Mengapa 1MDB diberi kenaikan tariff sebanyak 22% bagi ladang solar 50Mwnya yang belum lagi dibina?

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 April 2015

Hari ini, Edge Financial Daily telah melaporkan bahawa projek cadangan ladang solar 1MDB telah diberi kenaikan tariff elektrik dari 41 sen bagi setiap kWH kepada 50 sen setiap kWH, iaitu peningkatan sebanyak 9 sen atau 22%.[1] Menurut laporan tersebut, alasan yang diberi adalah kerana “tarif sebelum ini adalah terlalu rendah bagi projek tersebut untuk dilaksanakan. Tarif baru ini telah dirunding atas asas bahawa Edra mengehadkan kadar pulangan dalaman bagi projek tersebut pada maksimum 9%.”

Jika laporan ini benar, maka Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) perlu memberi penjelasan berkenaan banyak perkara. Pertama, jika Edra Global yang merupakan anak syarikat 1MDB menganggap kadar tarif asal iaitu 41 sen untuk setiap kWH adalah terlalu rendah, mengapa KeTTHA tidak melakukan tender terbuka di pasaran bagi cadangan pembinaan ladang solar 50MW yang merupakan projek ladang solar terbesar di Malaysia? KeTTHA sepatutnya membenarkan tender terbuka terlebih dahulu sebelum memberikan projek ini secara rundingan terus kepada 1MDB, yang sebenarnya tidak berpengalaman dalam membina dan menjalankan operasi sebarang projek solar. Tender terbuka untuk cadangan pembinaan ladang solar ini sudah pasti dapat memberi jaminan harga terbaik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dijadikan sebagai satu penanda aras bagi projek ladang solar yang akan datang.

Malahan, boleh dikatakan juga bahawa kadar tarif 50 sen bagi setiap kWH adalah terlalu tinggi menurut standard pasaran.

Merujuk kepada kadar tarif yang diterbitkan di laman web Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), kadar minimum tarif galakan (FiT) bagi pemasangan tenaga solar kategori 10MW hingga 30MW telah makin jatuh secara stabil (Jadual 1). ‘Kadar penyimpangan’ ini diperkenalkan kerana kejatuhan mendadak kos pemasangan panel solar yang disebabkan oleh peningkatan teknologi.

Jadual 1: Tarif Minimum bagi setiap kWH untuk Tarif Galakan pemasangan PV Solar antara 10MW dan 30MW

Tarikh pemasangan Tarif Galakan 1 Jan 2012 1 Jan 2013 28 Mac 2013 1 Jan 2014 15 Mac   2014 1 Jan 2015
Tarif Minimum setiap kWH 85 sen 78.2 sen 68 sen 54.4 sen 61.2 sen 49 sen

Sumber: www.seda.gov.my

Bagi pemasangan yang bermula pada 1 Januari 2015, kadar tarif minimum adalah 49 sen (Lihat grafik di bawah). Terdapat alasan yang bagus untuk menjangka sebuah ladang solar 50MW akan menawarkan tarif yang lebih rendah daripda 49 sen bagi setiap kWH di bawah Tarif Galakan SEDA. Pertama, ladang solar dengan skala besar tersebut sudah tentu mempunyai skala ekonomi yang besar, contohnya kos pemasangan per unit yang lebih rendah dan kos pengambilan tanah per unit yang lebih murah. Kedua, ladang solar tersebut dijangka siap dalam tempoh yang lama, yang bermakna penambahbaikan teknologi mungkin akan menyebabkan kos solar PV jatuh lagi. Ketiga, kontrak yang dicadangkan antara 1MDB dan TNB adalah selama 25 tahun, iaitu melebihi kontrak 21 tahun di bawah Tarif Galakan. Kontrak yang lebih panjang bermaksud jaminan pulangan untuk lebih lama, yang bermakna bahawa lebih ramai pihak sudah pasti sanggup menerima tawaran kontrak yang lebih lama untuk kadar tarif yang lebih rendah.

Di sebalik semua ini, kita tidak dapat mengelak dari mengesyaki bahawa peningkatan tarif ini merupakan cara untuk menyelamatkan 1MDB dengan memberi syarat kewangan yang lebih baik bagi membolehkan anak syarikat, Edra Global untuk tersenarai.

Grafik 1: Tarif Galakan bagi Solar PV (Bukan Individu) bermula dari 1 Januari 2015

[1] http://www.theedgemarkets.com/en/article/1mdb%E2%80%99s-solar-farm-gets-tariff-hike