Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 23 Januari 2021

Majlis Keselamatan Nasional (MKN) gagal dalam tanggungjawab memerangi pandemik COVID-19 apabila membenarkan merentas negeri pada bulan Disember 2020 ketika kadar “peratus positif” saringan COVID-19 melebihi 5%

Pada 18 Januari 2021, saya telah menerbitkan senarai 10 soalan berkaitan COVID-19 yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), Tan Sri Dr. Noor Hisham. Salah satu soalan yang saya ajukan ialah adakah KPK akan menerbitkan nilai Rt mengikut negeri supaya orang ramai dapat mengetahui tren COVID-19 yang diramalkan untuk setiap negeri dan juga bagaimana nilai Rt dapat digunakan untuk menentukan bilanya MCO akan dihentikan bagi setiap negeri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPK kerana menerbitkan nilai Rt terkini mengikut negeri semalam, pada 21 Januari 2021. Ramalan terkini menunjukkan bahawa jumlah COVID-19 harian mungkin mencecah 8000 kes pada akhir bulan Mac 2021 jika nilai Rt kekal pada tahap 1.1 untuk seluruh negara.

Selain daripada nilai Rt, kita juga harus memberi perhatian pada kadar “peratus positif” (“percentage positive”) harian saringan COVID-19. Saya juga meminta agar angka ini diumumkan secara nasional dan juga mengikut negeri. Walaupun kadar saringan positif tidak diumumkan secara terbuka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), angka-angka ini diberikan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kemudian dipaparkan di laman web “OUR WORLD IN DATA”.

Mengapa kadar “peratus positif” harian adalah ukuran yang penting? Menurut pakar di Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, “peratus positif adalah ukuran kritikal kerana ia memberi kita petunjuk betapa meluas jangkitan di kawasan di mana saringan sedang dijalankan — dan adakah tahap saringan sesuai berbanding dengan tahap penularan penyakit. ” Bagaimana harus kita tafsirkan angka “peratus positif “ini? Apakah tahap yang harus dianggap terlalu tinggi?

Menurut WHO, ambang “peratus positif” adalah 5%. Hanya apabila angka ini turun menjadi kurang dari 5%, kerajaan harus melonggarkan peraturan dan syarat yang sedia ada untuk mengawal penyebaran COVID-19. Pada 21 Januari 2021, CodeBlue melaporkan bahawa kadar “peratus positif” Malaysia telah melebihi 5% sejak 6 November 2020 dan tidak turun di bawah 5% sejak itu. (Lampiran 1 di bawah) Oleh kerana kadar “peratus positif” melebihi 5% pada bulan November dan Disember, mengapakah Majlis Keselamatan Nasional (MKN) membenarkan perjalanan merentas negeri bermula pada 7hb. Disember 2020 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)? Adakah langkah ini menyumbang kepada peningkatan jumlah kes COVID terutamanya memandangkan jumlah perjalanan merentas negeri yang tinggi ke tempat-tempat seperti Langkawi semasa percutian akhir tahun?

Ini adalah salah satu contoh lagi di mana langkah yang tidak konsisten ditunjukkan oleh pihak Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dari segi dasar kesihatan awam untuk memerangi wabak COVID-19. Keputusan untuk menyekat pergerakan dan kemudian meningkatkan sekatan sepertinya tidak berdasarkan peraturan atau garis panduan yang konsisten. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi gagal meyakinkan orang ramai bahawa ia mempunyai rancangan yang konsisten, koheren dan komprehensif untuk mengawal wabak ini.