Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 22 Oktober 2021

Peranan saya sebagai Ahli Parlimen — Bahagian 4: Isu-isu Kebangsaan

Semasa saya pertama kali diundi sebagai Ahli Parlimen Serdang, mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), saya menjanjikan kepada pengundi saya untuk fokus kepada empat perkara di peringkat kebangsaan, iaitu “Pilihan Raya, Ekonomi, Pendidikan, dan Alam Sekitar”. Saya pilih untuk menumpukan usaha kepada isu ini kerana saya berfikiran saya telah mempunyai kepakaran yang mencukupi untuk perkara-perkara ini dan juga kerana minat saya terhadap topik yang berkenaan perkara ini. Sebelum menyertai dunia politik, saya ada menerbitkan beberapa artikel berkenaan dengan pilihan raya, termasuklah artikel mengenai pembahagian tidak adil kawasan undian, ketidakadilan dalam sistem pilihan raya, dan manipulasi sistem pilihan raya di di beberapa buah negara adalah topik yang dibincangkan dalam tesis PhD saya. Saya juga belajar dalam bidang ekonomi di peringkat sarjana muda dan sarjana, bersama dengan pengalaman saya sebagai perunding pengurusan, saya fikir saya boleh membawa perspektif baharu yang unik ke dalam perbahasan parlimen mengenai ekonomi negara. Bersama dengan Tony Pua, saya telah menulis blog dan beberapa artikel mengenai isu-isu berkenaan pendidikan, termasuklah mendedahkan Naib Canselor Universiti Malaya yang berbangga dengan kedudukan UM di tempat ke-89 di dunia sedangkan carta kedudukan ini disalah kira kerana mengklasifikasikan pelajar Cina dan India sebagai pelajar asing. Walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman atau kepakaran khusus mengenai isu-isu alam sekitar, terdapat sesetengah bidang seperti tenaga yang boleh diperbaharui, pengurusan sampah, dan pembersihan sungai yang saya minati dan ingin ketahui dengan lebih mendalam. 

Semasa saya mula mengeluarkan kenyataan media mengenai isu-isu ini sebagai seorang MP, objektif utamanya adalah untuk fokus kepada kekurangan dan skandal-skandal yang melibatkan Menteri dan keputusan yang dibuat oleh mana-mana Menteri atau agensi mereka.

Pendedahan saya bahawa di mana beberapa orang Menteri, Timbalan Menteri, dan juga MP yang telah mendapatkan ijazah daripada tempat yang tidak diiktiraf telah berjaya menarik perhatian akhbar dan membawa reputasi kepada saya sebagai seorang “pemburu ijazah palsu” dalam kalangan ahli-ahli parlimen pembangkang. 

Interaksi saya dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula sejak sebelum saya menjadi seorang MP lagi melalui Projek Analisa Daftar Pemilih Malaysia (MERAP) di mana saya mendedahkan banyak masalah dengan daftar pemilih, termasuklah adanya pengundi yang berusia lebih daripada 100 tahun dan pengundi yang didaftarkan beberapa kali dengan nombor KP lama yang sama. Apabila saya menjadi seorang MP, saya teruskan mendedahkan amalan-amalan tidak adil yang dibuat oleh SPR yang akhirnya membawa kepada persempadanan semula 2018 yang diluluskan tidak lama sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Sehingga kini, kita masih merasakan kesan daripada aktiviti persempadanan semula ini, dengan kawasan parlimen saya, P102 Bangi mempunyai hampir 200,000 pengundi dan mungkin melebihi 300,000 orang pengundi sebelum pilihan raya umum yang akan datang sekiranya Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan serentak. 

Saya menggunakan pengalaman saya sebagai perunding pengurusan sebelum ini dengan bertanya berapakah perunding McKinsey & Co dibayar untuk merangka Pelan Pembangunan Pendidikan 2013. Jawapan parlimen yang saya terima menyatakan kosnya berjumlah RM20 juta, saya jumlah yang rasakan dibazirkan memandangkan kerajaan sudah pun berbelanja berjuta ringgit untuk unit PEMANDU di bawah Idris Jala, yang juga mempunyai portfolio transformasi pendidikan dibawah Bidang Hasil Utama Negara (NKEA).

Penulisan kenyataan-kenyataan ringkas ini selalu membuahkan hasil dalam bentuk laporan dan artikel di portal media atas talian dengan tajuk yang menarik perhatian orang awam kepada isu-isu ini. Tetapi, sisi seorang ahli akademik saya juga pada masa yang sama mahu menjelaskan isu-isu yang lebih rumit kepada orang awam, termasuklah isu-isu berkenaan ekonomi dan kewangan. Daripada kehendak inilah yang membawa saya untuk bekerjasama dengan Teh Chi-Chang, yang pada masa itu merupakan Pengarah Eksekutif di Research for Social Advancement (REFSA), sebuah badan pemikir, untuk menerbitkan satu siri artikel untuk membongkar “mitos-mitos” Program Transformasi Ekonomi (ETP). Hampir 10 tahun kemudian, saya masih berpegang kepada kenyataan-kenyataan dalam artikel yang ditulis bersama Chi-Chang ini. Kaji selidik saya untuk siri artikel PEMANDU tersebut masih menjadi panduan kepada saya untuk membaca butiran-butiran terperinci statistik dan indikator ekonomi yang diterbitkan kerajaan, walaupun semasa PH mentadbir. 

Salah satu perkara pendedahan yang saya tidak dapat lupakan sebagai seorang MP adalah menjelaskan bagaimana kerajaan Najib cuba “menyorokkan” jumlah peruntukan pembangunan di dalam belanjawan dengan menggunakan sebuah entiti yang dimiliki MOF yang bernama Pembinaan PFI. Saya perlu mengkaji selama berbulan-bulan lamanya sebelum saya berjaya memahami bagaimana Pembinaan PFI ini digunakan oleh kerajaan untuk meminjam wang dalam cara yang tidak ditunjukkan secara telus dalam belanjawan, dan perkara ini mengambil masa beberapa tahun (selepas satu atau dua laporan Ketua Audit Negara diterbitkan) sebelum perkara ini difahami dan dilaporkan media.

Selepas pendedahan Pembinaan PFI, saya menggalas tanggungjawab untuk menyiasat kedudukan kewangan sesetengah syarikat-syarikat milik 100% MOF yang besar. Walaupun bukan semua siasatan ini berakhir dengan kenyataan kewangan untuk pendedahan awam, saya cuba menggunakan kajian ini untuk menjelaskan bagaimana amalan sistem kewangan awam yang tidak baik menyebabkan kos sistem pengangkutan awam di Malaysia lebih mahal berbanding dengan di Singapura. Terdapat para pelajar yang kemudiannya mendekati saya untuk memberitahu yang mereka menggunakan kajian saya terhadap Prasarana sebagai sebahagian daripada proses untuk mereka memahami cabaran yang dihadapi oleh sektor pengangkutan awam di Malaysia. 

Saya juga menumpukan usaha dan minat saya terhadap sistem kewangan awam dan dasar pendidikan untuk mengkaji skim Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) secara mendalam yang kemudiannya diterbitkan dengan Penang Institute. Bukan semua orang, termasuklah di dalam parti saya sendiri yang bersetuju dengan cadangan yang saya cadangkan, tetapi saya masih berpegang dengan cadangan-cadangan ini. Isu yang telah saya bangkitkan ini kini lebih relevan berbanding dengan sebelum ini memandangkan PTPTN ini adalah salah satu liabiliti kontinjen terbesar kerajaan (bersama dengan Dana Infra). 

Kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan saya berkisar di sekitar isu-isu nasional dan tidak meninggalkan ruang untuk saya fokus kepada isu-isu tempatan daripada perspektif individu. Untuk mengatasi kekurangan ini, saya menjalankan projek yang membolehkan saya untuk melihat pelbagai perkara daripada perspektif yang berbeza. Sebagai contoh, saya mahu melihat dan memahami cabaran yang dihadapi setiap hari oleh golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan juga keberkesanan usaha untuk membantu mereka. Untuk perkara ini, saya turun ke tempat seperti Chow Kit dan Kota Raya untuk berjumpa dan berbual dengan beberapa orang yang kehilangan tempat tinggal atas pelbagai sebab. Bersama dengan rakan sekerja, kami menemu ramah pelbagai NGO yang membantu golongan gelandangan di KL. Jika saya ingin menerbitkan kajian seperti ini (yang diterbitkan di bawah Penang Institute, berbeza dengan kenyataan-kenyataan media saya sebagai MP Pembangkang) sekali lagi, saya mungkin akan menggunakan pendekatan yang lebih sistematik. Tidak ada jawapan mudah atau solusi cepat untuk “menyelesaikan” masalah-masalah gelandangan ini di bandar-bandar kita. Usaha jangka panjang yang tersusun rapi diperlukan. 

Antara tugas yang paling seronok yang dibuat sebelum ini adalah lawatan kajian ke hutan simpan Ulu Muda di Kedah. Saya mahu memahami mengapa pemeliharaan kawasan tadahan air di sini penting untuk memastikan terdapat bekalan air bersih yang konsisten kepada negeri Pulau Pinang melalui Sungai Muda. Bukan sahaja saya dapat memahami isu ini dengan lebih selepas melawat Ulu Muda dan kawasan sekitarnya, saya juga dapat menikmati persekitaran flora dan fauna yang unik di tempat-tempat yang menarik di dalam negara.

Cara untuk saya cuba menyelesaikan isu-isu nasional ini juga berubah dengan peredaran masa. Semasa saya menjadi Timbalan Menteri di MITI, fokus saya lebih kepada untuk cuba mempengaruhi keputusan dasar di Kementerian dan memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang telah diumumkan. Saya ada mengeluarkan kenyataan media, tetapi kebanyakannya hanya untuk menjelaskan dasar-dasar MITI seperti Industri 4.0.

Kini apabila saya menjadi pembangkang sekali lagi, saya masih mengeluarkan kenyataan media sendiri, tetapi pada masa yang sama, terdapat lebih banyak usaha untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan rakan sejawat dalam parti dan dalam PH, atau kenyataan bersama dengan REFSA. Sebagai contoh, bersama dengan rakan-rakan sejawat, saya telah menerbitkan Kertas Dasar DAP pada bulan Julai 2021, mengenai “Hidup Bersama COVID19” yang diterbitkan di akhbar Edge Weekly, pertama kali dalam sejarah di mana kertas dasar daripada parti pembangkang diterbitkan akhbar sebegitu di Malaysia. Bersama dengan rakan-rakan sekerja di REFSA, saya telah menerbitkan beberapa artikel mengenai bagaimana untuk mengendalikan pandemik COVID19 dengan lebih baik dari perspektif dasar awam.

Pengalaman berada dalam kerajaan sebelum ini telah membenarkan saya untuk mempunyai akses kepada industri dan juga rakan-rakan sejawat daripada perkhidmatan awam termasuklah daripada pejabat dan agensi di MITI sebelum ini. Perkara ini bermakna, berbeza dengan era sebelum PRU14, saya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membantu industri mengatasi dan menyelesaikan masalah mereka dengan kerajaan tanpa perlu mengeluarkan kenyataan media. Perkara ini adalah satu tugas yang perlu diimbangi dengan teliti yang saya masih cuba untuk buat dengan baik. Di mana perlu, saya akan teruskan mengeluarkan kenyataan media. Tetapi, buat masa sekarang, saya dapati lebih baik untuk saya cari solusi jangka panjang kepada masalah yang dibangkitkan oleh individu dan industri tanpa membawa perhatian kepada masalah ini. 

Saya akan terus bekerjasama dengan Menteri-menteri dari pihak kerajaan seperti Khairy Jamaluddin dan mereka yang terbuka untuk mencapai inisiatif menang bersama yang membawa manfaat kepada rakyat. Tetapi di mana terdapat ketempangan dasar yang jelas daripada kerajaan, saya bersama dengan rakan sejawat saya akan terus bersuara dengan lantang. 

Dalam setahun yang akan datang sebelum pilihan raya umum yang akan datang, saya harap saya dapat memberikan input yang berguna dalam bidang-bidang berikut (dan di mana ada peluang, melaksanakan inisiatif-inisiatif ini juga):

1. Dasar perumahan untuk pekerja, terutamanya pekerja asing di Lembah Klang

2. Membantu menghidupkan semula sektor hospitaliti, MICE dan F&B, terutamanya dalam kawasan Parlimen saya

3. Memainkan peranan untuk memulakan semula acara-acara sukan di trek larian yang baru dibaik pulih di Bandar Baru Bangi

4. Mengutip pandangan dan memberikan input yang berbeza kepada cadangan Akta Sewaan Kediaman, satu rang undang-undang yang penting untuk melindungi kepentingan tuan rumah dan penyewa

5. Memperjuangkan ketelusan dalam sektor tuntutan insurans kenderaan

Adakah anda tahu apa yang diperjuangkan MP anda?