Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 1 September 2021

Parti Politik, NGO, dan Kerajaan perlu bekerjasama untuk meningkatkan kadar pendaftaran pengundi muda sebelum PRU15

Terdapat banyak aktiviti yang telah terkesan secara negatif oleh pandemik COVID19 ini dan salah satunya adalah pendaftaran pengundi baru. Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya perlu dipuji kerana meluluskan pendaftaran pengundi atas talian sejak bulan Julai 2019 melalui laman web MyDaftarSPR, masih terdapat keperluan untuk berlakunya kempen dan aktiviti di lapangan untuk mendaftarkan pengundi baru. 

Menurut maklumat terkini daftar pengundi, sejumlah 85358 pengundi baru dicatatkan dalam suku keempat tahun 2020. Angka ini menurun kepada 52382 dalam suku pertama 2021 dan seterusnya kepada 44321 dalam suku kedua 2021, yang merupakan kemas kini terbaru. Perkara ini bermakna, hanya 182061 pengundi baharu didaftarkan dalam daftar pengundi daripada suku keempat 2020 sehingga suku kedua 2021. Untuk perbandingan, kira-kira 500,000 rakyat mencukupi umur 21 tahun setiap tahun untuk layak mendaftar sebagai pengundi.

Tambahan lagi, memandangkan pengundi juga secara berkala akan dibuang daripada daftar pengundi disebabkan oleh kematian, kehilangan kewarganegaraan, atau dipenjara, jumlah tambahan bersih pengundi untuk Q4 2020, Q1 2021 dan Q2 2021 adalah 33089, 12083, dan 3453. Perkara ini bermakna, di antara Q4 2020 sehingga Q2 2021, hanya sejumlah 48625 tambahan bersih pengundi yang dicatatkan dalam daftar pengundi. Terdapat juga sesetengah negeri yang mencatatkan PENURUNAN bersih jumlah pengundi dalam sesetengah suku tahun. Sebagai contoh, PERLIS dan LABUAN menyaksikan penurunan bersih dalam ketiga-tiga suku tahun. Kedah menyaksikan penurunan bersih 486 orang pengundi dalam Q2 2021; Pulau Pinang, penurunan bersih 43 orang pengundi dalam Q2 2021; Perak penurunan bersih 1020 dan 842 orang pengundi dalam Q1 dan Q2 2021; Kuala Lumpur, penurunan bersih 1575 dan 1910 orang pengundi dalam Q1 dan Q2 2021;  Negeri Sembilan, penurunan bersih 143 orang pengundi dalam Q2 2021. Melaka menyaksikan penurunan bersih 601 dan 820 orang pengundi dalam Q4 2020 dan Q2 2021; Johor, penurunan bersih 650 dan 1646 orang pengundi dalam Q4 2020 dan Q2 2021 (rujuk Jadual 1 di bawah).

Kadar pendaftaran pengundi baharu yang rendah ini mungkin merupakan satu petanda yang generasi muda yang layak mengundi merasakan yang mereka lebih tidak terlibat dengan sistem politik berbanding dengan sebelum ini. Mereka juga mungkin lebih bimbang, misalnya, untuk keluar ke pejabat pos dan mendaftar sebagai pengundi dan mungkin ramai yang masih belum sedar mengenai kebolehan untuk mendaftar sebagai pengundi secara atas talian kerana kurangnya publisiti kepada cara pendaftaran ini. Parti politik dan NGO juga tidak dapat menjalankan aktiviti pendaftaran pengundi di pusat membeli belah dan pasar malam atau mana-mana tempat yang sering dikunjungi ramai. 

Untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, termasuklah sikap tidak peduli pengundi, kita perlukan semua pemegang taruh untuk bekerjasama mendaftarkan lebih ramai pengundi, terutamanya mereka dari generasi muda. Kerajaan perlu memainkan peranan, misalnya, dengan mewajibkan pelajar di universiti awam dan swasta untuk mendaftar sebagai pengundi apabila mereka memulakan pengajian mereka. NGO seperti UNDI18 dan BERSIH juga boleh menggerakkan sukarelawan mereka untuk menjalankan aktiviti pendaftaran pengundi di kawasan-kawasan yang dibenarkan buat masa ini. Kita semua, sebagai rakyat, boleh menggalakkan rakan dan ahli keluarga yang baru mencapai usia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi melalui laman web MyDaftarSPR. Hanya dengan golongan pengundi yang lebih terlibat dalam proses politik, termasuklah generasi muda, barulah rakyat boleh memberikan tekanan kepada parti politik untuk meletakkan calon yang bertanggungjawab dan berkelayakan dan membolehkan mereka mengundi calon-calon yang bertanggungjawab dan berkelayakan ini di peringkat negeri dan persekutuan.

Jadual 1: Pengundi Dibuang, Pengundi Baharu, dan Perubahan Tempat Mengundi dalam Daftar Pengundi Q4 2020, Q1 2021, dan Q2 2021