Mampukah kita untuk melaksanakan perindustrian semula secara mampan pada tahun 2020 dan seterusnya?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 5hb Januari 2020.

Dalam satu artikel jurnal pada tahun 2011, Profesor Rajah Rasiah telah menimbulkan persoalan yang sangat menarik tentang sama ada Malaysia mengalami nyah-industrialisasi negative atau ‘negative deindustrialization’ iaitu sama ada Malaysia secara pramatang mengalami nyah-industrialisasi sebelum kita dapat mencapai kemuncak dalam pembuatan dan pengeluaran industri. [1]  Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga merujuk kepada fenomena nyah-industrialisasi pramatang atau ‘premature deindustrialization’ di dalam satu ucapan di University of California, Berkeley yang terletak di tengah-tengah Silicon Valley. [2]

Menurut angka-angka yang digunakan oleh Rasiah, sumbangan sector industri (termasuk sector pembuatan, pembinaan dan utiliti) kepada KDNK meningkat daripada 30.7% pada tahun 1990 kepada tahap tertinggi 37.9% pada tahun 2000. Sehingga tahun 2009, ia telah jatuh kepada 32.5%. Bahagian pembuatan dalam pengiraan KDNK meningkat daripada 24.2% pada tahun 1990 kepada 30.9% pada tahun 2000 sebelum jatuh kepada 26.6% pada tahun 2009. Sejak 2010, bahagian sektor pembuatan daripada KDNK telah mengalami stagnasi di antara 22% hingga 23%. Sementara itu, bahagian sektor perkhidmatan telah meningkat daripada 52.4% pada tahun 2010 kepada 56.7% pada tahun 2018.

Walaupun bahagian sektor perkhidmatan di dalam ekonomi negara sepatutnya berkembang apabila ia semakin matang dan berkembang, sektor pembuatan dan sektor industri harus kekal sebagai pemacu penting ekonomi Malaysia dengan sebab-sebab berikut:

(i) Sektor pembuatan, terutamanya pada hujungan rantaian nilai yang lebih tinggi, masih memacu pertumbuhan produktiviti dan dengan ini juga pertumbuhan upah. Tahap produktiviti setiap pekerja dalam sektor perkhidmatan, iaitu RM86,900 pada 2018, adalah kira-kira 71% daripada tahap produktiviti dalam sektor pembuatan, iaitu RM121,800.

(ii) Sektor Pembuatan masih merupakan penyumbang penting pekerjaan dan FDI, terutamanya di bandar-bandar kedua. Sebagai contoh, majikan sektor swasta terbesar di kawasan seperti Taiping (Toyo Tires), Ipoh (CARSEM), Melaka (Infineon), Kuantan (BASF Petronas, Alliance Steel), Muar (ST Microelectronics) dan Batu Pahat (Sharp), biasanya adalah Syarikat Multinasional dalam sektor pembuatan. Walaupun sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK telah menurun, jumlah pekerjaan bagi sektor pembuatan meningkat daripada 2.38 juta pada 2015 kepada 2.5 juta pada 2018.

(iii) Sektor pembuatan masih menjadi komponen terbesar bagi kegiatan perdagangan dan juga lebihan akaun semasa negara. Tanpa nilai yang dijana oleh sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), Malaysia tidak akan mengalami lebihan akaun semasa berturut-turut selama 21 tahun (sejak krisis kewangan 1998)

Setakat ini, konflik perdagangan Amerika Syarikat-China dijangka tidak akan dapat menemui penyelesaian jangka panjang, walaupun dengan kemungkinan terkini Fasa 1 perjanjian perdagangan. Di rantau ini, Asia Tenggara sedang berkembang sendiri sebagai pasaran yang menarik, dengan populasi lebih daripada 650 juta orang, ekonomi US$3trilion, dan pertumbuhan serantau tertinggi ke-2 di seluruh dunia. Berlatarbelakangkan ini, Malaysia sendiri berada di dalam peluang yang unik untuk perindustrian semula atau ‘reindustrialisasi’. Syarikat-syarikat yang dahulunya pernah berpindah dan melabur di China sedang mencari peluang lain untuk mempelbagai perniagaan mereka Syarikat-syarikat China yang mempunyai aspirasi untuk menjadi pemain global juga sedang berkembang ke luar negara, sama seperti syarikat-syarikat Jepun pada tahun 1960-an dan 1970-an dan Korea pada tahun 1990-an. Malaysia kini sekali lagi menjadi tumpuan bagi syarikat-syarikat di dalam sektor pembuatan.

Tetapi tidak seperti di masa lalu, Malaysia kini mempunyai keupayaan untuk menjadi lebih selektif di dalam memilih pelaburan yang datang ke negara kita. Peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan pembuatan yang bernilai tambah tinggi dan bermodal intensif telah diberi rangsangan tambahan oleh konflik AS-China. Ada beberapa sebab tersendiri kenapa pelabur akan mempertimbangkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan. Mereka tahu bahawa kita tidak dapat menyediakan  tenaga kerja berkos rendah yang dapat diberikan oleh Vietnam. Oleh itu, apabila syarikat-syarikat ini menyatakan minat sama ada mengembangkan operasi mereka di Malaysia (di kalangan pemain sedia ada) atau untuk memulakan operasi baharu di sini, mereka mungkin akan membawa teknologi dan proses baru yang kurang penggunaan buruh. Pelabur sedemikian akan berusaha memanfaatkan infrastruktur kita yang agak baik dan tenaga kerja mahir yang kita miliki. Di samping itu, kita memerlukan pelaburan ini untuk mampan daripada dua perspektif – bahawa mereka kekal di negara ini untuk jangka panjang dan tidak membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Daripada segi dasar, terdapat beberapa bahagian tertentu yang memerlukan perancangan strategik dan penyelarasan oleh kerajaan Malaysia.

Pertama, kita perlu mengemas kini senarai aktiviti pelaburan yang digalakkan agar konsisten dengan cabang teknologi Industri 4.0 dan amalan terbaik. Kita perlu secara perlahan dan pasti beralih daripada tumpuan berdasarkan sektor kepada tumpuan berdasarkan aktiviti. Sebagai contoh, walaupun Malaysia mungkin masih kukuh dalam sektor E&E, untuk masa hadapan, tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada jenis-jenis kerja pemasangan yang berhujungan rendah dan bernilai rendah. Sasaran kita adalah dalam aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi seperti R&D, Reka Bentuk & Pembangunan, mengurus proses pembuatan dan perkhidmatan pembuatan yang berautomasi tinggi. Struktur insentif kita, termasuk insentif yang baru-baru ini diumumkan dalam Bajet 2020, juga harus ditumpukan untuk menyediakan insentif yang dikhususkan untuk menarik aktiviti-aktivit yang disasarkan di dalam sektor pembuatan.

Kedua, kita perlu mengemas kini dasar alam sekitar supaya konsisten dengan proses pembuatan yang mampan. Ini termasuk dasar untuk menguruskan kemasukan aktiviti kitar semula di dalam sektor pembuatan disebabkan sekatan ke atas import dan kitar semula sisa buangan di negara lain. Ini bukan untuk mengatakan bahawa kita mahu menolak penggunaan bahan mentah kitar semula di dalam pembuatan di Malaysia. Tetapi kita perlu mengawal kualiti bahan mentah, teknologi yang digunakan dan ciri-ciri produk akhir. Dengan hanya membenarkan pengimportan sisa buangan yang sudah diproses dan bermutu tinggi untuk digunakan dalam aktiviti pembuatan, industri kita boleh mengambil bahagian di dalam ekonomi kitaran atau ‘circular economy’. Sebagai contoh, dengan hanya membenarkan pengimportan kertas yang dikitar semula yang sudah diuruskan atau ‘sorted recycled paper’ untuk pembuatan karton dan produk pembungkusan lain menggunakan peralatan terkini dapat menggalakkan aktiviti pembuatan pulpa dan kertas berkualiti tinggi. Sebaliknya, pengimportan kertas buangan yang kotor dan belum diurus bukan sahaja memperkenalkan aktiviti pemprosesan bernilai tambah rendah ke dalam negara, tetapi mendedahkan persekitaran kita kepada bahaya yang tidak diketahui.

Ketiga, kita perlu menyelaraskan dasar pelaburan kita agar hubung kait rantaian bekalan yang ekstensif dapat diwujudkan di antara pelabur asing dan pemain domestik. Ini telah dilakukan sebelum ini dalam ekosistem E&E di Pulau Pinang, yang telah melahirkan juara tempatan yang telah mempunyai reputasi global yang kuat dan menjadi pembekal utama kepada konglomerat antarabangsa. Sebagai contoh, syarikat-syarikat seperti Vitrox, Pentamaster dan Inari dikenali sebagai pembekal bertaraf dunia di dalam bidang masing-masing, sementara syarikat-syarikat reka bentuk IC kita sedang membangunkan sebuah konsortium untuk meletakkan diri mereka untuk perkembangan. Kejayaan sedemikian perlu dikaji dan direplika di dalam industri lain. Ini mungkin termasuk menggalakkan pemindahan teknologi untuk membina keupayaan tempatan, melatih pekerja tempatan dan juga menggalakkan kandungan bersumber tempatan. Dasar pelaburan kita juga perlu berusaha untuk membina rantaian bekalan domestik melalui ekosistem pembiayaan yang kukuh dan insentif untuk penyelidikan dan pembangunan. Insentif tersuai yang dinyatakan di atas boleh disusun untuk memasukkan beberapa tahap komitmen tempatan di dalam perbelanjaan perniagaan.

Keempat, kita perlu menyediakan insentif tersuai dan pengarahan dasar untuk membuka pasaran baru bagi pengeksport tempatan. Beberapa pengeksport tempatan kita mengalami peningkatan di dalam pesanan luar negara kerana syarikat-syarikat global mencari kepelbagaian yang lebih besar di dalam sumber pengeluaran. Sama ada di dalam bidang E&E, penerbitan buku atau perkilangan perabot sebagai contoh, terdapat peluang baharu bagi syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran luar negara dan menguasaipasaran baru. Penjajaran dasar diperlukan untuk menyokong pelaburan Industri 4.0 di kalangan pemain tempatan – contohnya di dalam industri perabot tradisional yang bergantung tinggi kepada tenaga buruh – dan juga untuk insentif khusus bagi syarikat-syarikat ini untuk menghasilkan produk baharu menggunakan teknologi baharu untuk pasaran eksport. Insentif untuk meningkatkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) bagi tujuan menguasai pasaran baru eksport juga telah diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Maka apakah matlamat perindustrian semula yang mampan pada tahun 2020 dan seterusnya? Setidak-tidaknya, bahagian industri sebagai sebahagian daripada KDNK tidak harus diteruskan pada trend menurun. Mungkin akan terdapat sedikit peningkatan dalam jangka pendek dan sederhana. Lebih penting lagi, perindustrian semula adalah peluang untuk proses transformasi perindustrian yang lebih laju dan penambahbaikan nilai supaya sektor pembuatan dapat ditingkatkan ke tahap kecanggihan dan kerumitan yang seterusnya. Ini adalah peluang untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran graduan kita. Perindustrian semula yang mampan adalah satu peluang untuk membina rantaian nilai global baru (GVCs) yang tidak boleh dilencongkan dengan mudah; dan juga peluang untuk membawa teknologi dan amalan terkini yang mesra alam. Perindustrian semula adalah peluang untuk membawa teknologi Industri 4.0 bukan sahaja kepada sektor pembuatan tetapi juga kepada sektor pertanian, perlombongan, dan perkhidmatan. Kita perlu mengambil kesempatan terhadap peluang-peluang ini sepenuhnya melalui dasar yang pantas dan taktikal serta melalui Pelan Induk Baru Perindustrian dan Rancangan Malaysia ke-12 yang akan datang.


[1] Rasiah, Raja. “Is Malaysia Facing Negative Deindustrialization?” Pacific Affairs Vol. 84, No. 4 (DECEMBER 2011), pp. 715-736. https://www.jstor.org/stable/23056129

[2] https://www.treasury.gov.my/index.php/en/gallery-activities/speech/item/5583-speech-text-charting-malaysia%E2%80%99s-digital-future-through-a-multilateral-framework,-entrepreneurship,-shared-prosperity.html