Adakah ‘embargo’ terhadap persempadanan semula oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada pagi ini bertujuan untuk menyekat cabaran kes mahkamah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada 22 Mac 2018

Terdapat beberapa perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Parlimen, namun terjadi pada pagi tadi.

Pertama sekali, kertas perintah penuh tidak diberi kepada Ahli-Ahli Parlimen mahupun dimuatnaik ke laman web Parlimen hinggalah lewat selepas jam 10 pagi.

Kedua, apabila kertas perintah penuh akhirnya dikeluarkan, jelas tertera bahawa tarikh pembentangan untuk Laporan Kajian Semula Persempadanan adalah pada 22 March 2018.

Nota pada halaman depan Laporan Kajian Semula Persempadanan ini menyatakan laporan ini tidak boleh didedahkan (embargo) sehinggalah ia dibentangkan di Parlimen pada 22 Mac 2018, iaitu hari ini.

Namun, daripada membenarkan Ahli-Ahli Parlimen daripada mengkaji laporan ini secara terperinci dan mendedahkannya kepada media serta orang awam, Tan Sri Pandikar telah mengeluarkan perintah yang mengarut iaitu untuk melanjutkan status embargo ini sehingga 28 Mac 2018, iaitu apabila persempadanan semula akan dibentangkan untuk bacaan pertama. Tambahan juga, beliau juga menyatakan bahawa Ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk membaca laporan tersebut![1] Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dewan rakyat Malaysia di mana dokumen rasmi yang telah pun dibentangkan masih perlu menjalani embargo selama 6 hari. Ini berlaku sedangkan ucapan Menteri Kewangan dan dokumen bajet tahunan hanya disekat untuk tempoh beberapa jam sahaja sebelum ia dibentangkan secara rasmi dalam Parlimen oleh Menteri Kewangan.

Kebetulan pertindihan kedua-dua kejadian ini – iaitu kelewatan pemuatnaikan dan pengedaran kertas perintah penuh serta perintah mengarut oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengenakan embargo terhadap laporan kajian semula persempadanan selama 6 hari – menimbulkan syak bahawa terdapat muslihat untuk menafikan hak akses awam terhadap dokumen tersebut bagi plaintif dua kes mahkamah terhadap SPR yang berdasarkan kajian persempadanan semula.

Kes pertama, yang difailkan oleh Ivy Josiah dan 3 individu lain pada 8 Mac 2018, iaitu sebelum SPR menyerahkan laporan kajiannya kepada Perdana Menteri pada 9 Mac 2018, akan didengar di mahkamah pada 28 Mac 2018. Kes kedua, yang difailkan oleh Maria Chin dan 107 individu lain pada 20 Mac 2018, akan didengar pada 23 Mac 2018.[2] Jika kandungan kajian persempadanan semula ini masih di bawah embargo sehingga 28 Mac 2018, maka ada kemungkinan bahawa plaintif bagi kedua-dua kes tersebut tidak dapat merujuk kepada laporan tersebut untuk kes mereka masing-masing.

Tindakan ini menimbulkan kemungkinan bahawa pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya dan pejabat Perdana Menteri sedang bersuhabat untuk meluluskan kajian persempadanan semula yang tidak adil dan tidak demokratik ini supaya BN boleh memperoleh kelebihan dalam PRU 14 akan datang.

Saya menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk segera mengangkat embargo ini supaya bukan sahaja Ahli-Ahli Parlimen yang dapat membaca laporan tersebut, malahan media dan orang awam juga boleh mengaksesnya supaya mereka dapat menentukan sendiri sama ada ini merupakan antara persempadanan semula paling tidak demokratik dan tidak adil dalam sejarah Malaysia.

[1] https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/03/22/pandikar-to-mps-you-can-touch-but-you-cant-read-it/

[2] http://www.bersih.org/kenyataan-media-21-mac-2018-pemfailan-kes-mahkamah-oleh-10000-pengundi-selangor-mengenai-isu-persempadanan-semula-dan-kegagalan-spr-mengadakan-sesi-siasatan-tempatan/