Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 16 Jun 2021

10 Persoalan dan Cadangan untuk Pelan Pemulihan Negara

Sejak daripada tawaran untuk memberikan perkhidmatan perundingan “pro bono” semalam, saya telah menerima panggilan dari kilang bir, agensi pemungutan hutang, seorang peguam yang menguruskan urusan hartanah dan petani cili sambilan yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas. Walaupun saya tidak menerima sebarang panggilan atau pesanan dari pejabat Perdana Menteri, saya mahu mengemukakan 10 soalan berikut mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 yang baru diumumkannya dan pada masa yang sama memberikan beberapa cadangan, secara pro-bono, untuk membantu menjawab beberapa soalan ini.

1) Apakah idea PM untuk meningkatkan hasil dan menambah baik situasi aliran tunai di Kementerian Kewangan?

Salah satu cabaran yang sedang dihadapi oleh Kementerian Kewangan dan mungkin lebih tepat lagi, sesetengah agensi kerajaan atau badan berkanun tertentu, adalah masalah aliran tunai pada masa-masa yang mencabar ini. Sebagai mantan pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih dikenali sebagai PTPTN, badan berkanun ini bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk membiayai pembayaran faedah tahunannya untuk semua pinjamannya yang belum selesai dan juga pembayaran balik dari pelajar yang sudah lulus. PTPTN bergantung secara signifikan kepada aliran tunai dan aliran tunainya telah terjejas teruk sejak awal PKP 1.0 dengan penangguhan pembayaran semula pinjamannya. Salah satu cara yang dapat ditangani oleh cabaran aliran tunai ini adalah dengan mengasingkan sebahagian daripada portfolio pinjaman untuk pelajar yang sedang belajar dan yang telah lulus dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (atau IPTS). PTPTN dapat memberikan data dengan mudah untuk menunjukkan bahawa pembayaran pinjaman dari kumpulan pelajar ini boleh dipercayai dan dapat diramalkan, dua elemen yang dicari oleh institusi kewangan yang ingin melindungi mana-mana portfolio pinjaman.

2) Bagaimana untuk membantu sektor hotel dan pelancongan dengan cara yang lebih kreatif?

Kita semua tahu bahawa sektor hotel dan pelancongan telah terkesan dengan wabak ini. Selain daripada memberikan subsidi gaji kepada majikan semasa tempoh sekatan pergerakan, apakah kaedah kreatif lain yang dapat kita fikirkan untuk membantu mereka dalam sektor ekonomi ini? Dalam jangka pendek, sesetengah hotel mungkin dapat dijadikan pusat vaksinasi (PPV) dan juga pusat kuarantin sementara (bagi mereka yang tidak mahu pergi ke MAEPS di Serdang dan sanggup membayar) untuk menampung kos operasi dan gaji premis ini. Untuk beberapa hotel dengan lapangan golf dan pusat membeli-belah, mereka memiliki bumbung dan tanah terbiar yang dapat diubah menjadi taman di bumbung dan tempat di mana panel solar dapat dipasang. Beberapa bank sudah menawarkan pakej untuk membiayai pemasangan panel solar. Bolehkah kerajaan memberikan pinjaman mudah atau geran tambahan untuk menjadi inisiatif yang ditujukan kepada sektor hotel dan pelancongan?

3) Bolehkah kita tubuhkan satu bentuk Danaharta yang lebih baik?

Kita yang pernah melalui krisis kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an pasti akan ingat mengenai peranan yang dimainkan oleh Danaharta dalam mengambil alih aset yang bermasalah dari bank sehingga mereka dapat dimodalkan semula dengan betul dan mula memberi pinjaman semula kepada sektor swasta tanpa beban pinjaman tidak terbayar yang besar. Semasa krisis pandemik ini, terdapat banyak syarikat dengan aset berkualiti baik yang boleh dijadikan jaminan untuk syarikat-syarikat ini meminjam dana untuk menampung perbelanjaan mereka sementara menunggu ekonomi dibuka semula. Cabarannya ialah banyak bank enggan memberi pinjaman, terutama kepada beberapa sektor yang terjejas teruk seperti peruncitan, pelancongan dan rekreasi serta makanan dan minuman.

Bolehkah kerajaan masuk campur dengan melakukan sesuatu yang serupa di mana aset ini dapat diperoleh sementara sebagai jaminan dan kemudian digunakan untuk menjamin pinjaman syarikat-syarikat ini kepada bank? Prokhas (sebelum ini dikenali sebagai Danaharta) dapat dipanggil sekali lagi untuk menjadi agensi penyelaras dan SJPP dapat dipanggil untuk melakukan jaminan pinjaman. Setelah wabak ini berakhir dan aliran tunai perniagaan kembali normal, aset mereka dapat dikembalikan kepada mereka (dengan sedikit kos pentadbiran untuk menampung perbelanjaan Prokhas dan SJPP). Bank-bank yang menyertai program ini juga dapat diminta untuk memberikan moratorium pinjaman kepada syarikat-syarikat yang memberikan cagaran untuk membolehkan terdapatnya moratorium pinjaman yang lebih bersasar. (Saya harap Bank Negara dan MOF dapat meluluskan penyelesaian menang-menang ini)

4) Bagaimana pula dengan solusi yang lebih kreatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan belia?

Isu pengangguran belia (yang berada pada paras tiga kali daripada pengangguran am) telah menjadi perkara yang telah berulang kali diulang oleh ahli ekonomi dan pembuat dasar. Saya dengan rendah hati mempunyai cadangan untuk dibuat di sini. Agensi kerajaan persekutuan seperti MDEC dan agensi negeri seperti SIDEC di Selangor telah menyediakan pelbagai geran digitalisasi terutamanya kepada PKS. Tetapi salah satu cabaran utama adalah mencapai pemilik-pemilik PKS ini, yang kebanyakannya tidak celik digital. Mengapa tidak mencari penyelesaian menang-menang dengan mengupah graduan-graduan baharu ini atau para belia yang baru kelihangan kerja ini yang mahir secara digital untuk membantu “mendigitalisasi” PKS-PKS ini? Perkara ini boleh menjadi seringkas meletakkan peniaga kuay teow atau popiah tempatan untuk menyertai platform penghantaran makanan atau menolong restoran tempatan melakukan promosi FB dan membuat poster FB menggunakan aplikasi perisian dalam talian seperti CANVA. Para belia ini kemudian dapat menjadi “barisan depan” digital kita untuk membantu PKS (dan mereka juga boleh diberikan vaksin sebagai satu dari keperluan pekerjaan mereka).

5) Bagaimana untuk memastikan golongan B40 mendapat peranti digital?

Salah satu cabaran utama berkaitan dengan belajar dari rumah semasa wabak ini adalah keperluan membeli alat digital tambahan untuk anak-anak kita termasuk komputer riba dan telefon bimbit. Baru-baru ini saya mendapat tahu mengenai syarikat IT Malaysia bernama Rentwise yang antara lain akan menggunakan komputer riba lama dan peranti digital lain, “membersihkannya” dan kemudian menyewakannya semula, termasuk kepada komuniti B40. Daripada menunggu Kementerian Kewangan selesai membeli semua 150,000 komputer riba / peranti digital yang dijanjikan, mengapa tidak meminta syarikat dan rakyat Malaysia lain untuk terlibat dalam usaha ini dengan menyumbangkan peranti digital lama kita kepada syarikat seperti Rentwise yang kemudiannya dapat menyewakan peranti ini kepada yang lain termasuk mereka dari komuniti B40? Kerajaan persekutuan dan negeri juga boleh menawarkan pemotongan cukai, baik kepada individu dan syarikat yang menderma, dan kepada syarikat yang menerima dan kemudian menyewakan peranti ini. Dan ini juga boleh dianggap sebagai inisiatif lestari yang selaras dengan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu!

6) Bagaimana dengan keadaan perumahan pekerja asing, terutamanya yang tinggal di kilang?

Dengan tercetusnya penularan COVID19 di banyak kilang di seluruh negara, banyak pemilik kilang telah memilih untuk “memaksa” pekerja asing mereka tinggal di lokasi di dalam kilang kerana bimbang pekerja ini mungkin dijangkiti COVID19 jika mereka dibenarkan tinggal di luar sendiri. Dari segi teknikal, pekerja tidak seharusnya tinggal di kawasan kilang. Tetapi mengingat keadaan semasa, kerajaan perlu lebih fleksibel dan membuat garis panduan perumahan baru di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bersama dengan kerajaan negeri masing-masing, supaya penginapan di kilang-kilang dapat dibina secara sah. 

Saya pernah berbincang dengan beberapa syarikat yang dapat menyediakan aturan penginapan berbentuk “asrama” seperti ini dan susunan penginapan ini dapat dibentuk dan dibuka semula dalam jangka waktu yang sangat singkat. Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah menyediakan garis panduan yang diperbaharui supaya penginapan dapat dibina di kawasan perindustrian dan pada masa yang sama masih mematuhi Akta 446 (Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja (Pindaan) 2019).

7) Bolehkah kita memikirkan cara baru untuk membuka ruang dalaman dengan cara yang bertanggungjawab dan saintifik?

Salah satu kebimbangan untuk membuka semula ruang dalaman adalah penyebaran virus COVID19 secara aerosol. Salah satu cara bagi kita untuk meminimumkan risiko ini adalah memastikan kualiti udara di dalam ruangan ini sentiasa dipantau dan dibersihkan. Saya diberitahu bahawa kerajaan Belgium baru-baru ini mewajibkan penggunaan pemantauan CO2 di ruang tertutup sebagai prasyarat untuk membuka ruang dalaman. Kita mempunyai sektor Pemanasan dan Penyamanan Udara (HVAC) yang sangat cergas dan inovatif di Malaysia yang diketuai oleh Persatuan Penyamanan dan Penyejukan Udara Malaysia (MACRA). Saya yakin bahawa mereka dapat memberikan input terkini mengenai bagaimana untuk memastikan kualiti udara bersih melalui pemasangan penapis udara dan memastikan peredaran udara yang dirancang supaya ruang dalaman ini dapat dibuka dengan cara yang bertanggungjawab dan saintifik. Sebagai permulaan ruang dalaman dalam kes ini merangkumi restoran, gimnasium dan ruang perjamuan.

8) Bolehkah kita menggunakan teknologi untuk membuka semula pusat membeli-belah dengan selamat?

Dalam topik yang berkaitan, kita juga dapat menggunakan teknologi untuk mengendalikan dan memantau jumlah orang ramai di sebuah pusat membeli menggunakan pemantauan waktu nyata melalui CCTV dan juga mengesan aplikasi seperti MySejahtera atau aplikasi yang dapat dihasilkan oleh pusat membeli-belah individu. Setelah had orang (yang ditentukan oleh ukuran dan kualiti peredaran udara pusat membeli-belah) telah tercapai, tidak ada orang lain yang boleh dibenarkan masuk ke pusat membeli-belah sehingga seseorang keluar. Memandangkan kita menggalakkan untuk menerapkan teknologi Industri 4.0 termasuk Internet of Things (IOT), kerajaan harus memimpin dalam mencari penyelesaian yang bersesuaian bersama dengan sektor swasta menggunakan teknologi dan inovasi.

9) Bolehkah kita memikirkan cara untuk mengadakan acara fizikal menggunakan SOP antarabangsa yang sedia ada?

Ini adalah sedikit persoalan yang sedikit mementingkan diri sendiri untuk dijawab kerana ia adalah bidang yang dekat dan disukai saya. Tidak ada sebab mengapa acara larian berskala kecil tidak dapat diatur dengan cara yang sesuai dengan SOP antarabangsa. Kementerian Belia dan Sukan boleh bekerjasama dengan penganjur perlumbaan untuk menggunapakai versi ringkas dari buku panduan Prosedur Perlindungan COVID19 Atletik Dunia yang merangkumi ujian saringan untuk atlet sebelum acara dan meminimumkan interaksi di antara peserta. Baru-baru ini saya telah menaik taraf trek larian 400m di kawasan saya di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi dan saya amat terbuka untuk bekerjasama dengan penganjur perlumbaan dan Kementerian Beliau dan Sukan untuk mengkaji bagaimana acara dapat dijalankan dengan cara yang bertanggungjawab selepas penamatan Fasa 1 PKP Penuh. 

10) Bagaimana untuk membina tabung IDEA?

Idea yang saya kemukakan di atas bukanlah sains roket. Saya mendapat beberapa idea ini dari rakan dan orang lain yang menghubungi saya. Saya dengan rendah hati mencadangkan agar Pejabat Perdana Menteri menubuhkan “Tabung Idea Pelan Pemulihan Negara” (mirip dengan bank makanan tetapi untuk idea) supaya siapa pun yang berpendapat bahawa dia mempunyai idea yang baik untuk membantu membuka semula ekonomi secara bertanggungjawab dan dengan selamat dapat memasukkan idea ke dalam “tabung” ini. Pejabat Perdana Menteri kemudian boleh memilih idea yang baik setiap hari dan meminta Menteri berkenaan untuk menemu ramah orang yang mengemukakan idea itu dan melihat bagaimana untuk menerapkannya di kementerian masing-masing.

Sementara menunggu Jabatan Perdana Menteri bertindak, jika anda mempunyai idea baik, sila hantarkan e-mel kepada saya di [email protected]!