Pembahasan Pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576)

Ucapan Parlimen Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 3hb April, 2018

1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri atas usaha beliau untuk membentangkan Pindaan ini sebelum parlimen dibubarkan.

2. Saya rasa pindaan ini adalah hasil daripada cabaran yang dialami sejak YB Rembau menjadi Menteri Belia dan Sukan. Pindaan ini juga menggambarkan beberapa ‘priority areas’ yang diberi tumpuan khusus oleh Menteri.

3. Misalnya, pengiktirafan Majlis Paralimpik Malaysia sebagai Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan bagi Malaysia oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dalam Seksyen 9A adalah satu pindaan yang baik dan sesuai. Saya yakin bahawa langkah ini akan menambah baik penyeliaan Sukan Paralimpik di negara kita dan akan menjadi perangsang untuk melonjakkan prestasi atlet paralimpik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

4. Dalam isu ini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri atas tumpuan yang telah diberikan kepada atlet paralimpik termasuk memastikan bahawa atlet paralimpik kita mendapatkan insentif kewangan yang sama seperti atlet biasa dalam acara sukan Antarabangsa seperti Sukan Olympic.

5. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mewakili keluarga Evelyn Ang untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri. “I would like to thank the Minister on behalf of the family of Evelyn Ang.” Untuk makluman dewan yang mulia ini, Evelyn Ang, seorang pelari maraton, yang juga kawan saya, telah dilanggar oleh kereta semasa mengambil bahagian dalam Klang International City Marathon pada bulan Disember 2017. Beliau mengalami kecederaan yang serius dan telah meninggal dunia pada 1hb Mac 2018. Kemalangan Evelyn adalah salah satu sebab utama Pindaan Subsekysen 4 dan 5 diperkenalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Huraian 14 (Explanatory Note 14). Saya rasa bahawa “legacy” yang hendak ditinggalkan oleh Evelyn ialah usaha beliau untuk menambah baik “safety standards” acara larian di Malaysia.

6. Cuma, saya rasa masih terdapat lagi beberapa “loopholes” dan juga kekurangan dalam pindaan Seksyen 36. (Saya rujuk kepada Seksyen yang spesifik walaupun belum sampai pembahasan jawatankuasa oleh kerana tajuk keselamatan acara larian ini adalah isu pokok)

7. Saya tidak menafikan bahawa penambahan Subsekysen 4 dan 5 boleh menangani isu yang wujud sekarang iaitu penganjur acara larian yang tidak memohon lesen daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) tidak dapat didakwa jikalau kemalangan berlaku semasa acara larian itu berlangsung akibat daripada kecuaian pihak penganjur.

8. Tetapi saya tidak pasti bahawa Subskyen 4 dan 5 akan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan ataupun “safety standards” acara larian akan ditambah baik. Cabaran utama adalah dari segi proses permohonan lesen di PPS. PPS tidak ada kepakaran dari segi penilaian tahap keselamatan sesuatu acara larian. Jadi, tanggungjawab penilaian ini akan diberikan kepada kesatuan olahraga negeri masing-masing. Tetapi State AA ataupun kesatuan olahraga negeri biasanya hanya memberi nasihat teknikal sahaja ataupun ‘technical advice’. Apabila kesatuan olahraga sesuatu negeri memberi persetujuan mereka ataupun “sanctioning a race”, kesatuan ini juga akan letakkan satu ‘disclaimer’ untuk tidak mengambil tanggungjawab atas apa-apa kemalangan dan insiden-insiden lain yang mungkin berlaku semasa acara larian itu berjalan. Pada masa yang sama, “state AA” juga mengenakan caj yang tinggi (kadangkalanya beribu-ribu RM) sebagai “sanctioning fee”.

9. Saya nak memberi satu contoh. Baru-baru ini, pada 11hb Mac 2018, di Run Out Pahang Maraton 2018 di Kuantan, seorang sukarelawan (“volunteer”) dalam keretanya telah melanggar 4 pelari, salah satu telah patah kaki. Mengikut laporan The Star, acara larian ini dianjurkan oleh syarikat Monkey Theory bersama dengan Pejabat Pelancongan Pahang dan Kesatuan Olahraga Pahang. Acara ini juga ada lesen daripada PPS dan diberikan kebenaran oleh PBT iaitu Majlis Perbandaran Kuantan.

10. Tetapi kecuaian ini masih berlaku. Berdasarkan pengalaman saya, jarang untuk volunteer yang membuat rondaan semasa acara larian menggunakan kereta. Kalau ada kereta, ia biasanya adalah ‘lead car’ untuk pelari di hadapan sahaja. Jadi, memang aneh untuk sebuah kereta volunteer membuat rondaan dekat dengan garis penghabisan larian Pahang Maraton ini. Jadi dalam kes sebegini, Subsekysen 4 dan 5 tidak boleh digunakan ke atas pihak penganjur kerana mereka telah memperolehi lesen daripada PPS!

11. Satu lagi kelonggaran ialah keadaan di mana sebuah persatuan dan bukan syarikat menjadi penganjur untuk acara larian. Ini termasuk persatuan yang menganjurkan larian sebagai “charity or fundraising event”. Jumlah acara seperti ini juga telah bertambah. Saya faham bahawa ia tidak munasabah untuk mewajibkan persatuan untuk mendapatkan lesen daripada PPS oleh kerana ada ribu-ribuan persatuan dan NGO yang menganjurkan acara sukan. Tetapi, saya rasa acara larian (“and to a lesser extent, cycling events”) perlu diberikan tumpuan yang lebih rapi oleh kerana acara-acara ini biasanya melibatkan ramai peserta, kadang-kadang sampai ribuan peserta. Jadi, saya nak tanya Menteri, apa yang boleh dilakukan untuk menangani “loophole” ini.

12. Saya rasa isu pokok dari segi penganjuran acara larian ialah kapasiti PPS dan juga Kesatuan Olahraga Negeri untuk memberi penilaian dan juga mengeluarkan tatacara dan “guidelines” secara telus dan komprehensif. Buat masa sekarang, tidak ada “guidelines” yang standard dan tetap. Walaupun dalam borang permohonan, pihak PPS ada mengutip maklumat seperti “track record’ sesebuah syarikat dan juga keadaan kewangan syarikat, tetapi tatacara yang spesifik untuk acara larian tidak dinyatakan.

13. Saya cadangkan supaya satu jawatankuasa tetap ditubuhkan di PPS untuk menyelaraskan dan mengemaskinikan tatacara acara larian. Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada wakil KBS, wakil PBT, wakil polis, wakil MAF, penganjur acara larian dan “stakeholder” yang relevan. Buat masa sekarang, tidak ada satu dialog “formal” yang telah diaturkan oleh PPS dengan penganjur acara larian dan “stakeholder” yang lain selepas kemalangan yang berlaku di Klang. Dengan adanya jawatankuasa tetap sebegini, satu “official channel” boleh ditubuhkan untuk menangani cabaran menganjurkan acara larian dan menambahkan “safety standards” untuk acara larian.

14. Saya juga hendak membangkitkan isu permohonan lesen untuk acara sukan seperti ultra-marathon, trail run dan juga triathlton yang tidak disenaraikan dalam Jadual 1, Akta 576 dan tidak ada persatuan sukan pada tahap kebangsaan ataupun negeri untuk mewakili sukan ini sebagai badan sukan mereka. Untuk acara-acara seperti ini, siapakah menjadi badan rujukan untuk pihak PPS dalam proses permohonan lesen penganjuran? Apakah tatacara yang diperlukan untuk menjamin keselamatan peserta untuk acara seperti ini? Saya minta penjelasan.

15. Penggantian Panel Penasihat Sukan (Sports Advisory panel) dengan Jawatankuasa Pertikaian Sukan (Sports Dispute Committee) adalah pindaan yang baik kerana ia bukan sahaja menyediakan satu sistem yang lebih “formal” untuk menangani masalah yang berlaku dalam badan sukan tetapi ia juga beri ruang kepada atlet untuk membawa aduan-aduan mereka terhadap badan sukan yang mewakili mereka.

16. Cuma, saya nak rujuk kepada Seksyen baru 24A di mana rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Pertikaian Sukan boleh dibuat kepada Menteri dan Menteri ada kuasa untuk ‘mengesahkan, mengakaskan atau mengubah’ keputusan Jawatankuasa tersebut. Adakah pindaan ini sesuatu yang wajar? “Should the Minister have the ultimate authority to overturn the decision of the Sports Dispute Committee?” “This power can easily be a double-edged sword” dan ada juga alasan yang baik supaya kuasa muktamad ini tidak sepatutnya diberikan kepada Menteri. “It defeats the original purpose of having the Sports Dispute Committee.”

17. Satu lagi isu yang saya hendak bangkitkan mengenai Jawatankuasa ini ialah tentang had masa. Seperti mana yang saya tahu, seseorang yang hendak membawa satu ‘dispute’ kepada Court of Arbitration for Sports (CAS) di bawah KL Center for Regional Arbitration (KLCRA) dalam masa 14 hari selepas keputusan dibuat oleh sesuatu badan sukan. Adakah had masa yang ditetapkan untuk membawa satu kes kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan ini?

18. Satu lagi soalan ialah sama ada had masa untuk Menteri membuat keputusan selepas Rayuan terhadap keputusan Jawatan Kuasa Pertikaian di buat. Sebagai contoh, saya difahamkan bahawa seorang atlet pembina badan (“body builder”) Sazali Samad telah membuat rayuan kepada Menteri selepas beliau dikenakan “ban” selama 4 tahun akibat daripada kegagalan “out of competition anti-doping test” yang dilakukan oleh ADAMAS pada tahun 2015 dan sampai sekarang, Menteri belum lagi memberi jawapan kepada rayuan beliau. Jikalau Menteri diberikan kuasa untuk mendengar rayuan sebegini, saya rasa had masa perlu diletakkan di atas keputusan Menteri.

19. Isu yang akhir yang saya hendak bangkitkan ialah berkenaan dengan pengeluaran perkataan “syarikat” daripada definisi “badan sukan”. Saya rasa ini adalah langkah yang baik kerana ia akan menghentikan keadaan di mana sebuah syarikat boleh mengawal aktiviti-aktiviti sesuatu sukan dengan tidak adanya AGM dan pemilihan di tahap kebangsaan ataupun negeri. Sebagaimana yang saya tahu, semua “badan sukan” yang sekarang berdaftar sebagai syarikat perlu mendaftarkan diri lagi sebagai satu persatuan.

20. Saya nak menteri memberi senarai “badan sukan” yang sekarang berdaftar sebagai “syarikat”.

21. Sebagai pengakhiran, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YB Menteri dalam usaha beliau untuk membangunkan sukan di Malaysia.

22. “Although we have had our differences in many areas including in the area of sports, I acknowledge and give you the respect which you deserve for not only talking the talk but also walking the walk.”

23. “On my part, I have also tried in my small way to support the initiatives of your ministry including taking part in the MPs Fit Challenge over the past two years, running two half marathons in two Larian Hari Sukan Negara, taking part in the Larian Sukan Sea at Bukit Jalil dan Larian Team Malaysia in Putrajaya.”

24. “It is my hope that sports can unite us. It is my hope that this is one area where MPs from both sides of parliament can work together to promote sports and to show the nation what unity can be.”

25. Saya harap Menteri Belia dan Sukan dalam penggal yang baru boleh meneruskan legasi YB Menteri tidak kira dari pihak sebelah sini atau dari pihak sebelah sana. Dengan ini, saya sokong Pindaan Akta ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *