Terima kasih Dr Ramasamy atas peringatan terhadap Janji-Janji Manifesto PRU14 Pakatan Harapan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Kebangsaan Pendidikan Politik untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 1 Julai, 2019

Dalam ucapan saya pada 28 Jun, 2019 ketika pelancaran Kad Laporan Projek Pantau ke-2 IDEAS, saya telah meminta orang ramai untuk terus mengingatkan Pakatan Harapan mengenai janji-janji Manifesto PRU14 kita supaya kita akan terus merasakan bebanan untuk menunaikan janji-janji kita sebelum pilihan raya umum akan datang. Saya juga menyebut bahawa salah satu kumpulan yang paling vokal dalam mengingatkan kerajaan mengenai janji-janji Manifesto PRU14 kita adalah ahli-ahli ‘backbencher’ PH sendiri melalui pelbagai saluran dalaman. Ada juga ahli-ahli dewan negeri (ADUN) kita yang sama vokal dalam peringatan mereka, walaupun memilih secara terbuka.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Ramasamy terhadap peringatan terkininya bahawa “tidak terlambat untuk menunaikan janji-janji pilihan raya PH!” yang diterbitkan di laman Facebook beliau.[1] Sejauh mana saya menghargai peringatan Dr. Ramasamy, komen tersebut boleh menjadi lebih konstruktif jika dia boleh secara sistematik menyemak kad laporan terperinci yang dihasilkan oleh IDEAS yang menilai kemajuan yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan ke atas 224 sub-janji yang terdapat dalam manifesto[2] dan bukan semata-mata sekadar memberi maklum balas pada satu tajuk utama dalam artikel Malaysiakini.[3] Komen Facebook beliau tidak berlaku adil terhadap kerja-kerja keras yang telah dilakukan oleh IDEAS dan fakta bahawa kenyataan IDEAS mengenai janji-janji yang tidak realistik yang terdapat dalam manifesto itu ditujukan pada sebahagian KECIL janji-janji seperti sasaran 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun dan menetapkan tahap kontinjen pendapatan bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk bermula pada RM4000 sebulan.

Di samping itu, kenyataannya bahawa “lebih dari satu tahun berlalu sejak PH mengambil alih kerajaan persekutuan tetapi tidak banyak telah dilakukan untuk melaksanakan janji pilihan raya yang dibuat” adalah jelas salah. Kajian IDEAS sendiri menunjukkan bahawa 30% daripada 224 sub-janji telah dilaksanakan atau dalam proses perlaksanaan.[4] Pencapaian satu tahun kerajaan PH termasuklah “pemansuhan GST yang pantas, sokongan baru yang besar kepada SME dan rancangan besar untuk mengurangkan rasuah dan pembaharuan perolehan awam”[5] yang membolehkan IDEAS untuk menyimpulkan bahawa, “kerajaan boleh berbangga dengan pencapaian yang telah dibuat pada tahun pertama mereka”.

Namun ini tidak bermakna Kerajaan PH boleh berpuas hati dengan pencapaian sekarang. Terdapat banyak lagi kerja yang perlu dilakukan dan banyak pemimpin tertinggi PH, termasuk Perdana Menteri, telah mengulangi komitmen kita untuk menunaikan janji-janji manifesto PRU14, sama ada sepenuhnya atau dalam beberapa kes, sebahagiannya.

Saya telah menunaikan janji saya yang dibuat semasa ucapan di forum awam IDEAS untuk memastikan setiap Ahli Parlimen PH menerima satu salinan Kad Laporan Projek Pantau ke-2 IDEAS. Saya percaya bahawa banyak ahli-ahli backbencher  akan menggunakan dokumen ini sebagai salah SATU rujukan untuk memastikan Kerajaan PH bertanggungjawab kepada janji manifesto mereka. Saya berharap orang lain seperti Dr. Ramasamy dapat terus memberikan maklum balas yang konstruktif kepada kerajaan supaya kita dapat memberikan kad laporan yang lebih baik kepada para pengundi dalam tempoh empat tahun akan datang sebelum PRU15.

[1] https://web.facebook.com/proframasamy/posts/2336767199694859?__tn__=K-R

[2] http://www.ideas.org.my/wp-content/uploads/2019/06/PantauProjek_Vol_Last.pdf

[3]https://www.malaysiakini.com/news/481567?fbclid=IwAR3-gLfROUqpSP1lAjk07zBB7krWwT4Co1mqBLwKTZm8I9xtF9LMR6ngnCM#.XRf-9kmcgYc.facebook

[4] http://www.ideas.org.my/ideas-releases-second-edition-of-projek-pantau-report-card-concludes-that-30-of-224-sub-promises-achieved-or-on-track/

[5] Summary of Overall Performance, pg.5, Projek Pantau 2nd Report Card.