Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Julai 2021

Fokus kepada peratusan kes positif, jumlah dan peratusan kes serius, kapasiti dan kadar kemasukan ke unit rawatan rapi, dan jumlah kematian

Semalam, negara kita mencatatkan kemuncak baharu 13215 kes COVID19. Walaupun angka ini telah menyebabkan kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia, penting untuk kita semua meneliti angka-angka ini dalam konteks yang berpatutan. Lebih banyak ujian saringan yang dijalankan, lebih banyaklah kes positif yang akan dicatatkan, perkara ini, bersama dengan prosedur operasi standard (SOP) yang bertepatan akan membantu usaha untuk mengekang penularan virus ini. Bergerak ke hadapan, kita patut tidak terlalu menumpukan perhatian kepada angka kes ini semata-mata, sebaliknya fokus kepada angka-angka yang lebih khusus dan relevan seperti peratusan kes positif, jumlah dan peratusan kes serius, kapasiti dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU), dan kadar kematian akibat COVID19. Dengan tumpuan kepada angka yang tepat, ada harapan untuk pembukaan semula secara beransur-ansur, pelbagai sektor ekonomi secara selamat dan bertanggungjawab, walaupun dengan kadar kes yang masih tinggi. Seperti yang kita dapat lihat di UK, dengan 80% populasi dewasa diberikan vaksin, jumlah kes COVID19 masih mencatatkan purata hampir kepada 35,000 kes dalam tempoh 7 hari yang lepas. Apa yang lebih penting adalah, jumlah kes serius dan kematian akibat COVID19, terutamanya dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksin, kekal rendah. Perkara ini membolehkan ekonomi di UK untuk dibuka semula walaupun dengan kadar kes COVID19 yang masih tinggi. 

Sejumlah 134,569 — angka tertinggi setakat ini — ujian saringan telah dijalankan di Malaysia dalam tempoh 24 jam sebelum jumlah kes diumumkan semalam. Walaupun kadar peratusan kes positif dalam ujian saringan ini kekal tinggi pada kadar 9.8%, pendekatan untuk menjalankan lebih banyak ujian saringan ini adalah satu langkah yang bertepatan kerana ia membolehkan kita mengenal pasti pesakit positif COVID19 dan mengarahkan mereka untuk di kuarantin di rumah (untuk kes tidak serius) atau dimasukkan ke hospital (untuk kes serius). Apa yang lebih penting untuk diingati juga adalah 96% kes positif COVID19 ini melibatkan mereka yang sama ada tidak menunjukkan sebarang simptom (60.9%) atau simptom ringan (35.1%). Pesakit dalam kedua-dua kategori ini diminta untuk kuarantin di rumah. Namun, masih terdapat 531 kes dalam Kategori 3 (Pesakit yang menunjukkan simptom dengan jangkitan paru-paru), Kategori 4 (Pesakit yang memerlukan bantuan oksigen), dan Kategori 5 (Pesakit kritikal dengan masalah pelbagai organ). Tetapi, 531 kes tidak kelihatan merisaukan seperti 13,215 kes dan perkara ini memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai impak COVID19 kepada sistem kesihatan. 

Setakat 14 Julai, 12.65 juta dos telah diberikan, merangkumi 36% populasi dewasa menerima dos pertama dan 17% menerima dua dos. Dijangkakan semua penduduk yang telah mendaftar untuk menerima vaksin di Lembah Klang akan menerima dos pertama mereka menjelang 1 Ogos (tidak termasuk migran tanpa dokumen) dan menerima vaksinasi lengkap menjelang penghujung bulan Ogos. Dengan peningkatan kadar vaksinasi, jumlah kes sepatutnya juga turun. Dalam tempoh peralihan ini, kita perlu beralih daripada terlalu fokus kepada angka kes harian semata-mata. Sebaliknya, orang awam perlu didedahkan kepada angka-angka indikator yang lebih penting seperti jumlah pesakit kes serius dalam kategori 3, 4, dan 5, jumlah kematian akibat COVID19, dan kapasiti unit rawatan rapi. 

Saya gesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk TIDAK menggunakan angka kes harian (4000 adalah satu nombor yang dipetik sesuka hati), sebaliknya, mengubah indikator ini untuk fokus kepada angka-angka yang dinyatakan di atas dan menggunakan maklumat ini untuk membuat keputusan mengenai bila ekonomi boleh dibuka semula secara beransur-ansur dengan selamat. Tambahan lagi, sebarang keputusan MKN mengenai mana-mana sektor ekonomi yang perlu ditutup perlulah diasaskan kepada data dan sains, BUKANNYA kepada spekulasi dan kebimbangan semata-mata di mana kluster penularan “mungkin” akan terjadi, misalnya di tempat membeli belah atau gimnasium.