Kenyataan media Dr Ong Kian Ming, Bendahari DAP Selangor merangkap Ahli Parlimen Bangi pada 15 November 2021

Cabaran dan Peluang untuk DAP Selangor di Masa Hadapan

Pemilihan Jawatankuasa Negeri DAP Selangor yang telah ditundakan sejak daripada bulan Mei 2021 akhirnya berlangsung semalam, pada hari Ahad 14 November 2021. Walaupun tajuk akhbar tentunya akan menumpukan perhatian kepada siapa yang berjaya dan gagal diundi, kempen pemilihan ini sendiri, yang berlanjutan lebih daripada setahun, mengetengahkan cabaran dan juga peluang yang dihadapi oleh DAP Selangor apabila parti ini bergerak ke hadapan dalam negeri yang termaju dan paling penting dari segi ekonomi dalam negara.

1. Naratif salah “akar umbi lawan elit”


Pemilihan DAP Selangor ini telah digambarkan sebagai satu pertandingan di antara apa yang kononnya dikatakan sebagai calon “akar umbi”, yang terdiri daripada beberapa orang ahli majlis (semasa dan yang pernah menjawat dahulu), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), serta beberapa ahli jawatankuasa negeri sedia ada, melawan golongan “elit” yang kebanyakannya merupakan wakil rakyat (Ahli Parlimen dan juga ADUN). Walaupun naratif ini mungkin berguna untuk pihak media menulis dan untuk sesetengah calon gunakan sebagai slogan kempen, hakikatnya, perkara ini adalah satu naratif yang salah.

Semua wakil rakyat perlu dekat dengan gerakan akar umbi mereka, terutamanya dengan ahli-ahli dalam kawasan mereka sendiri bagi membolehkan mereka mempunyai hubungan yang baik untuk meningkatkan jangkauan dan pengaruh dalam parti. Walaupun seseorang wakil rakyat mungkin tidak bersefikiran dengan SEMUA ahli di dalam kawasan beliau, saya berani katakan yang hampir semua wakil rakyat DAP di Selangor mempunyai sokongan ahli-ahli akar umbi di kawasan masing-masing. Apa yang ironinya, sesetengah mereka yang kononnya dipanggil pemimpin akar umbi ini yang tidak mempunyai sokongan majoriti ahli akar umbi di kawasan mereka sendiri kerana sama ada mempunyai rekod perkhidmatan yang tidak baik, reputasi yang buruk, atau kegagalan untuk bekerjasama dengan ahli-ahli akar umbi.

Sesetengah pihak dalam bidang media dan sesetengah calon semasa kempen ini cuba untuk mengadakan pemisahan di antara kononnya golongan “berpendidikan” yang dilabel sebagai “elit” dengan golongan pemimpin akar umbi yang kurang “berpendidikan”. Sekali lagi, ini adalah satu naratif palsu memandangkan rekod perkhidmatan seseorang itu boleh dinilai dengan mudah oleh ahli-ahli dan juga pengundi dan perkara ini tidak ada kaitan dengan latar belakang pendidikan seseorang. Seorang pemimpin elit yang “berpendidikan” tinggi mungkin bekerja lebih keras dan kerap turun ke lapangan berbanding dengan seorang pemimpin yang kononnya rapat dengan “akar umbi”.
Syukur, keputusan pemilihan di Selangor ini menunjukkan yang kempen untuk mewujudkan naratif palsu ini telah gagal, walaupun terdapat cubaan terdesak saat akhir daripada sesetengah calon.

2. Kerja berpasukan dan Semak & Imbang


Keputusan pemilihan Selangor kali ini menonjolkan dua trend yang jelas dalam kalangan ahli-ahli DAP di negeri ini. Pertamanya, ahli-ahli jelas sekali mahukan DAP yang kuat dan bersatu-padu dengan pemimpin yang boleh bekerja dengan efektif dengan satu sama lain untuk meningkatkan pengaruh dan reputasi parti di dalam negeri dan di peringkat kebangsaan. Calon yang tidak mempunyai sejarah kerja berpasukan yang kuat dan sesetengah calon dengan reputasi yang dilihat sebagai cuba mewujudkan perpecahan dan merosakkan kepada parti telah kalah dengan jelas sekali. Perkara ini tidak bermakna ahli-ahli tidak mahukan budaya demokrasi dalaman dan perbahasan yang sihat di dalam parti. Tetapi ia bermakna perbahasan ini perlulah berlaku dengan cara yang tidak membawa mudarat kepada reputasi dan hubungan dalaman di dalam parti itu sendiri.

Pada masa yang sama, ahli-ahli juga telah menunjukkan yang mereka mahukan satu unsur semak dan imbang yang sihat dalam jawatankuasa negeri. Empat daripada lima belas yang diundi ke jawatankuasa negeri ini bukanlah dari kalangan wakil rakyat (MP atau ADUN) sedangkan 5 orang wakil rakyat (ke semuanya ADUN) gagal untuk mendapatkan cukup undi untuk berada dalam kedudukan 15 teratas.


Ini adalah satu trend yang sihat kerana ia membawa kepada sebuah jawatankuasa negeri yang mempunyai pandangan yang berbeza terhadap pelbagai isu dan mempunyai bakat dan kebolehan yang pelbagai hasil daripada latar belakang mereka yang berbeza. Selagi mana prinsip asas dan hala tuju jawatankuasa negeri selari, perbezaan ini menunjukkan kekuatan daripada kepelbagaian dalam pimpinan parti.

3. Mencari ruang untuk bakat baharu


DAP yang saya kenali sentiasa menumpukan usaha untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk mendapatkan pengalaman dan pendedahan di pelbagai peringkat kerajaan dan jawatan-jawatan undian sejak awal tahun 2000. Jawatankuasa negeri Selangor yang baru dilantik ini juga boleh dikira muda berbanding dengan tahap umur dalam era politik dalam negara, dengan tidak ada sesiapa berusia lebih daripada 50 tahun. Kebanyakkannya berusia dalam era 30 ke 40 tahun, dan saya sendiri adalah antara ahli yang boleh dikira “senior” di usia 46 tahun ini.


Kami telah melantik beberapa orang pemimpin muda dengan latar belakang yang pelbagai dalam kalangan lima orang yang dipilih menyertai jawatankuasa ini, termasuklah Michelle Ng, peguam dan ADUN Subang Jaya, Dr Quah Perng Fei, seorang doktor yang juga merupakan Ahli Majlis di Klang, dan Yugarajah A/L Palanisamy, mantan pembantu seorang Exco di Selangor yang kini merupakan Ahli Majlis di Shah Alam.

Proses untuk memberikan ahli-ahli dan pemimpin muda platform di pelbagai peringkat untuk membolehkan mereka menyumbang ini akan diteruskan dengan pelantikan ketua di pelbagai badan dalam negeri dan “penyegaran” calon yang berterusan di peringkat tempatan, majlis-majlis wanita dan pemuda di pelbagai daerah dan kawasan pihak berkuasa tempatan di Selangor.
Cabaran untuk parti adalah untuk memastikan pemimpin muda ini diberikan ruang dan peluang untuk menjadi efektif dalam peranan mereka di dalam parti dan kerajaan negeri.

4. Bekerja dengan efektif sebagai satu pasukan untuk membawa dasar yang progresif dan inklusif dalam kerajaan negeri

Bergerak ke hadapan, cabaran utama yang dihadapi oleh DAP di Selangor adalah untuk mencari strategi baharu untuk membolehkan pemimpin dan ahli-ahli dalam parti untuk membawa dasar yang lebih progresif dan inklusif dalam kerajaan negeri. Perkara ini perlu dibuat dengan cara yang tersusun, secara bersama, dan menyeluruh dengan ahli-ahli dan pemimpin daripada pelbagai latar belakang bekerjasama untuk mencapai cita-cita bersama. Dalam bidang dasar awam, perkara ini termasuklah dasar perumahan yang lebih inklusif, perancangan pengangkutan awam yang lebih baik, inisiatif yang lebih mampan di peringkat kerajaan tempatan dan persediaan yang lebih baik dengan cabaran-cabaran kesihatan awam terutamanya dengan memikirkan COVID19 yang kini menjadi endemik, memerlukan pengurusan jangka panjang.


Perkara ini tidak mudah, memandangkan terdapat banyak saluran yang boleh digunakan untuk berhubung dan menjayakan aspirasi-aspirasi ini menjadi dasar Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang merangkumi parti-parti komponen PH yang lain. Perkara ini memerlukan koordinasi strategik dan komunikasi di antara DAP dan rakan-rakan sekutu kita untuk mencari ruang melaksanakan dasar dan rancangan sebegini, termasuklah untuk sesetengah perkara yang dilihat sensitif seperti pilihan raya tempatan.


Tetapi perkara ini perlu bermula dengan visi yang jelas dan sebuah rancangan strategik oleh jawatankuasa negeri Selangor. Dan perkara ini perlu digerakkan segera untuk memastikan kita mempunyai kad laporan yang cemerlang untuk ditunjukkan di Selangor sebelum Pilihan Raya Umum yang akan datang.

5. Sesetengah tanda amaran yang perlu disedari

Apabila DAP terus berkembang menjadi sebuah parti yang lebih besar dengan kepelbagaian dalam keahlian kita, dan apabila pertaruhan diundi ke dalam jawatan dalam parti menjadi semakin besar, tidak mengejutkanlah apabila persaingan dalam pemilihan seperti ini akan menjadi lebih hangat. Sekiranya dijalankan dengan baik, pemilihan parti ini akan membawa kepada budaya demokrasi dan persaingan yang sihat dalam parti. Tetapi jika kita tidak berhati-hati, pemilihan ini boleh pantas menjadi sebuah pertandingan untuk melihat calon mana yang boleh menawarkan “ganjaran” sama ada dalam bentuk peruntukan atau jawatan dalam kerajaan kepada pemimpin sesebuah cawangan atau hulu balang tempatan yang mendakwa mereka mengawal sejumlah cawangan dan undian yang datang daripada kawalan ini.

Saya telah memerhatikan sesetengah pemimpin cawangan pergi berjumpa wakil rakyat dan secara terbuka meminta peruntukan untuk pelbagai NGO di bawah kawalan mereka sebagai habuan untuk memberikan sokongan mereka dalam pemilihan negeri. Perkara ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat yang boleh menjadi tidak terkawal sekiranya tidak ditangani dengan baik. Kebimbangan yang sama boleh dikatakan mengenai mereka yang meminta jawatan dalam GLC kerajaan negeri sebagai habuan sokongan politik.


6. Penutup mengenai kepentingan Selangor dalam politik nasional


DAP Selangor memainkan peranan yang penting untuk menunjukkan bagaimana kita boleh memainkan peranan yang efektif sebagai sebuah parti komponen yang mempunyai kedudukan berpengaruh dalam kerajaan negeri untuk membawa dan melaksanakan dasar-dasar yang boleh membawa impak positif jangka panjang kepada rakyat Selangor. Keberkesanan DAP di Selangor — prestasi pemimpin kita, wakil rakyat kita, dan ahli majlis kita — dan bagaimana kita bekerja dengan pemimpin parti komponen PH untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk Selangor akan memberikan satu gambaran yang jelas mengenai bagaimana kita boleh dan akan mentadbir sebagai sebuah pakatan yang berkesan di peringkat kebangsaan.


Kerja-kerja jawatankuasa negeri DAP Selangor ini telah bermula semalam dengan keputusan pemilihan dan mesti berterusan sehingga Pilihan Raya Umum yang akan datang.