Kementerian Belia dan Sukan perlu memimpin dan mengawal selia acara larian di Malaysia

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang merangkap Timbalan Pengarah Pendidikan Politik DAP pada 12 Disember 2017

Saya menulis kenyataan ini dengan hati yang berat kerana terkesan dengan kemalangan teruk yang menimpa seorang sahabat saya, Evelyn Ang (juga dikenali sebagai @missyblurkit di kalangan komuniti pelari), yang kini terlantar di hospital setelah dilanggar kereta semasa larian Klang International Marathon 2017 pada Ahad lepas. Sebagai seorang kawan dan juga rakan pelari, perhatian utama saya adalah terhadap Evelyn dan keluarga beliau bagi menghadapi pertempuran paling sengit dalam hidup beliau. Saya tidak sama sekali ingin mempolitikkan isu berkaitan kemalangan beliau. Pada masa yang sama, merujuk kepada komen dan pandangan berbagai daripada komuniti pelari dan masyarakat awam, saya rasa kini merupakan masa yang sesuai untuk membincangkan hal-hal besar yang merisaukan komuniti larian, termasuklah tindakan yang boleh dilakukan bagi menjamin keselamatan peserta-peserta acara-acara larian ini.

(i) Kebanyakan acara larian tidak diluluskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan

Selepas kemalangan yang melibatkan Evelyn dan dua pelari ini dilaporkan, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dato’ Zaiton Othman, telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin, 11 Disember 2017, yang berkata bahawa penganjur Klang International Marathon tidak mendapatkan kelulusan daripada pejabat beliau dalam penganjuran program ini.[1] Beliau memetik Seksyen 36 (1) Akta Pembangunan Sukan 1997 yang menyatakan “Sesuatu syarikat tidak boleh terlibat dalam apa-apa aktiviti lain yang berkaitan dengan sukan, yang ditetapkan oleh Menteri dalam peraturan-peraturan, melainkan jika ia dilesenkan berbuat demikian oleh Pesuruhjaya” (Lihat Rajah 1). Menteri Belia dan Sukan, Brig Gen Khairy Jamaluddin juga memetik Seksyen yang sama semasa beliau dilaporkan telah mengesyorkan tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur Klang International Marathon 2017.[2]

Rajah 1: Seksyen 36 dalam Akta Pembangunan Sukan 1997

Namun apa yang tidak diperkatakan oleh Pesuruhjaya Sukan dan juga Menteri adalah kebanyakan acara larian di Malaysia TIDAK mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Bagi kebanyakan larian di negara ini, penganjur acara hanya perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan, contohnya DBKL atau MBPJ, pemilik lokasi seperti MAEPS di Serdang dan juga pihak polis trafik. Sepengetahuan saya, jarang ada penganjur acara yang meminta keizinan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan juga tidak memerlukan penganjur mendapat kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Jika Klang International Marathon dikategorikan sebagai pertandingan haram kerana tidak mendapat kelulusan Pejabat Suruhanjaya Sukan, maka hampir kesemua pertandingan di Malaysia ini juga boleh dikatakan sebagai acara haram termasuklah ultramarathons, trail runs, charity runs, fun runs, tower runs dan juga acara berbasikal.

(ii) Acara “antarabangsa” perlu mendapat kelulusan Menteri Belia dan Sukan

Penganjur mungkin akan menghadapi lebih kesulitan kerana menggelarkan program mereka sebagai acara “antarabangsa.”

Menurut Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997, “tiada seorang pun boleh membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi apa – apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis Menteri terlebih dahulu dan keputusan Menteri tentangnya adalah muktamad.” (Lihat Rajah 2) Tujuan undang-undang ini adalah untuk memastikan terdapat sokongan dan kebenaran kerajaan bagi sukan bertaraf antarabangsa, namun definisi ini telah diperluaskan dan turut meliputi program yang mengandungi perkataan “antarabangsa” dalam tajuknya.

Rajah 2: Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997

Takrif mengenai apa yang dikatakan sebagai pertandingan “antarabangsa” perlu diperjelaskan. Sekiranya terdapat peserta-peserta dari lebih daripada satu negara dalam larian, adakah ia mencukupi untuk program tersebut digelar sebagai program “antarabangsa”? Jika program tersebut tidak mempunyai perkataan “antarabangsa” namun ia menjangkakan penyertaan daripada peserta-peserta luar negara seperti acara Malaysian Marathon, adakah ia boleh dikategorikan sebagai acara pertandingan antarabangsa?

(iii) Hanya kerana acara dianjurkan oleh Kementerian atau Jabatan Kerajaan, termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, tidak bermakna piawaian dan garis panduan yang betul telah diikuti

Masih segar dalam ingatan komuniti larian berkenaan acara sulung Malaysian Marathon yang sepatutnya berlangsung pada 1 Oktober 2017. Pertandingan ini dijangkakan menarik 5,000 peserta China ditambah dengan peserta-peserta tempatan. Acara ini dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuklah Kementerian Perlancongan, Kementerian Belia dan Sukan, DBKL serta Wisdom Sports, dipersetujui oleh Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), dan disokong oleh pelbagai agensi kerajaan dan jabatan (Lihat Rajah 3). Walaupun ianya disokong kerajaan, acara ini dibatalkan kerana penganjur iaitu Wisdom Sports tidak mampu untuk mengotakan janji untuk menarik 5,000 pelari dari China bagi menyertai acara tersebut. (Semua peserta yang telah mendaftar untuk acara ini telah mendapat balik yuran pendaftaran mereka, tetapi ini tidak termasuk tiket penerbangan dan pelbagai kos perjalanan yang telah pun dibelanjakan.)

Rajah 3: Senarai penganjur dan penaja Malaysian Marathon 2017 yang kemudiannya dibatalkan

Walaupun acara ini dipersetujui oleh Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), laluan sebenar (42km, 21km dan 10km) tidak diumumkan ketika acara ini dibuka untuk penyertaan. Malahan, laluan larian tersebut tidak pernah didedahkan dan ini menjadi tanda tanya mengapa MAF boleh ‘menyetujui’ pertandingan tersebut tanpa mengetahui laluan dan prosedur keselamatan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan para peserta.

Acara-acara tajaan kerajaan yang lain yang telah dibatalkan termasuklah 2015 HRDF Half Marathon (di mana para peserta masih belum menerima bayaran balik)[3] dan 2016 Melaka International Century Ride yang disokong oleh kerajaan Negeri Melaka serta dibatalkan 5 hari sebelum ia berlangsung.[4]

(iv) Pejabat Pesuruhjaya Sukan tiada kepakaran dalam menentukan atau memastikan kualiti acara larian termasuk piawaian keselamatan

Mengikut undang-undang, kelulusan acara larian perlu diperoleh dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Namun, hakikatnya adalah pejabat ini tidak mempunyai kepakaran atau keupayaan untuk menilai sama ada penganjur berkemampuan untuk menganjurkan pertandingan yang berkualiti atau tidak. Pesuruhjaya Sukan akan merujuk kepada badan sukan yang menyelia sukan tersebut untuk mendapatkan cadangan bagi kelulusan acara. Bagi acara larian, badan berkaitan adalah Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF). Pada pengetahuan saya, MAF bukanlah merupakan penganjur larian. Mereka hanya memberikan nasihat teknikal dan bantuan kepada penganjur pertandingan seperti kesesuaian laluan larian, keselamatan peserta-peserta, stesen minuman, masa pelari dan sebagainya. Yang idealnya, MAF sepatutnya memberikan garis panduan dan piawaian kepada penganjur bagi  memastikan pertandingan yang berkualiti tinggi. Dukacitanya, MAF tidak mempunyai laman web mahupun laman Facebook yang aktif, maka kita tidak tahu jika wujudnya garis panduan seperti itu dan sama ada ia diberikan kepada penganjur pertandingan atau tidak. Timbul keinginan bagi mengetahui bagaimana Pejabat Pesuruhjaya Sukan membuat keputusan untuk mengikut atau tidak cadangan oleh MAF dalam meluluskan pertandingan tertentu.

(v) Para pelari perlu tahu kesan perlaksanaan sebarang peraturan yang dikenakan oleh Kementerian atau Pejabat Pesuruhjaya Sukan

Terdapat perbincangan untuk mewajibkan penganjur pertandingan bagi membayar yuran kepada MAF sebagai sebahagian daripada proses mengawal selia pertandingan di Malaysia bagi memastikan pertandingan berkualiti tinggi (termasuk pembatalan dan piawaian keselamatan yang sepatutnya). Jika kos sebegini dilaksanakan, besar kemungkinan bahawa para peserta yang akan menanggung kos tersebut pada akhir hari. Para penganjur dan peserta perlu tahu bagaimana kos tambahan yang dikenakan terhadap mereka akan digunakan oleh organisasi seperti MAF dan bagaimana perlaksanaan peraturan ini boleh memastikan kualiti penganjuran berada di tahap tertinggi. Sebagai contoh, adakah sebahagian bayaran tersebut akan disalurkan kepada sesi latihan anjuran MAF kepada penganjur pertandingan? Adakah sebahagian bayaran tersebut akan disalurkan kepada MAF bagi pembangunan sukan di Malaysia? Kesemua isu ini perlu diperbincangkan dan didedahkan secara telus.

(vi) Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 terlalu umum dan tidak jelas

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah berkenaan Seksyen 36 seperti yang dinyatakan di atas, di mana ia memerlukan syarikat yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti sukan bagi mendapatkan kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Definisi tersebut adalah terlalu luas, terlalu umum, tidak jelas dan tidak praktikal. Sebagai contoh, jika sebuah syarikat ingin menganjurkan pertandingan bola keranjang 3-on-3 di kawasan kediaman saya (melibatkan yuran penyertaan dan hadiah wang tunai), adakah saya perlu mendapatkan kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan? Jika setiap sukan yang dianjurkan oleh syarikat perlu mendapatkan kelulusan ini, Pejabat Pesuruhjaya Sukan pasti akan dibanjiri dengan permohonan setiap hari. Keperluan sebegini mungkin juga akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kes rasuah bagi mendapatkan kelulusan acara.

Bagi acara larian, khususnya, katakan jika persatuan sukan seperti Pacesetters Malaysia yang bukan merupakan syarikat menganjurkan pertandingan larian, adakah kebenaran dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan masih diperlukan? Bagaimana dengan NGO yang ingin menganjurkan larian amal? Bagaimana jika sesebuah syarikat mengadakan program kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri atau Kementerian? Perundangan semasa yang tidak jelas tidak menjawab segala persoalan tersebut.

(vii) Kementerian Belia dan Sukan perlu mengadakan perbincangan yang mendalam dengan pihak berkepentingan sebelum meminda Akta Pembangunan Sukan

Seperti yang ditunjukkan di atas, isu berkenaan peraturan acara larian di Malaysia adalah kompleks dan pelbagai. Sangat malang apabila hanya setelah berlaku kemalangan serius kepada peserta dalam sebuah pertandingan “antarabangsa”, barulah perhatian dari Pesuruhjaya Sukan dan Kementerian Belia dan Sukan diberikan. Di Parlimen, saya telah membangkitkan isu sama ada terdapat keperluan untuk mempunyai sebuah badan khas untuk menyelia acara pertandingan di Malaysia. Saya juga telah membangkitkan peranan Kementerian Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan dalam acara yang dibatalkan seperti Malaysian Marathon.[5] Saya telah menyerahkan keputusan kajian yang dilakukan oleh saya di kalangan pelari Malaysia yang menyentuh beberapa isu ini kepada Timbalan Menteri, Datuk M. Saravanan di Parlimen.[6] 

Apa yang diperlukan pada waktu ini adalah untuk Menteri mengadakan rundingan dengan penganjur acara, kelab larian, persatuan atlet negeri dan kebangsaan, pihak berkuasa tempatan, polis, RELA dan pihak berkepentingan lain dalam komuniti larian bagi menentukan tindakan terbaik yang perlu diambil (termasuk pindaan berkaitan pada Akta Pembangunan Sukan) untuk meningkatkan kualiti acara larian di Malaysia. Perhatian khas diperlukan untuk larian dan juga terhadap acara berbasikal kerana acara sebegini semakin berkembang pesat dalam 5 tahun yang lepas dan melibatkan ribuan hingga puluhan ribu peserta.

Saya turut berharap bahawa tidak akan berlaku arahan tergesa-gesa seperti memaksa semua acara larian yang akan berlangsung dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Marilah kita mengadakan perbincangan yang jujur, terbuka dan berhasil tentang bagaimana kualiti acara larian di Malaysia dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mengurangkan berlakunya lagi kemalangan yang begitu tragis.

[1] http://www.jomkitalari.com/kenyataan-media-pesuruhjaya-sukan-tentang-kemalangan-di-klang-city-international-marathon/

[2] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/putrajaya-calls-for-criminal-probe-of-klang-marathon-organisers#GOgUltJ3BskolDSK.97

[3] https://www.facebook.com/pg/HRDF-Half-Marathon-2015-819245831478966/posts/?ref=page_internal

[4] https://www.nst.com.my/news/2016/10/183392/cyclists-fume-after-organisers-cancel-melaka-intl-century-ride-last-minute

[5] http://ongkianming.com/2017/09/09/media-statement-did-the-minister-of-youth-and-sports-khairy-jamaluddin-give-approval-for-the-organizing-of-the-recently-cancelled-malaysia-marathon/

[6] http://ongkianming.com/2017/08/01/media-statement-the-ministry-of-youth-and-sports-needs-to-do-more-to-improve-the-quality-of-running-events-in-malaysia/