Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi, pada 21hb Disember, 2020 mengenai Penetapan Semula (“Reset”) Pakatan Harapan (PH)

Sidang parlimen berakhir baru-baru ini dengan kelulusan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada bacaan kali ketiga dengan majoriti yang begitu nipis iaitu 3 undi sahaja (111 undi sokong berbanding 108 menolak). Selepas itu, pemimpin Pakatan Harapan (PH), khususnya Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH), menggesakan supaya satu Penetapan Semula maupun “Political Reset” boleh dilakukan untuk menyatupadukan kekuatan 108 Ahli Parlimen pembangkang. Mereka menyeru, melalui kenyataan media, supaya “PH harus berdepan dengan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa. PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN”.[1]

Saya menyokong sepenuhnya Penetapan Semula ataupun “Political Reset” oleh PH. Bagi saya, penetapan ini perlu mengandungi LIMA butiran penting yang akan mengukuhkan barisan pembangkang dan menunjukkan haluan tuju ke hadapan secara strategik dan berfokus. Butiran ini adalah:

(i) Mempertahankan kedudukan sebagai pembangkang yang KUAT, HEBAT dan MENYAKINKAN sehingga pilihan raya umum akan datang (PRU15)

(ii) Merundingkan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan ataupun “Confidence and Supply Agreement” (CSA) dengan kerajaan PN sebagai sebahagian daripada proses reformasi demokrasi dan institusi

(iii) Menamakan jurucakap dari setiap parti untuk memainkan peranan “semak dan imbang” ke atas setiap kementerian

(iv) Memberi input dan cadangan mengenai polisi kerajaan berkaitan COVID yang merangkumi semua bidang kuasa

(v) Membuat persediaan untuk pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang dan juga pilihanraya umum ke-15 (PRU-15)


(i) Mempertahankan kedudukan sebagai pembangkang yang KUAT, HEBAT dan MENYAKINKAN sehingga pilihan raya umum akan datang (PRU15)

Tidak boleh dinafikan bahawa ahli parlimen pembangkang dari PH, WARISAN, PEJUANG, MUDA dan bebas telah mencuba sedaya upaya untuk memainkan peranan “semak dan imbang” di dua sidang parlimen pada tahun ini. Tetapi, pada hakikatnya, perhatian ataupun fokus kami memang terganggu akibat perbincangan mengenai undi kepercayaan terhadap kerajaan PN dan kemungkinan PN akan digantikan oleh kerajaan baru. Gangguan atau kekeliruan ini paling ketara semasa keputusan pada saat-saat terakhir untuk tidak meminta undi belah bahagi semasa pengakhiran pembacaan Belanjawan 2021 kali yang kedua.

Kami patut berfokus tenaga kami untuk menyatupadukan kekuatan 108 ahli parlimen pembangkang untuk membentuk barisan pembangkang yang terkuat dalam sejarah negara. Pada masa yang sama, kami patut menjauhi diri daripada skema atau rancangan untuk menjatuhkan kerajaan PN dan menubuhkan satu kerajaan yang baru. Walaupun saya membantah sekuat-kuatnya cara kerajaan PN dibentukkan, tetapi pada hakikatnya, apa-apa kerajaan yang boleh menggantikan kerajaan PN TIDAK akan mempunyai majoriti yang cukup besar dan akan dilanda ancaman politik memeras ugut yang sedang dihadapi oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari pemimpin UMNO tertentu. Suka atau tidak, satu lagi perubahan dalam kerajaan persekutuan yang tidak melalui kaedah pilihan raya umum akan terus melanjutkan ketidakstabilan dalam landskap politik di Malaysia. Ini juga akan memberi kesan negatif kepada pemulihan ekonomi yang sedang berlaku, melemahkan keyakinan pelabur terhadap negara kita dan berpotensi untuk mengganggu rancangan peluncuran berkaitan COVID yang telah dan akan dilaksanakan.

Kita harus membiarkan pengundi untuk memilih kerajaan persekutuan berikutnya pada pilihan raya umum akan datang. Biarkan pengundi menilai antara 22 bulan pemerintahan kerajaan PH dan rekod pemerintahan kerajaan PN semasa pada PRU15 nanti. Kita harus meluangkan masa dari sekarang hingga ke PRU yang akan datang untuk menyatukan kekuatan 108 ahli parlimen pembangkang dan memainkan peranan yang paling berkesan dalam usaha ‘semak dan imbang’ sebagai barisan pembangkang yang KUAT, HEBAT dan MENYAKINKAN.

(ii) Merundingkan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan ataupun “Confidence and Supply Agreement” (CSA) dengan kerajaan pusat sebagai sebahagian daripada proses reformasi demokrasi dan institusi

Setelah jelas bahawa kami akan kekal sebagai barisan pembangkang, kami akan berada dalam keadaan yang lebih tentu supaya perundingan untuk suatu Perjanjian Keyakinan dan Bekalan / “Confidence and Supply Agreement “(CSA) dengan kerajaan PN boleh berlaku. Satu preseden telah berlaku di Perak, di mana di bawah Menteri Besar yang baru, keputusan telah dibuat bahawa semua ADUN Perak akan mendapat peruntukan yang sama tidak kira dari barisan pemerintah ataupun dari barisan pembangkang. Tambahan pula, ADUN pembangkang akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa di peringkat daerah. CSA ini dilaksanakan demi kepentingan kestabilan kerajaan negeri dan juga merupakan sebahagian daripada proses reformasi demokrasi dan institusi di Perak.

Suatu perjanjian yang serupa harus dibuat di peringkat persekutuan di mana Ahli Parlimen pembangkang akan mendapat pembahagian yang adil dari segi peruntukan persekutuan kepada kawasan mereka masing-masing sebagai sebahagian daripada pakej pembaharuan institusi dan demokratik yang lebih menyeluruh. Misalnya, Ahli Parlimen pembangkang patut boleh dijemput untuk menghadiri mesyuarat kerajaan tertentu seperti Majlis Tindakan Ekonomi, seperti yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri pada awal November dan Ahli Parlimen pembangkang juga boleh dijemput ke sekolah dan institusi kerajaan yang lain di kawasan masing-masing.[1]

Perjanjian seperti itu akan menjadi presiden yang patut dialu-alukan dari segi reformasi institusi untuk parlimen masa depan di mana ahli parlimen pembangkang dan pengundi mereka tidak akan didiskriminasikan secara tidak adil. Ini juga akan memberi Perdana Menteri ruang bernafas supaya dia tidak ‘diperas ugut’ untuk menyetujui tuntutan oleh Ahli Parlimen tertentu – untuk melepaskan kes mahkamah terhadap mereka, misalnya – untuk ‘bayar balik’ sokongan mereka di parlimen.

(iii) Menamakan jurucakap dari setiap parti untuk memainkan peranan “semak dan imbang” ke atas setiap kementerian kerajaan

Ada beberapa cadangan telah diberikan supaya PH membentuk kabinet bayangan (“shadow cabinet”) sebagai satu langkah untuk menunjukkan prestasi barisan pembangkang yang berkesan. Malangnya, tindakan untuk membentuk kabinet bayangan ini akan memberikan peluru kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengapi-apikan isu bangsa dan agama. Langkah seperti itu juga akan menimbulkan ketegangan yang tidak diperlukan dalam PH dan juga antara PH dan pembangkang lain seperti Warisan dan PEJUANG. Apa jawatan ‘bayangan’ yang harus diberikan kepada Dr. Mahathir, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir, misalnya?

Adalah lebih baik bagi setiap pihak untuk mencalonkan jurucakap utama untuk setiap kementerian. Buat masa sekarang mantan Menteri dan Timbalan Menteri telah pun ‘membayangi’ bekas kementerian mereka masing-masing. Pembangkang lain yang sebelum ini bukan sebahagian daripada kerajaan juga dapat ‘membayangi’ kementerian yang mereka minati mengikut isu-isu tertentu.

Peranan jurucakap ini dapat diperkuatkan lagi dengan memberi mereka peranan yang lebih ketara semasa perbahasan parlimen yang melibatkan kementerian yang sedang mereka bayangi. Yang DiPertua (YDP) Dewan Rakyat dan Timbalan Yang DiPertua juga harus dimaklumkan bahawa adanya barisan jurucakap supaya mereka berpeluang lebih tinggi untuk dipilih oleh YDP untuk bertanya soalan tambahan yang berkaitan dengan Kementerian yang mereka bayangi semasa sesi Soal Jawab di parlimen. Sidang media bersama juga dapat diadakan oleh jurucakap-jurucakap ini untuk kementerian yang mereka sedang bayangi.

Nama jurucakap-jurucakap ini harus diumumkan secara awam oleh parti pembangkang masing-masing dan penyelarasan antara parti boleh berlaku selepas pengumuman.

(iv) Memberi input dan cadangan mengenai polisi kerajaan berkaitan COVID merangkumi semua bidang kuasa

Malaysia dan seluruh dunia mengalami krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak mempunyai preseden akibat wabak COVID 19. Cabaran COVID 19 telah melanda setiap sudut kehidupan di negara ini. Cabaran unik seperti itu memerlukan respons yang unik. Ahli Parlimen pembangkang telah memberikan cadangan yang jelas mengenai dasar tertentu yang berkaitan dengan respons COVID 19. Perkongsian data yang lebih menyeluruh dengan kerajaan negeri[1], memberi tekanan kepada  kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman ke segmen populasi yang lebih besar[2], menyiapkan dana bantuan sewa untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) [3], mendirikan pusat pekerjaan di kawasan parlimen untuk membantu penduduk mencari pekerjaan[4], memohon kerajaan mempertimbangkan semula penutupan sekolah secara menyeluruh[5], membentangkan rancangan pemulihan ekonomi untuk Sabah[6] – ini hanyalah beberapa contoh ahli parlimen pembangkang yang mencadangkan dasar alternatif yang jelas berkaitan dengan krisis COVID.

Barisan pembangkang sepatutnya memberi respons dasar berkaitan COVID yang jelas di SEMUA sektor ekonomi dan sosial tetapi ini memerlukan tumpuan dan koordinasi yang lebih lancar di antara barisan pimpinan pihak pembangkang.

(v) Membuat persediaan untuk pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang dan juga pilihanraya umum ke-15 (PRU-15)

Akhirnya, Ahli Parlimen pembangkang harus memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang sepatutnya diadakan pada tahun 2021, dan juga PRU15 yang mungkin juga diadakan pada tahun 2021.

Pilihan Raya umum patut ditangguhkan sehingga vaksin COVID diberikan ke seluruh lapisan masyarakat yang memerlukannya untuk mencegah lonjakan kes COVID (seperti yang berlaku selepas pilihan raya negeri Sabah) tetapi kerajaan sekarang mungkin merasa sebaliknya. Walau apa pun, persiapan untuk menghadapi PRU perlu dimulakan dan persiapan ini tidak akan berkesan sekiranya masih ada ketidakpastian sama ada kerajaan baru dapat menggantikan kerajaan PN atau tidak dalam masa terdekat, melalui kaedah selain daripada PRU.


Kesimpulannya, penetapan semula politik oleh PH tidak memerlukan perubahan pemimpin PH.

Apa yang diperlukannya adalah perubahan arah dan fokus oleh kepimpinan PH. Ini bermula dengan membentuk barisan pembangkang yang kuat, hebat dan meyakinkan yang dapat memainkan peranan yang efektif untuk berunding dengan dan membuat ‘semak dan imbang’ ke atas kerajaan sekarang.

[1] https://www.malaysiakini.com/news/547265

[2] https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/12/12/automatic-extension-of-loan-moratorium-for-b40-m40-vital-says-guan-eng/

[3] https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/11/05/include-rental-relief-fund-as-part-of-budget-2021-says-klang-mp/1919636

[4] https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/09/16/lembah-pantai-mp-fahmi-fadzil-launches-employment-centre-to-help-those-who/1903811

[5] https://malaysia.news.yahoo.com/school-closures-done-district-level-072300076.html

[6] https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/11/04/shafie-proposes-2-year-economic-recovery-plan-ahead-of-budget/

[7] https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/11/07/pm-muhyiddin-to-consider-inviting-opposition-for-economic-action-council-co/1920437

[8] https://malaysia.news.yahoo.com/school-closures-done-district-level-072300076.html