktiviti sosial dan ekonomi

Sebagai seorang yang dilahirkan di Hospital Tung Shin, Kuala Lumpur, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pasukan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFC) kerana memenangi Piala Malaysia selepas 32 tahun. Tetapi, menjadi satu perkara yang tidak bertanggungjawab untuk Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim, mengisytiharkan cuti umum di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya pada 3 Disember ini memandangkan pengisytiharan secara tiba-tiba ini menggangu aktiviti sosial dan ekonomi untuk ramai orang. 

90% daripada KDNK RM216 billion Kuala Lumpur bergantung kepada sektor perkhidmatan. KL adalah nadi sektor perkhidmatan kewangan dalam negara dan juga merupakan ibu pejabat operasi pelbagai syarikat perakaunan dan perunding cukai dan juga syarikat-syarikat antarabangsa. Cuti umum yang diumumkan secara tiba-tiba ini akan menyebabkan syarikat-syarikat ini terpaksa menanggung berjuta ringgit dari kehilangan hasil yang tidak dirancang. Sesetengah syarikat mungkin terpaksa membayar kadar lebih masa yang tidak dijangka untuk memastikan perkhidmatan utama mereka terus berjalan semasa tempoh cuti ini. Kiraan mudah menunjukkan yang cuti tidak dirancang ini mungkin telah menyebabkan kerugian sehingga RM400 juta dari segi keluaran yang hilang, suatu perkara yang kita tidak mampu hadapi semasa kita sedang cuba pulih daripada kesan pandemik COVID19. Mesyuarat secara bersemuka mungkin dibatalkan, tempahan untuk sesi latihan dan persidangan mungkin dibatalkan, begitu juga dengan trafik pelanggan di pusat beli belah di Kuala Lumpur, terutamanya yang bergantung kepada pekerja pejabat akan menurun, antara beberapa contoh yang dapat disenaraikan. Perniagaan yang menjalankan urusan dengan pejabat kerajaan di Putrajaya juga akan terpaksa menangguhkan urusan mereka kepada minggu hadapan, yang menyebabkan kehilangan produktiviti yang tidak dirancang. 

Cuti umum yang tidak dirancang ini juga mengganggu aktiviti sosial. Terdapat ramai ibu bapa yang tinggal di Kuala Lumpur dan menghantar anak mereka untuk bersekolah di KL tetapi bekerja di Selangor. Kini mereka terpaksa membuat aturan saat akhir untuk anak-anak mereka yang tidak perlu ke sekolah. Mereka yang mempunyai urusan mahkamah yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 3 Disember 2021 juga terpaksa menangguhkan urusan mereka dan perkara ini akan memberikan berpanjangan kepada kes-kes lain yang mungkin ditangguhkan juga. 

Seseorang tidak dapat mengelakkan daripada terfikir sama ada Menteri telah berfikir mengenai semua gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial ini semasa beliau secara tiba-tiba mengisytiharkan cuti umum semalam pada 1 Disember 2021. Bukannya Malaysia baru memenangi pingat emas pertama kita di Sukan Olimpik atau mencapai apa-apa peristiwa bersejarah di acara sukan antarabangsa. Adakah tindakan Menteri seperti ini akan menjadi duluan yang tidak sihat untuk Ketua-ketua Menteri dan Menteri Besar di negeri-negeri lain, untuk mengisytiharkan cuti umum yang tidak dirancang apabila pasukan mereka memenangi Piala Malaysia? Tindakan populis oleh Menteri seperti ini membuatkan saya terfikir sama ada beliau tidak mempunyai idea yang lain untuk ditonjolkan dari segi perubahan dasar yang beliau hendak bawa untuk menjadikan KL sebuah bandar berkelas dunia di bawah seliaan beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.