Ucapan Parlimen oleh Dr. Ong Kian Ming mengenai Pindaan Akta PIDM 2011 (Akta 720) pada 26 Oktober 2021

Sebagai latar belakang, saya pernah jadi “intern” di Monetary Authority of Singapore (MAS) pada 1998 semasa Krisis Kewangan Asia. Pada masa itu, saya telah menulis kertas pendek yang mengesyorkan penubuhan Skim Insurans Deposit di Singapura serupa dengan Skim Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) di Amerika Syarikat tetapi disesuaikan dengan pasaran perbankan yang lebih kecil dan lebih stabil di Singapura. Untuk maklumam Dewan yang Mulia ini, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (MDIC / PDIM) telah ditubuhkan pada Ogos 2005 iaitu beberapa bulan SEBELUM penubuhan DIC Singapura pada Oktober 2005. Dalam hal ini, kami lebih proaktif daripada Singapura.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan soalan-soalan berikut berkaitan dengan Pindaan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2011. Walaupun soalan-soalan ini mungkin lebih sesuai untuk dikemukakan semasa peringkat perbahasan jawatankuasa, saya ingin memberikan penjawat awam lebih banyak masa untuk menyediakan jawapan kepada soalan-soalan ini, sebab itu saya membangkitkan sekarang.

1) Soalan pertama saya adalah berkenaan dengan komposisi Lembaga Pengarah PIDM.

 Saya menyokong Fasal 4 pindaan ini iaitu menyatakan kepakaran dan latar belakang yang diperlukan untuk dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah PIDM serta pelantikan pengarah ganti sekiranya pengarah yang dilantik tidak dapat menghadiri mesyuarat lembaga pengarah. Keahlian semasa Lembaga Pengarah PIDM sememangnya mengagumkan dan terdiri daripada individu yang mempunyai pengalaman yang relevan daripada sektor awam dan swasta. Perlu dinyatakan juga bahawa 5 daripada 9 pengarah adalah wanita. Tetapi saya ingin menegaskan bahawa 7 daripada 9 pengarah itu dilantik oleh Menteri Kewangan, termasuk Pengerusi.

Memandangkan MDIC mempunyai 42 bank dan 50 syarikat insurans sebagai ahlinya, bukankah lebih sesuai untuk industri perbankan dan insurans, melalui persatuan industri mereka sendiri seperti Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia ( LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). Saya yakin ada ramai pesara dengan pengalaman yang mencukupi yang pernah bekerja sebagai pasukan pengurusan dalam bank dan syarikat insurans yang boleh menyertai lembaga sebagai wakil industri. Meraka akan memberikan pandgan industri yang relevan untuk kawal selia sektor kewangan di Malaysia. Seksyen 11 hanya menyatakan bahawa sekurang-kurangnya SEORANG ahli Lembaga Pengarah yang dilantik oleh Menteri harus mempunyai pengalaman sektor perbankan dan kewangan yang berkaitan. Memandangkan kerumitan kedua-dua sektor perbankan dan juga insurans (yang boleh dibahagikan lagi kepada insurans hayat dan bukan hayat), bukankah lebih baik untuk menambah bilangan wakil industri untuk mencerminkan landskap kewangan?

2) Soalan kedua saya ialah berkenaan dengan membenarkan perbadanan memindahkan wang daripada satu kumpulan wang insurans kepada kumpualn wang yang lain.

Saya bersetuju dengan Fasal 9 iaitu untuk meminda Seksyen 28 Akta tersebut supaya memberi lebih fleksibiliti kepada Perbadanan untuk mengalihkan wang daripada satu kumpulan wang ke kumpulan wang yang lain apabila diperlukan. Seperti yang saya faham, pada masa ini terdapat 6 dana insurans deposit yang diuruskan oleh Perbadanan untuk (i) Deposit Islam (ii) Deposit Konvensional (iii) Takaful Keluarga (iv) Takaful Am (v) Insurans Hayat dan (vi) Insurans Am. Kadar penyusutan sesetengah dana ini mungkin lebih cepat daripada yang lain kerana kemungkinan pembayaran kepada pendeposit berbeza daripada sektor pasaran kewangan yang berbeza.

Tetapi apakah mekanisme dalaman dalam PIDM untuk menganalisis dan memutuskan keperluan untuk mengalihkan wang ini daripada satu dana kepada yang lain? Adakah terdapat jawatankuasa berasingan selain daripada Jawatankuasa Audit, Tadbir Urus dan Imbuhan yang mempunyai mandat dalaman untuk meneliti kesan pembiayaan yang berkaitan dengan peralihan wang daripada satu dana ke dana yang lain? Saya minta Menteri untuk memberikan penjelasan.

3) Soalan ketiga saya berkaitan dengan sebutan “Skim Pemindahan Perniagaan” yang merupakan istilah baharu yang diperkenalkan dalam pindaan ini.

“Skim Pemindahan Perniagaan” terdapat dalam Fasal 12 (untuk seksyen 46A baharu), Fasal 13 (untuk Seksyen 47 (2)), Fasal 17 (untuk seksyen 49A baharu), Fasal 23 (untuk Seksyen 71(3)), Fasal 27 ( bagi seksyen baru 73A). Bolehkah Menteri memberi contoh khusus tentang keperluan memasukkan skim pemindahan perniagaan di bank atau syarikat insurans untuk tujuan perlindungan deposit? Adakah bahagian / pindaan baharu ini untuk kes di mana bank atau syarikat insurans menubuhkan anak syarikat baharu dan memindahkan sebahagian daripada deposit sedia ada mereka ke anak syarikat baharu ini? Atau adakah pindaan ini mengambil kira aktiviti Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) yang melibatkan bank dan syarikat insurans. Sebagai contoh, diumumkan pada Jun 2021 bahawa syarikat insurans Itali, Generali akan memperoleh pegangan majoriti dalam usaha sama AXA AFFIN dan juga merancang untuk meningkatkan pegangannya dalam MPI daripada 49% kepada 100%.