Ketidakmampuan PH untuk menembusi undi Orang Asli dan Melayu di Cameron Highlands membuktikan lebih banyak usaha diperlukan

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming berkenaan Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 28 Januari, 2019

Sehari sebelum kempen PRK kerusi Parlimen Cameron Highlands bermula pada 12 Januari, 2019, saya telah menulis[1]:

Peluang untuk memenangi PRK ini sukar tetapi tidak mustahil. Sekiranya PH berjaya mencapai sasaran yang diperlukan untuk PRK, ada kemungkinan untuk PH mencapai kemenangan. Sasaran tersebut adalah:

  1. Tidak membiarkan peratusan keluar mengundi jatuh di bawah 55%, terutamanya di kalangan penyokong tegar PH
  2. Mencapai sekurang-kurangnya 70% sokongan Cina dan India
  3. Meningkatkan sokongan Melayu dan OA daripada sekitar 10% kepada sekurang-kurangnya 30%
  4. Meningkatkan sokongan pengundi awal dan pos daripada sekitar 10% hingga  40%

Walaupun PH berjaya mencapai sasaran (i) dan (ii), kita tidak berjaya mendekati sasaran (iii) dan (iv).

Analisa keputusan terperinci di Polling District atau Daerah Mengundi (DM) akan menunjukkan butiran yang lebih relevan. Sebelum itu, kita perlu membandingkan rumusan keputusan untuk PRK dan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU).

  1. Perbandingan Keputusan PRK dengan PRU14

Jadual 1 di bawah menunjukkan angka-angka penting bagi perbandingan keputusan PRU14 dan PRK ini.

Peratusan keluar mengundi jatuh sebanyak 9.7% daripada 78.5% kepada 68.8%, yang merupakan peratusan yang baik untuk PRK memandangkan PRK yang lain selepas PRU14 mengalami penurunan purata sebanyak 37% berbanding PRU14.

BN meningkatkan majoriti daripada 597 undi pada PRU14 kepada 3,238 undi pada PRK ini dan peratusan undian mereka meningkat sebanyak 13.7% daripada 41.0% pada PRU14 kepada 54.7% pada PRK ini. Ini kebanyakannya disebabkan oleh kemampuan BN untuk bekerjasama dengan PAS dan memenangi kebanyakan undi yang diperoleh PAS dalam PRU14 (kira-kira 14.3% daripada jumlah undi).

Peratusan undi popular PH sebenarnya meningkat sedikit sebanyak 1.4% daripada 38.6% dalam PRU14 kepada 40% pada PRK ini.

Jadual 1: Rumusan Keputusan PRK berbanding PRU14

2)      Perubahan Peratusan Keluar Mengundi mengikut jenis DM

Walaupun peratusan keluar mengundi menurun sebanyak 9.7%, pembahagian penurunan ini agak berbeza mengikut jenis DM. Sebagai contoh, penurunan peratusan keluar mengundi  dalam DM majoriti Cina adalah tertinggi pada 14.5%. Ini diikuti oleh DM campuran (terdiri daripada majoriti kaum Cina dan India) yang jatuh sebanyak 11.1%. Kejatuhan peratusan dalam DM majoriti India adalah kira-kira 9.4% mencerminkan kejatuhan peratusan keluar mengundi secara keseluruhan. Penurunan peratusan keluar mengundi dalam majoriti Melayu adalah lebih rendah, iaitu 7.4%. Purata peratusan keluar mengundi dalam DM majoriti Orang Asli sebaliknya meningkat sebanyak 0.4%, yang mungkin pencapaian terbaik untuk PRK (Lihat Jadual 2 di bawah).

Jadual 2: Perubahan Purata Peratusan Keluar Mengundi mengikut Jenis DM, PRK berbanding PRU14

Penurunan yang lebih tinggi dalam DM majoriti Cina dapat dijelaskan oleh fakta bahawa ramai pengundi luar kurang berkemungkinan membuat perjalanan pulang ke rumah untuk membuang undi kerana sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi dan kebanyakan pengundi akan memilih untuk pulang ke rumah semasa CNY dan bukannya semasa PRK. Sesetengah pihak juga mungkin menyifatkan kejatuhan yang lebih tinggi dalam peratusan keluar mengundi dalam DM majoriti Cina sebagai mencerminkan ketidakpuasan di kalangan pengundi Cina pada pencapaian kerajaan PH selepas 9 Mei 2018. Kedua-dua faktor ini boleh berlaku serentak.

Walaupun peratusan keluar mengundi DM majoriti Cina melepasi sasaran 55%, jumlah peratusan di kalangan DM majoriti India menurun kepada kira-kira 51.7% manakala peratusan dalam DM campuran berlegar sekitar sasaran 55%.

Jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam DM majoriti OA boleh dikaitkan dengan kebarangkalian yang lebih tinggi bahawa pemilih OA yang lebih ramai tinggal dan bekerja dalam kawasan (dan oleh itu, kurang pengundi luar) dan juga hakikat bahawa calon OA diletakkan bertanding bagi kerusi parlimen untuk kali pertama oleh mana-mana parti politik utama di negara ini.

Kadar peratusan keluar mengundi yang berbeza di antara masyarakat yang berlainan memberi kesan kepada peningkatan peratusan keluar mengundi berdasarkan pecahan pengundi (dalam kes ini, OA dan pengundi Melayu) dan mengurangkan pecahan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah di kalangan pengundi ( dalam kes ini, pengundi Cina dan India). Kadar peratusan ini memberi kelebihan kepada BN yang mendapat sokongan yang lebih tinggi di kalangan pengundi Melayu dan OA dan tidak menyebelahi PH yang mendapat sokongan yang lebih tinggi di kalangan pengundi Cina dan India.

  • Pengundian Mengikut Jenis DM

Pemerhatian menarik dikesan apabila perubahan dalam pola pengundian oleh jenis DM diperiksa dengan lebih teliti. PH masih berjaya mengekalkan sokongannya dalam DM majoriti Cina, hanya menurun sedikit daripada purata 76.0% dalam PRU14 kepada 73.8% dalam PRK, atau penurunan sebanyak 2.2%. Sokongan PH dalam majoriti DM India meningkat daripada 42.6% kepada 59.0% yang menunjukkan peningkatan sebanyak 16.4%. Daripada perspektif keputusan ini, PH dapat mencapai tahap sokongan 70% (sekurang-kurangnya) di kalangan pengundi Cina dan India dalam PRK ini.

PH berjaya meningkatkan sokongannya dalam DM majoriti OA daripada 7.2% kepada 18.5% yang merupakan peningkatan sebanyak 11.3% tetapi masih terlalu jauh daripada sokongan 30-40% OA yang diperlukan untuk PH mempunyai peluang untuk memenangi kerusi ini. (Lihat Jadual 3 di bawah)

Sekiranya ada sinar harapan bagi PH dalam PRK ini, ia adalah kejayaan kecil yang dicapai dalam meningkatkan peratusan undian dalam DM OA seperti Pos Lanai dan Pos Titum daripada 0.9% dan 3.8% dalam PRU14 kepada 27.2% dan 31.9% dalam PRK. Tetapi kebanyakan peningkatan sokongan PH dalam DM OA datang daripada undi PSM dan PAS dalam PRU14 dahulu dan bukannya daripada penyokong BN yang menukar undian mereka kepada PH. Itulah sebabnya sokongan purata BN di DM OA hampir tidak berubah, kira-kira 75% dalam PRK (Lihat Jadual 4 di bawah).

PH tidak dapat menembusi DM majoriti Melayu, yang kesemuanya berada di kubu kuat BN di Jelai, hanya memperoleh purata 9.6% daripada jumlah undi dalam DM (Lihat Jadual 8 di bawah).

Jadual 3: Perubahan sokongan PH mengikut Jenis DM

Bagi BN, mereka dapat mengutip sebahagian undi PAS di kalangan masyarakat Melayu dalam DM Campuran, meningkatkan undian daripada purata 33.2% kepada 41.8%, atau peningkatan 8.6%. Lonjakan terbesar bagi BN adalah dalam DM majoriti Melayu di Jelai di mana ia meningkatkan purata undian daripada 47.9% kepada 86.8%, atau peningkatan 38.9% yang sangat tinggi! Ini bermakna hampir semua undi yang dimenangi oleh PAS dalam DM ini dalam PRU14 telah ‘berpindah’ kepada BN dalam PRK (Lihat Jadual 4 di bawah).

Jadual 4: Perubahan sokongan BN mengikut Jenis DM

PH masih jauh untuk mencapai sasaran sokongan 30% di kalangan pengundi OA (kadar sokongan efektif hampir 20%) dan lebih jauh daripada mencapai sokongan 30% di kalangan pengundi Melayu (masih kurang daripada 10% dalam PRK ).

  • Undian Pos dan Awal

Daripada 213 undi awal yang dicatatkan dalam PRK, PH telah meningkatkan prestasinya dengan memenangi 17.7% daripada jumlah undi berbanding 2.3% dalam PRU14, peningkatan sebanyak 15.4%. Undian awal untuk BN menurun daripada 86.8% dalam PRU14 kepada 78.1% dalam PRK tetapi tidak cukup untuk mengurangkan penguasaan keseluruhan BN dalam undi awal.

Daripada 122 undi pos, 70.3% dimenangi oleh BN, peningkatan sebanyak 13.4% manakala PH menambah 10% sokongan pengundi pos daripada 13.7% kepada 23.8%. Kebanyakan sokongan PAS daripada pengundi pos pergi ke BN dalam PRK dengan PH mendapat selebihnya (Lihat Jadual 5 di bawah).

Jadual 5: Perubahan Sokongan Undi Pos dan Awal, PH dan BN, PRK berbanding PRU14

Walaupun perubahan kerajaan di peringkat persekutuan dan hampir semua pengundi awal dan pos adalah anggota polis, anggota tentera atau penjawat awam, PH tidak dapat mencapai tahap sokongan 40% dalam PRK.

5) Rumusan dan langkah seterusnya

Amat mudah untuk berbicara tentang apa yang sudah berlaku jika berdasarkan tinjauan kembali. Sebaik sahaja PH gagal memenangi PRK Cameron Highlands, pelbagai sebab mula disebarkan, dibincangkan dan dibahaskan untuk menjelaskan prestasi buruk PH. Tanpa sebarang kaji selidik yang sistematik, sukar untuk menilai faktor-faktor tertentu kepada keputusan PRK ini.

Walau bagaimanapun, satu perkara adalah jelas. Walaupun PH berkuasa di peringkat persekutuan, kita tidak boleh mengandaikan bahawa akan ada perubahan semulajadi dalam sokongan kepada kerajaan persekutuan di kalangan kumpulan yang dilihat banyak bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan. Ini termasuklah masyarakat Orang Asli dan peneroka FELDA, dua kumpulan pengundi yang paling penting di Cameron Highlands. PH mesti bekerja lebih keras dan lebih sistematik untuk memenangi hati dan fikiran pengundi ini. Kita mempunyai 4 tahun lagi untuk melakukan sesuatu terhadap pengajaran yang diperoleh daripada PRK ini.

Dr. Ong adalah Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Kebangsaan Pendidikan Politik untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP)


[1] https://ongkianming.com/2019/01/12/media-statement-the-first-major-electoral-test-for-pakatan-harapan-ph-is-to-win-the-cameron-highlands-by-election-despite-the-many-challenge

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *