Angka terbaru daftar pemilih menunjukkan kegagalan besar SPR dalam menjalankan persempadanan semula yang diluluskan di Parlimen pada bulan lepas

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Penolong Pengarah Pendidikan DAP dan Calon Pakatan Harapan bagi P102 Bangi, pada 24 April 2018

Merujuk kepada angka daripada daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU 14 (diwartakan oleh SPR pada 16 April), kawasan parlimen terbesar di Malaysia dari segi bilangan pengundi adalah P102 Bangi (dahulunya Serdang) dengan sejumlah 178,790 pengundi. Jumlah pengundi di P102 Bangi adalah 4 kali ganda pengundi di P92 Sabak Bernam (40,863 pengundi) yang juga merupakan kawasan parlimen yang ke-10 terkecil di Semenanjung Malaysia. P102 Bangi, di mana saya telah dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan, telah pun mendahului P109 Kapar sebagai Parlimen terbesar di Malaysia (P109 Kapar merupakan kerusi parlimen terbesar pada PRU 2013).

10 kerusi parlimen yang paling besar di Malaysia (di mana semuanya terletak di Semenanjung Malaysia) kesemuanya dimenangi oleh pembangkang pada PRU 2013. 5 kerusi dimenangi oleh DAP, 4 oleh PKR dan 1 oleh PAS (Lihat Jadual 1 di bawah).

Jadual 1: 10 Kawasan Parlimen Terbesar (berdasarkan bilangan pengundi) bagi PRU 14


Sumber: Daftar pemilih yang diwartakan oleh SPR pada 16 April 2018

Sebahagian daripada kerusi ini merupakan kawasan majoriti Melayu (Kapar dan Gombak) manakala yang lain merupakan kawasan campuran etnik (Kota Raja dan Bangi).

Sebaliknya, 10 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang terkecil dari segi bilangan pengundi kesemuanya dimenangi oleh BN pada PRU 2013 – 8 oleh UMNO, 1 oleh MIC dan 1 oleh MCA (Lihat Rajah 2 di bawah). (Saya tidak mengambil kira kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak disebabkan oleh keluasan kawasan yang lebih besar di kedua-dua negeri ini. Saya juga tidak memasukkan kerusi Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya kerana kedua-dua kawasan ini tetap memerlukan sekurang-kurangnya sebuah kerusi parlimen tidak kira jumlah pengundi di sana).

Jadual 2: 10 Kawasan Parlimen Terkecil (berdasarkan bilangan pengundi) di Semenanjung Malaysia bagi PRU 14


Sumber: Daftar pemilih yang diwartakan oleh SPR pada 16 April 2018

Daripada angka ini, jelas bahawa SPR telah gagal dalam tanggungjawabnya yang dimaktubkan dalam perlembagaan untuk mematuhi prinsip satu orang satu undi dengan mengenakan ‘pemberat bagi kawasan bandar dan luar bandar’ (urban-rural weightage) yang adil dan munasabah. Walaupun 10 kerusi parlimen yang dinyatakan dalam Jadual 1 merupakan kerusi bandar, namun terdapat juga banyak kerusi parlimen luar bandar yang mempunyai bilangan pengundi yang cukup tinggi. Sebagai contoh, P19 Tumpat (110,924 pengundi), P40 Kemaman (107,593 pengundi), P16 Baling (107,213 pengundi) dan P37 Marang (104,898 pengundi) semua merupakan kerusi majoriti Melayu dan kerusi parlimen luar bandar yang mempunyai bilangan pengundi melebihi 100,000 pengundi.

Ini menunjukkan dengan jelas bagaimana pengundi dari semua bangsa tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar telah melihat nilai undi mereka dilemahkan menerusi persempadanan semula yang diluluskan di Parlimen pada bulan lepas.

Kita hanya boleh menikmati pelaksanaan persempadanan semula yang adil dan telus jika kita mempunyai sesebuah SPR yang bebas, dan ini hanya boleh dicapai melalui kemenangan Pakatan Harapan pada PRU 14. Jika persempadanan semula dilakukan oleh badan SPR yang bebas, mengikut tafsiran tanpa unsur berat sebelah mengenai prosedur dan garis panduan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia akan mengurangkan jurang perbezaan bilangan pengundi antara kerusi dan menghasilkan sistem pilihan raya di Malaysia yang lebih adil.