Berapa banyak lagi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dapat ditarik Malaysia tanpa kerisauan pelabur asing terhadap Najib dan skandal 1MDB?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 10hb Januari 2019

Saya sedih melihat bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak, yang terpaksa mengambil peranan baru sebagai ‘internet troll’ No. 1 Barisan Nasional (BN) demi menyelamatkan reputasinya yang sudah musnah. Percubaan menyedihkan terbaru beliau adalah cuba mengambil pujian terhadap  prestasi pelaburan dan perdagangan Malaysia di dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Kebanyakan ciri-ciri yang menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan yang menarik dan ekonomi yang terbuka untuk perdagangan dan perniagaan seperti pewujudan undang-undang untuk melindungi pelabur, pelaburan infrastruktur untuk meningkatkan kesalinghubungan dan liberalisasi perdagangan telah dilakukan oleh pendahulunya termasuklah ketika tempoh pertama Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya ada yang patut mengambil pujian, mereka mestilah penjawat awam yang bekerja keras di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yang dengan konsisten dan usaha bersepadu menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan mempromosikan perdagangan luar.

Perdagangan luar terus berkembang selepas Najib dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018. Pertumbuhan di dalam perdagangan SELEPAS PRU14 daripada Mei hingga November 2018 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017 adalah 7.0%, yang mana lebih tinggi daripada pertumbuhan perdagangan sebanyak 4.7% SEBELUM PRU14 daripada Januari hingga April 2018 berbanding Januari hingga April 2017.  (Lihat Rajah 1 di bawah)

Rajah 1: Pertumbuhan Perdagangan (%) Sebelum dan Selepas PRU14 (Jan hingga April 2018 vs 2017 berbanding Mei hingga Nov 2018 vs 2017)

Sumber: Jabatan Perangkaan, Angka Perdagangan Luar Negeri, November 2018

Permohonan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam sektor pembuatan juga terus meningkat ketika Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Buktinya, daripada bulan Mei hingga September 2018, iaitu selepas PRU14, pelaburan pembuatan yang diluluskan meningkat kepada RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2017. Jelas bahawa peningkatan FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan memberi satu petunjuk tentang berapa banyak lagi FDI yang kita dapat tarik sekiranya Malaysia tidak mempunyai skandal 1MDB yang menjadi kerisauan pelabur kerana mereka perlu mengambil kira sama ada skandal ini akan menjejaskan iklim pelaburan di Malaysia.

Rajah 2: Pelaburan Pembuatan Yang Diluluskan (Mei hingga Sept 2018 berbanding 2017) (RM Bilion)

Sumber: MIDA

Sebaliknya daripada mengambil pujian, Najib perlu mengucapkan terima kasih kepada dua Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang paling lama berkhidmat sebelum ini yang telah menunjukkan tahap profesionalisma yang tinggi dan meletakkan dasar-dasar yang mesra pelabur – Tan Sri Rafidah Aziz (Menteri MITI dari tahun 1997 hingga 2008) dan Datuk Mustapa Mohamed (Menteri MITI dari 2009 hingga 2018). Najib juga perlu mengambil perhatian bahawa Rafidah telah meninggalkan UMNO sebelum PRU14 dan secara aktif berkempen menentang beliau secara peribadi semasa pilihanraya umum baru-baru ini dan Mustapa meninggalkan UMNO selepas PRU14 dan kemudiannya menyertai BERSATU.

Kita semua boleh menghela nafas lega sekarang kerana kita tidak perlu takut skandal 1MDB dan Najib menjauhkan pelabur asing dari Malaysia. Cabaran kita sekarang adalah untuk menunjukkan bahawa Malaysia adalah dan akan menjadi tempat yang LEBIH baik untuk pelaburan jangka masa panjang apabila kita memastikan struktur tadbir urus yang lebih baik dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.