Pemenang-pemenang acara larian Sungai Buloh Night Run 2018 anjuran BN-UMNO masih belum menerima hadiah wang tunai mereka

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Penolong Pengarah Pendidikan Kebangsaan DAP pada 13 April 2018

Pada 10 Februari 2018, beberapa organisasi berkaitan BN iaitu (i) Sekretariat Guru Aktif 1 Selangor (GA1S), Paya Jaras (ii) Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Parlimen Subang dan (iii) Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN N38 Paya Jaras) telah menganjurkan acara larian Sungai Buloh Night Run 2018. Acara ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendudukan Malaysia (Pejabat Pendidikan Daerah Gombak).

Sumber: http://www.sbnightrun.com/

Penaung acara Night Run ini adalah Dato’ Hj Zein Isma Ismail, yang besar kemungkinan adalah calon UMNO DUN Paya Jaras bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Sumber: https://web.facebook.com/sbnightrun/

Acara ini turut dihadiri oleh ramai pemimpin BN termasuklah Datuk P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan 1; Dato Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri; dan Tan Sri Dato Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sumber: TawanSelangor

Saya tidak membantah tindakan parti-parti politik untuk menganjurkan acara larian. Tetapi sekurang-kurangnya, larian itu perlu dirancang dengan baik. Acara ini mendapat penarafan (rating) 1.3 daripada 5 bintang menerusi ulasan orang ramai. Ramai peserta turut menyuarakan aduan terutamanya berkaitan dengan kekurangan stesen air, kekurangan medal dan tiada t-shirt larian.

Sumber: https://web.facebook.com/sbnightrun/

Tetapi yang paling teruk, sewaktu saya menulis rencana ini, adalah bahawa tiada seorang pun dari 40 pemenang untuk 4 kategori (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Senior Lelaki, Senior Wanita) yang telah menerima hadiah wang tunai yang dijanjikan oleh penganjur acara ini.

Sumber: http://www.sbnightrun.com/

Jumlah hadiah wang tunai ini bukanlah sedikit. Hadiah tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing bernilai RM 3,000.00, RM 2,000.00 dan RM 1,000.00. Tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM 500.00 manakala tempat keenam hingga kesepuluh masing-masing akan menerima RM 200.00. Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai bagi setiap kategori adalah RM 8,000.00 dan RM 32,000.00 bagi kesemua 4 kategori.

Sumber: http://www.sbnightrun.com/

Nilai tinggi hadiah wang tunai yang ditawarkan telah berjaya menarik ramai pelari elit untuk menyertai acara larian ini. Menurut laporan yang telah saya terima, pemenang-pemenang juga terpaksa menunggu hingga lewat malam bagi acara penutup dan penyampaian hadiah yang dirasmikan oleh Tan Sri Noh Omar, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Namun pemenang TIDAK DIBERIKAN HADIAH WANG TUNAI pada malam tersebut. Walaupun beberapa pemenang telah cuba berkali-kali untuk menghubungi penganjur acara, mereka MASIH BELUM MENERIMA hadiah wang tunai mereka sehingga hari ini. (Lihat lampiran di bawah yang merupakan dua perbualan Whatsapp antara dua orang pemenang dengan pihak penganjur)

Saya menggesa penaja pertandingan, Dato’ Hj Zein Isma Ismail, supaya segera membayar hadiah wang tunai kepada 40 pemenang bagi 4 kategori Sungai Buloh Night Run. Seandainya beliau sanggup ‘menipu’ hadiah wang tunai para pelari, apa lagi yang beliau akan lakukan untuk ‘menipu’ dalam PRU14 akan datang?

 

Lampiran 1: Perbualan Whatsapp antara salah seorang pemenang dengan pihak penganjur berkenaan hadiah wang tunai

Lampiran 2: Perbualan Whatsapp pemenang bertanyakan kepada penganjur berkenaan hadiah wang tunai