Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 23 November 2021

Model baharu Kemakmuran Bersama untuk Program Pemerkasaan Ekenomi Bumiputera diperlukan selepas ulang tahun ke-50 Dasar Ekonomi Baharu (DEB)

Saya telah lawati Mara Digital Mall di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur baru-baru ini, pada tengahari Isnin untuk melihat sendiri aktiviti perniagaan di pusat membeli belah tersebut. Pusat beli belah digital ini asalnya dibuka oleh Ismail Sabri, Menteri Pembangunan Luar Bandar semasa itu yang kini sudah menjadi Perdana Menteri, untuk melawan tawaran produk digital dan IT di Plaza Low Yat pada tahun 2015. Enam tahun kemudian, inisiatif tawaran kerajaan ini jelas sekali telah gagal daripada mencapai matlamatnya. Aras tanah pusat beli belah ini, yang kebiasaannya menjadi ruangan utama untuk pameran produk IT dan digital, kekal kosong. Semua kedai-kedai di aras tanah hanya menjual produk makanan dan minuman (F&B), kebanyakan menyasarkan pekerja MARA Corporation dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain yang mempunyai pejabat di situ. 

Gambar 1: Aras tanah MARA Digital Mall dengan ruang pameran yang kosong

Daripada LIMA aras MARA Digital Mall ini, hanya satu setengah aras yang menjual produk IT dan digital. Malah di tingkat-tingkat ini, sesetengah lot runcit dan gerai kekal kosong. Banyak unit kedai kekal tidak disewa, ditutup, atau mempunyai papan tanda “nantikan” yang menunjukkan mungkin ada kedai baharu yang akan dibuka tetapi tiada siapa yang pasti kedai jenis apakah yang akan dibuka ini. 

Gambar 2: Aras satu Digital Mall di mana sesetengah unit gerai dan lot runcit kekal kosong atau ditutup

Gambar 3: Salah satu lot runcit di aras 2 kekal tidak dihuni

Sesetengah daripada unit runcit ini telah diubahsuai atau disewakan kepada pekedai yang menjual produk bukan IT, termasuklah kedai menjual produk fesyen, kedai barangan DIY, dan juga salon rambut yang juga menawarkan perkhidmatan mengurut dan kecantikan. 

Gambar 4: Salon rambut di aras 4 yang juga menawarkan perkhidmatan mengurut dan kecantikan

Satu-satunya kedai bukan F&B yang mempunyai lebih ramai pelanggan adalah kedai USTAZ, yang merupakan satu rantaian kedai IT dengan cawangan di pelbagai pusat membeli belah. 

Gambar 5: Kedai USTAZ dengan jumlah pelanggan paling ramai dalam kalangan semua kedai bukan makanan dan minuman

Tujuan utama lawatan saya ke Mara Digital Mall di KL ini adalah sebagai satu respons kepada pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri baru-baru ini, pada 18 November 2021, untuk cadangan mengadakan kuota perniagaan milik bumiputera di tempat-tempat strategik seperti pusat membeli belah untuk meningkatkan penyertaan komuniti tersebut dalam aktiviti ekonomi. Perkara ini dicadangkan sebagai sebahagian daripada rancangan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang berada di bawah Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri. 

Terdapat satu kata-kata terkenal yang mengatakan “mereka yang tidak mampu untuk belajar daripada sejarah pasti akan mengulanginya”. Pada ulang tahun ke-50 sejak daripada permulaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), kelihatan ramai pemimpin kita belum mempelajari kesilapan masa lampau dan kelihatan seperti suka mengulanginya dengan membawa dasar “baharu” yang kononnya untuk membantu komuniti Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi. 

Harap tidak ada sesiapa yang salah faham niat saya di sini. Saya sendiri memang mahu melihat komuniti Bumiputera berjaya dalam perniagaan dan mempunyai akses kepada pekerjaan dan peluang ekonomi dalam cara yang sama seperti mana komuniti dan kumpulan perniagaan lain telah berjaya. Tetapi, cadangan bantuannya perlulah mampan, berdaya tahan dengan saingan pasaran, dan mampu menggalakkan inovasi dan kreativiti. 

MARA Digital Mall ini telah mengalami kerugian sebelum bermulanya pandemik COVID19 lagi. Artikel pada tahun 2019 dan 2020 sebelum bermulanya pandemik ini telah melaporkan cabaran yang dihadapi di pusat beli belah ini, termasuklah di pusat beli belah perdana di Ibu Pejabat MARA Corporation di Kuala Lumpur. Mara Digital Kuantan telah ditutup pada bulan Disember 2018 dan Mara Digital Johor ditutup pada bulan Februari 2019. Saya tidak percaya kegagalan pusat beli belah digital ini adalah kerana perniagaan Bumiputera tidak dapat berjaya dalam sesetengah bidang seperti IT dan peruncitan digital. Sebaliknya, punca utama kegagalannya adalah konsep perniagaan yang tempang sejak dari permulaan lagi. 

Pertamanya, dengan meletakkan identiti sebagai sebuah pusat beli belah dengan peruncit Bumiputera sahaja, perkara ini mungkin telah menyebabkan pelanggan bukan Bumiputera dan pelancong asing daripada bersinggah ke pusat beli belah ini. Memandangkan komuniti bukan Bumiputera dan juga pelancong asing di bandar-bandar utama kebiasaannya mempunyai kuasa membeli yang agak signifikan, strategi perniagaan seperti ini menjauhkan bakal pelanggan yang berpotensi ini. 

Kedua, dilaporkan bahawa kebanyakan peruncit di Mara Digital Mall perlu bergantung kepada hanya satu syarikat pengedar — WGN Scan Sdn Bhd — untuk produk-produk mereka yang membuatkan mereka tidak dapat bersaing daripada segi harga. Dalam landskap produk IT dan produk digital yang sangat berdaya saing, kebergantungan kepada satu pengedar yang mungkin tidak menawarkan harga yang terbaik kelihatan kepada saya seperti satu strategi perniagaan yang tidak baik dan tidak mampan. Tambahan pula, apabila menyentuh isu rantaian bekalan pelbagai produk dan perkhidmatan di Malaysia, sukar untuk mengelakkan penyertaan syarikat bukan Bumiputera kerana mereka mempunyai pengalaman, akses kepada modal, dan rekod kerja yang meluas. 

Ketiga, sukar untuk mengelakkan aktiviti campur tangan politik dan budaya kutip sewa dalam inisiatif perniagaan seperti ini apabila kerajaan telah terlibat dalam perwujudan dan pelaksanaan program ini dari mula lagi. Pelbagai pihak akan cuba “mendapatkan bahagian” mereka untuk keuntungan jangka pendek yang akan merendahkan kemampanan kewangan inisiatif ini dalam jangka masa panjang. Sejumlah kecil mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak tertentu akan beruntung, tetapi bukannya golongan peruncit dan peniaga Bumiputera yang merupakan komuniti yang ingin dibantu. 

Izinkan untuk saya menjelaskan perbezaan pengalaman di MARA Digital Mall dengan pemerhatian peribadi saya di sebuah syarikat, iaitu ALL IT HYPERMARKET yang mempunyai cawangan di banyak pusat beli belah di seluruh negara. Salah satu ciri perniagaan syarikat ini yang menarik perhatian saya adalah di kebanyakan kedai mereka di Lembah Klang, kebanyakan kakitangan mereka adalah dalam kalangan orang Melayu. Perkhidmatan yang diberikan oleh semua kakitangan mereka, Melayu dan bukan-Melayu, pula memang yang terbaik. Mereka bersifat responsif, berpengetahuan, dan teliti dengan keperluan pelanggan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang. Bukankah ini adalah satu model perniagaan yang lebih mampan dan inklusif di mana syarikat milik persendirian bukan Melayu berpeluang menyediakan pekerjaan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia, termasuklah sejumlah besar orang Melayu dalam persekitaran yang profesional, selesa untuk mereka bekerja, dan di mana kepuasan pelanggan (dan mungkin, kakitangan juga) adalah atinggi? Tidakkah ini menjadi suatu alternatif yang lebih baik berbanding dengan model MARA Digital Mall yang tidak mampan dari segi ekonomi dalam jangka masa panjang? Model operasi ALL IT HYPERMARKET juga merupakan satu model yang selari dengan keperluan perniagaan memandangkan mempunyai lebih ramai kakitangan orang Melayu bermakna mereka mampu untuk memahami segmen pelanggan Melayu dengan lebih baik, dan meningkatkan jualan kepada segmen pasar ini yang merupakan segmen utama dalam negara kita!

Terdapat juga model pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang lebih baik dan efektif yang telah diuji di pasaran berbanding dengan model kuota Bumiputera yang dicadangkan Ismail Sabri awal bulan ini. Farm Fresh, sebuah syarikat pengeluar susu tempatan yang dimulakan oleh seorang ahli perniagaan Cina, mempunyai ribuan pengedar Melayu dalam rangkaian bekalannya yang membekalkan produk tenusu kepada ramai pelanggan Melayu, terutamanya di kawasan separa bandar dan luar bandar di mana kedai runcit yang menjual produk tenusu tidak mudah untuk dicari berbanding dengan kawasan bandar-bandar besar. Dengan memberikan kredit dengan terma yang menarik untuk membeli peralatan seperti peti sejuk untuk menyimpan produk susu dan memberikan latihan keusahawanan kepada pengedarnya, Farm Fresh telah berjaya melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera, terutamanya dalam kalangan golongan wanita di kawasan luar bandar berbanding dengan pelbagai program inisiatif kerajaan. Apa yang lebih penting lagi, usahawan ini mampu untuk meneruskan perniagaan mereka dalam jangka masa panjang dan mampu untuk meraih pendapatan yang baik dalam masa yang sama. 

Terdapat juga contoh-contoh model perkongsian dan keusahawanan yang lebih baharu yang inklusif, inovatif, dan mampan. SLURP, penyedia solusi perniagaan (POS) adalah salah satu contohnya. Mereka adalah penyedia peranti POS skrin sentuh yang digunakan kita semua apabila kita mengisi minyak di Petronas di seluruh negara. Daripada pengalaman saya peranti POS skrin sentuh di kios petrol Petronas adalah jauh lebih mesra pengguna dan efisien berbanding dengan kios petrol lain yang dimiliki syarikat asing. Dan saya percaya masa henti fungsi kios petrol Petronas, yang juga dipantau dan diuruskan oleh SLURP, juga lebih rendah berbanding dengan rantaian peruncit petrol yang lain, terutamanya kerana teknologi ini baru dipasang dan boleh dikemaskini secara atas talian. Pengasas SLURP adalah Reza Fahmi Razali, Calvin Tam Wah Kit, dan Zara Aida Razalai, dan syarikat ini beroperasi dari Bandar Baru Bangi yang berada dalam kawasan Parlimen saya. Selain daripada Petronas, SLURP juga menyediakan perkhidmatan untuk ramai pelanggan lain dalam industri F&B. Reza dan Calvin telah mengenali antara satu sama lain untuk beberapa tahun, sejak daripada masa Reza mendekati Calvin untuk menjalani latihan industri di syarikat beliau semasa Calvin masih seorang pelajar di Asia Pacific Institute of Information Technology (APIIT) yang kini dikenali sebagai Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU). Produk SLURP ini sememangnya mempunyai prestasi untuk dipasarkan ke luar negara, dan mereka sedang meluaskan pasaran mereka, walaupun semasa berhadapan dengan pandemik. 

Saya pasti terdapat banyak lagi contoh perkongsian seperti ini yang melibatkan usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam negara, terutamanya dalam sektor teknologi di mana inovasi dan kebolehan diiktiraf di mana pelaksanaan yang diambil kira, tanpa mengambil kira latar belakangan etnik usahawan tersebut. Inovasi dan kreativiti lebih berkemungkinan untuk berjaya dalam persekitaran yang majmuk, seperti yang dapat dilihat di tempat seperti Silicon Valley di Amerika Syarikat, dan perkara ini perlulah menjadi cara untuk bergerak ke hadapan di Malaysia, termasuklah dalam program pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Saya percaya model-model yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat seperti ALL IT HYPERMARKET, Farm Fresh, dan SLURP ini adalah jauh lebih baik dan merupakan contoh-contoh mampan Kemakmuran Bersama dalam landskap perniagaan dan ekonomi negara berbanding dengan kebanyakan program dan inisiatif kerajaan dalam 50 tahun dengan DEB. 

Bagaimanakah kita boleh bergerak ke hadapan, dalam tahun di mana ramai yang sedang mengkaji dan menilai legasi 50 tahun DEB? Berikut adalah LIMA cadangan untuk agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera untuk kita terus mara ke hadapan:

  1. Perlu ada peraturan dan syarat yang jelas mengenai ekuiti Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi. Dan peraturan ini tidak boleh diubah secara retrospektif seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini berkenaan dengan syarat 51% pemilikan ekuiti Bumiputera untuk penghantar fret yang mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai Penyedia Perkhidmatan Logistik Antarabangsa Bersepadu (IILS)
  2. Perlu ada mekanisme yang telus untuk program pemerkasaan ekonomi Bumiputera (PEB), termasuklah tender terbuka untuk projek kerajaan. Program PEB di pelbagai sektor ekonomi dan di bawah pelbagai kementerian dan agensi kerajaan perlulah dinilai keberkesanannya setiap tahun dengan laporan penilaian ini diterbitkan kepada orang awam, dibentangkan ke Parlimen, dan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkenaan. 
  3. Perlu ada gerakan yang agresif kepada model perkongsian yang berbeza yang lebih bermakna dengan melibatkan Bumiputera dan bukan Bumiputera. Perlu juga ada penglibatan golongan bukan Bumiputera secara bermakna dalam sebarang badan kerajaan atau majlis yang membincangkan program dan dasar PEB. 
  4. Perlu ada penilaian dan model PEB berasingan untuk komuniti Bumiputera Sabah dan Sarawak, Komuniti Orang Asli, dan Komuniti India memandangkan masih juga terdapat penghalang dari segi pemerkasaan ekonomi untuk komuniti-komuniti ini. 
  5. Akhir sekali, garis masa dan parameter perlulah ditetapkan untuk penamatan dasar dan program PEB ini dengan pendekatan mengikut sektor dan industri tertentu.