Di bawah pentadbiran Najib, yang kaya semakin kaya serta membeli lebih banyak Mercedes dan BMW

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP pada 27 Februari 2018

Seringkali terdapat jurang besar antara angka pertumbuhan KDNK sihat yang diwar-warkan oleh Najib serta kabinet beliau berbanding dengan sentimen yang dirasai rakyat biasa bahawa kehidupan mereka tidak bertambah baik. Apabila saya mengkaji jualan kereta dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, saya mendapati bahawa golongan kaya menjadi semakin kaya malahan membeli lebih banyak kereta Mercedes dan BMW, manakala golongan B40 tidak mampu membeli kereta.

Jualan kereta penumpang di Malaysia telah jatuh sebanyak 10.7% (61,978 unit), iaitu daripada 576,657 unit pada 2013 kepada 514,769 unit pada 2018. Keadaan ini berlaku dalam keadaan ekonomi yang kononnya sihat dan berkembang yang sering diperkatakan. Perodua, yang kini merupakan penjual kereta terbesar di Malaysia, berjaya menentang tren ini dengan meningkatkan jualannya serba sedikit daripada 196,071 unit pada 2013 kepada 204,887 unit pada 2017, iaitu sebanyak 4.5%. Apa yang memeranjatkan saya adalah walaupun secara keseluruhan penjualan kereta terjejas, namun penjualan kereta Mercedes dan BMW meningkat dengan mendadak pada tempoh masa ini. Penjualan Mercedes mencatatkan peningkatan besar sebanyak 122.9% iaitu daripada 5,413 unit pada 2013 kepada 12,067 unit pada tahun 2017, manakala jualan BMW meningkat sebanyak 50.5%, iaitu daripada 7,057 unit pada tahun 2013 kepada 10,618 unit pada tahun 2017. Jualan kereta Volvo turut meningkat daripada 533 unit pada 2013 kepada 1,021 unit pada 2017, iaitu peningkatan sebanyak 91.6% (lihat Jadual 1 dan Rajah 1 di bawah).

Saya juga telah mengira perubahan dalam jumlah kereta dijual bagi kategori kereta import bukan mewah (Honda, Toyota, Nissan, Mazda, Kia, Subaru dan lain-lain dalam kategori yang sama) serta kereta import mewah (Mercedes, BMW, Volvo, Porsche, Lexus, Audi dan lain-lain dalam kategori yang sama)  dan menemui tren yang sama. Pengeluar kereta import bukan mewah ini mengalami penurunan sedikit dalam angka jualan bagi tahun 2013 hingga 2017, iaitu penurunan sebanyak 4.9% (222,766 unit kepada 211,843 unit). Namun bagi pengeluar kereta import mewah pula, jualan mereka meningkat 41.4  iaitu daripada 19,067 unit pada 2013 kepada 26,958 unit pada 2017! (Jadual 2 dan Rajah 2)

Tren ini telah terjadi sebelum pembukaan Jajaran 1 MRT pada Julai 2017, maka sukar untuk BN berhujah bahawa orang ramai kurang membeli kenderaan kerana mereka menggunakan pengangkutan awam (yang juga bukan begitu murah di Malaysia!).

Angka sebegini membuktikan apa yang dirasai oleh rakyat. Walau pun ekonomi semakin bertumbuh, namun golongan kaya yang mendapat paling banyak faedah sementara yang lain bersusah payah akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.