Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 17 Julai 2021

Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk memainkan peranan yang membina dalam Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang

Saya ingin berterima kasih kepada YAB Dato Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, kerana memberikan saya peluang untuk mengkoordinasi peningkatan proses vaksinasi COVID19 dalam industri di Selangor bersama dengan agensi kerajaan persekutuan yang berkenaan sebagai sebahagian daripada “Operasi Lonjakan Kapasiti” (OLK). Tujuan OLK ini adalah untuk memastikan setiap orang dewasa di Lembah Klang (Selangor dan Kuala Lumpur) menerima sekurang-kurangnya SATU dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos. Saya juga ingin berterima kasih kepada Menteri Koordinasi Vaksin COVID19, YB Khairy Jamaluddin kerana bersetuju untuk mengadakan temujanji ini dan juga untuk inisiatif beliau untuk melaksanakan OLK memandangkan terdapat jumlah kes COVID19 yang sangat tinggi di Lembah Klang dalam dua minggu yang lepas. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Dato’ Teng Chang Kim, yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan program industri SELVAX di Selangor bersama dengan pasukan beliau yang berkebolehan di SELCARE, dan juga dengan Senator Dato’ Lim Ban Hong, Timbalan Menteri MITI yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan program PIKAS untuk sektor pembuatan di Malaysia bersama dengan pasukannya yang berkebolehan di MITI.

Masih terdapat banyak kerja untuk dilakukan untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin yang akan menyaksikan 1.3 juta dos vaksin diedarkan daripada 26 Julai sehingga 1 Ogos 2021, di mana kira-kira 500,000 dos akan diedarkan kepada pekerja di industri (250,000 untuk program SELVAX dan 250,000 untuk program PIKAS MITI). Perkara ini bermakna kapasiti harian di Lembah Klang perlu ditingkatkan daripada 180,000 dos sehari (purata 14 ke 18 Julai) kepada 210,000 dos sehari (untuk tempoh dari 19 Julai ke 25 Julai) dan kemudiannya ditingkatkan lagi ke sekurang-kurangnya 272,000 dos sehari untuk tempoh di antara 26 Julai ke 1 Ogos (lihat Rajah 1 di bawah). Perkara ini memerlukan peningkatan edaran dos vaksin di PPV sedia ada di bawah PICK, dan juga 5 tempat di bawah program SELVAX sedia ada, dan pusat PIKAS yang akan dibuka tidak lama lagi di Selangor dan Kuala Lumpur. 

MITI dan SELCARE (yang melaksanakan program SELVAX) perlu memastikan terdapat koordinasi di antara kedua-dua badan ini untuk mengelakkan pertindihan di antara syarikat yang mahu memberikan vaksin kepada pekerja mereka dalam tempoh pelaksanaan OLK ini. Perlu juga terdapat komunikasi yang jelas di antara MITI dan SELCARE untuk mengenal pasti syarikat yang telah mendaftar untuk kedua-dua program (SELVAX dan PIKAS) dan mengenal pasti syarikat yang belum mendaftar untuk mana-mana program. Sebagai contoh, syarikat yang rela dan mampu membayar untuk program SELVAX patut kekal dengan program tersebut manakala syarikat yang tidak mampu untuk mendapatkan vaksin melalui program SELVAX boleh menunggu dan memohon kepada program PIKAS MITI. Lebih banyak tempat pemberian vaksin PIKAS dan SELVAX mungkin perlu dibuka untuk membolehkan pengedaran lebih banyak vaksin. 

SELCARE juga perlu bekerjasama dengan MySejahtera untuk memastikan status mereka yang telah divaksinasikan dengan program SELVAX dikemaskini secepat mungkin supaya mereka tidak pula diberikan slot vaksinasi dalam MySejahtera. Kebolehan MySejahtera untuk mengemaskini pangkalan data mereka untuk mengambil kira vaksinasi SELVAX ini amatlah penting dalam membolehkan program OLK ini untuk mencapai objektif vaksinasi penuh di Lembah Klang menjelang 1 Ogos. 

Butiran lain perlu diperkemaskan oleh semua pemegang taruh dalam tempoh minggu hadapan, sebelum OLK bermula dengan kapasiti penuh dalam minggu yang bermula pada 26 Julai 2021. Kita perlu bekerjasama dan meletakkan politik ke tepi untuk membolehkan OLK ini berjaya bagi menurunkan jumlah kes harian COVID19, dan lebih penting lagi, supaya jumlah kes COVID19 yang serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi juga dapat dikurangkan.