Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 31 Mei 2021

Tiga Cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu majikan dan pekerja yang tidak boleh untuk bekerja dari rumah dalam tempoh Sekatan Pergerakan Menyeluruh PKP 3.0 yang akan bermula pada 1 Jun 2021

Sektor ekonomi yang dikira sebagai “penting” dan dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh Sekatan Pergerakan Menyeluruh PKP 3.0 bermula pada 1 Jun 2021 ini telah diumumkan semalam dalam sidang media Menteri Kanan Ismail Sabri. Berikut adalah tiga cadangan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk majikan dan pekerja yang masih perlu hadir ke tempat kerja dalam tempoh ini.

Pertama, semua Kementerian yang bertanggungjawab untuk meluluskan permohonan syarikat untuk beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan menyeluruh ini perlu dibenarkan untuk terus menggunakan sistem pendaftaran, pemprosesan, dan kelulusan MITI yang dipanggil CIMS 3.0. Ismail Sabri mengumumkan semalam yang MITI hanya akan bertanggungjawab untuk memproses permohonan daripada Sektor Pembuatan dan Perkhidmatan Pembuatan, dan Kementerian lain-lain perlu memproses permohonan daripada industri di bawah kawalan selia mereka. Sebagai contoh, mereka dalam sektor agrikultur perlu memohon kelulusan untuk beroperasi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Perusahaan restoran perlu memohon kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Mereka yang berada dalam sektor pembinaan perlu memohon daripada Kementerian Kerja Raya. Inilah adalah beberapa contoh. Daripada setiap kementerian membuat sistem permohonan dan pemprosesan sendiri, saya cadangkan supaya ke semua kementerian ini menggunakan sistem CIMS 3.0, termasuklah untuk mencetak surat kelulusan menggunakan kepala surat kementerian masing-masing. Kelulusan untuk meneruskan operasi ini masih akan datang daripada kementerian-kementerian ini, MITI hanya akan memainkan peranan sebagai pemudah cara / peranan pembekal perkhidmatan IT kepada Kementerian-kementerian ini.

Perkara ini akan membuatkan proses permohonan dan kelulusan lebih pantas, terutamanya memandangkan MITI telah pun mempunyai maklumat mengenai hampir ke semua syarikat yang beroperasi semasa tempoh PKP 2.0 dan PKP 1.0. Perkara ini juga akan mengurangkan beban kepada penjawat awam dalam kementerian-kementerian lain dan mengelakkan daripada setiap kementerian untuk membuat sistem pendaftaran sendiri.

Kedua, Majlis Keselamatan Negara perlu menerbitkan senarai sektor yang boleh meneruskan operasi di bawah PKP 3.0 dan Kementerian yang bertanggungjawab ke atas sektor-sektor ini. Untuk sesetengah sektor, Kementerian yang bertanggungjawab agak jelas, seperti sektor pengangkutan barang dan perkhidmatan yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pengangkutan. Untuk sektor lain, perkara ini mungkin tidak beberapa jelas. Sebagai contoh, adakah kedai cermin mata perlu mendapatkan kelulusan untuk meneruskan operasi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau Kementerian Kesihatan (KKM)? Adakah KPDNHEP berkebolehan untuk mengeluarkan SOP untuk memastikan operasi yang selamat untuk kedai cermin mata atau adakah mereka perlukan KKM? Adakah hotel yang beroperasi sebagai pusat kuarantin perlu mendapatkan kelulusan untuk meneruskan operasi daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Kesihatan, atau Kementerian Dalam Negeri? Saya pasti terdapat banyak lagi sektor-sektor yang saya tidak sebutkan di sini yang mengelirukan dari segi bidang kuasa kawalan selia.

Ketiga, semua Menteri perlu bermesyuarat untuk menilai sama ada terdapat kekurangan dalam SOP semasa yang perlu diselesaikan dan dikemaskini segera sebelum sekatan pergerakan menyeluruh bermula esok. Sebagai contoh, institut pengajian tinggi tidak dibenarkan untuk beroperasi semasa Sekatan Pergerakan Menyeluruh kecuali untuk mengadakan kelas dalam talian. Tetapi kakitangan penyelenggaraan dan keselamatan untuk setiap kampus ini perlu bekerja untuk menjaga dan menyelenggara aset institusi-institusi ini. Mungkin tidak semua perlu pergi bekerja. Mungkin hanya 10% tenaga kerja diperlukan (sama seperti 10% kakitangan minima untuk syarikat dalam sektor pembuatan keluli, kaca, seramik, simen, dan automotif). Saya masih tidak pasti sama hotel yang tidak menjadi pusat kuarantin masih dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan menyeluruh ini. Sekali lagi, untuk hotel-hotel ini, mereka masih memerlukan sekumpulan kakitangan untuk meneruskan kerja-kerja menjaga dan menyelenggara premis hotel.

Terdapat banyak perkara yang perlu ditambah baik mengenai pengumuman berkaitan PKP ini. Tetapi, daripada hanya mengeluh mengenai perkara yang sudah jelas, saya harap kita dapat memberikan maklum balas yang membina kepada kerajaan dan saya harap kerajaan terbuka untuk mendengar kepada cadangan membina daripada kalangan Ahli-ahli Parlimen pembangkang.