Pemberian dana kerajaan berjumlah RM19 juta oleh KBS kepada NGO yang dikawal oleh MIC adalah sama sekali tidak dapat diterima dan tidak beretika

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 Mac 2016

Pemberian dana kerajaan berjumlah RM19 juta oleh KBS kepada NGO yang dikawal oleh MIC adalah sama sekali tidak dapat diterima dan tidak beretika

Dalam jawapan balas pada 8 Mac 2016 kepada soalan dari Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar, berhubung keberkesanan program penanaman cili yang dijalankan oleh NAAM dan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada NAAM, telah didedahkan bahawa wang berjumlah RM19 juta diberi kepada Yayasan NAAM melalui Kementerian Belia dan Sukan (Lihat Lampiran 2).[1]

Yayasan NAAM atau New Affirmative Action Movement merupakan sebuah syarikat berdaftar yang diketuai oleh Timbalan Menteri KBS, M. Saravanan.[2] Lembaga pengarah / pemegang amanah syarikat termasuklah Krishnan A/L Letchumanan atau L. Krishnan (mantan Ahli Parlimen MIC bagi Teluk Kemang[3] Mathuraiverna A/L Marimuthu atau M. Marimuthu (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC)[4] dan Selva Kumar A/L Mookiah (Penasihat Undang-Undang MIC)[5]. (Lampiran 1)

Pemberian dana kerajaan kepada sebuah NGO yang dikuasai oleh parti politik adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak beretika. Kita dapat bayangkan kemarahan yang akan timbul jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyalurkan dana kerajaan kepada NGO yang dikawal oleh DAP dan bebas menggunakan dana tersebut bagi menjalankan aktiviti politik. SPRM juga pasti akan diminta untuk menyiasat NGO tersebut dengan serta merta.

Memorandum persefahaman Ikrar Integriti Korporat yang ditandatangani oleh Menteri KBS dan Yayasan NAAM pada Mei 2014 tidak menjadikan penyalahgunaan dana kerajaan ini lebih mudah diterima.[6] Pendedahan penyelewengan melibatkan dana RM107 juta di KBS menunjukkan bahawa penyalahgunaan dana dan rasuah boleh berlaku di bawah mata Menteri sendiri. Apatah lagi apabila syarikat yang terlibat ini tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara dan tidak di bawah kawalan KBS? Selepas lebih daripada dua tahun selepas pendaftaran, Yayasan NAAM hanya mempunyai laman web asas dan meskipun ianya merupakan sebuah yayasan yang dikatakan mendekati golongan muda, ia langsung tidak mempunyai akaun Facebook mahupun Twitter.[7]

Saya menggesa Menteri KBS, Khairy Jamaluddin untuk menerangkan mengapa dana di Kementerian beliau diberikan kepada NGO yang dikawal oleh MIC, serta memberi jaminan bahawa tiada sebarang dana kerajaan disalahgunakan oleh Yayasan NAAM.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Lampiran 1: Senarai Nama Pengarah Yayasan NAAM

Appendix 2: Jawapan Parlimen tentang pemberian dana RM19 juta dari Kerajaan Persekutuan kepada Yayasan NAAM

[1] Menurut laporan ini, geran RM37 juta telah diberi kepada Yayasan NAAM http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2014/04/30/naam-aims-to-give-indian-youth-a-lift/

[2] http://www.naam.org.my/v1/index.html

[3] http://www.lions308b1.org/home/our-district/district-governor/

[4] http://www.mic.org.my/about-us/leadership/cwc

[5] http://www.mic.org.my/news-events/press-statements/2014/press-statement-mr-selva-mookiah-legal-advisor-malaysian-indian

[6] http://www.kbs.gov.my/my/ucapan-menteri-kbs.html?download=11:majlis-menandatangani-memorandum-persefahaman-dan-ikrar-integriti-korporat-oleh-yayasan-naam-dan-kementerian-belia-dan-sukan and http://www.pemandu.gov.my/gtp/upload/NAAM_KBS_CIP_Press_Statement_PEMANDU.pdf

[7] Terdapat akaun Facebook untuk Persatuan NAAM Wilayah Persekutuan (https://www.facebook.com/NAAMWP) dan akaun Twitter untuk NAAMWP (@naamwp) tetapi tiada akaun untuk yayasan atau pertubuhan tersebut di peringkat nasional.