Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 28 Jun 2021

Buka semula ekonomi secara selamat dengan pendekatan berteraskan data dan sains, sebelum lebih banyak perniagaan gulung tikar

Perdana Menteri telah mengumumkan semalam yang kita akan kekal dalam Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sehingga jumlah kes harian Covid-19 turun ke bawah paras 4000 kes sehari. Perkara ini bermakna, operasi makan di kedai makan (dine-in) masih tidak dibenarkan, kedai-kedai runcit bukan perlu masih tidak dibenarkan untuk dibuka, dan kebanyakan industri perkhidmatan (termasuklah kedai baiki telefon bimbit dan komputer riba) akan kekal tidak beroperasi. Sementara itu, kebanyakan kilang, di mana kebanyakan kluster dan kes baharu dikesan dalam fasa PKP 3.0 ini terus dibenarkan untuk beroperasi. Daripada menunggu angka kes baharu untuk turun ke kadar bawah 4000 kes (yang merupakan satu nombor yang dipilih secara rawak tanpa mengambil kira kadar peratusan kes positif, jumlah ujian saringan yang dibuat setiap hari, atau angka katil unit rawatan rapi yang sedang digunakan), saya cadangkan supaya kerajaan membenarkan lebih banyak sektor dibuka secara selamat dan bertanggungjawab, dengan pendekatan yang berteraskan data dan sains dari dalam dan luar negara, sebelum lebih banyak perniagaan terus gulung tikar.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan yang dibuat oleh Dato’ David Gurupatham, pengasas bersama Industries Unite apabila beliau mengatakan yang “Perniagaan sepatutnya dibenarkan untuk beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat” temasuklah sektor peruncitan dan makanan dan minuman. Sekiranya kita perlu menunggu sehingga angka kes baharu turun ke bawah kadar 4000 kes sehari (yang mungkin hanya akan berlaku pada minggu hadapan atau bulan hadapan), lebih banyak perniagaan akan terpaksa menutup kedai, dan untuk kebanyakan mereka, buat selamanya. Menurut satu tinjauan yang baru diterbitkan oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), lebih daripada setengah PKS tidak akan mampu bertahan sehingga September 2021 kerana mereka telah menggunakan simpanan tunai mereka sehingga habis dan 30% PKS tidak akan bertahan sekiranya PKP Penuh ini dilanjutkan lagi (Lampiran 1 di bawah). Saya juga telah dimaklumkan kira-kira 30% pub dan bar telah gulung tikar, begitu juga kira-kira 12% perusahaan yang melibatkan barangan untuk sektor ini. Kebanyakan gim dan penganjur acara aktiviti luar juga sedang merayu untuk mendapatkan bantuan dan sokongan terutamanya kerana mereka tidak dapat melihat pengakhiran kepada masalah ini. Selepas tawaran khidmat perundingan pro-bono saya, saya telah menerima lebih daripada 20 permohonan bantuan daripada pelbagai sektor dalam ekonomi.

Bantuan kewangan amat diperlukan oleh sektor yang paling terkesan secara negatif akibat daripada wabak ini dan sekatan pergerakan yang dibuat akibatnya. Rakan sekerja saya, mantan Menteri Belia dan Sukan, telah muncul dengan cadangan RM100 juta untuk menyelamatkan industri sukan. Selain daripada bantuan kewangan, apa yang diperlukan oleh syarikat (terutamanya PKS) adalah untuk boleh beroperasi semula secara selamat dan bertanggungjawab. Saya mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan setiap Menteri dan Kementerian untuk membentangkan rancangan bagaimana untuk membuka semula pelbagai sektor ekonomi secara selamat dengan SOP yang ditambah baik (sebagai contoh, mungkin dengan membenarkan aktiviti makan di kedai yang dihadkan kepada dua orang, bermula dengan mereka yang telah divaksin, mungkin dengan had masa selama 15 minit di kedai kopi dan 1 jam di kedai makan yang lebih besar dengan pengudaraan yang baik). Rancangan ini mestilah dibentangkan menjelang hujung minggu ini dan ekonomi negara MESTILAH dibenarkan dibuka semula menjelang hari Isnin depan, 5 Julai 2021 dengan SOP yang telah ditambah baik.

Sebagai contoh, tidak masuk akal untuk kedai menjual komputer riba dan telefon bimbit untuk terus tutup sedangkan para pekerja perlu bekerja dari rumah dan para pelajar perlu belajar daripada rumah. Apakah yang perlu kami buat apabila peranti elektronik kami rosak atau kami perlu gantikan peranti lama dengan yang baru?

Pada masa yang sama, SOP yang diperbaiki, termasuklah prosedur dan protokol ujian saringan yang lebih ketat perlu dilaksanakan di kilang dan kawasan pembinaan kerana tempat-tempat ini adalah di mana kluster baharu kerap muncul. Kerajaan juga perlu bersedia untuk memberikan subsidi kepada langkah ujian saringan ini, terutamanya untuk PKS dalam sektor pembuatan yang telah terkesan teruk akibat wabak COVID19.

Saya juga berbesar hati untuk membantu kerajaan atau mana-mana Kementerian dalam merangka SOP yang diperbaiki ini bersama dengan pemegang taruh dan pakar-pakar industri yang berkenaan.


Kerajaan perlu melakukan satu lagi pusingan-U mengenai dasar untuk hanya membuka semula ekonomi apabila angka kes turun di bawah paras 4000 kes sehari. Jika tidak, lebih banyak perniagaan akan gulung tikar dan kesusahan serta keperitan rakyat hanya akan bertambah teruk berbanding dengan apa yang berlaku sekarang.