Tenaga

9 posts

Mengapakah kuota 30MW Tarif Galakan (‘Feed-in-Tariff’ atau FiT) bagi tenaga geoterma diperuntukkan kepada Tawau Green Energy (TGE) yang majoritinya dimiliki oleh pemimpin UMNO Sabah melalui rundingan terus?

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 2 Mei 2014

Mengapakah kuota 30MW Tarif Galakan (‘Feed-in-Tariff’ atau FiT) bagi tenaga geoterma diperuntukkan kepada Tawau Green Energy (TGE) yang majoritinya dimiliki oleh pemimpin UMNO Sabah melalui rundingan terus?

Di Malaysia, terdapat permintaan tinggi terhadap kuota FiT disebabkan jumlah yang terhad dan pulangan kewangan yang bakal diperolehi daripada sumber tenaga boleh baharu.  Sistem E-FIT yang dirangka oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Sustainable Energy Development Authority atau SEDA), yang telah memakan kos jutaan ringgit, seharusnya menyediakan platform yang lebih telus dalam memperuntukkan kuota FIT dalam pelbagai kategori termasuk biogas, biomas, hidro dan solar PV.

Namun, salah satu keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem E-FIT sememangnya telah digantikan dengan proses rundingan terus dalam penganugerahan 30MW tenaga geoterma kepada Tawau Green Energy (TGE) yang berpangkalan di Sabah.

Tawau Green Energy (TGE) yang sedang dalam proses membina loji tenaga geoterma yang pertama di Malaysia, iaitu di kawasan Apas Kiri di daerah Tawau, telah mengumumkan penganugerahan kuota FiT oleh KeTTHA pada 8hb November 2013.[1] Hal ini telah disahkan oleh jawapan bertarikh 18hb November yang diterima oleh rakan sekerja saya, YB Chan Foong Hin, ADUN Sri Tanjung di Dewan Undangan Negeri Sabah (Lampiran 1). Namun, berita ini langsung tidak diumumkan di laman web SEDA!

Carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada bulan September 2013 telah mengesahkan bahawa pemegang saham majoriti (52%) Tawau Green Energy ialah Yamani Hafez bin Musa yang merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Sipitang dan juga anak kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman. Dalam carian yang terbaru pada Mei 2014, pemegang saham utama telah ditukar kepada Awang Kading Tang, bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah dan timbalan ketua bahagian UMNO bagi Sandakan. (Lampiran 2)

Saya menyeru Menteri, Maximus Ongkili, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Badriyah Haji Abdul Malek untuk menjawab soalan-soalan berikut:

  1. Adakah kuota FIT 30MW bagi tenaga geoterma ini dianugerahkan kepada Tawar Green Energy melalui rundingan terus?
  2. Bagaimana kuota geoterma 30MW ini dapat dianugerahkan pada 8hb November 2013 memandangkan warta yang memperkenalkan tenaga geoterma sebagai salah satu kategori dalam Jadual Akta Tenaga Boleh Baharu hanya diterbitkan pada 24hb Disember 2013?
  3. Adakah Menteri telah mengatasi SEDA dan membuat keputusan untuk menganugerahkan kuota FIT kepada Tawau Green Energy (TGE)?
  4. Apakah kadar bagi kuota FIT untuk tenaga geoterma ini?
  5. Adakah lebih banyak kes rundingan terus akan diputuskan oleh Menteri KeTTHA terutamanya bagi kuota PV solar melebihi 425 kwH yang mempunyai permintaan yang tinggi?

Dalam taklimat yang diberi oleh Ketua Pegawai Operasi SEDA, Ir Dr Ali Askar, beliau telah menyatakan bahawa permohonan untuk kuota PV solar yang melebihi 425kwH perlu diserahkan secara manual dan kuota ini akan diputuskan oleh Menteri. Jika benar, ia akan menjadi satu penghinaan terhadap sistem E-FIT yang hanya dikenakan kepada syarikat kecil yang memohon kuota kurang daripada 425kwH dan kuota yang lebih besar akan diputuskan oleh Menteri mengikut budi bicaranya.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang

Lampiran 1: Jawapan kepada YB Chan Foong Hin, ADUN Sri Tanjong, pada 18hb November 2013 di DUN

Lampiran 2: Pemegang syer majoriti untuk Tawau Green Energy (TGE) dari carian syarikat pada September 2013 dan Mei 2014

Carian Suruhanjaya Syarikat dari September 2013 yang menunjukkan Yamani Hafez bin Musa sebagai pemegang syer majoriti 52% untuk Tawau Green Energy


Carian Suruhanjaya Syarikat dari Mei 2014 yang menunjukkan Awang Kadin Tang sebagai pemegang syer majoriti 52% untuk Tawau Green Energy


[1] http://www.tgepower.com/announcement.html

“Pemain Besar” (‘big boys’) boleh menggunakan proses perundingan secara langsung untuk tenaga boleh baharu manakala peserta lain terpaksa bersaing sesama sendiri untuk kuota yang lebih kecil

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 25 April 2014

“Pemain Besar” (‘big boys’) boleh menggunakan proses perundingan secara langsung untuk tenaga boleh baharu manakala peserta lain terpaksa bersaing sesama sendiri untuk kuota yang lebih kecil

Pada 11hb April 2014, taklimat yang diberi oleh Ir Dr Ali Askhar Sher Mohamad, Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengenai perubahan kepada proses permohonan FiT telah mendedahkan bahawa proses penyerahan secara atas talian (online submission) tidak akan digunakan lagi untuk kuota solar PV yang melebihi 425 kW tetapi akan digantikan dengan sistem permohonan secara manual (manual application).[1] Cadangan perubahan ini disebabkan arahan dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan butiran spesifik mengenai proses permohonan masih sedang dikaji oleh pihak Kementerian.

Walaupun mungkin terdapat beberapa sebab yang sah mengapa permohonan patut dikemukakan dan dikaji secara manual – seperti untuk memeriksa tahap pematuhan dan mengkaji aspek teknikal permohonan – hakikat bahawa SEDA dan KeTTHA belum lagi memuktamadkan proses bidaan dan permohonan sememangnya menimbulkan banyak kebimbangan.

Adakah ini akan membawa kepada situasi di mana, misalnya, Kementerian mempunyai kuasa untuk menentukan syarikat-syarikat yang akan dianugerahkan kuota FiT untuk projek-projek solar yang besar? Mungkinkah ini juga akan menghasilkan projek-projek yang dirundingkan secara terus antara pemilik projek dan Kementerian?

Jadual 1: FiT Kuota yang baru dari 2014 hingga 2017

Menurut taklimat sama yang diberi oleh Ketua Pegawai Operasi SEDA, kuota 30MW untuk Kuasa Geoterma sepatutnya diagihkan dalam tahun 2016 (Lihat Jadual 1 di atas). Adakah ia hanya suatu kebetulan bahawa Tawau Green Energy (TGE) Sdn Bhd, loji kuasa geoterma yang pertama di Malaysia, dijangka akan menambahkan 30MW kepada grid Sabah pada suku ke-2 tahun 2016?[2]

Dilaporkan pada Mac 2014[3] bahawa:

“Pada November tahun lepas, TGE telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Baharu (REPPA) untuk 21 sen setiap jam kilowatt dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membekalkan 30 MW kepada grid SESB dari loji kuasa geoterma. Mereka berharap untuk berpindah ke FiT dengan kelulusan daripada SEDA Malaysia.”

Adakah ini bermakna bahawa SEDA memang telah membuat keputusan untuk menganugerahkan kuota 30MW FiT ini kepada Tenaga Hijau Tawau (TGE) melalui rundingan secara langsung dan bukan melalui tender terbuka? Adakah syarat-syarat untuk kontrak ini lebih lumayan daripada kontrak 21 sen bagi setiap kWj yang ditandatangani dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)?

Di samping itu, kuota 15MW FIT akan diperuntukkan kepada biomas (sisa pepejal) pada tahun 2017. Adakah ia juga hanya kebetulan bahawa tahun 2017 adalah tarikh jangkaan pentauliahan loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong? Adakah ini bermakna bahawa KeTTHA dan SEDA sudahpun tahu teknologi mana yang akan dipilih untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong dan ia akan melibatkan pembakaran sisa secara langsung? (Sebagai contoh, jika sistem pencernaan anaerobik dicadangkan, ia akan menggunakan biogas dan bukannya kuota FiT biomas).

Mengapa pula mereka yang membida untuk projek-projek yang lebih kecil seperti kuota Solar PV FIT untuk individu perlu mengemukakan permohonan mereka secara online, mendapatkan nombor giliran dan kemudian melalui proses pengundian terbuka manakala “pemain besar” (‘big boys’) tidak dipaksa untuk melalui proses yang serupa, yang sememangnya terbuka dan telus?

Perkembangan ini berlaku sejurus selepas keputusan dibuat untuk menganugerahkan 1MDB satu projek ladang solar 50MW di Kedah melalui rundingan terus.[4] Walaupun projek ini tidak dibiayai oleh kuota FIT, namun kita haruslah mengambil perhatian terhadap hakikat bahawa jumlah 50MW jauh melebihi peruntukan agregat bagi Solar PV untuk individu, bukan individu dan projek-projek komuniti untuk tahun 2014 yang hanya mencapai jumlah setakat 40MW!

Saya menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mematuhi prinsip-prinsip keterbukaan dan ketelusan untuk semua peserta dan pihak berkepentingan dalam sektor tenaga boleh baharu dan bukannya memberi keutamaan dan akses hanya kepada “pemain besar” (‘big boys’).

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang


[1] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=27

[2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/04/07/Malaysias-first-geothermal-plant-set-to-boost-green-energy/

[3] http://www.greenprospectsasia.com/content/malaysia%E2%80%99s-first-geothermal-plant-takes

[4] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2014/04/23/1MDB-and-US-firm-in-solar-tieup-Both-parties-will-jointly-invest-in-countrys-largest-50MW-solar-farm/

SEDA hanya berjaya mengkomisikan 56% daripada kuota yang diagihkan pada tahun 2012 dan 2013 namun ia telah meminta taraf sumbangan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) dinaikkan daripada 1% kepada 1.6% bermula 2014

Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada April 21, 2014

SEDA hanya berjaya mengkomisikan 56% daripada kuota yang diagihkan pada tahun 2012 dan 2013 namun ia telah meminta taraf sumbangan Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) dinaikkan daripada 1% kepada 1.6% bermula 2014

Menurut Laporan Tahunan 2012 Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Sustainable Energy Development Authority atau SEDA), jumlah kapasiti yang diluluskan di bawah skim FiT adalah 183.41MW pada tahun 2012 dan 144.18MW pada tahun 2013 yang memberi sejumlah 327.59MW untuk tahun-tahun 2012 dan 2013. (Lihat “Jadual 4” di bawah)

Malangnya, sehingga 17 April 2014, hanya 100.71MW telah dipasang pada tahun 2012 dan 83.41MW telah dipasang untuk tahun 2013 yang bermaksud jumlah sebanyak 184.12MW bagi tahun 2012 dan 2013 secara seluruhnya.[1] (Lihat “Operational Plants” di bawah)

Ini bermakna hanya 56% (184MW daripada 328MW) daripada kuota untuk 2012 dan 2013 telah berjaya dipasang.

Laporan Tahunan SEDA 2012 menunjukkan bahawa jumlah aset semasa SEDA telah bertambah daripada RM330 juta pada tahun 2011 kepada RM561 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM231 juta atau 70%. Jika SEDA gagal membuktikan bahawa ia boleh mencapai pemasangan untuk kuota yang diedarkan bagi 2012 dan 2013, bagaimana ia dapat meminta pengguna untuk membayar caj yang lebih dengan meningkatkan sumbangan kepada Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) daripada 1% kepada 1.6% untuk penggunaan melebihi 300kWh setiap bulan?

Peningkatan surcaj dana KWTBB pada tahun 2014 hanya akan meningkatka rizab tunai SEDA tanpa meningkatkan keupayaan SEDA untuk mencapai sasaran pemasangannya. Setakat ini, keputusan untuk tahun 2014 tidak berapa positif. Sehingga hari ini, hanya 0.27MW tenaga KWTBB di bawah skim FiT telah dipasang menurut laman web SEDA. Jumlah kecil ini iaitu 0.3% daripada 101MW yang diperuntukkan di bawah kuota 2014 sungguh menyedihkan.

SEDA perlu menjelaskan sebab-sebab mengapa prestasinya lemah dan memberi sebab yang wajar mengapa pengguna perlu menyumbang wang yang lebih kepada KWTBB pada tahun 2014 dan tahun-tahun seterusnya memandangkan prestasi SEDA yang lemah setakat ini.

Dr. Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Serdang


[1] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=539