Siasatan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat AP Terbuka baharu yang dilantik bagi memastikan syarat-syarat kelayakan memohon di bawah Dasar Baharu AP Terbuka masih dipatuhi.

Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 29 Mac 2019

Selepas kenyataan MITI dikeluarkan pada 13hb[1] dan 14hb[2] bulan Mac 2019, beberapa aduan dan laporan telah diterima oleh MITI  bahawa terdapat syarikat-syaraikat baharu ini yang  tidak mematuhi syarat-syarat tersebut seperti tidak mempunyai keupayaan kewangan dan tiada pengalaman dalam penjualan dan pengedaran kenderaaan. Di samping itu, terdapat juga aduan bahawa syarikat-syarikat ini telah mempunyai perancangan untuk menjual AP yang diperuntukan kepada pihak ketiga. Susulan daripada aduan-aduan yang diterima, MITI akan melaksanakan penyemakan maklumat terkini daripada syarikat-syarikat ini termasuk:

  1. “Memorandum and Articles of Association”;
  2. Maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuk “Key Financial Information”;
  3. Penyata kewangan bagi tahun 2015 hingga 2018;
  4. Slip pengisytiharan dan bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun 2016 hingga 2018;
  5. Penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  bagi Januari hingga Mac 2019; dan
  6. Lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2017 hingga 2019

Semua dokumen yang dinyatakan di atas perlu dikemukakan kepada MITI dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja dari tarikh surat MITI dikeluarkan. Kegagalan syarikat untuk memberi kerjasama dan mengemukakan dokumen tersebut dalam tempoh yang ditetapkan boleh menjejaskan sebarang permohonan AP oleh syarikat-syarikat ini di masa hadapan.

Senarai 36 syarikat AP Terbuka baharu yang dilantik berkuatkuasa  1 Januari 2019 dilampirkan sebagai rujukan.

Siasatan juga akan dilaksanakan  melalui audit berperingkat ke atas syarikat sedia ada bagi memastikan syarat-syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu telah dipatuhi.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri MITI, Yang Berhormat Datuk Darell Leiking[3], tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat AP Terbuka yang tidak mematuhi syarat-syarat pematuhan sebagai syarikat AP Terbuka termasuk mereka yang didapati menjual AP kepada pihak ketiga.

MITI komited untuk memastikan bahawa hanya syarikat benar-benar layak sahaja yang dapat mengekalkan status mereka sebagai syarikat AP Terbuka dan meneruskan perniagaan mereka di dalam industri ini.

Bagi maklumat lanjut, sila hubungi:

En. Masyhur Abdullah
[email protected]

Pertanyaan media:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Unit Komunikasi Korporat

Tel        +603 6200 0083
Fax       +603 6206 4293
E-mel   [email protected]


[1] https://www.miti.gov.my/miti/resources/Media%20Release/Media_Release_-_New_Open_AP_Policy_Implementation.pdf

[2] https://www.miti.gov.my/miti/resources/Media%20Release/Media_Statement_-_By_Dr._Ong_Kian_Ming,_MITI_Aims_To_Be_Fully_Transparent_On_The_Issuance_Of_Open_Approved_Permits_(APs)_For_Vehicles_And_Motorcycles_.pdf

[3] https://www.theedgemarkets.com/article/show-us-proof-and-we-will-tangkap-ap-sellers-says-leiking

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *