Kenyataan media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 5 November 2021

Menyemak fakta Wee Ka Siong dalam perdebatan Dasar Kabotaj

Tiga hari yang lepas, seluruh negara telah menyaksikan perdebatan mengenai dasar kabotaj pembaikian kabel bawah laut di antara Menteri Pengangkutan merangkap Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Dr Wee Ka Siong, dan mantan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng. Perkara ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat Malaysia apabila kedua-dua belah pihak membentangkan fakta dan angka-angka masing-masing, menggunakan persembahan Powerpoint melalui siaran langsung televisyen di TV3, 8TV, dan Astro Awani dan juga melalui platform siaran-siaran langsung yang lain. 

Dalam mana-mana perdebatan dasar awam, penting untuk kita semak fakta dan kenyataan yang dibuat oleh pembahas. Saya boleh jamin fakta dan angka-angka yang dibentangkan oleh Lim Guan Eng memandangkan saya sendiri juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang menyediakan pembentangan beliau. Malangnya, saya tidak mempunyai keyakinan yang serupa terhadap sesetengah perkara yang dinyatakan oleh Dr Wee dalam pembentangan beliau dan perkara ini perlulah dibangkitkan untuk pengetahuan umum dan supaya pihak akhbar dapat menanyakan soalan susulan. 

1. Adakah NTT merupakan satu-satunya pemilik saham dan pemilik projek kabel bawah laut Apricot?

Berkali-kali semasa perdebatan tersebut, Dr Wee mahu mewujudkan gambaran yang NTT adalah pemilik tunggal projek kabel bawah laut Apricot yang tidak melalui Malaysia. Perkara ini jelas sekali mengelirukan memandangkan terdapat ramai lagi pemegang taruh dalam projek ini termasuklah Google, Facebook, PLDT yang merupakan syarikat telekomunikasi terbesar di Filipina dan Chunghwa Telecom, sebuah syarikat telekomunikasi di Taiwan. 

“Google, Facebook, PLDT (syarikat telekomunikasi di Filipina), Chunghwa Telecom (syarikat telekomunikasi di Taiwan), dan NTT Ltd hari ini mengumumkan penyertaan mereka dalam projek kabel bawah laut Apricot. Khususnya, kelima-lima syarikat ini telah membentuk sebuah konsortium untuk membina sistem kabel bawah laut antarabangsa ini, yang dinamakan Apricot.”

Adakah Dr Wee melupakan penyertaan pemain industri yang lain dalam projek Apricot kerana dua pemegang taruh yang lain ini, Facebook dan Google, merupakan sebahagian daripada sekumpulan syarikat (dalam dan luar negara) yang telah menghantarkan dua pucuk surat kepada mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri, meminta supaya dasar kabotaj Wee Ka Siong diketepikan supaya dasar pengecualian kabotaj untuk kerja-kerja pembaikian kabel bawah laut yang ditetapkan mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dikembalikan?

2. Siapakah Encik Yoshio Sato?

Encik Sato muncul sebanyak DUA KALI dalam perdebatan hari Selasa yang lepas melalui satu rakaman mesyuarat melalui Zoom. Dr Wee mendakwa yang Encik Sato ini adalah orang penting dalam projek kabel Apricot dan terdapat satu slaid dalam pembentangan beliau yang menunjukkan Encik Sato sebagai Naib Presiden NTT.

Mr Sato bukan lagi seorang kakitangan NTT kerana beliau telah meninggalkan NTT untuk membuka syarikat sendiri yang berdaftar di Singapura yang bernama Orient Link Pte Ltd. 

Walaupun saya tidak meragui yang Encik Sato bekerja dengan NTT semasa projek kabel bawah laut Apricot ini dirancang, laman web Orient Link menyatakan bahawa beliau hanyalah seorang pengurus di NTT dan bukannya Naib Presiden di NTT seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

Tidak patut untuk Dr Wee cuba menunjukkan Encik Sato sebagai seorang pegawai kanan dalam pentadbiran NTT sedangkan beliau tidak. Sekiranya sekalipun beliau merupakan Naib Presiden di NTT sebelum meninggalkan syarikat tersebut, tidak tepat untuk menggambarkan jawatan ini sebagai sebahagian daripada kepimpinan kanan syarikat tersebut. Sebagai contoh, NTT buat masa ini menyenaraikan 13 orang Naib Presiden Kanan sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinan eksekutif mereka. Dalam kata lain, Naib Presiden di syarikat Jepun seperti NTT merupakan satu jawatan pengurusan pertengahan atau pengurus kanan, seperti yang dinyatakan di laman web Orient Link. 

Dalam kata lain, Encik Sato tidak bersama NTT dan tidak boleh bercakap bagi pihak NTT mengenai pelaburan masa hadapan syarikat tersebut di kawasan serantau ini dan dalam situasi terbaik, beliau hanyalah seorang pengurus kanan di syarikat tersebut semasa bekerja di situ.

3. Apakah itu Orient Link dan apakah hubungannya dengan syarikat di Malaysia?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Encik Yoshio Sato adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Orient Link Pte Ltd, yang merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan di Singapura. Di laman web Orient Link, syarikat ini dinyatakan sebagai sebuah “kerjasama strategik yang diketuai oleh Kumpulan NTT dan ditubuhkan dengan rakan kongsi Perbadanan Dana Pembangunan Luar Negara milik Japan ICT and Postal Services Inc. (JICT) dan WEN Capital Pte Ltd (WEN)”. Dalam satu kenyataan media JICT yang bertarikh 13 Disember 2019, dinyatakan bahawa Pengarah Wen Capital adalah tidak lain dan tidak bukan daripada Encik Lim Soon Foo sendiri. 

Sekiranya nama Lim Soon Foo ini macam biasa didengar sebelum ini, ia adalah kerana beliau adalah pengerusi eksekutif OMS Group yang setakat waktu penulisan, merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengatakan mempunyai kebolehan membaiki kabel bawah laut, dan kelihatan (semasa waktu penulisan) sebagai satu-satunya penerima manfaat dasar kabotaj yang ditetapkan Dr Wee apabila beliau menjadi Menteri Pengangkutan. 

Hakikat di mana Lim Soon Foo menyandang jawatan pengarah Wen Capital Pte Ltd yang merupakan pemegang saham syarikat Encik Sato, Orient Link Pte Ltd, dan juga pada masa yang sama juga merupakan Pengerusi Eksekutif OMS Group yang merupakan penerima manfaat utama dasar kabotaj pembaikian kabel bawah laut menunjukkan terdapat konflik kepentingan yang jelas untuk Encik Sato. Bolehkah kita jangkakan Encik Sato untuk memberikan pendapat mengenai dasar kabotaj ini secara bebas sekiranya salah satu pemegang saham syarikat beliau sendiri merupakan penerima manfaat daripada dasar ini? Saya rasakan jawapan kepada soalan ini jelas dan terang kepada semua.

4. Apakah itu Projek Kabel Ekspres Intra-Asia dan adakah projek ini akan ke Malaysia, termasuklah ke Sarawak?

Salah satu perkara yang ditinggalkan sehingga penghujung debat tersebut adalah “Projek Kabel Ekspres Intra-Asia” yang sedang dibincangkan oleh Encik Sato yang akan menyambungkan Jepun, Taiwan, Filipina, Brunei, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan Singapura. Sekali lagi, memandangkan Encik Sato tidak bekerja dengan NTT, perkara ini tidak dapat dipertimbangkan buat masa ini sebagai satu projek rasmi NTT. Projek ini hanyalah satu cadangan daripada pelbagai cadangan projek kabel bawah laut di kawasan serantau. Tambahan lagi, Encik Sato jelas sekali mengatakan yang “Saya perlukan bantuan besar anda untuk projek ini” kepada Dr Wee. Walaupun Menteri kita perlu bekerja keras untuk memudahkan projek yang membawa manfaat kepada Malaysia, termasuklah pelaburan kabel bawah laut, hakikat di mana Encik Sato kelihatan seperti beliau bergantung kepada Dr Wee juga membawa persoalan terhadap kebebasan testimoni beliau dalam dua klip video yang ditunjukkan semasa perdebatan tersebut. Adakah ini satu lagi kes “Saya tolong awak, awak tolong saya”?

5. Adakah kapal Lodbrog yang baru dibeli oleh OMS Group mempunyai kebolehan DP2?

Akhir sekali, Dr Wee turut mendakwa yang OMS Group telah baru-baru ini membeli sebuah kapal yang bernama Lodbrog yang mempunyai kebolehan Penetapan Kedudukan 2 (DP2) untuk kerja pembaikian kabel bawah laut. Namun spesifikasi teknikal dari laman web OMS Group menunjukkan kisah yang berbeza.

Spesifikasi Teknikal dari laman web OMS menunjukkan yang Lodbrog adalah sebuah kapal DYNAPOS AM/AT

Laman web OMS menunjukkan yang Lodbrog adalah sebuah kapal jenis DYNAPOS AM/AT yang mana apabila kita rujuk kepada skema klasifikasi kebolehan penetapan kedudukan dinamik, jelas menunjukkan yang Lodbrog hanya mempunyai kebolehan di tahap DP1 atau DP(AM) dan bukannya DP2 seperti yang didakwa Dr Wee semasa debat. 

Penjelasan Sistem Penetapan Kedudukan (DPS) 1, 2, dan 3. Klasifikasi DP(AM) ditunjukkan dengan jelas sebagai kapal DP1

Sebaliknya, ASEAN Explorer, sebuah kapal memasang dan membaiki kabel yang dimiliki ASEAN Cableship Pte Ltd, yang mana 16.7% dimiliki oleh Telekom Malaysia, jelas mempunyai kebolehan DP2 atau DP(AA) seperti yang disenaraikan di laman webnya. (lihat bawah) Kebolehan DP2 Asean Cableship ini mungkin menjelaskan mengapa Kementerian Pengangkuatan memberikan pengecualian kabotaj ENAM kali dari bulan November 2020 sehingga Mac 2021 untuk kerja-kerja pembaikian kabel bawah laut di perairan Malaysia. 

Sekiranya, sebagai contoh, Lodbrog mempunyai kebolehan DP2 untuk kerja pembaikian kabel bawah laut seperti yang didakwa Dr Wee, mengapakah beliau tidak menunjukkan berapa kalikah kapal ini telah menjalankan kerja-kerja membaiki kabel di perairan Malaysia semasa beliau menjadi Menteri Kewangan selepas beliau mengetepikan dasar pengecualian kabotaj ini? Tentu sekali dalam masa hampir 12 bulan, terdapat peluang untuk Lodbrog menjalankan kerja-kerja pembaikian kabel bawah laut di perairan Malaysia, memandangkan kapal ini didaftarkan di Malaysia di Pelabuhan Klang?

Spesifikasi Teknikal Asean Explorer, yang dimiliki oleh ASEAN Cableship, syarikat milik 16.7% Telekom Malaysia, menunjukkan kebolehan DP2

6. Rumusan

Saya telah membangkitkan lima perkara khusus di mana Dr Wee telah mengelirukan orang awam semasa perdebatan dengan Lim Guan Eng mengenai dasar kabotaj kerja pembaikian kabel dasar laut ini. Saya pasti ada mereka yang mempunyai pengetahuan yang lebih khusus mengenai industri pemasangan dan pembaikian kabel bawah laut boleh menyemak sama ada semakan saya ini tepat. Dan mereka juga boleh menyemak apa-apa kenyataan lain yang dibuat oleh kedua-dua Dr Wee dan Encik Lim. 

Saya juga berharap perdebatan seperti ini dapat diadakan lagi oleh pembuat dasar dari kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang. Dengan pihak akhbar yang meneliti dengan ketat semua kenyataan daripada semua pihak, saya percaya kita dapat bergerak ke arah sebuah demokrasi yang lebih matang, berdebat menggunakan fakta dan angka yang boleh disemak dan disahkan oleh pihak-pihak yang bebas.