Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi pada 25 April 2020 berhubung dilema UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) – Bahagian 2

Kepimpinan BERSATU menyedari kedudukan politiknya yang rapuh. Keutamaan jangka pendeknya adalah untuk memastikan kestabilan kerajaan sekarang. Mereka akan menawarkan kedudukan dalam GLC dan agensi kerajaan lain kepada ‘backbenchers’ PN untuk menjamin kesetiaan mereka. Mereka akan terus ‘menarik’ anggota parlimen pembangkang untuk bekerjasama bersama PN dengan pelbagai tawaran. Perdana Menteri akan terus meminta ‘restu’ Tun Mahathir. Pemimpin BERSATU juga pasti ingin mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti dengan memenangi kedudukan dalam pemilihan parti yang akan datang.

Tetapi walaupun BERSATU dapat meningkatkan majoriti parlimen PN dalam jangka masa pendek, ia tidak boleh berharap untuk meneruskan keadaan sekarang sampai waktu PRU15. BERSATU sedar bahawa UMNO dan PAS tidak mempunyai insentif untuk membahagikan kerusi parlimen dengannya pada PRU15. Ia tahu bahawa ia jauh lebih lemah dari segi jentera politik dan penjenamaannya berbanding dengan UMNO dan PAS.

Oleh itu, ia hanya mempunyai satu pilihan untuk memanjangkan usia politiknya iaitu untuk menggantikan UMNO sebagai parti Melayu utama dalam gabungan pemerintah. Untuk mencapai matlamat ini, BERSATU akan melakukan perkara berikut:

(I) Memujuk lebih ramai Ahli Parlimen dan ADUN UMNO untuk menyertai BERSATU dan ‘memecahbelahkan’ UMNO sebagai persiapan menjelang PRU15
(II) Terus memberi tekanan kepada UMNO dengan tidak menggugurkan kes mahkamah yang melibatkan pemimpin UMNO
(III) Cuba membina gabungan alternatifnya kepada BN / MN / PH

Sudah tentu, ada yang mengemukakan kemungkinan BERSATU akan bergabung semula dengan UMNO sama seperti yang dilakukan oleh Semangat 46 (S46). Tetapi pada masa itu, S46 tidak mempunyai satu pun penyandang jawatan pemerintah sedangkan dalam BERSATU sekarang, terdapat ramai anggota parlimen yang sudah biasa dengan kedudukan berkuasa dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan mereka. Mereka tahu bahawa selepas penggabungan dengan UMNO, kebanyakan mereka akan hilang kuasa dalam ‘pembersihan’ dalaman dan tidak akan dibenarkan bertanding pada PRU15. Tidak boleh lupa, kebanyakan pemimpin BERSATU, terutamanya di peringkat akar umbi, menyertai UMNO kerana mereka tidak dapat memperolehi jawatan penting dalam UMNO. Memandangkan realiti ini, kemungkinan tinggi penggabungan ini tidak boleh diterima oleh BERSATU.

UMNO juga sedar bahawa BERSATU memerlukan lebih masa untuk melemahkan UMNO dan membuat persediaan menghadapi PRU15. Oleh itu, strategi jangka panjang yang optimum bagi UMNO untuk memenangi balik kuasa adalah untuk TIDAK memastikan bahawa kerajaan Muhyiddin dapat bertahan selama tempoh penuh sehingga PRU15 (yang harus dipanggil menjelang 2023). Oleh itu, UMNO harus memilih masa terbaik untuk menarik sokongannya terhadap kerajaan ini untuk mencetuskan pilihan raya umum. Ini mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat kerana negara ini menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang disebabkan oleh virus COVID 19. Tetapi setelah ada tanda-tanda bahawa krisis kesihatan COVID 19 menjadi lebih terkawal, kepemimpinan UMNO boleh bertindak pada bila-bila masa.

Salah satu perkara yang sukar untuk diramalkan adalah strategi Ahli Parlimen UMNO yang tidak diberi jawatan kabinet, terutama mereka yang mempunyai kes mahkamah yang belum selesai. Apakah kemungkinan mereka akan ‘sabotaj’ kerajaan Muhyiddin, misalnya, dengan tidak hadir untuk memberi sokongan kepada rang undang-undang di parlimen dan sekali gus, mencetuskan kejatuhan kerajaan? Kemungkinan ini lebih tinggi sekiranya kes mahkhamah yang melibatkan Presiden UMNO, Setiausaha Agung UMNO dan beberapa anggota Majlis Tertinggi UMNO tidak digugurkan dalam masa yang sesuai.

Sementara itu, kita sudah dapat melihat beberapa tanda tidak puas hati di kalangan pemimpin UMNO terhadap kerajaan sekarang. Sasaran mereka nampaknya tertumpu pada pemimpin BERSATU, setakat ini. Sebagai contoh, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mempersoalkan keputusan Azmin Ali untuk membenarkan sektor tambahan beroperasi dari 15 hingga 28 April (gambar 1).

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad, juga mempersoalkan perlunya MITI terlibat dalam sektor seperti gunting rambut, dan bertanya adakah MITI kini menjadi ‘Super Minister’ di bawah Menteri Kanan, Azmin Ali (gambar 2).

Dr Zambry Abdul Kadir, mantan Menteri Besar Perak, telah tweet gambar bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang tidak diagihkan dan bertanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari BERSATU, Rina Harun, adakah mereka sedang menunggu “penyelaras parlimen” untuk dilantik sebelum bantuan dapat diedarkan (gambar 3).

Khaled Nordin, mantan Menteri Besar Johor, juga mengkritik Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, kerana makan bersama sekumpulan pelajar tahfiz di Perak semasa PKP dengan mengatakan bahawa ini bukan teladan yang baik kepada orang lain (gambar 4).

Kemungkinan besar serangan begini, secara langsung dan tidak langsung, oleh pemimpin UMNO terhadap pemimpin PN tertentu, terutama dari pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan PN bersama-sama dengan BERSATU, akan bertambah.

Dilema ini adalah sebab utama mengapa kerajaan PN tidak mungkin bertahan selama 3 tahun sebelum penggal parlimen ini berakhir pada Mei 2023. Dilema UMNO adalah ancaman besar kepada BERSATU dan untuk kerajaan PN.

(TAMAT BAHAGIAN 2)