Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 14 Julai 2021

Jadikan hotel sebagai pusat kuarantin risiko rendah untuk pesakit COVID19 untuk mengurangkan beban petugas barisan hadapan

Semalam, jumlah kes positif COVID19 dalam negara mencapai rekod tertinggi baharu sebanyak 11079 kes. Laman media sosial juga telah dibanjiri dengan gambar-gambar yang menunjukkan hospital, pusat kuarantin, dan juga pusat penilaian COVID19 (CAC) yang terlalu sesak di Selangor. Satu cara untuk kita mengurangkan beban kepada para petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan kita dalam waktu yang mencabar ini adalah dengan mengubah proses penilaian pesakit positif COVID19, supaya mereka yang tidak terlalu serius (Kategori 1 dan 2) tidak perlu pergi ke CAC, sebaliknya dinilai daripada rumah melalui panggilan video atau telefon dan dikuarantin di rumah atau pusat kuarantin berisiko rendah, mengikut pilihan mereka. 

Cara ini juga berpeluang untuk membantu sektor hotel yang terkesan teruk. Dengan kadar penghunian yang amat rendah, banyak hotel terpaksa menggulung tikar. Sesetengah hotel telah diubah menjadi pusat kuarantin berisiko rendah untuk pesakit COVID19 Kategori 1 (yang tidak menunjukkan simptom) dan Kategori 2 (simptom ringan). Tempat-tempat ini dipanggil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID19 Risiko Rendah Swasta (PKRCS). Beberapa hotel di Lembah Klang juga telah diubah suai menjadi pusat kuarantin untuk pesakit COVID19 berisiko rendah, seperti Hotel Saujana Subang, Royal Chulan KL, SILKA Cheras, dan yang terkini, resort hotel di Bandar Baru Bangi, Selangor. Daripada apa yang saya difahamkan, permintaan untuk bilik-bilik hotel ini amat tinggi, dengan kebanyakan hotel mencapai kadar penghunian hampir 100%. 

Lebih banyak hotel di Lembah Klang patut dibenarkan untuk diubahsuai menjadi pusat kuarantin berisiko rendah ini, termasuklah hotel bajet untuk memberikan pilihan pada pelbagai tanda harga. Selepas berkongsi pengalaman saya dalam melihat proses permohonan dan kelulusan hotel resort di Bangi untuk dijadikan pusat kuarantin, melalui pelbagai platform, tiga operator hotel bajet telah mendekati saya untuk mengetahui mengenai proses ini dengan lebih lanjut. 

Perlu saya jelaskan di sini yang pusat kuarantin berisiko rendah ini PERLU disokong oleh pegawai perubatan yang membentuk sebahagian daripada ekosistem pusat-pusat sebegini. Kos ditanggung oleh para pesakit sendiri. Hotel-hotel ini perlu mempunyai jumlah minima bilik (sekurang-kurangnya 50 mengikut jangkaan saya) untuk proses ini berbaloi untuk dikelola oleh pihak organisasi kesihatan dan kakitangan yang memberikan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit di pusat-pusat seperti ini. Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan garis panduan mengenai proses perubatan yang perlu dilaksanakan di pusat-pusat ini untuk memastikan kebajikan pesakit terus terjaga.

Selain daripada untuk mengelakkan kesesakan di pusat kuarantin awam seperti MAEPS, Serdang, pusat kuarantin berisiko rendah ini juga boleh memberikan kelegaan kepada ahli keluarga yang mahu dikuarantin di hotel berbanding dengan di rumah di mana mereka mungkin mendedahkan ahli keluarga mereka kepada risiko jangkitan COVID19.

Kementerian Kesihatan perlu segera mengeluarkan arahan yang bersesuaian kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan Pegawai Daerah (DO) supaya mereka boleh memberikan strategi ini keutamaan sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk mengawal kesan penularan COVID19 di Selangor. Kelulusan untuk membuka pusat-pusat ini perlu diberikan oleh Pegawai Daerah tetapi juga perlu mendapatkan persetujuan daripada kementerian dan agensi kerajaan yang lain seperti KKM dan NADMA. Perkara ini perlu dilihat sebagai pendekatan melibatkan “keseluruhan masyarakat dan keseluruhan kerajaan” dalam melawan penularan wabak COVID19.

No photo description available.
No photo description available.