PRU 14 – Kisah Tsunami Malaysia

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Penolong Pengarah Pendidikan Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen P102 Bangi pada 17 Mei 2018

Tatkala saya pulang ke Malaysia dari Amerika Syarikat selepas tamat PhD pada 2010, saya pernah membuat pembentangan dan menyatakan bahawa pembangkang mungkin tidak akan menang pada PRU13, namun akan mengambil alih tampuk kuasa pada PRU14. Saya mengakui pada malam sebelum 9 Mei 2018, saya sendiri tidak yakin 100% bahawa Pakatan Harapan akan memenangi majoriti kerusi parlimen pada PRU14. Keraguan ini timbul berasaskan beberapa sebab utama, iaitu persempadanan semula yang diluluskan di Parlimen pada bulan Mac, pertandingan tiga penjuru dengan PAS, kesusahan pembangkang untuk menawan Sarawak dan ketakutan yang ditanam oleh BN dalam diri pengundi Melayu.

Namun apa yang Najib dan BN tidak sangka akan berlaku adalah Tsunami Malaysia. Tsunami ini terjadi dengan amat dahsyat hinggakan mampu menjatuhkan BN, bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malahan juga di semua negeri kecuali Perlis dan Pahang.[1]

Undi popular BN (termasuk Sabah dan Sarawak) telah jatuh menjunam sebanyak 12.8%, daripada 46.7% pada PRU2013 kepada 33.9% pada PRU2018 (Jadual 1). Sebenarnya angka ini adalah jauh lebih rendah daripada undi popular 46.2% yang dimenangi BN di Semenanjung Malaysia pada tahun 1969 (semasa ia bertanding sebagai gabungan Parti Perikatan) yang telah pun dianggap sebagai prestasi yang sangat buruk.

Jadual 1: Perolehan dan perubahan undi popular di Malaysia (PRU2013 berbanding PRU2018)

Gabungan / Parti PRU2013 PRU2018 Perubahan (2013 berbanding 2018)
BN 46.7% 33.9% -12.8%
Pakatan Rakyat / Pakatan Harapan 50.1% 48.3% -1.7%
PAS NA 16.6% +16.6%

Nota: Undi yang diperoleh oleh PH pada PRU2018 termasuk undi Parti Warisan di Sabah. Undi-undi kerusi Parlimen yang dimenangi oleh setiap parti/ pakatan telah digunakan untuk mengira angka yang terpapar dalam Jadual 1.

Pakatan Harapan telah muncul sebegai gabungan terbesar dengan undi popular 48.3%. Beberapa penganalisa telah menggunakan fakta bahawa PH gagal memenangi undi majoriti untuk mengatakan bahawa PH tidak mendapat sokongan majoriti penyokong di Malaysia. Mereka cuba mencampurkan jumlah undi bagi BN dan PAS lantas mengatakan bahawa lebih daripada 50% pengundi tidak menyokong PH dalam PRU2018. Tafsiran sebegini tersasar jauh sekali. Keputusan PRU2018 semuanya berkisar reaksi dan tindak balas terhadap BN. 65% pengundi telah membuang undi mereka untuk MENENTANG BN dan menyokong parti yang tiada kaitan dengan BN. Hampir dua pertiga pengundi Malaysia telah mengundi untuk MENENTANG BN dan itu menunjukkan betapa besar hasrat mereka untuk membuang BN dari peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Gerakan anti-BN ini dapat dirasai di SEMUA negeri di Malaysia. Perubahan terbesar adalah di Kedah di mana peratusan sokongan terhadap BN jatuh sebanyak 19.8% iaitu dari 49.8% (PRU2013) kepada 30% (PRU2018). Perubahan dua digit dari segi jumlah undian juga dirasai di Selangor, Johor, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Wilayah Persekutuan (KL & Putrajaya), Perak dan Terengganu (Rajah 2).

Hanya terdapat satu negeri di mana BN berjaya memenangi peratusan undian melebihi 50%, iaitu di Sarawak dengan undi popular sebanyak 52.7% (lihat Jadual 2 di bawah).

Rajah 1: Perubahan sokongan untuk BN (Parlimen) PRU2013 hingga 2018

Jadual 2: Perubahan sokongan untuk BN (Parlimen) PRU2013 hingga 2018

Negeri BN% 2013 BN% 2018 Perubahan 2013-2018
Kedah 49.8% 30.0% -19.8%
Selangor 38.4% 21.0% -17.4%
Johor 53.9% 37.8% -16.1%
Perlis 54.5% 38.8% -15.7%
Melaka 52.9% 38.1% -14.8%
Negeri Sembilan 50.0% 36.1% -13.9%
Sabah 53.8% 41.1% -12.7%
WP KL & Putrajaya 35.0% 23.0% -12.0%
Perak 44.2% 33.2% -10.9%
Terengganu 50.8% 40.7% -10.1%
Pahang 54.2% 44.8% -9.4%
Pulau Pinang 31.2% 22.5% -8.7%
Sarawak 58.2% 52.7% -5.5%
Kelantan 42.4% 39.1% -3.3%
Pmsia Jumlah 45.1% 31.7% -13.4%
Malaysia Jumlah 46.7% 33.9% -12.8%

Tidak seperti PRU2013 yang menyaksikan peningkatan sokongan pengundi Melayu untuk BN (berbanding PRU2008), kini sah bahawa ramai pengundi Melayu telah meninggalkan BN. Malahan ramai penjawat awam pun tidak mengundi untuk BN. Tengku Adnan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, telah memenangi kerusi Putrajaya dengan hanya 49.5% undi popular pada PRU2018. Kerusi ini dimenangi beliau dengan selesa dengan hampir 70% undi popular pada PRU2013.

Terdapat bukti ketara bahawa BN telah kehilangan sejumlah besar undi polis dan tentera. Kesemua 4 kerusi parlimen yang mempunyai lebih daripada 10,000 pengundi awal (majoriti merupakan polis dan tentera) berjaya ditawan oleh Pakatan Harapan (Jadual 3). Dua daripadanya adalah Setiawangsa dan Tangga Batu yang dimenangi oleh BN pada PRU2013. Gerrymandering dilaksanakan di Parlimen Lumut bagi memudahkan UMNO menawan semula kerusi ini. Seramai 10,000 pengundi polis dipindahkan ke Lembah Pantai. Andainya tiada sebilangan besar pengundi polis dan tentera yang TIDAK mengundi BN (sama ada mengundi PAS, PH, undi rosak mahupun tidak mengundi), PH tidak mampu memenangi kesemua kerusi ini.

Jadual 3: Kerusi Parlimen yang mempunyai lebih daripada 10,000 pengundi awal yang dimenangi oleh PH (PRU2018)

Negeri Kod Parlimen Nama Parlimen Majoriti PH Parti Yang Menang Undi Awal
Perak P74 Lumut 400 AMANAH 11900
WPKL P118 Setiawangsa 14,372 PKR 17398
WPKL P121 Lembah Pantai 5,598 PKR 10250
Melaka P136 Tangga Batu 4,659 PKR 11741

Di kawasan Parlimen saya sendiri iaitu P102 Bangi, daripada sejumlah 1,305 undi pos (majoriti merupakan undi tentera), calon PAS telah mendapat 471 undi (36.1%), calon Pakatan Harapan iaitu saya telah mendapat 409 undi (31.1%) dan calon BN hanya mendapat 299 undi (22.9%). Saya terkejut melihat keputusan ini. Justeru itu, saya tidak terperanjat jika keputusan di kerusi lain yang mempunyai jumlah pengundi pos dan pengundi awal yang tinggi juga menunjukkan bahawa sebahagian besar undi polis dan tentera sudah TIDAK memihak BN.

Pakatan Harapan memperoleh prestasi yang amat baik di kerusi parlimen campuran, iaitu kawasan di mana tiada satu bangsa yang mendominasi lebih daripada 70% populasi pengundi. Daripada 83 kerusi campuran ini, Pakatan Harapan berjaya memenangi 73 kerusi (88%) dan BN mendapat 10 kerusi yang tinggal (UMNO 7, MIC 2 dan MCA 1). PAS tidak berjaya menawan walaupun satu kerusi parlimen campuran. Kawasan parlimen ini telah dan akan menjadi semakin penting dalam lanskap pilihanraya Malaysia dengan peningkatan penghijrahan ke kawasan bandar. Jika persempadanan dilakukan dengan adil, kerusi campuran ini dengan mudahnya akan merangkumi 60% hingga 70% jumlah keseluruhan kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia. Hanya sebuah pakatan yang mampu meraih sokongan kesemua kumpulan etnik akan berjaya memenangi kerusi-kerusi sebegini.

Akhir sekali, tsunami Malaysia ini tidak mungkin akan berlaku tanpa pengundi Sabah dan Sarawak. Walaupun saya telah yakin bahawa Warisan bersama DAP dan PKR akan membuka laluan di Sabah, namun saya tidak pernah menjangka PH dan Warisan akan memenangi 14 daripada 24 kerusi parlimen dan 29 daripada 60 kerusi DUN di Sabah.[2] Tambah mengejutkan adalah hakikat bahawa pembangkang telah menawan 12 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak[3], termasuklah beberapa kerusi separa luar bandar dan luar bandar seperti Mas Gasing, Puncak Borneo, Saratok dan Selangau.

Dengan penolakan BN oleh pengundi bandar dan luar bandar, pengundi Melayu dan bukan Melayu, Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, penjawat awam, polis dan tentera secara beramai-ramai, sejarah telah dicatat dan buat kali pertama dalam 61 tahun, Malaysia telah berjaya mendapatkan kerajaan persekutuan yang baru. Persoalan kini adalah sama ada Pakatan Harapan mampu mengambil peluang ini dan mengembangkan pengaruh ke kawasan berpencapaian lemah terutamanya Kelantan dan Terengganu. Buat masa ini, fokus PH adalah untuk mengotakan janji-janji manifesto dan membuktikan kepada pengundi bahawa PH merupakan kerajaan yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

[1] PRN Sarawak telah diadakan pada 2016.

[2] Termasuk WP Labuan.

[3] Termasuk 2 calon bebas yang menyertai PKR