Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 7 Jun 2021

Utamakan Vaksinasi untuk Kilang dan Industri di Selangor untuk mengurangkan kadar jangkitan dan keseriusan kes Covid-19 di Lembah Klang dan seluruh negara

Semalam, jumlah kes Covid-19 di Selangor mencecah paras 2836 kes daripada sejumlah 6276 kes di seluruh negara, kira-kira 45% dari jumlah kes dalam negara. Besar kemungkinan yang akan ini akan terus tinggi di Selangor untuk beberapa minggu yang akan datang atas pelbagai sebab, termasuk kemungkinan penularan variasi DELTA yang lebih kuat menular, dan jangkitan berterusan dalam kalangan para pekerja di hostel dan asrama kediaman mereka. Terdapat keperluan mendesak untuk program PIKAS di peringkat persekutuan dan SELVAX di peringkat negeri untuk bergerak serentak supaya vaksinasi pekerja di kilang-kilang dan tapak pembinaan dapat dipertingkatkan untuk mengurangkan kadar jangkitan dan keseriusan kes Covid-19 di Lembah Klang. Kita hanya mampu mencapai angka “ajaib” bawah 4000 kes sehari yang akan membolehkan kita beransur ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara untuk membuka semula ekonomi apabila kes-kes di Lembah Klang berkurangan. Dengan menyelamatkan Selangor, kita dapat selamatkan seluruh negara. 

Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari, semalam mengumumkan yang 81% kluster aktif adalah berkaitan dengan kilang (lebih tepat lagi, berkaitan dengan asrama kediaman pekerja) manakala 11% lagi adalah berkaitan dengan tapak pembinaan. Apabila kita teliti lagi angka ini, situasi ini menjadi lebih jelas di peringkat seluruh negara. Daripada 325 kluster baharu kilang yang dikenalpasti sejak daripada permulaan PKP 3.0 pada Mei 2021, 199 atau 36.6% berada di Selangor atau berkaitan dengan Selangor (bermakna kluster ini bermula di Selangor dan melibatkan kluster di Lembah Klang). Daripada 10802 kes positif yang dikenal pasti di kilang-kilang di seluruh negara semasa tempoh PKP 3.0 (termasuk dalam tempoh sekatan pergerakan), 4891 kes ini, atau 45.3% adalah di Selangor. Perkara ini terjadi kerana Selangor mencatatkan jumlah kilang dan pekerja kilang yang lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain. 

Di bawah program SELVAX untuk industri di Selangor, kira-kira 2 juta dos telah diperuntukan untuk sejuta pekerja dalam industri dalam negeri, merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, peruncitan, dan lain-lain. Sektor pembuatan dan pembinaan perlu diberikan keutamaan kerana mempunyai kadar peratusan tenaga buruh asing yang lebih tinggi, yang ramainya tinggal di asrama kediaman yang sesak. Zon industri dan pembinaan yang telah mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi dalam dua bulan yang lepas juga perlu diberikan keutamaan, misalnya kawasan-kawasan di daerah Hulu Langat, Petaling, dan Klang. Program vaksinasi ini perlu dijalankan di zon industri atau kawasan berdekatan, untuk mengurangkan keperluan untuk para pekerja bergerak jauh untuk mendapatkan vaksin, memandangkan terdapat kebimbangan yang pekerja tanpa permit mungkin akan menjadi sasaran pihak imigresen, dan risiko ini meningkat lebih tinggi apabila mereka perlu bergerak lebih jauh daripada tempat kerja atau tempat tinggal mereka. 

Kerana jumlah pekerja yang tinggi dalam sektor pembuatan dan pembinaan di Selangor, program PIKAS di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menumpukan usaha untuk memberikan vaksin kepada pekerja dalam sektor pembuatan perlu bergerak selari dengan program vaksinasi industri SELVAX. Setakat ini, dua lokasi di Selangor telah dikenalpasti sebagai tempat pelaksanaan PIKAS, Setia Alam Convention Center dan Shah Alam Convention Center. Jumlah lokasi PIKAS ini perlu dipertingkatkan dan ditempatkan berdekatan dengan zon industri dan pembinaan.

Program PIKAS mengenakan bayaran sebanyak RM90 (untuk menampung kos pentadbiran dua dos, vaksin diberikan percuma oleh Kerajaan Persekutuan) sementara program industri SELVAX pula mengenakan bayaran RM350 untuk dua dos. Oleh itu, MITI perlu menumpukan usaha program PIKAS kepada PKS yang kurang berkemampuan berbanding dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang besar. Saya cadangkan supaya MITI dan STFC (bersama dengan SELANGKAH dan POIS) duduk bersama untuk berbincang strategi untuk program vaksinasi industri di Selangor, terutamanya memandangkan lebih banyak bekalan vaksin akan mula diterima dalam bulan Julai dan Ogos. Sebagai mantan Timbalan Menteri MITI dan ahli Jawatankuasa POIS, saya bersedia untuk menjadi pemudah cara perbincangan di antara MITI dan agensi kerajaan negeri dan ahli politik berkenaan di Selangor. 

Hanya dengan usaha bersatu padu di antara kerajaan persekutuan dan negeri, bermula di Selangor, boleh kita mula melihat kesan dari segi jumlah kes Covid-19 di Lembah Klang dan juga di seluruh negara. Marilah kita ketepikan perbezaan politik untuk terus fokus kepada kebajikan fizikal dan ekonomi rakyat dalam negara. 

  1. https://www.nst.com.my/amp/news/nation/2021/06/703860/81-cent-cases-selangor-are-factories-says-mb (Pengiraan kluster tidak mengambil kira penularan sporadik dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster)