Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada hari Isnin, 1 Mac 2021

Soalan untuk DG Dr Noor Hisham dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) – Adakah impak ekonomi telah diambil kira jika larangan rentas negeri masih berkuatkuasa sehingga 70% daripada populasi menerima vaksin?

Saya merujuk kepada laporan The Star pada 26hb Februari, 2020, di mana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, telah menyatakan bahawa pembukaan sempadan dan penamatan sekatan merentas negeri hanya akan dipertimbangkan selepas 70% daripada populasi telah menerima vaksin.

“Once 70% of the population have been vaccinated, we may then consider reopening borders, ” said Dr. Noor Hisham during a virtual engagement session with the media on Friday (Feb 26).” Pendirian Dr Noor Hisham telah menimbulkan beberapa soalan penting yang perlu dijawab dengan segera dan jujur oleh pihak kerajaan.

Pertama, adakah pendirian Dr Noor Hisham telah disampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)? Adakah ini akan dijadikan sebahagian daripada keputusan MKN apabila pengumuman sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akan dilanjutkan selepas 4hb Mac 2021 dibuat pada minggu ini?

Kedua, adakah impak kepada ekonomi negara – terutamanya sektor pelancongan, perkhidmatan dan pengangkutan, telah diambil kira ketika pandangan Dr Noor Hisham disampaikan kepada wakil media? Memandangkan bahawa untuk mencapai tahap vaksinasi 70% daripada populasi mungkin akan mengambil masa sehingga bulan Disember 2021 (seawal-awalnya), apakah kesan terhadap pusat penginapan seperti hotel, hostel dan homestay jika sekatan rentas negeri dilanjutkan sehingga akhir tahun ini?

Bagi saya, sekiranya sekatan ini berlanjutan, sektor-sektor ini akan menerima kesan yang amat teruk. Ratusan hotel akan terpaksa ditutup untuk tahun ini dan mungkin juga pada masa akan datang. Sektor F&B dan sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada aktiviti pelancongan dan aktiviti-aktiviti lain yang berkenan dengan merentas negeri juga akan turut terjejas.

Saya merasa kasihan terhadap pakcik dan makcik yang menjual buah-buahan di singgahan R&R sepanjang lebuhraya PLUS yang akan mengalami kemerosotan pendapatan semasa PKP 2.0 jikalau sekatan ini dilanjutkan. Saya turut berasa kasihan terhadap keluarga yang bergantung kepada homestay di tempat-tempat seperti Bangi, Selangor dan Kuantan, Pahang sebagai sumber pendapatan mereka jikalau sekatan ini dilanjutkan. Saya juga simpati terhadap orang muda yang bekerja di stesen minyak di sepanjang lebuhraya yang akan kehilangan pekerjaan kerana tidak cukup pelanggan yang mengisi minyak dan membeli barang-barang. Saya amat simpati terhadap nelayan-nelayan yang ada hasil laut tetapi tidak dapat menjual tangkapan mereka kerana pelanggan enggan keluar dari rumah dan merentas daerah dan negeri.

Bantuan asal yang diberikan kepada Mak Kiah sudah habis digunakan. Wang i-Sinar yang sudah dikeluarkan daripada Akaun KWSP tentu akan dihabiskan sebelum akhir tahun. Apa yang akan terjadi kepada kumpulan-kumpulan ini?

Saya harap Dr Noor Hisham boleh memberi pertimbangan yang sama kepada mereka yang mengalami kepayahan ekonomi yang teruk akibat daripada PKP 2.0. Saya harap sekatan yang dicadangkan oleh Dr Noor Hisham juga akan mengambil kira nyawa yang mungkin akan hilang akibat daripada impak ekonomi yang juga memberi kesan negatif terhadap keadaan kesihatan rakyat Malaysia.

[1] https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/02/26/inter-district-interstate-travel-ban-likely-to-continue-until-vaccination-of-least-70-of-population-says-health-dg