Mengecam keras siasatan polis terhadap pensyarah UM Dr. Khoo Ying Hooi atas alasan ‘ancaman jenayah’ berhubungan artikel beliau bertajuk ‘Siapa yang menguasai pihak polis?’

Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 27hb Mac 2015

Saya merujuk kepada artikel yang diterbitkan di The Malaysian Insider yang bertajuk “Pensyarah UM kini disiasat kerana artikelnya yang berkenaan polis.” (http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/um-lecturer-now-under-probe-over-article-on-police)

Artikel tersebut mengatakan bahawa Dr. Khoo Ying Hooi, pensyarah UM, kini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi ‘ancaman jenayah’, berpunca dari artikel yang ditulis beliau pada 16 Mac 2015 yang bertajuk “Who owns the police” (Siapa yang menguasai polis?). (http://www.themalaysianinsider.com/opinion/khoo-ying-hooi/article/who-owns-the-police)

Saya mengecam sekeras-kerasnya taktik polis yang diketuai oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang juga merupakan kaki Twitter, yang telah merujuk kepada komen Dr. Khoo berkenaan perhimpunan #KitaLawan dalam status Twitternya pada 15 Mac 2015.

Ruangan Dr. Khoo sebenarnya menyuarakan banyak soalan sah tentang motivasi dan tindakan polis di Malaysia dan juga di negara-negara lain mengenai tindak balas pihak berkuasa terhadap bantahan awam. Untuk menyoal siasat Dr. Khoo dan mungkin menyabitkan kesalahan beliau di bawah Akta Hasutan adalah merupakan satu penghinaan dan serangan ke atas kebebasan akademik di Malaysia.

Saya menggesa KPN untuk segera memberhentikan segala taktik ancaman ke atas tugasan penyoalan dan penyelidikan akademik yang sah.