Sudah tiba masa untuk memperkenalkan pas pengangkutan awam RM100 di Lembah Klang

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan pada 11 Januari 2018

Pada Oktober 2017, saya telah menulis berkenaan kekurangan peningkatan bilangan penumpang (‘ridership’) bagi LRT, MRT dan KTM Komuter walaupun berbillion Ringgit telah dilaburkan untuk projek-projek baru.[1] Statistik Rel Suku Ke-3 2017[2] yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Kementerian Pengangkutan telah mengesahkan syak saya bahawa lonjakan bilangan penumpang pada Julai dan Ogos 2017 berikutan pengurangan tambang separuh daripada harga asal adalah sementara sahaja.

Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang telah mencapai bilangan penumpang tertinggi (‘peak daily ridership’) sebanyak 135,112 penumpang pada bulan Ogos apabila tambang dikurangkan sebanyak 50%. Namun apabila tempoh diskaun tersebut telah tamat, bilangan penumpang seharian telah jatuh kepada 103,345 penumpang, yang amat kurang daripada sasaran 150,000 penumpang. Sama juga bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang di mana bilangan penumpang harian telah mencapai tahap tertinggi pada bulan Ogos, iaitu 262,606 dan 195,536 penumpang masing-masing, namun ianya telah menjunam ke 219,568 dan 157,533 penumpang masing-masing selepas tempoh diskaun telah tamat. Malahan, bilangan penumpang LRT bagi September amat kurang daripada bulan Mac 2017, yang secara purata berjumlah 238,602 dan 169,057 penumpang untuk laluan Kelana Jaya dan Ampang masing-masing. (Lihat Rajah 1 dan Jadual 1 di bawah)

Rajah 1: Jumlah penumpang harian berdasarkan bulan (Januari hingga September 2017) bagi laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang, Laluan SBK MRT dan Monorail KL

Sumber: Kementerian Pengangkutan, Statistik Rel

Jadual 1: Jumlah penumpang harian (Januari hingga September 2017) bagi LRT Kelana Jaya dan Ampang, Laluan SBK MRT dan Monorail KL

Jenis Perkhidmatan JAN FEB MAC APRIL MEI JUN JULAI OGOS SEPT
LALUAN KELANA JAYA             211,913             220,418             238,602             223,057             223,869             212,253             231,159             262,606             219,568
LALUAN AMPANG             151,459             155,140             169,057             158,500             160,816             154,485             157,242             196,536             157,533
LALUAN MRT SBK              23,471              12,532              13,786              12,927              13,057              12,288              62,344             135,112             103,345
KL MONORAIL              56,172              54,359              57,140              53,488              48,291              44,430              42,253              43,441              34,656

Sumber: Kementerian Pengangkutan, Statistik Rel

Kejatuhan dalam bilangan penumpang harian LRT dan MRT membuktikan bahawa penumpang adalah ‘price sensitive’ (dipengaruhi oleh harga). Oleh itu, adalah perlu untuk memperkenalkan pas bulanan pengangkutan awam yang berpatutan harga bagi membolehkan penumpang menikmati perjalanan tidak terhad untuk LRT, MRT, Monorail dan bas Rapid KL sebagai salah satu cara untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Rapid sebelum ini telah menawarkan pas perjalanan bulanan bernilai RM150 bagi LRT, namun ia dihapuskan semasa peningkatan tambang LRT pada Disember 2015.

Dalam Bajet Alternatif, Pakatan Harapan teleh mengutarakan cadangan untuk memperkenalkan pas pengangkutan awam bulanan bernilai RM 100 yang tidak terhad. Saya yakin bahawa dengan pas bulanan ini, penggunaan pengangkutan awam terutamanya bagi LRT, MRT dan bas Rapid akan melonjak naik, malahan mungkin akan melebihi bilangan penumpang seharian yang dicapai pada Ogos 2017 ketika tambang LRT dan MRT dikurangkan sebanyak 50%.

[1] http://ongkianming.com/2017/10/05/media-statement-najib-must-explain-the-lack-of-increase-in-ridership-on-the-rail-system-in-the-klang-valley-despite-billions-spent-on-the-lrt-extension-the-mrt-and-the-ktm-komuter-double-tracking-proj/

[2] http://www.mot.gov.my/en/Pages/statistik-rel.aspx?RootFolder=%2Fen%2FStatistik%20Rel%2F2017%203%20-%20SUKU%20III%202017&FolderCTID=0x012000B98E763A4B4D9E45BF0A89A3AD9C0C63&View={06807F3D-F85A-41AF-A229-BF053BC42139}