Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 – daripada Dasar kepada Pelaksanaan

Forum Ekonomi Shah Alam (FESA) Wadah Selangor, 14 November 2019

Yang Berbahagia, Pengerusi WADAH,

Hj. Nik Mohd Yusoff Nik Ismail

Yang Berusaha, Pengarah Forum Ekonomi Shah Alam (FESA)

Prof. Dr. Saadian Mohammad

Ahli-ahli parlimen, ahli-ahli dewan negeri Selangor, pengarah-pengarah dan para pegawai agensi kerajaan, Persekutuan dan Negeri Selangor, Pimpinan-pimpinan parti politik dan NGO serta hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

1. Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada WADAH Selangor kerana menjemput saya ke forum hari ini yang bertajuk “Ekonomi Manusiawi: Langkah Ke Arah Status Harimau Asia”. Ini adalah satu penghormatan kepada saya kerana dapat berucap di forum yang membincangkan satu topik yang penting. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada WADAH Selangor kerana menganjurkan forum hari ini supaya kita dapat mengadakan perbincangan yang terbuka dan telus mengenai cabaran ekonomi yang sedang dihadapi negara kita pada hari ini.

2. Saya mahu mengambil kesempatan hari ini untuk mengaitkan tajuk forum hari ini dengan satu dasar yang diumumkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri iaitu “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 perlu difahami dengan sebaiknya supaya langkah-langkah yang tepat dapat diambil untuk memastikan PELAKSANAAN dasar yang baik. Hanya dengan pelaksanaan dasar yang baik dapat memastikan wawasan ini dapat dicapai. Dan apabila wawasan ini berjaya direalisasikan, kita juga akan sekali lagi dapat melihat Malaysia diiktiraf sebagai ‘economic tiger’ yang dinamik di Asia.

3. Tidak dapat dinafikan bahawa ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi yang dramatik sejak 40 tahun yang lalu terutamanya semasa tempoh pertama Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003. Pada masa yang sama, terdapat persepsi bahawa ekonomi Malaysia tidak banyak berubah atau ‘stagnating’ sejak 10 tahun yang lalu. Walaupun secara perlahan, kita dilihat hampir pasti akan kalah kepada negara-negara jiran kita di Asia termasuk Korea Selatan dan China. Di Asia Tenggara, Vietnam dan Indonesia sedang pantas mengejar kita daripada segi pembangunan ekonomi dan daya saing. Malaysia terperangkap dalam “middle income trap”

4. Walaupun terdapat pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 10 tahun yang lalu, sukar untuk mengelakkan persepsi bahawa manfaat peningkatan kemakmuran negara ini telah dinikmati oleh sebilangan kecil golongan elit manakala majoriti daripada rakyat hanya merasa peningkatan upah mereka yang berkadar perlahan, jika ada.

5. Saya fikir, dua sebab utama ini telah menyebabkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita pada 5 Oktober, 2019. Wawasan ini akan menangani jurang-jurang yang ada dalam masyarakat seperti contoh sama ada di antara kawasan luar bandar dan bandar, antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, di dalam kawasan bandar, antara yang ‘digitally connected dan ‘unconnected’, antara lelaki dan perempuan, antara yang muda dan tua dan antara kumpulan etnik,

6. Seperti dalam banyak perkara di Malaysia, kita sangat hebat dalam menghasilkan ‘blueprints’, dasar dan rancangan, namun kebiasaannya masih lemah dalam aspek pelaksanaan dan pemantauan. Inilah sebabnya saya ingin mengambil peluang pada acara hari ini untuk menggariskan tiga aspek pelaksanaan di mana saya dapat melihat dasar ini dilaksanakan dengan baik dan wawasan kemakmuran bersama ini dapat direalisasikan. Dalam memikirkan tentang aspek-aspek pelaksanaan ini, kita mesti menyedari kesilapan kita sebelum ini supaya kita tidak mengulanginya pada masa akan datang.

7. Aspek pelaksanaan pertama saya ingin kemukakan adalah dalam bidang “Shared Skills” atau Kemahiran Bersama. Apabila tema Kemakmuran Bersama ditonjolkan, orang biasanya akan memberi tumpuan kepada kesamarataan hasil. Tetapi pada hakikatnya, kesamarataan peluang adalah penting dan mungkin lebih penting. Peluang untuk membina kemahiran yang tepat untuk ekonomi masa depan seperti contoh, mungkin merupakan faktor yang paling penting dalam menentukan sama ada kita boleh mendapatkan semula status kita sebagai ‘economic tiger’. Ini juga merupakan faktor yang paling penting dalam menentukan sama ada kita boleh menggapai objektif Wawasan Kemakmuran Berkongsi pada 2030.

8. Perhatikan bahawa saya tidak menggunakan frasa “Pendidikan Bersama” untuk menyatakan bahawa semua orang harus mempunyai tahap pendidikan atau jenis pendidikan yang sama. Ini kerana saya percaya bahawa perkara yang penting adalah SET KEMAHIRAN yang kita ada dan yang kita tingkatkan dan naik taraf dari semasa ke semasa yang akan menjadi penentu bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam ekonomi masa depan.

9. Set kemahiran yang penting termasuklah keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan kritis, keupayaan untuk menganalisis isu dan masalah yang rumit, keupayaan untuk memahami data dan mengubahnya menjadi maklumat yang berguna, keupayaan untuk menggunakan teknologi untuk memperoleh set kemahiran baru dan menaik taraf latihan semasa.

10. Set kemahiran yang dinyatakan ini boleh dibangunkan dalam pelbagai cara dan dalam konteks yang berbeza. Sebahagian daripadanya boleh dibangunkan melalui pelbagai peringkat pendidikan – pendidikan rendah, menengah dan kemudian tinggi termasuk di peringkat latihan teknikal dan vokasional. Sebahagian daripadanya boleh dibangunkan melalui aktiviti kokurikulum dan projek kerjasama. Sebahagian daripadanya boleh dibangunkan melalui bimbingan ibu bapa. Sebahagian daripadanya boleh dibangunkan melalui pendedahan dan latihan industri. Ada juga set kemahiran ini yang juga boleh dipertingkatkan melalui latihan semasa bekerja.

11. Kuncinya di sini ialah, untuk melakukan perkara yang berbeza, kita mesti cuba mencari model baru di mana kita boleh bekerjasama untuk membangunkan kemahiran bersama ini dan bukan setakat berusaha sendiri dalam ‘individual silo’. Dalam ekonomi masa depan, kolaborasi dan kerjasama akan menjadi lebih penting, terutamanya kerana tahap kerumitan ekonomi akan terus meningkat. Individu atau sekumpulan kecil individu tidak boleh menjalankan aktiviti ekonomi secara sendirian. Mereka perlu bekerjasama dalam konteks sistem yang lebih besar sama ada ia adalah sektor awam atau swasta malah bahkan di kalangan NGO.

12. Aspek pelaksanaan kedua yang saya ingin kemukakan ialah dalam “Shared Opportunities” atau Peluang Bersama. Di masa lalu, dasar-dasar telah digariskan ke arah pengaturan kontrak tertentu telah membawa kepada penubuhan syarikat-syarikat yang dikenali sebagai “Ali Baba” di mana usahawan Bumiputera dilibatkan ke dalam hubungan perniagaan dengan usahawan bukan Bumiputera yang berat sebelah dan sering tidak membawa kepada hasil yang diinginkan iaitu pembangunan pengetahuan dan kemahiran di kalangan Bumiputera. Di Malaysia, apabila kita bercakap mengenai hubungan “Ali Baba”, ia sering dirujuk sebagai sesuatu yang negatif.

13. Untuk ekonomi masa depan, kita perlu mencari model baru untuk “peluang bersama”. Sekali lagi, saya ingin menekankan bahawa peluang ini tidak semestinya dilihat semata-mata daripada perspektif etnik. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, perihal ketidaksamaan boleh datang dalam pelbagai bentuk, di mana ketidaksamaan kaum hanyalah salah satu bentuk ketidaksamaan. Apa yang kita mahu kenalpasti dan hasilkan adalah seperti contoh hubungan simbiotik ekonomi di antara pelbagai kumpulan yang tidak mendapat akses yang sama kepada sumber, pengalaman dan pengetahuan. Kita ingin sekiranya dapat memanfaatkan kekuatan pelbagai kumpulan atau individu dalam kumpulan ini supaya “peluang bersama” yang tulen dapat diterjemahkan kepada hubungan dan hasil ekonomi yang memberi impak.

14. Satu contoh yang boleh saya fikirkan ialah perkongsian perniagaan antara Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranun, pengasas bersama Air Asia. Mereka adalah kawan dan rakan sebaya dan mereka memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing, seorang dalam bidang pemasaran dan seorang lagi dalam bidang kewangan, untuk membina apa yang boleh dikatakan sebagai salah satu jenama terkenal Malaysia kepada sebuah entiti yang diiktiraf di peringkat global. Kita memerlukan lebih banyak contoh seperti perkongsian tulen seperti ini yang beroperasi di atas landasan “peluang bersama”.

15. Bagaimanakah kita tahu jika perkongsian ini sesuatu yang dapat dikekalkan secara ekonomikal atau “economically sustainable”? Mereka mesti lulus ujian untuk dapat bersaing di pasaran terbuka, di dalam negara, di dalam rantau ini dan bahkan di peringkat dunia.

16. Apabila Pandaleela Rinong bekerjasama dengan Cheong Jun Hoong, semua orang dapat melihat bahawa ini adalah perkongsian tulen dan simbiotik kerana apabila mereka bersaing dalam acara terjunan 10m platform serentak pada Olimpik 2016, mereka berjaya membawa pulang pingat gangsa walaupun dalam persaingan sukan peringkat global yang sengit.

17. Sama ada di arena sukan atau di arena perniagaan, kita mesti mengenal pasti keadaan yang betul di mana “peluang bersama” untuk kolaborasi dan kerjasama, terutamanya di peringkat perusahaan, dapat digalakkan dan ditingkatkan.

18. Akhirnya, aspek pelaksanaan yang saya ingin kemukakan adalah mengenai “Shared Growth” atau Perkembangan Bersama.

19. Di sini, saya mengingatkan terhadap pemikiran yang melihat keseluruhan pai ekonomi sebagai objek tetap di mana pembahagian pai ini dilihat sebagai ‘zero-sum game’. Jika ini adalah perspektif kita, apa yang mungkin akan berlaku adalah tindakan yang mengambil bahagian daripada satu kumpulan dan memberikannya kepada kumpulan yang lain. Tindakan ini menyebabkan hasil ekonomi yang sangat buruk. Inilah yang berlaku di Zimbabwe ketika tanah pertanian yang produktif dirampas daripada satu kumpulan orang dan diberikan kepada kroni parti politik yang memerintah pada masa itu. Selepas perkara ini berlaku, ladang-ladang tersebut tidak lagi produktif dan pengeluaran pertanian berkurangan dengan sangat ketara.

21. Apa yang perlu kita lihat sebaliknya adalah keperluan untuk mengembangkan pai ekonomi supaya terdapat lebih banyak pai untuk dibahagikan kepada pihak berkepentingan dengan cara yang memberi manfaat kepada semua orang. Dan ketika kita berkembang, kita juga harus memastikan bahawa terdapat syarat-syarat yang sesuai untuk kelas pekerja dan kelas pekerja diberi bayaran upah sewajarnya.

22. Saya berharap perkongsian tiga aspek pelaksanaan ini akan memberi sesuatu untuk difikirkan kepada ahli panel forum dan juga para hadirin yang hadir pada hari ini.

23. Dari perspektif MITI, terdapat banyak dasar yang kita ada dan akan dilancarkan dan dikemas kini di mana beberapa aspek pelaksanaan ini boleh dijalankankan termasuk untuk melalui dasar Industri 4.0, Kajian Dasar Automotif kebangsaan (NAP Review) yang akan diumumkan tidak lama lagi dan juga Pelan Induk Perindustrian ke-4 (4th Industrial Masterplan IMP4).

24. Program pada hari ini sudah pasti tidak akan menjadi penghujung kepada pelibatan saya dengan WADAH Selangor dan WADAH di peringkat nasional mengenai isu-isu berkaitan dengan ekonomi. Saya yakin bahawa akan ada aspek kerjasama lain yang berpotensi untuk kita lakukan bersama.

25. Dengan itu, saya merasmikan Forum Ekonomi Shah Alam 2019 dan mengharapkan forum hari ini menjadi sesi perbincangan dan perkongsian yang produktif kepada semua ahli panel dan hadirin semua.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *